Home Novel Thriller/Aksi SMACK O
Bab 25

Tawaran Sofea siang tadi terus sahaja terngiang. Di sudut hati Azlan yang paling dalam sangat bersyukur mendapat kerja menawarkan gaji sebegitu lumayan. Dua ribu ringgit sebulan, cukup banyak baginya. Itu baru gaji permulaan kerja. Jika lagi lama bekerja? Pastilah gaji akan bertambah. Pastilah bertambah lumayan. Senang hati Azlan mengingatkan.

"Iwan, ayah yakin tak akan dapat beri Iwan kekayaan. Tapi ayah berjanji, akan berusaha meletak Iwan nanti di muka pintu kejayaan."

Dicium Izwan yang sedang leka menyelak-nyelak sebuah buku bacaan kanak-kanak di pangkuannya. Erat-erat Azlan mendakap buah hatinya itu. Aisha yang duduk di sisi di kerusi panjang turut sama bersantai seusai solat Isyak, tersenyum bangga mendengarnya.

Dikalihkan pandangan, Aisha isteri tercinta, dengan penuh kasih-sayang Azlan tatap. Dengan perasaan yang sama, Aisha menyambut. Sinar mata mereka yang penuh dengan cinta, bersatu, erat berpelukan. Azlan melunjurkan tangan, mengetap bibir, pipi Aisha dicubit mesra.

"Kanak-kanak hari ini adalah pemimpin esok hari. Mana tahu Iwan di belakang hari dipilih Allah menjadi pemimpin. Betul tak, bang?" sahut Aisha sambil mencapai tangan Azlan dan digenggamnya erat. Digesel lembut pipinya ke tangan kekar itu.

"Amiin. Ye, betul sangat tu, Sha. Mana tahu kalau itu rezeki dia. Tuah ayam boleh dilihat di kaki, tuah dia siapa yang tahu, selain Allah. Betul tak abang cakap?" balas Azlan.

"Betul, bang. Tapi ... walau sekali seorang budak itu berpotensi, punya bakat dan harapan untuk menjadi seorang yang berjaya, itu semua tidak akan menjadi kenyataan jika orang tuanya tak berusaha. Dan tak beri perhatian yang sepatutnya. Akan jadi sia-sia segala anugerah Allah padanya, bang."

"Abang tahu. Masa depan anak-anak di tangan orang tua. Kita orang tua yang bentuk. Ketentuan Allah, boleh berubah gara-gara tangan kita. Allah beri kita pilihan."

"Juga ujian," celah Aisha. Senyum di bibir seperti mengusik.

Tersenyum Azlan. Mengerti maksud isterinya itu. Di hati yang paling dalam, berat mengeluh melihat keadaan nasibnya selama ini. Keadaan nasib yang tangannya sendiri telah mengukir.

Peluang yang ada, segala kesempatan yang Allah pernah bentangkan di dalam perjalanan hidupnya yang sudah dipersiakan, Azlan sedar, masa-masa itu tidak mungkin akan kembali lagi. Tidak mungkin kehidupan ini akan menawarkan kesempatan dan peluang itu buat kedua kali.

Kini, dia terpaksa berusaha keras. Terpaksa mengharungi mengadakan sebuah kehidupan yang diinginkan buat anaknya, dengan jerih kepayahan.

Dipandang wajah Aisha kemas-kemas. Tangan yang sedang digenggam isterinya dengan erat, Azlan rapatkan ke muka. Dikucupnya lembut. Terpejam sebentar mata Azlan.

"Abang akan berusaha. Itu tanggungjawab abang sebagai seorang ayah. Abang akan berusaha walau apa sekalipun terjadi, dan memastikan Iwan akan menjadi seorang yang berjaya di suatu hari nanti. Iwan, adalah amanah Tuhan buat kita. Abang tak akan persiakan. Abang janji."

"Harus, bang. Harus!" lirih Aisha sambil melentukkan kepala di bahu Azlan. "Kita tak ada pilihan lain, atau Iwan akan mengalami nasib seperti abang."

"Abang tahu. Abang tahu tu, Sha. Abang tak mahu Iwan merasakan apa yang abang rasa. Tak mahu dia jalan di tempat yang sama abang pernah dan sudah jalan. Biarlah abang saja yang rasa itu semua. Biarlah abang saja yang alami, asal jangan dia."

"Bang... " panggil Aisha lembut. Diangkat kepalanya memandang Azlan, "jangan pernah kesal dengan apa yang abang dah lalui. Itu semua pasti ada hikmahnya. Pengalaman itu berharga, bang. Sesuatu yang duit tak akan boleh beli. Gunakan sebaiknya pengalaman itu semua untuk Iwan. Jadikan sebagai panduan yang berguna untuknya menuju ke arah kejayaan."

Azlan hanya berdiam. Memberi telinga dengan penuh tumpuan tanpa sebarang suara. Izwan di pangkuan, leka dengan dunianya sendiri, dibelai-belai rambutnya penuh mesra dan kasih-sayang.

"Bang... " kata Aisha lagi, "sebagai manusia, abang belum gagal lagi. Selagi kita masih bernyawa, peluang untuk mencapai kejayaan tetap ada, bang. Tidak pernah terlambat selagi kita masih bernafas. Ye, mungkin sebagai seorang anak, abang memang gagal. Gagal untuk menyempurnakan cita-cita dan keinginan orang tua abang. Tetapi sebagai orang tua, abang belum gagal lagi. Peluang dan kesempatan masih luas terbuka untuk abang raih kejayaan. Jangan persiakan lagi kali ini, bang. Atau abang baru benar-benar menjadi manusia yang gagal, apabila Iwan nanti menjadi anak yang gagal."

Dinding di hadapan, sopak sana sopak sini keadaannya, gambaran hidupnya sendiri, Azlan perhati. Kelihatan di situ ada persoalan yang tidak beres.

Aisha kembali dipandang. Diamati wajah isterinya lurus-lurus. Mungkin persoalan yang tidak beres itu dapat Aisha memberikan penjelasan yang diinginkan. Dalam-dalam nafas dihela.

"Sha... " suara Azlan lembut, "tapi kegagalan hidup abang, wajar ke orang tua dipersalahkan? Sedangkan selama ini mereka telah menjalankan tugas mereka dengan baik sebagai orang tua. Jadi, patut ke mereka dipersalahkan?"

"Bang, tak dinafikan banyak orang tua telah menjalankan tugas mereka dengan baik sebagai orang tua. Tapi setakat memegang peranan sebagai orang tua terhadap anak, itu belum mencukupi... "

"Maksud, Sha?" Azlan mencelah. Kening mengerut.

"Maksud Sha... orang tua peranannya harus lebih dari hanya menjadi orang tua saja. Harus menjadi kawan kepada anak-anak. Lebih-lebih lagi ketika mereka baru melangkah ke alam remaja. Tahap yang mana mereka baru mahu mengenal dunia. Tahap yang mana banyak hal-hal yang mereka mahu tahu dan kenal. Itu tahap yang paling bahaya, bang. Tahap kritikal! Tahap penentuan arah tuju mereka."

Dicapai tangan Azlan, Aisha meramasnya manja. Renungan Azlan, renungan penuh pengharapan, disambut mesra dengan kelembutan dan rasa cinta.

"Bila Iwan sudah masuk alam remaja nanti, kita harus menjadi kawannya. Harus menjadi seorang kawan yang baik, bang. Agar nanti dia tidak keberatan mahu berkongsi rasa. Tidak segan-silu hendak berkongsi rahsianya. Sebab kita bukan saja adalah orang tuanya, malah sudah dianggap sebagai kawan baik dan rapat. Kawan-kawan di luar, bukan tak bagus. Tapi abang sendiri pasti tahu mereka macam mana."

Dinding di hadapannya, Azlan kembali tujukan pandangan. Di situ, dia merenung jauh dan dalam kata-kata Aisha. Begitu zaman remajanya melintas ruang mata, juga bayangan kedua-dua orang tuanya.

Benar kata Aisha itu. Dia sangat setuju. Orang tuanya walaupun ketika itu dengan begitu amanah menjalankan tugas yang dibebankan, namun Azlan dan adik-beradiknya tidak pernah dianggap sebagai kawan, selain anak. Tidak ada hubungan sama sekali sebagai kawan. Memeluk Izwan erat-erat, kepala anak itu dicium.

"Iwan dah besar nanti nak jadi kawan ayah?" memutar muka Izwan menatapnya, Azlan bertanya.

"Iwan nak susu. Iwan haus. Itukan kawan Iwan," balas anak kecil itu yang tidak mengerti apa-apa yang diperbualkan orang tuanya tadi.

Pecah ketawa Azlan melihatkan kelucuan anaknya. Begitu juga Aisha, tidak dapat menahan rasa gelak.

"Buatkan abang kopi sekali, Sha," pesan Azlan sebaik Aisha bingkas ke dapur.

"Kopi? Kopi mana ada lagi, bang. Dah lama habis."

"Dah habis? Hmmm... tak ada buntut kuali tu Sha kerik ajalah. Asal hitam, kopilah tu," senda Azlan disambut Aisha dengan ketawa lagi.

"Sha buatkan abang teh, ye?"

Azlan mengangguk, setuju tawaran Aisha dengan senyuman mesra.

Ditinggalkan sendirian dengan Izwan, anaknya yang sedang didakap, kepala anak itu Azlan rapatkan kepalanya. Mata redup merenung dinding di hadapan. Merenung masa hadapan Izwan.

"Kejayaan hak semua orang, sayang," Azlan membisik ke telinga Izwan, "tapi cuma milik mereka yang berusaha saja. Hanya mereka yang bersungguh-sungguh akan berjaya. Belajar rajin-rajin, nak. Kejayaan perlukan ilmu."

Previous: Bab 24
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.