Home Novel Thriller/Aksi SMACK O
Bab 3

"Hensem ke mamat tu? Atau kau seorang aja yang tengok dia hensem? Menyampah!"

Keharuman kopi-O segar memenuhi ruang sebaik Anna menuangnya ke dalam cawan. Anna senyum lebar. Kata-kata yang baharu sahaja dilontarkan sahabatnya itu, kedengaran lucu. Bibir dicebir sambil menggeleng. Mengejek sahabatnya.

Wajah teruja Sofea, Anna lirik sambil menghulurkan kopi buatnya. Sahabat yang sudah bersiap hendak ke kerja, seperti biasa kelihatan anggun dan menarik. Hati Anna berasa senang dapat bersarapan bersama sambil bersenda. Pagi yang cerah itu terasa ceria.

"Hensem ke tak?" jawab Anna dengan gelak kecil. Gelak sinis. "Senang kata, aku yakin engkau pun boleh terpikat bila tengok dia. Hati kau pun boleh cairlah, beb! Memang hensem sangat-sangat. Aura jantannya, perghhh... tak boleh angkat."

"Uwekkk! Macam nak muntah pulak aku dengar. Loya tekak aku tetiba. Eeeee!" usik Sofea juga sambil buat muka. Roti di atas meja dicapai. Menyapunya dengan jem limau tanpa menghiraukan Anna yang kian galak ketawa.

Anna, anak kelahiran Kelantan. Mengenali Sofea tujuh bulan lalu ketika sama-sama berlibur di Pulau Tioman. Menginap di tempat yang sama ketika di sana, di Kampung Salang, salah sebuah kampung kecil yang terdapat di pulau itu.

Selama hampir seminggu berada di sana, peluang terbuka untuk saling mengenali jauh lebih dalam tentang diri masing-masing. Keakraban dengan sendirinya wujud tanpa disedar.

Akhirnya, Sofea anak jati Terengganu yang menginap sendirian di sebuah apartment di Stulang Laut, mengajak Anna menginap bersamanya apabila dia memutuskan hendak bekerja di Johor Bahru. Peluang keemasan itu, disambut Anna seperti orang mengantuk disorongkan bantal.

"Aku bukan mengada-adakan ceritalah! Memang dia tu hensem sangat. Kening tebal, dagu bujur, sinar mata galak. Senyumnya, mak oii! Boleh terbawak sampai ke mimpi, kau tahu tak. Manis sangat. Memang manis gila! Gula pun kalah!"

Anna gelak semakin kuat. Sengaja! Sengaja hendak membuat Sofea yang sudah tampak bengang, bertambah-tambah lagi bengangnya. Ruang makan, menggema dengan ketawanya. Memekakkan telinga Sofea.

"Engkau ni aku rasa dah terlalu banyak sangat baca novel cinta, jadi khayalan kau tu sampai terbawak-bawak ke alam nyata. Itulah sebabnya kau sejak kebelakang ni, aku nampak macam perempuan tak betul. Macam dah sewel gitu!"

"Sedapnya mulut kau cakap! Eh, aku bukan berkhayallah! Ini tak ada kena-mengena dengan novel cinta tahu tak! Memang apa yang aku cakap ni betul. Dia memang hensem dan menarik. Untuk apa aku nak bohong? Apa yang aku dapat?" cawan kopi yang sudah berada dekat dengan bibirnya, diteguk Anna. Mata tidak lepas memandang Sofea yang kelihatan sudah tidak puas hati.

"Biasalah tu! Bila hati dah suka, asam Jawa pun rasa macam cokelat! Tunggulah nanti bila dah benci. Itulah. Inilah. Ada ajalah masa tu nanti yang tak kena! Ex memang hensem pun kata tak hensem. Benci aku!" dengan roti penuh di mulut, Sofea sinis membebel sambil menjeling.

"Itu terpulang pada kau nak percaya atau tak. Engkau tanya, aku jawab. Dan apa yang aku cakap ni, bukan saja nak ada-adakan cerita. Semua adalah benar dan kenyataan!"

"Habis, ni kira dah saling jatuh cinta menggilalah? Konon-konon gitulah, ye?" terhenti di pertengahan kopi yang diangkat Sofea. Sinar mata setajam keris dihunus ke arah Anna.

"Taklah macam tu. Dia pun tak adalah selama ni pernah cakap yang dia cintakan aku. Tapi sejauh ni aku tengok, dia begitu mesra dan ambil berat sangat tentang aku. Manis-manis manja gitu dia layan aku."

Sofea yang duduk menghadap memandang Anna, Anna mengerdip-ngerdipkan mata seperti anak patung kuasa bateri. Sengaja mahu membakar hati sahabatnya itu ke tahap rentung jika boleh.

"Habis, sukalah tu?" Sofea jegilkan mata. "Eh, mestilah suka! Perempuan mana yang tak suka bila jenis lelaki idamannya suka dengan dia. Betul tak?"

"Lelaki idaman konon. Menyampah aku dengar! Nak muntah!" Sofea jeling lagi sambil buat muka mengejek. Muka menyampah dipertontonkan.

Pantas Anna menutup mulut cuba menahan gelak. Jika tidak, roti yang sedang dikunyah pasti sudah tersembur keluar.

Seketika sepi diberi ruang mengambil tempat. Sambil menikmati sarapan yang terhidang, masing-masing melayani perasaan sendiri.

"Eh, Sofea... " panggil Anna tidak lama kemudian. "Bila engkau tu cuti lagi? Maksud aku cuti panjang." "Kenapa?" tanya Sofea. Kopi di tangan perlahan dikembalikan ke atas meja. Memandang Anna menantikan penjelasan.

"Kita pergi Tioman lagi nak?" mata Anna bersinar-sinar mencadang. Begitu beriya-iya dan bersemangat.

"Pergi Tioman lagi? Nak buat apa? Kan kita dah pernah pergi? Pergilah tempat lain. Kau ni pun!"

"Bukan apa! Kau ingat tak yang kita tengok dia orang selam? Macam best aja aku tengok."

"Jadi apa? Ke sana lagi cuma saja-saja nak tengok orang pergi selam? Gitu?" Sofea menarik muka. Cadangan Anna kedengaran seperti tidak masuk akal baginya.

"Bukan gitu maksud aku!"

"Habis apa?" belum sempat Anna menghabiskan penjelasan, Sofea memotong. Kening tinggi diangkat seperti mencabar mengajak Anna bergaduh.

"Kita ambik kursus selam nak?"

"Kursus selam? Engkau nak ambik kursus selam?" Anna mengangguk mengiyakan pertanyaan Sofea. "Engkau tu tahu berenang ke tak?"

"Berenang?" kening Anna bersatu. "Berenang memanglah aku tak pandai. Tapi aku bukan nak berenang. Aku nak menyelam!"

Begitu Sofea tergelak. Kuat! Telunjuk dituding ke arah Anna, seperti sahaja membalas dendam awal tadi dia diketawakannya. Besar dan lebar mulut terbuka, menggelakkan kebodohan Anna.

"Yang kau tu tiba-tiba ketawa, apa cerita? Apanya yang lawak?"

"Aku ketawa bukan kerana lawak! Tapi ketawa kerana kebodohan kau!" Sofea sambung gelak. Lebih kuat dari tadi.

"Apanya yang bodoh? Apa maksud kau cakap aku bodoh? Apa pasal pulak?"

Sofea menggeleng-geleng. Rona wajah memerah. Perlahan berusaha membebaskan dirinya dari terus ketawa. Tidak sampai hati melihat wajah Anna yang sudah terpinga.

Dicapai kopinya, diteguk sedikit membasahi tekak. Memandang Anna, menghela nafas, Sofea memberitahunya sesuatu yang selama ini dia tidak pernah tahu.

"Macam mana kau nak ambik kursus selam, kalau kau tak tahu berenang?"

"Kan aku dah cakap yang... " Anna memotong, tetapi dengan pantas pula dipotong Sofea.

"Dengar sini dulu!" tegas Sofea. Wajah sudah serius. "Untuk pengetahuan kau... kalau kau nak ambik kursus selam... syarat pertama dan utama, kau harus tahu berenang. Jadi macam mana kau nak ambik kursus selam kalau kau tak tahu berenang? Macam mana?"

"Macam mana kau tahu, berenang tu syarat utama jika nak menyelam? Ke kau saja yang memandai?"

"Macam mana aku tahu?" Sofea menjulang kening. Senyum sinis dilayangkan buat Anna. "Sebab... bisnis partner aku dia pun penyelam. Dari situ aku tahu. Bukan aku saja nak memandai buat cerita. Jika aku ni pun tahu berenang... memang dah lama pun aku menyelam. Buat pengetahuan kau juga... bisnis partner aku tu pun hensem gilalah. Kau pun boleh terpikat bila tengok dia. Silap hari bulan, mamat yang kau puja tu pun, habis kau akan tinggalkan!"

Sofea gelak lagi sambil melirik jam dinding di ruang makan itu. Sudah hampir ke pukul 9 pagi. Kopi yang bersisa dihabiskan.

'Syarat nak menyelam mesti tahu berenang? Betul ke?'

Penjelasan Sofea seperti satu tamparan tepat di muka Anna. Terdiam dia. Tidak terluah kata-kata yang sedang menggaung di hati. Hampa jelas kelihatan di wajahnya. Hampa keinginan mahu menyelam dengan yang dipuja, kini dia sedar ada tembok besar menghalang.

"Okeylah aku nak jalan dulu. Aku pun dah tak sabar nak tatap muka bisnis partner aku yang hensem gila tu. Aku rasa dia pun tengah tertunggu aku yang jelita dan anggun ni," bingkas, Sofea yang berpakaian suit hitam kesemuanya, dengan gelak memperagakan diri seperti seorang peragawati di hadapan Anna. Senang hati melihat sahabatnya yang sedang termangu.

"Jadi kalau kau beriya sangat nak menyelam, kau pergi belajar berenang dulu. Itu saja jalannya," beritahu Sofea lagi sebelum beredar ke pejabat.

Anna meluru ke kamarnya sebaik Sofea meninggalkan apartment mereka. Telefon bimbit yang terletak di meja solek, dicapai. Duduk di birai katil, dengan pantas jari-jemari menari mengirim SMS.

'Tuan, betul ke nak menyelam harus tahu berenang?' bunyi SMS yang dikirim Anna.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.