Home Novel Thriller/Aksi SMACK O
Bab 11

Reno dapat merasakan sinar mata Sofea secara sembunyi menjilat wajahnya, ketika dia lagi menikmati sarapan. Dia yang sedang leka tertumpu pada apa yang terhidang, 'French toast', anak mata diangkat perlahan.

Ditangkap anak mata Sofea yang sedang merenungnya.

Terkesima Sofea! Tidak sedar dan menyangka pandangan Reno tiba-tiba akan datang menyambar.

Anak mata mereka bersatu. Saling bertaut. Sinar mata Sofea yang bagaikan sedang berkata-kata, renungan itu diamati Reno. Sofea membiarkan, malah ditajamkan lagi tusukan sinar matanya.

"Kenapa dengan you?" tanya Reno. Senyuman kecil merangkak di bibir. Senyuman yang jelas dapat merebahkan jiwa lawan jenis.

"Apanya yang kenapa dengan I?"

"Maksud I, kenapa you tengok I macam tu?"

"Kenapa, tak boleh?" tanya Sofea sambil membesarkan mata. Kening diangkat, mencari penjelasan.

"Bukan I cakap tak boleh. Cuma I rasa pelik," jelas Reno. French toast kembali dilapah sambil menanti penjelasan Sofea.

Sofea tersenyum. Kopi di atas meja dicapai. Bersebibir dengan cawan kopi itu, mata sambil meramas wajah Reno. Diamati, diteliti garis-garis di wajah tampan itu. Wajah yang sudah lama dalam diam dipujanya.

"Sebab you ganteng," lirih Sofea jujur sambil meletak kembali cawan itu di atas meja. "I suka tengok muka you. Lebih-lebih lagi bila you senyum."

Reno memberhentikan apa yang sedang dinikmati. Tersenyum, memiringkan muka memandang Sofea. Agak lama juga sambil mengunyah dengan mulut rapat tertutup. Bibirnya yang berlekuk cantik, birat di sebabkan kuat merokok, mata Sofea jatuh di situ.

"Ganteng ke I ni pada You?" Reno tenang mengundang jawapan.

Sofea menjulang keningnya. Mata bersinar. Perlahan mengangguk menyetujui.

"Ya. Ganteng dan menarik! Itu I tak boleh nafikan. Siapa-siapa pun tak boleh nafikan. Tengok hidung you yang mancung aja hati dah boleh cair."

Lebar senyuman Sofea layangkan. Mata terus sahaja merayap, merenung, mencumbui wajah tampan di hadapannya.

Reno senyum, lalu membuka mulut. "Tapi malang, apa yang I ada, you dan semua ada, masa perlahan akan ratah. Tak kekal ni semua. Sementara aja. Perlahan akan hilang ditelan masa. Tak ada apa yang nak dibanggakan. Bila-bila saja Allah boleh tarik balik."

Membuat muka mengejek, wanita yang berambut 'Bob' dan diperangkan, sinis sinar mata Reno menikam.

Sofea gelak kecil, terasa lucu melihat gelagat yang dipamerkan Reno. Matanya bulat-bulat menelan jejaka yang dipuja itu.

"Buat pengetahuan you," suara Reno lagi, "I dah muak dengar ni semua. Puji-memuji ni semua pada I, macam dengar radio aja. Tak membawa apa-apa kesan sama sekali."

Reno, rona wajah tenang setenang air di kolam. Sama sekali tidak memperlihatkan apa-apa riak dengan pujian yang baharu dilontarkan Sofea.

"I bukan puji you, tapi I cakap yang benar. Bukan saja-saja nak angkat you. Faham?"

"I faham. Lebih dari faham kalau you nak tahu. I bukan budak baru lahir semalam. Itu you tentu tahu. Betul tak?" balas Reno.

"Apa yang you faham? Apanya yang you tahu? Cuba you beritahu I."

Reno menggeleng. Napkin di atas meja dicapai. Mengesat mulutnya, kopi hangat itu dihirup sedikit. Dipandang Sofea lurus-lurus sebaik mengembalikan kopi itu di atas meja. Pertanyaan Sofea, dirasakan, tidak ubah seperti mencabarnya.

"Apa maksud you panggil I ke sini sarapan dengan you?"

Pertanyaan Sofea dijawab Reno dengan pertanyaan. Ringkas dan padat! Suara garaunya yang menyerlahkan kejantanannya, kedengaran tegas.

"Kenapa? Tak boleh?"

"Bukan tak boleh. I tak cakap gitu. Cuma... pasti ada sebab tertentu you ajak I ke sini sarapan dengan you. Betul tak?"

"Sebabnya, I nak beritahu you tentang 'customer' dari Singapura tu. Itu sebab I panggil you ke sini. Sambil makan kita sambil berbincang!" Sofea, suara sedikit meninggi. Diri berasa tidak senang tujuannya diselidik dan dipertikai.

Kopi itu dihirup Reno sekali lagi. Menyandar, wajah Sofea yang sudah agak tegang ditatap. Dilayangkan senyuman. Sofea memaling, tidak membalas senyuman itu. Pura-pura tidak nampak.

"Kalau you cakap itu tujuan you yang sebenar, esok hari Isnin you tak boleh beritahu I dekat pejabat? Tak boleh? Tentu-tentu kita akan jumpa esok kan?"

Sofea kembali menatap Reno. Tersentap! Anak mata mereka terus sahaja berlaga. Bergelut. Sinar mata, saling tikam-menikam. Saling hunus-menghunus!

"Bukan tak boleh. Tapi... "

"Tapi apa?" Pantas Reno memotong. Seperti sahaja sudah tidak sabar mahu mengishytiharkan kemenangan. Dia yakin, apa yang diyakininya itu benar. Itu sebabnya dia tidak keberatan mengajak Sofea bersilat lidah.

"Okey! Kalau you rasa itu bukan tujuan I yang sebenar, habis apa? Apa yang you ingat? Cuba you beritahu I!"

Begitu Reno mendekatkan telunjuk ke bibirnya yang dimuncungkan. Sebentar mata mengitari ruang cafe itu. Takut kalau-kalau suara Sofea yang ditinggikannya, telah menarik perhatian pengunjung.

Tetapi kelihatan, semua sedang sibuk tenggelam dengan dunia masing-masing. Sedang hanyut menikmati hidangan masing-masing. Suasana cafe itu seperti biasa. Tenang, aman dan nyaman dengan lagu klasik mengiringi.

Dikalihkan pandangan ke arah Sofea yang tampak sudah bersedia untuk terus bertarung. Reno menghela nafas panjang, mempersiapkan diri untuk menyerang. Mempersiapkan diri untuk menumbangkan lawan dengan kecerdikan akalnya.

"You tahu tak... " lirih Reno.

"Tahu apa?" Kali ini, Sofea pula pantas memotong. Rona wajah sudah memerah.

"Terus terang cakap, I suka tengok bila you marah."

"Suka tengok I marah?" Sofea memajukan wajah. Rasa pelik dengan apa yang baru didengar. "Kenapa pulak? You ni betul ke tak betul?"

"Untuk apa I nak bohong? Apa yang I dapat kalau bohong?" Reno mengangkat bahu. Mata setajam lembing turus-turus menghunjam ke wajah Sofea.

"Kenapa pulak? Peliklah you ni," kening Sofea bersatu.

Sebentar Reno mengunci mulutnya. Sebentar sepi dibiarkan menyapa. Memiringkan muka memandang Sofea, Reno mengenyit mata. Bibir mengukir senyuman manis yang termanis buat Sofea.

Mengerutkan hidungnya, menjeling tajam, Sofea membuang muka.

"Sebab..." Reno membuka mulut, "bila you marah, you nampak semakin cantik. Itu sebab I suka tengok."

Pantas Sofea kembali memandang Reno. Begitu ketawanya pecah. Berderai tanpa dipaksa, dan dengan pantas ditutup mulutnya dengan kedua belah tangan. Takut deraian ketawanya yang tiba-tiba itu akan menggangu pengunjung yang ada.

Reno tersenyum. Mencapai cawan kopinya, dijulang di hadapan wajah Sofea. Diteguk sedikit, menggeleng puas, cawan itu kemas-kemas dikembalikan ke meja. Reno menyandar. Wajah tenang. Mata Sofea yang berbinar, direnung. Memukau renungannya!

"You ni ada-ada je. Pandai aja reka cerita," balas Sofea dengan ketawa masih bersisa. Suara dimanja-manjakan.

"Kalau tak kerana terpaksa, I tak kan cakap," jawab Reno. Kening diangkat. Bibir dicebir sambil mengemaskan duduknya. "Sebab, apa yang I cakap, I tahu you tak kan pernah mahu percaya."

"Yalah tu. Ada-ada aja you ni," makin menjadi Sofea memanja-manjakan diri.

Reno perlahan mengangkat anak matanya. Renungan tajam merenung Sofea yang sudah jauh terbuai. Hanyut tenggelam dibawa arus kata-kata hikmah. Sedar, kemenangan sudah pun berpihak pada dirinya. Sedar, Sofea tidak sukar hendak ditawan. Sedar, Sofea akan sentiasa berada di bawah telunjuknya.

"Jangan lupa apa yang I nak tu," pesan Reno dengan nada senda sambil mengitari ruang cafe yang sudah semakin lengang.

Sofea mengangguk akur. Memberi jaminan apa yang diinginkan Reno, akan dilaksanakannya.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.