Home Novel Thriller/Aksi SMACK O
Bab 31

Senyuman Azlan di hari itu bersinar mengalahkan sinar mentari petang itu sendiri. Memanjang, meriah dan ceria. Namun pada masa yang sama, di sudut hati paling dalam basah bagaikan gerimis yang turun di panas hari, saat mengingatkan perpisahan yang bakal berlangsung.

Setelah lebih dari dua tahun bekerja di stesen minyak di Jalan Story, hubungan antara kawan-kawan kerja terjalin sudah seperti sebuah keluarga besar, susah senang selama ini sama merasa dan harungi, hati terasa sebak apabila tiba-tiba mahu berpisah. Sayu Azlan mengitari stesen minyak itu yang selama ini telah menabur jasa, menyumbang rezeki sedikit sebanyak buat dirinya dan keluarga.

Zaid, sahabat Azlan, yang mana hubungan mereka selama ini berlangsung seperti isi dan kuku, turut merasakan apa yang Azlan rasakan ketika itu. Duduk berdua di satu sudut tersembunyi tempat mereka sering merokok, mata Azlan yang agak berkaca, direnung.

"Tak sangka," suara Zaid seakan berbisik seperti angin petang itu. Nada berat. Tidak ceria sama sekali seperti biasa.

"Tak sangka apanya?" tanya Azlan.

"Tak sangka kau akan berhenti kerja. Tak sangka hari ni, hari terakhir kau dekat sini."

Azlan mengangguk ringan. "Sudah menjadi adat kehidupan, Zaid."

"Maksud kau?" tanya Zaid pantas. Rokok yang disedut, asapnya dihembus sedikit demi sedikit. Memandang Azlan dengan tekun menantikan penjelasannya.

"Setiap pangkal pasti ketemu hujungnya. Setiap pertemuan, pasti ada perpisahan."

Menunduk, Zaid senyum. Nipis. Dengan berat hati, setuju apa dikatakan Azlan itu adalah sesuatu yang benar. Esok, tidak mungkin akan ada pertemuan seperti hari yang sudah-sudah. Tidak akan ada lagi usik-usikan dan gurau-senda. Tidak akan ada lagi gelak-ketawa yang dapat meringankan kerja yang selama ini terasa berat dan membebankan. Esok, pasti akan ada rasa satu kehilangan.

Zaid sedar, walaupun kawan kerja yang lain masih ada, masih akan ketemu seperti biasa, namun tidak sama seperti Azlan. Tidak ada dua kawan seperti Azlan bagi Zaid. Dia bukan sahaja kawan setakat untuk teman ketawa, tetapi Azlan adalah seorang kawan yang sanggup berkorban, bersusah-payah semata-mata kerana kawan. Azlan, adalah seorang kawan berjiwa sahabat.

Azlan memaut bahu Zaid. Menyusupkan pandangan menatap Zaid yang lagi menunduk. Dipandang secara teliti wajah sahabatnya itu, "Tak kan sampai bila-bila kita nak kerja dekat sini? Lebih-lebih lagi bila dapat kerja dan gaji yang lebih baik. Betul tak?"

Zaid perlahan mengangkat muka. Renungannya jauh. Seperti sahaja dia sedang merenung perbedaan keberuntungan nasib mereka berdua. Di hati yang paling dalam, berat mengeluh.

"Aku faham, Lan... " ujar Zaid sesaat kemudian, "Tak macam aku, kau ada anak-bini. Untuk aku yang masih bujang, kira masih okey kerja di sini. Tapi untuk kau, aku yakin tak kan cukup."

"Memang betul, Zaid. Selama aku kerja dekat sini, bukan kata aku dapat simpan duit, malah bertambah-tambah pulak hutang."

Zaid ketawa kecil mendengarkan, "Jujur cakap, aku hairan jugak tengok kau ni."

"Hairan? Kenapa pulak? Apanya yang kau hairankan?" Azlan mengerutkan dahi.

"Selain bayar hutang kapcai kau, sebenarnya, apa lagi ni yang kau ada hutang?"

Azlan memaksakan senyuman. Kini, gilirannya pula merenung jauh. Rokok yang tersepit di jari, tanpa disedari menyinggah ke bibir. Bagaikan sahaja ia bergerak dengan sendirinya.

"Zaid, kenapa selama ini aku diam-diam dan tak beritahu kau, sebab... aku sebenarnya malu," jelas Azlan sambil menghembus asap rokok yang disedut.

"Malu?" Zaid kening bersatu. "Apanya yang kau nak malukan?"

Azlan menggeleng seraya menunduk. Sekilas, kesal terlihat melintas di raut wajahnya. Ada sesuatu yang tidak enak jelas menggantung di benak. Rokok disedutnya lagi. Dalam-dalam dan keras.

"Aku malu dengan kesilapan aku sendiri," jelas Azlan perlahan. Asap rokok memenuhi mukanya sebaik dia membuka mulut.

"Apa pasal pulak? Kesilapan apa yang kau dah buat sampai kau rasa malu?"

Dapat Zaid mendengar dengan jelas keluhan berat Azlan. Wajah Azlan yang tiba-tiba berubah suram, ditatapnya lurus-lurus. Teruja ingin tahu lebih lanjut.

Dalam-dalam Azlan menghela nafas. Rokok yang dipegang, dibelek-belek. Seperti sahaja sedang membelek kelibat pengalaman enam tahun yang lalu.

"Aku nak ceritakan pada kau pun aku rasa malu sebenarnya. Tapi demi kebaikan kawan... aku akan beritahu. Mana tahu pengalaman aku ada terselit pelajaran yang baik untuk kau."

"Okey, ceritakan. Aku dengar. Apa yang aku tahu nanti, itu rahsia kita berdua. Aku janji, tak kan ada orang lain yang akan tahu."

Azlan mengangguk. Dalam-dalam nafas dihela.

"Memanglah buat keputusan menurut perasaan, akan berkesudahan dengan beban," luah Azlan. Kepala separuh mendongak ke langit. Entah apa yang dilihatnya di situ.

"Jadi... ini kau cakap berdasar pengalaman, atau apa?"

Rokok yang sudah hampir mencecah puntung itu Azlan sedut. Asap terakhir yang bersisa, dalam-dalam ditarik. Lalu dilenyek puntung itu ke lantai dengan kaki.

Perlahan, asap yang disedut itu dikeluarkan daripada mulut dan lubang hidungnya, mengapung bagaikan seekor naga putih sedang menari-nari di udara. Berdehem, melapangkan kerongkong, Azlan membuka mulut.

"Ye, dari pengalaman aku! Dan aku tengok, apabila kita membiarkan diri dikuasai perasaan, memang tak dinafi, akan mematikan akal fikiran yang punya kemampuan melihat kenyataan dan segala kebenaran," Azlan berhenti sebentar, apabila ada sebuah truck di jalanraya berhampiran, memecut laju dan begitu memekakkan telinga.

Sambung Azlan kemudian, "Aku sekarang baru sedar, bila kita terlalu menurutkan perasaan, bererti kita harus tunduk dengan kemahuan, tanpa mengira apa yang bakal terjadi di belakang hari nanti."

"Hmmm, okey, aku faham apa yang kau cakap tu. Tapi... apa yang kau dah buat sampai nak ceritakan pada aku pun kau rasa malu? Kenapa?"

"Kalau kau nak tahu, masa aku nak kahwin dulu," Azlan berhenti seketika di situ. Dia menggeleng, "Hmm... aku sebenarnya berhutang."

Tercengang Zaid. Membesar tiba-tiba mata. Sukar hendak percaya dengan apa yang baharu didengar. Perlahan lalu bibirnya menyeringai. Sinar mata memberitahu Azlan, hatinya sedang ketawa. Pandangan dilarikan jauh dari mata Azlan.

Azlan senyum kecil. Menahan malu dalam diam. Mengerti dan faham dengan reaksi ditunjukkan Zaid. Menegakkan badan, melontarkan jauh pandangan, nafas dalam-dalam dihela.

"Itulah akibatnya, Zaid. Kerana terlalu tunduk sangat dengan perasaan. Akal fikiran jadi mati. Tak berfungsi langsung! Menurut aja kehendak perasaan! Sampaikan cakap orang tua pun aku tak nak dengar."

"Habis, dengan siapa kau berhutang?"

"Dengan siapa lagi, Zaid, kalau bukan dengan keluarga sendiri. Kau ingat bila kau tengah sesak, orang lain boleh bantu ke? Ah long bolehlah bantu!"

Serentak mereka tergelak. Zaid mengangguk-angguk setuju, sambil mengacung ibu jari.

"Tapi... tak kan sampai berkahwin pun kau nak berhutang? Maksud aku, kenapa sampai berhutang?"

"Perbelanjaan besar!"

"Okey. Tapi kalau dah tahu tak ada duit, kenapa nak belanja besar? Belanja kecik-kecik sudahlah! Betul tak? Mesti meriahlah ni majlis, kan?"

Meraup wajah, Azlan mengangkat kening. Pandangannya jauh dilepaskan, merenung. Dan di dalam renungan itu, dia kembali terlihat majlis gemilang perkahwinannya dengan Aisha enam tahun yang lalu. Majlis yang dilalui bukan kerana atas kemahuan mereka, tetapi kerana terpaksa. Gah melangkah, memasuki alam perkahwinan kerana ingin memenuhi kehendak ibu Aisha.

"Aku rasa... aku tak perlu ceritakan lebih lanjut. Sebab, ia melibatkan maruah orang lain. Tak baik bukak aib orang. Cuma apa yang aku boleh cakap... kau jangan menurut perasaan bila nak buat keputusan. Kau nanti pasti akan menyesal. Mungkin, akan jadi satu beban juga buat kau di belakang hari nanti."

Azlan berhenti di situ. Seketika, sepi dibiarkan menyapa. Zaid juga turut berdiam, tidak mahu bertanya apa-apa. Memberi Azlan ruang untuk bernafas dan bertenang.

"Ingat, Zaid... " sambung Azlan kemudian, "Jangan ikut perasaan. Nanti kau terpaksa tunduk dengan kemahuan tanpa memikir akibatnya. Jangan sampai nanti kau jadi macam aku, sanggup berhutang kerana nak sangat berkahwin. Fikir, Zaid! Fikir panjang dan dalam sebelum buat apa-apa keputusan."

Zaid mengangguk-angguk. "Terima kasih Lan, atas peringatan kau tu. Satu peringatan yang baik buat aku. Terima kasih. Kau pulak, jangan kesal dengan apa yang dah berlaku."

Azlan menggeleng, "Kalau ikutkan rasa, memang aku kesal. Tapi bila difikirkan balik aku sedar, apabila sesuatu yang tak baik berlaku, pasti ada terselit kebaikan jika kita perhatikan betul-betul. Pengalaman memang guru yang terbaik."

Zaid mengangguk lagi. Mengerti. Faham apa yang dimaksudkan Azlan itu, dan setuju dengan kebenaran yang ada. Bahu kekar Azlan ditepuk-tepuk lembut, lalu menghulurkan salaman.

Mengangkat anak mata, renungan Zaid disambut. Begitu juga dengan salaman Zaid. Digenggam erat-erat tangan sahabatnya itu. Sinar mata saling berpaut, berpelukan, berdakapan di dalam kasih-sayang seorang sahabat.

"Hmm... betul tu, Lan. Pengalaman jadi tak sia-sia bila kebaikan yang ada, ditimba. Lan... aku ucapkan semoga kau bahagia dengan Aisha hingga ke Jannah. Dan moga kerja baru kau ni, akan melapangkan rezeki keluarga kau nanti," ucap Zaid ikhlas.

"Aku pun harap begitu," balas Azlan.

Previous: Bab 30
Next: Bab 32

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.