Home Novel Thriller/Aksi SMACK O
Bab 22

"Selamat tengah hari, tuan."

Reno memberhentikan langkah. Pantas menoleh. Pembersih baru pejabatnya, seorang perempuan yang sudah agak berusia sekitar setengah abad, tadi menyapa ketika dia berselisih jalan menuju ke pejabat, ditujukan pandangan.

"Mak cik... " panggil Reno. Lembut, ramah dan penuh hormat.

Namun suaranya yang agak menggaung, menarik perhatian semua kakitangan yang ada di meja masing-masing sedang tekun berkerja. Perempuan itu menoleh memandang Reno. Terhenti seketika nafasnya saat mata mereka berlaga.

"Tunggu sekejap," arah Reno.

Senyum manis dilayangkan ke arah orang tua itu yang tampak gelabah melihat Reno sedang mendekatinya. Wajah yang sudah agak berkedut, tetapi kelihatan masih sihat dan bertenaga, berubah memucat.

"Okey, awak orang semua boleh teruskan kerja masing-masing," arah Reno lagi sambil menepuk tangan apabila melihat semua kakitangan, mata tertuju ke arahnya. Seolah-olah seperti sahaja mereka sedang menonton sebuah drama.

"Mak cik, ikut ke pejabat saya sekejap."

"Ke pejabat tuan?"

"Saya. Ke pejabat saya."

"Tapi, tuan... saya baru saja dari pejabat tuan, bersih-bersihkan."

"Ye, saya tahu tu, cik. Tapi saya ada hal sikit nak cakap."

Mengangguk dengan berat, seberat langkah, orang tua itu mengekori Reno ke pejabatnya sendiri. Hati berdebar, menebak-nebak perkara apa yang Reno mahu bicarakan.

Ditarik kerusi di hadapan meja sebaik mereka berada di dalam pejabatnya. Dengan ramah Reno menjemput orang tua itu duduk sebelum dia sendiri duduk menghadap di kerusinya yang empuk.

Reno sebentar mengitari ruang pejabatnya yang agak luas juga. Reno senyum puas. Pejabatnya, tampak rapi dan kemas. Hawa pendingin, dinginnya terasa semakin menggigit. Pembersih itu dipandang.

"Nama mak cik ni, Zaleha? Betul?" Reno membuka mulut.

Orang tua itu perlahan mengangguk. Menunduk, tetapi mata diangkat merenung Reno curi-curi.

"Setahu saya, mak cik baru kerja di sini, kan?"

Orang tua itu mengangguk lagi dan berusaha mengelak dari bertembung pandang. Reno menempiaskan senyum kecil, melihat aksi orang tua itu yang seperti salah tingkah.

"Dah berapa lama?" Reno pura-pura tidak tahu. Sedangkan dia sendiri yang memecat pembersih lama seminggu lalu, kerana gagal menjalankan tugas dengan baik. Begitu juga dia yang ketika itu sedang sibuk, memutuskan, mengarah Sofea mengambil orang tua itu atas saranan Amru.

"Jika tak silap mak cik... hmm, ada dekat seminggu mak cik kerja di sini. Tapi, baru dua kali saya nampak tuan. Pertama kali nampak, tuan buru-buru keluar pejabat. Tak sempat pun nak menyapa."

Senyum, Reno mengangguk.

"Mak cik suka kerja di sini?" "Suka. Sejauh ni mak cik suka sangat. Semua pekerja sini baik-baik, termasuk tuan."

Menghela nafas, Reno menyandar. Orang tua itu yang sedang menunduk, wajahnya diamati. Lurus-lurus. Entah kenapa, di hati menjalar rasa simpati.

"Saya pun suka mak cik kerja di sini, dan jika boleh mahu mak cik kerja di sini selagi termampu... "

"Syukur alhamdulillah... " orang tua itu mencelah. "Terima kasih, tuan. Terima kasih banyak-banyak kerana sudi terima mak cik bekerja di sini. Moga Allah murahkan lagi rezekinya."

"Terima kasih doanya, mak cik. Cuma... mulai dari hari ini... " orang tua itu mengangkat muka memandang Reno. Apa yang ingin diberitahunya, kedengaran mencemaskan. "Saya tak mahu mak cik mulai dari sekarang panggil saya tuan lagi." ujar Reno tenang.

Suhu darah orang tua itu kembali menurun ke paras biasa mendengarkan penjelasan Reno. Nafas dalam-dalam dihela. Lega. Kiranya ada hal penting dan tidak baik mahu diberitahu Reno. Sangka orang tua itu pada awalnya.

"Kalau bukan panggil tuan, habis nak panggil apa? Bos?" tanya orang tua itu yang berasa agak pelik.

Reno tergelak mendengar balasan spontan orang tua itu. Dia menggeleng. Apa yang termuntah dari mulut orang tua itu sungguh mencuit hati. Membetulkan duduk, meluruskan badan, Reno merenung pekerja barunya itu.

"Panggil saya Reno aja."

"Reno? Panggil Reno aja? Itu... nama tuan ke?"

"Tak kan nama kucing pulak, kan?"

Dengan pantas orang tua itu menutup mulut cuba menahan ketawa. Jawapan Reno seperti menggeleteknya.

Melihatnya, Reno senyum memanjang. Diam memerhatikan tingkah orang tua itu yang keyakinan diri sudah pun mulai menanjak.

"Maksud mak cik bukan gitu. Maksud mak cik, tu nama betul tuan ke?"

"Mak cik panggil aja apa yang saya suruh. Selebihnya, biar saya saja yang tahu. Saya tak berkongsi dengan siapa-siapa tentang perkara peribadi. Maaf, cik."

"Eh, apa pulak minta maaf. Patut mak cik yang minta maaf pada... "

"Reno... " Reno menyambungkan. Mengangkat kening, anak mata dikalihkan saat terpandang Sofea tercongok di muka pintu pejabat melambainya.

"Okey, sekarang mak cik dah tahu pun nama saya. Mulai dari sekarang, saya tak mahu mak cik panggil saya tuan lagi. Saya nak mak cik panggil saya Reno saja. Boleh?"

Dengan mata bersinar, orang tua itu mengangguk. Senyumannya dibalas Reno mesra.

"Okey, mak cik pergi teruskan kerjanya. Ada apa-apa masalah, beritahu saya. Bila-bila masa saya akan dengar, dan cuba bantu."

"Terima kasih, errr... Reno. Terima kasih banyak-banyak."

Reno berdiri sebaik orang tua itu bingkas dan beredar. Senyumannya menemani orang tua itu hingga ke muka pintu, sebelum menjemput Sofea masuk ke pejabatnya.

Bertukar senyuman dengan orang tua itu, Sofea menyusun langkah. Tusukan sinar mata memandang Reno bagaikan sahaja mengirim cinta. Meluahkan tanpa suara bagaikan sekuntum mawar yang membicarakan cinta dengan bahasanya.

Pandangan itu, disambut Reno tenang sambil menjemput Sofea duduk. Seolah-olah dia tidak melihat apa-apa.

"I dah dapat pekerja untuk kiriman ke Singapura," Sofea memulakan bicara. Sinar mata merayap meraba wajah Reno yang tampak segar di pagi hari itu.

"Memang lincah you ni. Terbaik! I tahu dan yakin dengan kebolehan you. Hmmm, dapat dekat mana pekerja tu?"

Reno senyum memanjang. Senang hati mendengarnya. Duduk menyandar menyelesakan diri, menyilang kaki, dengan tekun dia memberi telinga.

"Dekat kedai minyak."

"Dekat kedai minyak?" Reno gelak kecil. Telunjuk kanan menyinggah ke bibir seperti sedang membayangkan sesuatu. "Dapat dekat kedai minyak tak apa. Asalkan jangan dapat orang minyak sudah. Nanti habis pelanggan kita semua lari."

Sofea hanya tersenyum dengan sendaan itu. Dalam diam, bibir Reno yang sedang terkuak lebar, diamati dan nikmati. Bibir yang mampu memukau setiap lawan jenis apabila melihatnya.

"Jadi, 'shipment' baru untuk ke sana bila nak kirim?" sambung Reno. Pandangan menyelidik.

"Lagi dua minggu. Jadi buat sementara waktu, biar dia kirim 'shipment' di daerah sini dulu."

"Dia boleh drive?"

"Dah tentu. Jika tak, I tak kan kasi dia kirim 'shipment' untuk bahagian Singapura. Betul tak?"

Reno mengangguk setuju. Anak mata bergerak-gerak, bagaikan sedang memikirkan sesuatu. "Reno... " panggilan Sofea mengejutkan Reno kembali ke alam nyata. Pandangan yang dikalihkan, jatuh ke sebuah bungkusan yang dihulur Sofea.

"Apa ni? Untuk I?" "Selamat hari diPutera, hensem."

Membelek bungkusan itu, yang dibungkus dengan kertas licin berwarna merah berbintik putih, Reno tersenyum dan menggeleng. Sofea memerhatikan dengan rasa hairan.

"Kenapa dengan you? Tak suka ke hadiah tu?"

Reno mengangkat muka memandang Sofea. Senyum dilebarkan lagi. Bungkusan itu kemudian kembali dibelek. Seperti sahaja di saat itu dia sedang merenung sesuatu yang agak memusyilkan.

"I bukan tak suka, I suka," lirih Reno sambil memperkemaskan duduk. "Cuma I rasa macam pelik gitu."

"Pelik? Kenapa pulak pelik? Hah, kan! Sekarang I pulak yang jadi pelik."

Serentak mereka ketawa. Memiringkan kepala memandang Sofea, telunjuk kanan meraba bibir, perlahan Reno bersuara.

"I pelik bukan apa. I pelik sebab kita selalu menyambut hari yang semakin mendekati mati dengan bergembira dan berseronok. Sedangkan persiapan menghadap Tuhan mungkin belum tentu sudah cukup."

Begitu senyuman Sofea mati. Namun hati yang sudah hilang arah, sudah tunduk dengan telunjuk nafsu dan perasaan, perkara seperti itu tidak dihiraukan. Seperti tidak penting itu semua baginya.

"Reno," lirih Sofea manja, "malam ni kita pergi dinner, okey?"

"Dinner malam ni?"

Begitu apa yang baharu dibicarakan hilang entah ke mana. Begitu Anna melintas di benak. Janji dengannya mahu bertemu malam ini bagaimana? Reno merenung jauh memikirkan. Hati kecil turut berbisik mencari jalan keluar.

"Okey, boleh. Malam ni kita dinner sama-sama."

Sofea senyum lebar. Begitu juga dengan Reno, senyum lebar saat idea menyinggah. Mengibarkan senyuman yang penuh dengan misteri dan rahsia.

'Pertemuan dengan Anna, boleh dilewatkan. Boleh diurus!' bisik hati Reno.

Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.