Home Novel Thriller/Aksi SMACK O
Bab 24

Reno perlahan mengangkat muka. Dahi dikerut. Dia yang sedang leka membelek hadiah pemberian Sofea, jam tangan menyelam jenis Suunto G9 keluaran terbaru yang canggih, berasa hairan mendengar apa yang dikatakan Sofea.

Apa yang dikatakan, sama seperti apa yang pernah Anna katakan kepadanya sedikit waktu dahulu. Apakah benar dia ini seperti kayu? Kening Reno perlahan bersatu.

"Apa you cakap tadi? Cuba ulang sekali lagi."

"I cakap, I tengok you ni, betul-betul macam tak ada perasaan. Macam kayu!"

"I macam kayu? Apa maksud you cakap macam gini? You cakap I ni macam papan kan lagi baik."

Sofea tidak menjawab. Hanya menentang mata Reno yang tajam memanah dengan senyuman di wajah. Mengharapkan Reno mengerti apa yang dimaksudkannya tadi.

"Mana you tahu kayu tak ada perasaan? Siapa beritahu you kayu tak ada perasaan? You dah selidik?"

Pertanyaan itu dijawab Sofea dengan gelak kecil. Terasa lucu melihat Reno bertanya dengan muka-muka. Jus oren di atas meja dicapai. Sambil menjamah, mata melirik Reno. Bersiap-sedia menantikan dia berhujah.

"Buat pengetahuan you, I ni bukan tak ada perasaan," Reno yang mengerti maksud pertanyaan itu, membuka mulut seperti yang sudah dijangkakan Sofea. "I pun manusia juga macam you, ada perasaan. Tapi... I tak kan pernah biarkan diri I dikuasai oleh perasaan yang bukan-bukan. Perasaan-perasaan yang I rasa tak patut ada dalam diri I."

"Maksud you?"

"Maksud I, I tak mahu penjarakan diri I, hidup dalam bayang-bayang. Hidup berlegar dalam khayalan yang belum tentu akan jadi kenyataan."

Reno menyandar, tangan kiri di atas meja. Tatapan Sofea yang sedang tekun mendengar, direnung. Jari-jemari perlahan mengetuk-ngetuk meja itu bagaikan menyeru apa yang wajar disampaikan lagi.

"Sekilas ikan di kolam, I dah tahu jantan betinanya," sambung Reno kemudian bersahaja sambil membetulkan duduk. Suara jantannya menggaung di telinga Sofea.

"Apa maksud you tu? I tak fahamlah."

"Dah gaharu cendana pula. Dah tahu lagi nak pura-pura," balas Reno sambil membuang pandang. Senyum sinisnya mengundang Sofea membalas apa yang baharu dikatakannya.

"Eh, apa maksud you ni. I betul-betul tak fahamlah! You jangan macam-macam boleh tak? Cakap ajalah terus-terang, tak payah nak bermadah-madah sini."

Reno tergelak. Nada mengejek. Dengan kedua belah tangan menopang dagu, wajah Sofea yang tampak sudah tidak selesa, ditatap.

"Dah kenapa dengan you ni, hah?" Sofea semakin berasa tidak selesa ditatap begitu.

"Salah tak kalau I cakap, selama ini you sebenarnya ada hati dekat I?" lirih Reno tenang. Menyatakan tanpa ada sedikit pun rasa bersalah. Renungan menantikan jawapan.

Sebentar sepi menerkam. Hanya lagu sentimental yang terus mengapung ruang restoran itu sahaja yang kedengaran. Restoran Rasanubari yang terletak di Waterfront City Stulang laut, menghadap Selat Tebrau, airnya yang tenang itu bagaikan berkocak tiba-tiba.

Sofea memajukan wajah. Mata besar seperti mahu menelan Reno bulat-bulat. Namun itu semua tidak menjejas Reno. Sedikit pun tidak dapat merubah apa yang dinyatakannya tadi.

"Apa you cakap? I ada hati dekat you?" Sofea memainkan peranan. Bersandiwara. Senyum sinis Reno dibalas dengan yang serupa.

Reno mengangguk. Raut wajah penuh keyakinan. Sinar mata tajam menghalang Sofea dari cuba melarikan diri dari bersemuka dengan kenyataan. Memalang setiap laluan, setiap jalan keluar yang ada. Tidak tahu sebenarnya, itulah yang dimahukan Sofea.

Sofea terus sahaja bersandiwara, mempamerkan diri konon bersalah tingkah. Tanpa pengetahuan Reno, di hatinya yang paling dalam sudah dihujani bunga. Renungan tajam Reno yang sedang menantikan jawapan, disambut. Perlahan bibirnya mengorak senyum. Sedar, ini adalah satu kesempatan untuknya meluah apa yang dirasakannya selama ini.

Ya, inilah saat-saat yang dinantikan. Saat dan peluang untuk memberitahu Reno apa yang selama ini tersembunyi di lubuk hati. Biar Reno tahu dari mulutnya sendiri. Memang! Memang sudah lama dia menantikan kesempatan ini. Kini, kesempatan yang dinanti sudah pun terbentang di hadapan mata. Tanpa teragak-agak, Sofea memuntahkan.

"Salah ke jika I ada hati dekat you? Salah ke? Macam mana you cakap tadi, kita manusia ada perasaan, jadi salah ke I ada hati dekat you?"

"Jadi betullah apa yang I cakap tadi, you ada hati dekat I?" "Ye, betul. Memang I ada hati dekat you. Salah ke? Tak boleh?"

Reno menghela nafas dalam lalu menyandar. Pandangan dijatuhkan ke hamparan meja yang hidangannya belum lagi tiba selain minuman. Pandangan jauh dan dalam bagaikan dia sedang memikirkan sesuatu. Reno mengangkat muka beberapa detik kemudian.

"Tak salah... " getar suara Reno. "Tapi... "

"Tapi?" Sofea pantas memotong. "Ada tapi-tapi lagi? Jadi salahlah kira?"

"I tak cakap salah. Mana ada I cakap gitu. Ada perasaan dekat seseorang itu bukan satu kesalahan pun. Itu fitrah manusia. Kadangkala perasaan seperti itu tak dinafikan dengan sendirinya wujud di dalam diri. Tapi, apa yang menjadi satu kesalahan... bila perasaan itu dibiarkan tak terkawal. Itu yang salah. Buruk nanti padahnya."

Sepi serta-merta kembali mengambil tempat. Anak mata mereka sebentar berlaga. Bergelut. Apa yang baru sahaja dikatakan Reno, bagaikan mengejut Sofea dari lenanya yang panjang. Jelas, kata-kata itu ada benarnya.

Mengalihkan pandangan, hamparan laut yang gelap pekat itu ditujukan arah. Fikiran Sofea sebentar melayang jauh. Dia tidak dapat menafikan perasaannya terhadap Reno yang sudah lama tumbuh, sukar hendak dikawal. Semakin lama, semakin menjalar sebegitu dalam. Sehingga kadangkala ke tahap menyusahkan diri sendiri, memuja dan merindui di dalam diam.

"Tapi... you percaya tak jika I cakap, sebenarnya I pun ada hati dekat you?"

Pantas Sofea membawa lari pandangannya kembali ke arah Reno. Mata bersinar. Renungan menyelidik, rapi di setiap garis-garis halus wajah Reno. Seperti tidak percaya dengan apa yang baru didengarnya.

"You ada hati dekat I? Nak kiamat dunia agaknya. Macam susah aja I nak percaya," Sofea menjeling. Pandangan kembali dituju ke arah laut itu.

Spontan Reno tersenyum. Mengerti tingkah-laku yang dipamerkan Sofea. Sedar Sofea mahu mendengar lagi apa yang akan dikatakannya. Diangkat Teh Cina minuman kegemarannya yang masih hangat dan dihidu keharumannya sebelum meneguk sedikit. Meletak kembali teh itu di atas meja, Reno meneruskan bicara.

"I memang dah tahu you tak kan pernah percaya dengan apa I cakap. Terpulang pada you. Tapi I cakap betul. I tak bohong. Cuma... perasaan yang wujud itu, I tak kan biarkannya menguasai diri I buat masa ini."

"Tak kan biarkan perasaan menguasai diri you?" terpanggil Sofea kembali menatap wajah Reno. "Kenapa? Sebab I ni business partner you? Gitu?"

"Bukan sebab you ni business partner I atau apa... " "Kalau tu bukan alasannya, habis apa?" potong Sofea dan seterusnya membuang pandang. Diri sudah kian jauh diterjang oleh pergolakan perasaannya sendiri.

"Sofea... " panggil Reno. "Tengok I. Tengok I sini. Sofea... "

"Apalah... I dah puaslah tengok muka you. Dah naik jelaklah!"

"Sofea... tengok sini!" paksa Reno.

Mengalah, perlahan Sofea mengalihkan pandangan, kembali menatap wajah tampan Reno yang dipuja selama ini di dalam diam. Anak mata mereka bertaut. Sepuasnya Sofea mengambil kesempatan merenung anak mata yang hitamnya sepekat malam.

"Sebabnya kalau you nak tahu... I tak mahu perasaan yang belum tentu menjanjikan apa-apa untuk hidup I, menjadi tuan. Walaupun sekali jika dalam diri I ada rasa cinta pada you, atau pun pada sesiapa, I akan cengkam perasaan itu erat-erat. Walaupun sekali apa yang akan terjadi, I tak kan biarkan perasaan itu menguasai diri I. Sofea... perasaan seperti itu tidak mempunyai apa-apa makna selagi tidak ada apa-apa ikatan yang sah! I tak mahu menjadi mangsa cinta, begitu juga I tak mahu memangsakan diri you. I harap you faham."

"Jadi maksud you, antara kita ni ada harapan? Gitu?"

Reno menunduk. Di hamparan meja itu dijatuhkan matanya. Jari-jemari perlahan mengetuk-ngetuk, bagaikan sedang memikir sesuatu. Menghela nafas, anak mata diangkat. Tajam memanah Sofea yang sedang menanti, mengharapkan jawapan.

"Jawapannya... ada di tangan Tuhan,' jawab Reno tenang.

Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.