Home Novel Thriller/Aksi SMACK O
Bab 36

Setiap arah yang dipandang tampak ceria. Di mana-mana. Di setiap sudut dan penjuru. Begitu jugalah di wajah anak dan isterinya, ceria kesemuanya.

Izwan berada di gendongan ibunya bagaikan mengerti apa yang sedang dirasakan ibu dan ayahnya ketika itu. Riang dan ceria sebaik bangun dari tidur seusai kedua orang tuanya menunaikan solat subuh. Memekik-mekik kegirangan terus tidak henti.

"Iwan nak pergi Singapura? Nak? Kita jalan-jalan di sana. Nak tak?" tanya Azlan yang sedang bersarapan. Aisha yang berdiri di sisi menggendong Izwan, dilirik. Aisha membalas dengan senyuman.

Terkinja-kinja di gendongan Aisha, Izwan sambil menyeringai mengepak-ngepak kedua-dua belah tangannya dengan pantas. Seperti sahaja dia mengerti apa yang baharu sahaja dikatakan ayahnya itu. Terketawa Azlan dan Aisha melihat keletah lambang cinta mereka.

Azlan melunjurkan tangan mencubit pipi mungil Izwan. "Nanti ayah ajak Iwan sama ibu ke Pulau Sentosa. Kita pergi 'Universal Studio'. Iwan mesti suka. Ayah janji."

"Wahh... dengar tak apa ayah cakap tu? Nak bawak kita ke 'Universal Studio'! Wow! Mesti best!" sampuk Aisha. Dia tampak terlebih ghairah daripada Izwan sendiri, mendengar apa yang baharu dijanjikan Azlan. Kegirangan di wajah menceritakan betapa berkobar-kobarnya ingin melihat Singapura yang begitu pesat membangun.

"Ye, ayah janji. Ayah janji kita akan berhibur sekeluarga di sana nanti!"

Teringat Azlan akan janji-janji Sofea. Teringat di saat mereka mematri janji, Sofea mengizinkannya membawa keluarga ke sana menemaninya menjalankan tugas. Malah bukan itu sahaja, wang poket juga turut diberi. Di hati paling dalam, senyuman melebarkan sayap.

Sepi! Aman dan tenang.

Begitulah keadaan pejabat Salleh Kausari ketika itu. Pintu yang rapat terkatup, segala hingar-bingar sedang berlangsung di luar sama sekali tidak kedengaran. Apa yang kedengaran, hanyalah desiran penghawa dingin melekat di dinding di atas kepala Salleh Kausari yang sedang duduk di kerusi pejabatnya menghadap Sofea.

Tepat-tepat di anak mata, Salleh Kausari memandang Sofea, menantikan keputusan yang dijanji tempoh hari akan diberitahu setelah nanti dipertimbangkannya. Sebentar lagi, Azlan akan melaporkan diri. Jam di dinding menunjukkan sudah hampir ke pukul 8.30 pagi.

"Macam mana, bos? Apa keputusannya?" Salleh Kausari seperti sudah tidak sabar mahu mendengarnya. Bersuara apabila melihatkan Sofea hanya rapat-rapat mengunci mulut dari tadi.

Duduk menyandar di kerusi, dalam-dalam nafas dihela. Sofea yang hanya mengenakan 'skinny jeans' dan T'shirt putih ketat serta sendat, tampak santai dan ranggi. Namun, tumit tinggi dan cara memperagakannya membuat dia kelihatan anggun.

"Saya rasa... " suara Sofea kedengaran tenang. "Apa yang awak cadangkan yang kita jangan beritahu dia barang apa yang dikirim... saya setuju."

Bersinar wajah Salleh mendengarnya. Berbesar hati! Senyum ditarik panjang.

"Bos setuju? Okey, bagus. Hmm... mengenai dijadikan umpan tu macam mana, bos? Dah fikirkan?"

Wajah Salleh Kausari tampak bersungguh-sungguh bertanya. Sudah tidak sabar ingin tahu keputusannya.

Sofea hanya tersenyum. Tetap tenang.

"Itu saya rasa kita jangan fikirkan dulu. Itu ada masanya nanti. Buat masa ni... saya ada rancangan lebih baik untuknya."

"Rancangan lebih baik? Rancangan apa tu, bos?" Salleh Kausari memajukan wajah. Telinga dipasang. Teruja!

"Semalam saya ada terima berita dari apek. Boleh dikatakan... ia satu berita besar dan baik. Berita mengenai perniagaan kita. Dan memandangkan buat masa ini tak ada sesiapa yang tahu selain saya, rancangan ini biarlah saya simpan dulu. Bila tiba masanya nanti, saya akan beritahu awak apa rancangan saya. Rancangan buat dia dan awak juga."

Terbelalak Salleh Kausari mendengarnya, "Rancangan buat saya juga?"

"Ye, betul. Saya ada rancangan untuk awak juga."

"Rancangan baik ke tak baik ni, bos?"

"Nanti awak sendiri akan tahu. Bertenang."

Mengangguk, Sofea senyum. Sendiri tersenyum. Tersenyum mengingatkan segala rancangannya. Lebih-lebih lagi rancangan untuk Azlan. Dia yakin, begitu yakin, Azlan sangat berguna dan boleh dipergunakan untuk kepentingan dirinya juga perniagaannya.

'Masanya akan tiba!' bisik hati Sofea.

Salleh Kausari turut mengangguk-angguk dengan senyum lebar mendengar apa yang dijelaskan Sofea. "Jadi... sekarang apa bos nak saya buat?"

Sofea berdiam. Sebentar memikir-mikirkan.

"Awak beri dia list tempat-tempat yang nak dikirim di merata Johor. Awak terangkan dia skop pekerjaan. Tentu awak tahu nak beritahu dia apa. Dan kalau tempat-tempat dalam list tu dia tak tahu di mana, awak bawak dia ke situ tunjukkan. Boleh?"

"Boleh, bos. Jangan risau. Itu semua perkara kecik. Tutup mata pun saya boleh uruskan. Tapi... di kawasan Singapura pulak macam mana, bos? Nak saya tunjukkan juga?"

"Itu biar saya uruskan nanti. Awak buat aja dulu apa yang saya suruh. Apa-apa yang tak begitu pasti, awak tanya saya saja. Okey?"

"Baik, bos. Tak ada masalah. Saya yakin semua akan berjalan dengan lancar. Macam mana yang bos mahukan."

Sofea mengangguk-angguk. Berpuas hati dengan jaminan yang diberi oleh orang kuatnya.

Jam tangan dijeling. Jam tangan yang talinya sudah lusuh berharga 25 ringgit dibeli di pasar malam, jarumnya bukan seperti berdetik, tetapi berlari. Jarumnya dengan pantas bergerak, terasa memecut menghampiri ke angka 9.

Muka Azlan bersimbah keringat. Basah! Berkeringat bukan kerana dijilat terik sinar mentari, tetapi gelabah sesat di jalanan hendak ke arah tujuan. Gelabah kelewatannya nanti akan menjejas imej sebagai pekerja di mata Sofea. Daerah Pasir Gudang yang jarang-jarang sangat dia pergi, alamat yang diberi Sofea untuknya, bukan main sukar lagi hendak dicari.

Di bawah terik sinar mentari pagi Azlan memecut kapcainya. Meredah sana meredah sini mencari alamat yang diberi. Jarum jam juga terus berlari. Memecut tanpa menghiraukan debaran di dada Azlan.

Begitu juga dengan Sofea, sekejap-sekejap jam tangan dijeling, sekejap-sekejap pula jam di dinding. Waktu yang dijangkakan, yang dijanji, sudah pun melebihi 45 minit. Namun kelibat Azlan masih juga tidak kelihatan.

"Mana orangnya, bos? Dah pukul berapa ni sekarang , tak nampak-nampak bayangnya pun!" tanya Salleh Kausari, kali ini sudah masuk yang ketiga kali dia bertanya.

"Tak apa tunggu dulu?"

"Tunggu? Belum start kerja dah macam gini, macam mana ni, bos?"

"Kita kasi dia lagi 15 minit. Sabar."

"15 minit? Jika 15 minit pun tak sampai?"

"Saya akan halau dia balik rumah dan suruh dia bayar duit ganti rugi calarkan kereta saya."

Salleh Kausari tersenyum. Mengangguk-angguk setuju. "Kata bos, orang ni boleh dipercayai. Tapi, hari pertama mula kerja dah tunjuk sikap macam gini, nak percaya macam mana?"

Sofea, jari-jemari mengetuk-ngetuk meja. Jam di dinding dijeling lagi. Sudah hampir satu jam lewat, namun kelibat Azlan tidak juga kelihatan. Di wajah Sofea, rasa bengang perlahan mulai merangkak.

'Mana budak ni? Apa hal tak timbul-timbul? Apa cerita?' detak hati Sofea. Kesabarannya semakin menipis.

Telefon bimbit dikeluarkan dari poket depan seluar. Sofea akhirnya mengambil keputusan menelefon Azlan. Dia sendiri sudah tidak sanggup menunggu lagi.

Tanpa lengah telefon bimbit itu diberinya nyawa. Mencari-cari nama Azlan di 'contact list' dengan wajah tegang, lalu membuat panggilan.

"Hello Azlan, awak di mana?" Suara Sofea menggaung sebaik panggilannya dengan pantas dijawab. Menggema pejabat Salleh Kausari.

"Ni saya di luar pejabat," jawab Azlan di hujung talian.

Pantas Sofea menoleh ke arah pintu pejabat. Begitu juga dengan Salleh Kausari, menurut arah mata Sofea.

Di luar, dari pintu pejabat yang separuh berkaca, dengan keringat merintik penuh di muka, Azlan melambai. Senyumnya lebar dan memanjang menyambut pandangan Sofea juga Salleh Kausari.

Sofea tersenyum, membalas senyuman Azlan dengan wajah ceria. Salleh Kausari yang sedang turut tersenyum, Sofea arahkan pandangan.

Sofea mengenyit mata di saat anak mata mereka bersatu. Salleh Kausari mengangguk.
Previous: Bab 35
Next: Bab 37

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.