Home Novel Thriller/Aksi SMACK O
Bab 20

"Kau nak pendekkan ini cerita atau panjangkan? Aku kasi kau pilih!"

Kata-kata itu, keras dan kasar menyambar Azlan sebaik mereka bertentang mata. Menampar tepat di muka.

Bersemuka di satu sudut agak sunyi di tempat Azlan bekerja, jauh dari orang ramai, Azlan sama sekali tidak menyangka perempuan yang tempoh hari keretanya dicalar, boleh bersikap seperti seorang samseng. Sedangkan, dia telah pun meminta maaf atas kesilapannya itu.

Gaya perempuan itu, merenung seperti seekor singa betina sedang kelaparan. Garang! Namun perempuan itu tidak dinafikan memang menawan dan menggoda. Dia yang sedang berdiri menghadap Azlan, mengenakan 'Sun dress' berwarna merah bercorak bunga-bunga, ketinggiannya menyerlah seperti seorang peragawati. Atas bawah Azlan pandang.

"Mat... jangan sampai apa yang berlaku, engkau tak kan lupa sampai bila-bila. Jangan sampai kau menyesal belakang hari nanti! Ini aku ingatkan kau!"

Sambung perempuan muda itu lagi tanpa teragak-agak. Berkata sambil telunjuk kanan diarahkan dekat ke muka Azlan. Keras memberi amaran! Wajah yang sengaja dibengiskan, memberi isyarat, dia tidak bersenda.

Azlan jadi cuak. Entah kenapa. Seluruh badannya serta-merta terasa seram-sejuk. Dapat dihidu dengan jelas bau-bau ancaman pada kata-kata perempuan itu. Tetapi kenapa dia harus diancam dengan sebegitu rupa?

"Errr... apa maksud awak cakap gini? Apa maksud awak tiba-tiba ancam saya? Awak dah kenapa ni?."

"Apa kau cakap? Apa kau cakap! Cuba kau cakap kuat sikit biar aku dengar! Kau cakap sekarang!"

Perempuan itu yang raut wajahnya tampak seperti orang Jepun, tiba-tiba suaranya meninggi. Matanya yang sepet, dijegil. Melekat tajam sinar matanya di muka Azlan.

Dalam dan panjang Azlan menghela nafas. Berserabut! Benar-benar berserabut Azlan di saat itu. Dia tidak tahu mahu marah atau apa diherdik dengan sebegitu rupa.

Berdiam, perempuan itu diamati lurus-lurus. Bau harum minyak wangi yang pastinya berjenama, terasa begitu dekat dengan lubang hidungnya. Menyengat!

Begitu juga aksessori yang menghiasi dirinya, anting-anting berbentuk bulat besar, cincin serta gelang dan rantai panjang jatuh di dada, kesemuanya tampak berjenama. Berkilau dipancar sinar mentari. Dompet Gucci yang erat digenggam, memberitahu Azlan dia ini memang seorang yang berpunya. Kelas atasan!

"Apa kau cakap dengan manager kau? Kau tak nak bayar ganti-rugi yang aku mintak?" kata perempuan itu lagi yang berambut 'Bob' dan keperangan.

"Maksud awak... duit yang saya calarkan kereta awak tu? Itu... yang awak kira saya hutang? Gitu?"

Azlan bertanya sambil mata sempat melirik aksesori perempuan itu. Teringat isterinya. Terbayang jika dia yang memakai itu semua. Pasti isterinya akan tampak secantik perempuan itu, atau mungkin lebih cantik.

Berkeluh Azlan di dalam hati. Sedar, dia tidak akan mampu mengadakan itu semua buat isteri tersayang. Sedar, itu hanya akan wujud di dalam mimpi dan khayalannya sahaja. Mengesat peluh yang merintik di mukanya, perempuan itu kembali dipandang.

"Jadi, kau betul-betul tak mahu bayar? Kau dah fikir masak-masak? Tak menyesal?" tanya perempuan itu lagi. Bergerak maju mendekati Azlan. Azlan, mengundur sedikit ke belakang.

"Awak ni sebenarnya siapa nak cakap macam gini dengan saya? Kira-kira awak ni siapa nak ancam saya? Awak cuba cakap!" melihatkan aksi perempuan itu yang dikiranya sudah melampaui batas, Azlan jadi marah. Diri terasa dicabar. Hilang sudah rasa cuaknya.

"Siapa aku? Kau tanya, siapa aku?"

Perempuan itu tiba-tiba tergelak. Kuat menggema di telinga Azlan. Sehingga melambung kepalanya ke belakang dia ketawa. Berhenti seketika kemudian, mencekak pinggang, Azlan direnung lagi.

Raut wajah perempuan itu serta-merta berubah. Anak mata mengecil. Tajam merenung. Menusuk! Layaknya, sikapnya di saat itu, tidak ubah seperti mahu membaham Azlan di situ juga.

"Hey, mat! Kau tanya, aku siapa? Kau betul nak tahu aku siapa? Betul? Kau dah bersiap-sedia? Sudah?"

Melihatkan sikap perempuan itu senada dengan apa yang dikatakannya, hati Azlan berubah rasa. Jadi tidak enak! Dapat dia merasakan ancaman perempuan itu bukan main-main, tetapi sesuatu yang dia harus ambil kira. Harus dia mengambilnya secara serius!

"Tapi... " dengan berat Azlan membuka mulut.

"Tapi?" Azlan yang belum lagi habis berbicara, pantas perempuan itu memintas. "Tak ada tapi-tapi sini. Senang cakap, engkau nak pendekkan cerita boleh. Engkau nak panjangkan cerita pun boleh. Mana-mana pun boleh. Terserah pada kau. Faham? Aku sikit pun tak ada masalah!"

Terpana! Terkesima Azlan mendengarnya. Kata-kata yang dihamburkan, sama sekali tidak mencerminkan paras rupa. Jauh berseberangan!. Kata-katanya jelas mengkhianati penampilannya. Bukan sahaja kata-kata itu bernada amaran serta berbau ancaman, malah dilempar ke arah Azlan dengan begitu sekali keras dan angkuh.

Dari pemerhatian Azlan, rona wajah perempuan itu yang kelihatan sombong serta kata-katanya yang penuh dengan keyakinan diri, memberitahu Azlan secara tidak langsung, dia ini bukanlah sebarangan orang. Bukan calang-calang orang!

Azlan yakin, pasti berdiri di belakangnya, mengelilinginya, adalah orang-orang yang mampu meletakkan dia di dalam bahaya. Mungkin bukan sahaja dirinya, malah keluarganya juga. Azlan dapat menghidu itu semua.

"Okeylah," Azlan akhirnya mengalah. Berkata seperti memaksa diri dan tidak rela. "Saya mahu pendekkan cerita. Saya tak mahu panjang-panjangkan dan buat kepala saya berserabut. Saya akan bayar. Tapi... saya mohon awak dengar dulu apa yang saya nak cakap."

"Okey, cakap aja. Aku dengar. Cepat!" Perempuan itu melengking.

Sinar mata Azlan menguncup. Terpaku. Kaki serta tangan seperti diikat tidak dapat bertindak dan melakukan apa-apa. Perempuan itu yang bagaikan sudah bersiap mahu menerkam dirinya pada bila-bila masa, entah kenapa membuat dia berasa gementar. Jantungnya berdegup kencang. Berdebar-debar. Lagaknya, walau apa pun sekali terjadi, perempuan itu pasti tidak akan melepaskan dia pergi dengan begitu sahaja.

"Saya sebenarnya bukan tak nak bayar. Tapi buat masa ini... saya betul-betul dalam kesempitan. Saya banyak masalah. Memang banyak masalah. Saya banyak hutang sebenarnya kalau awak nak tahu. Jadi... dengan gaji saya yang tak seberapa, nak bayar hutang sana-sini, mungkin saya boleh bayar duit awak secara beransur. Sikit-sikit saya bayar sampai habis. Harap awak faham, anak-isteri saya pun perlukan makan-minum."

Azlan menunduk. Berasa malu di hujung bicara. Malu merasakan dia adalah seorang lelaki yang gagal. Terbayang wajah anak-isteri. Terbayang masalah yang kian bertambah, akan turut dirasakan mereka juga. Akan turut mereka tanggung beban yang semakin menggunung di pundaknya. Mengenangkan itu semua, basah hati Azlan.

"Azlan... "

Tiba-tiba Azlan terdengar namanya dipanggil. Diangkat mukanya secepat kilat. Terkesima! Seperti tidak percaya apa yang sedang disaksikannya ketika itu.

Perempuan itu tadi yang berwajah seekor singa, kini sedang menatapnya dengan pandangan selembut sutera. Bilah-bilah sinar matanya mesra membelai. Azlan jadi hairan dengan perubahan sikapnya yang tiba-tiba.

"Macam mana awak boleh tahu nama saya?" tanya Azlan. Kening dalam melengkung memerhati perempuan itu yang sedang tersenyum. Sungguh manis senyumannya.

"Saya, Sofea," beritahu perempuan itu sambil menghulur tangan. 

"Saya mintak maaf kalau tadi saya ada berkasar dengan awak. Harap awak dapat maafkan saya."

"Maaf, tangan saya kotor," Azlan memberi alasan, menolak untuk bersalaman. 

"Jom, kita kena teh sekejap sambil berbual," pelawa Sofea ramah.

"Errr... maaf, bukan saya tak nak. Tapi saya ni sedang waktu bekerja."

 "Jangan takut. Saya akan call manager awak beritahu saya ajak awak minum. Jom. Ada hal penting yang saya nak cakap." 

"Ada hal penting?" Azlan memincingkan mata.

Tersenyum manis, Sofea mengangguk.

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.