Home Novel Cinta Pertemuan Yang Terindah
Bab 64

MEREKA berdua berjalan beriringan masuk ke dalam halaman rumah banglo dua tingkat. Majlis kenduri menghiasi pandangan. Ramai kenalan-kenalan Hayy Mikael yang ramah menegur Armell namun hanya dibalas dengan anggukan dan senyuman manis. Segan. Hanya itu perkataan yang sesuai untuk dirinya dalam situasi begini.

"Mana kawan abang tu?" aju Armell. Matanya bergerak mencari susuk tubuh pengantin lelaki.

Hayy Mikael juga meliarkan pandangan mencari kelibat rakannya. "Kejap, ada ni. Sebab kawan abang yang tadi tu cakap pengantin memang ada kat luar sekarang."

"Bro!" Tidak semena bahunya ditepuk dari belakang dan serentak itu laju Armell dan Hayy Mikael berpaling.

"Kau datang eh?" Soal lelaki yang segak berbaju melayu itu sambil tersengih menampakkan sebaris giginya yang tersusun rapi.

"Dah kau jemput. Aku datang lah," balas Hayy Mikael mesra.

Mereka bergelak tawa seketika sehinggalah Edryan mula sedar akan kewujudan Armell disebelah rakannya itu.

"Ni lah isteri kau ni? Cantik... memang sesuai sangat dengan kau bro. Masih tak terlambat lagi untuk aku ucap selamat pengantin baru kan? Selamat pengantin baru untuk korang berdua. Tahniah!" Ucap Edryan.

"Thanks, bro."

Armell senyum manis. "Em, isteri awak mana?" soalnya sambil mata meliar mencari kelibat wanita berbusana pengantin.

Edryan garu kening sebelum berpaling ke arah sang isteri yang sedang  duduk bersembang dengan dua orang rakannya. "Nak jumpa dia ke?"

Armell kerut dahi. Agak pelik dengan soalan Edryan. Mestilah nak jumpa. Reaksi wajah lelaki itu seperti ada sesuatu yang tidak kena. Namun perasaan hairan itu lekas-lekas ditepis ke tepi. Kepala mengangguk mengiyakan.

"Tu kat sana. Jom." Bicara Edryan lalu mengatur langkah menuju ke arah wanita berbusana pengantin disusuli Hayy Mikael dan Armell dibelakang.

"Ain," panggil Edryan.

Gadis yang kelihatan jauh lebih muda daripada Armell itu berpaling. Nampak riak rimas yang terpamer diwajah gadis itu sebelum ianya lekas-lekas dikaburi dengan wajah ceria.

"Kenalkan kawan abang, Hayy. Dan ini Armell." Edryan memperkenalkan mereka berdua.

Ain tersenyum manis lalu menghulurkan tangan bersalam dengan Armell.

"Cantik. Umur berapa ni?" Soal Armell mesra. Sungguh, wanita ini tampak lebih muda darinya. Rasa ingin tahu semakin membuak-buak bila melihat wajah manis Ain.

"Sembilan belas." Jawab wanita itu tanpa segan-silu.

Hampir terjatuh ke tanah rahang Armell saat mendengar jawapannya. Rupanya sangkaannya benar. Memang jauh lebih muda!

"Wow! I'm impressed! Congratulations to both of you."

Ain sengih lebar. Namun sengihan itu nampak seperti ada sesuatu yang tidak kena. Macam tak ikhlas. Paling mengejutkannya ialah bila matanya menangkap pergerakan mata Ain yang mencerlung tajam ke arah suaminya. Apa yang dia sedang lihat sekarang ni? Takkan kahwin paksa? Getus hati Armell.

Sungguh. Ain dengan Edryan kelihatan seolah tidak bahagia dengan perkahwinan mereka. Jika orang lain pun cuba menganalisis tingkah mereka dengan teliti, pasti mereka juga akan mengklasifikasikan yang sama.

"Eh korang dah makan ke belum ni? Pergi lah makan dulu." Edryan menyoal.

"Pengantin, dah makan ke belum?" Soalan dibalas soalan. Hayy Mikael senyum lebar.

"Dah makan dah tadi. Kalau kau datang awal sikit tadi mesti boleh join kami semeja. Kan sayang?"

Ain kelihatan sedikit tersentak sebelum tergelak kecil dan mengangguk.

"Eh nanti makan tu. Aku banyak lagi kerja ni. Layan diri eh. Cau!" Bahu Hayy Mikael ditepuk sekali sebelum Edryan mengatur langkah ke arah tetamu yang datang.

Baru sahaja mereka berdua ingin melangkah, tiba-tiba ada suara menegur membuatkan langkah kedua-duanya terhenti.

"Awak!"

"Awak datang jugak eh?" Soalan itu diutarakan kepada Hayy Mikael.

Armell diam. Diperhati saja tingkah gadis itu yang tersenyum mesra kepada suaminya.

"Awak..." Belum sempat Hayy Mikael menghabiskan ayat, gadis itu laju memotong.

"Saya kawan Ain. Tak sangkakan kita jumpa sekali lagi." Gadis itu tersenyum riang.

Jumpa sekali lagi? Maksudnya selama ini dah pernah berjumpa ke? Terus tak teratur nafas seorang Armell dibuatnya. Siapa pula budak perempuan ni?

"Oh ye ke? Armell, kenalkan Raisha. Abang pernah terserempak dengan dia dulu." Hayy Mikael senyum segaris.

"Oh Raisha. Saya Armell..." Belum sempat Armell menghabiskan ayat, sekali lagi Raisha menjadi pemotong suka rela.

"Adik Hayy ke? Patutlah abangnya segak bergaya. Adik dia cantik sangat rupanya. Hai akak, saya Raisha." Raisha hulur tangan.

Adik, abah dia! Aku isteri Hayy. Kenapa dia ni binawe sangat?

Separuh ikhlas Armell menyambut huluran itu.

"Awak dah makan ke belum? Kalau belum, jom! Saya temankan awak makan." Tidak semena lengan Hayy Mikael dipeluk.

Membulat mata Armell melihat aksi tak terduga itu. Panas terbakar hatinya. Ada yang makan gucci dengan prada dia kejap lagi kang! Berani kau sentuh suami aku.

"Ehh, takpe... Nanti saya boleh pergi sendiri. Okay?" Tolak Hayy Mikael lembut seraya meleraikan genggaman tangan gadis itu dilengannya.

Armell kerling suaminya. Lembut betul menolak. Kalau dia, rasanya dah cium lantai dah minah ni. Siap berpeluk lengan. Pelangkung periuk gulai kenduri ni baru kau kenal erti penyesalan. Dasar mangkuk ayunan buaian betul.

"Alaaa, jom lah. Bukan selalu pun kan." Rengeknya manja sambil tangan memaut lengan kekar itu kembali.

"He said no. So the answer will always be no!" Terus tangan Hayy Mikael ditarik ke dalam genggamannya. Digenggam seerat mungkin.

Tersentak gadis itu dibuatnya.

"Apa kau cakap tadi? Bukan selalu kan? Ya betul memang bukan selalu, dan tak akan terjadinya selalu sebab walau 'sekali' pun aku takkan izinkan kau sentuh suami aku." Ujar Armell keras. Perkataan sekali sengaja ditekankan.

Kalau tak mengenangkan majlis orang, dah lama budak Raisha ni makan pelempang dia. Tapi dia tak ada lah sampai nak merosakkan majlis orang semata-mata nak bergaduh dengan budak mentah macam tu. Buang masa. Bazir tenaga.

"Sayang... Dia tak tau." Bisik Hayy Mikael lembut. Cuba menenangkan hati isterinya.

"Abang, sebab dia tak tau lah Mell bagitahu ni." Balas Armell sedikit kuat sengaja ingin gadis itu dengar.

"Kenapa ni?" Muncul Ain di tengah-tengah ketegangan itu. Matanya kalih memandang rakannya. "Raisha, kau buat apa ni?"

Armell menarik nafas dan mengukir senyuman semanis yang boleh.

"Ain, ini kawan awak kan? Kawan awak ni cuba nak mengorat suami saya. Awak tolong bagitau dia, tolong jangan ganggu lagi suami saya kalau tak nak tengok saya mengamuk. Nanti dia jugak yang susah tau. Faham?" Bicaranya lembut.

Pap!

Satu pukulan hinggap di lengan Raisha.

"Kau buat apa ni?! Hayy ni dah kahwin. Jangan nak menggatal boleh tak? Kalau kau gatal sangat, kau kahwin aje lah dengan Ed sengal tu! Tak hingin pun aku. Sesuai la korang berdua. Sorang sengal, sorang lagi miang. Dah, jom!" Bebel Ain lantas menarik tangan Raisha menjauhi suami isteri itu.

Makin keliru Armell dibuatnya. Ed sengal?

"Abang, Edryan dengan Ain tu kahwin paksa rela ke?" Akhirnya terpacul juga soalan yang sedari tadi bermain di mindanya.

"Kenapa pulak paksa? Mell ingat ni zaman bila nak kahwin-kahwin paksa? Dah lapuk la."

Armell diam seketika. Bila teringatkan tentang tadi, darahnya kembali mendidih.

"Mell nak balik." Putusnya lalu melangkah laju keluar dari halaman rumah banglo dua tingkat itu.

"Mell! Sayang..." Panggil Hayy Mikael. Tangan isterinya digenggam perlahan.

"Jangan lah macam ni, makan lah dulu kalau ya pun."

"Hilang lah mood nak makan kalau ada yang berkenan dengan suami kita. Sakit hati ni tau tak? Abang suka lah kan dia peluk-peluk macam tu?" Armell naik angin. Geram bila melihat  Hayy Mikael berlembut dengan gadis mentah itu.

"Astaghfirullahalazim sayang,  jangan lah fikir sampai ke situ. Mell sendiri nampak tadikan dia yang tarik tangan abang. Bukannya abang pergi hulur tangan suruh dia peluk pun."

Armell mendengus kasar. "Lain kali bagitahu lah dia awal-awal yang Mell ni isteri abang. Kenapa? Suka sangat jadi perhatian perempuan?"

Hayy Mikael menghela nafas perlahan. Kedua-dua tangan isterinya digenggam erat. "Okay I'm sorry. Abang minta maaf okay?"

Tangan suaminya ditepis kasar. Gigi diketap menahan geram. Masih terlayar lagi di matanya saat melihat Raisha memeluk lengan Hayy Mikael. Sakit! Rasa nak sepak aje muka Raisha yang tak berapa nak siap tu.

"Mell nak balik."

"Jangan lah macam ni Mell, ni majlis kawan abang. Kita makan sikit je, sekejap je. Lepas tu terus balik, okay?" Pujuk Hayy Mikael.

"Abang saja kan? Ye lah, memang makan sekejap je, tapi sambil tengah abang makan tu, ada yang memerhati dari jauh. Mell tak suka."

Hayy Mikael tertawa lucu. "Sayang, abang tak boleh nak tutup mata orang. Dia nak pandang, biar lah dia pandang. Yang penting abang pandang isteri abang sorang je."

"Tapi Mell tetap tak suka."

"Alah dulu lagi ramai tau orang minat abang. Siap dapat gelaran duda terhangat di pasaran lagi. Ramai yang kejar abang. Tapi masa tu abang kejar Mell sorang je. Cuma Mell aje yang tak pandang abang."

Armell menjeling geram. Makin sakit hatinya mendengar. "Dah tu pergi lah kejar dorang balik! Buat apa kejar Mell!"

Hayy Mikael bercekak pinggang. "Nanti kejar, takut Mell mengamuk. Kena peluk pun dah hampir mengamuk, macam mana agaknya kalau abang peluk dia balik. Tak jadi orang dah Mell nanti abang rasa." Sempat Hayy Mikael bergurau.

Buk !

Hinggap satu tumbukan di dada bidang milik Hayy Mikael. Terbatuk kecil lelaki itu dibuatnya.

"Itu makan dia." Gumamnya perlahan. Sakit hati. Tak Raisha kena ganyang, suaminya dulu yang dia ganyang nanti.

Hayy Mikael ketawa besar. "Gangster betul la isteri abang ni. Dari mula abang kenal Mell, sampai lah sekarang, abang asyik kena pukul je."

Armell kekal dengan muka tegangnya. Tidak terusik langsung dengan gurauan Hayy Mikael. Dia tiada masa untuk bergurau.

Melihat muka tegang Armell itu, Hayy Mikael  redakan tawa. "Okay, okay... kita balik okay? Jom." Hayy Mikael melangkah dulu ke hadapan.

Armell ketap gigi. Perlahan kakinya menyusuli langkah suaminya yang ingin menyeberangi jalan.

Tiba-tiba bunyi hon yang agak kuat dan panjang membuatkan Armell menoleh ke arah bunyi itu. Bulat matanya saat melihat sebuah kereta jenis Proton Persona meluncur laju ke arah Hayy Mikael. Tindakan spontan, terus lengan Hayy Mikael ditarik sekuat hati.

Dan kedua-keduanya jatuh terduduk.

Armell diam seketika. Dadanya yang terasa sakit dipegang. Sungguh, sakit jantung rasanya melihat nyawa suaminya yang hampir saja melayang tadi. Kalau lah dia lambat walau sesaat... Tak dapat dia bayangkan.

Mata dipejam rapat. Tanpa sedar, air matanya mengalir perlahan. Nafasnya yang tidak teratur jelas kedengaran Hayy Mikael.

"Mell? Are you okay?" Soal Hayy Mikael perlahan namun kedengaran sungguh cemas. Risau melihat Armell begitu.

"Mell, open your eyes. Kenapa menangis?"

"Abang ni dah kenapa?!" Akhirnya meletus juga esakan kecilnya. Dada suaminya ditolak.

Hayy Mikael terkedu.

"Jangan lah buat macam tu lagi! Mell sayangkan abang. Tolong jangan buat macam tu lagi. Mell tak nak benda yang jadi dalam mimpi jadi kenyataan. Jangan sesekali pun! Tolong lah..." Baju suaminya ditarik dan wajahnya disembamkan ke dada bidang milik Hayy Mikael.

Dapat dia rasa tubuh Armell yang menggigil.

"Sorry, abang tak nampak. Bangun, Mell."

Bahu isterinya diusap berkali-kali sebelum mereka kembali berdiri tegak.

Lengannya masih erat di dalam pelukan Armell.

"Jangan tinggalkan Mell lagi macam tadi. Abang tinggalkan Mell. Tadi abang jalan dulu, tak tunggu Mell." Adunya dengan esakan yang masih bersisa.

"Shhh... Dah lah, abang tak ada apa-apa pun ni. Abang ada dengan Mell ni ha. Stop crying."

Selesai menyeberangi jalan, sampai ke pintu kereta Hayy Mikael menghantar isterinya. Sehinggalah Armell selamat berada di dalam perut kereta.

Armell lap air mata dengan belakang tapak tangan. Hayy Mikael yang sedang fokus memandu di sebelah diperhati.

"Kenapa tengok abang macam tu? Nak abang peluk lagi?" Hayy Mikael bergurau.

Tangan Armell bergerak menapak ke atas peha suaminya. Dan tangannya berhenti di situ. "Mell sayangkan abang tau?"

"Ya, abang tau." Jawab Hayy Mikael tanpa menoleh. Perhatiannya masih diberi sepenuhnya ke hadapan.

"Abang, pandang lah Mell ni."

Hayy Mikael menoleh sekilas sebelum diberi perhatian semula ke hadapan. "Ye, abang tengah drive ni sayang."

"Abang!" Peha suaminya digosok perlahan.

"Ya Allah Mell, apanya?"

Armell diam.

"Abang marah Mell ke?" Soalnya perlahan. Suaranya kedengaran jauh sahaja.

"No, abang tak marah. Just, behave. Jangan goda abang. Kita dalam kereta ni."

Armell kerut dahi. Celah mananya dia menggoda pula? Suruh pandang pun kena cap goda jugak ke?

"Bila pulak Mell goda abangnya?"

Hayy Mikael buat rolling eyes. Perlahan tangan kirinya bergerak mengalihkan tangan Armell menjauh dari pehanya.

"Bagi abang drive dulu."

Armell terdiam. Terasa kian membahang wajahnya. Malu entah tahap petala ke berapa. Dan suasana bertukar sunyi sepi.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Farisya