Home Novel Thriller/Aksi SMACK O
Bab 23

"Hai, Puteri kayangan. Apa khabar?"

Dila disambut Reno penuh mesra sebaik dia dengan lincah melompat ke dalam perut kereta. Begitu keharuman minyak wangi 'Estee Lauder', serta-merta mengganas menguasai setiap ruang kereta Reno.

Memasang tali keledar, Reno dilirik. Reno membalas dengan mengenyit mata sambil tersenyum. Dila tidak mengendahkan. Seperti biasa, bibirnya miskin senyuman. Senyuman Reno dibiarkan sepi tanpa sambutan.

"Macam biasa, khabar baik. You pulak apa khabar?" jawab Dila, santai dan bersahaja berbasa-basi.

"I macam gini jugak. Macam semalam, macam kelmarin. Biasa-biasa aja."

Dila mengangguk dan meleraikan pandangan. Memperkemaskan duduk, pandangan ditujukan ke hadapan. Menyelesakan diri untuk dihantar Reno ke tempat kerja.

Penampilan Dila seperti malam kelmarin di pub tempat mereka bertemu. Mencolok mata! Berpakaian dress ketat pendek berwarna merah, kasut tumit tingginya sewarna. Dompet kulit kecil Bonia berwarna hitam, kemas berada digenggaman. Sekilas Reno memandang, kereta mewahnya lalu dipacu. Membawa mereka berlari ke tempat tujuan.

"Apa cerita hari ni you nak hantar I ke tempat kerja? Apa hal?" Dila membuka suara sebaik kereta Reno keluar dari lorong rumahnya menuju ke jalanraya utama.

"Kenapa? Tak boleh ke apa I hantar? You tak suka?"

"Bukan tak boleh. Bukan I tak suka. Cuma I rasa pelik!" mata tertancap ke arah jalanraya, Dila mencebirkan bibir.

"You lupa ke apa? Ke you pura-pura lupa?" tanya Reno kemudian sambil menjeling Dila.

"Lupa? Apanya yang I lupa?" memandang Reno, Dila mengerutkan kening. Raut wajah, bayangan cerminan hatinya. Berasa tidak senang di hati yang paling dalam.

Wajah Reno pula bersinar melihatkan Dila begitu. Diri seperti berasa senang melihatkan perempuan yang sentiasa kelihatan seksi itu berasa tidak senang. Pertanyaan Dila dibiarkan tidak berjawab.

Dengan mata tetap terarah ke jalanraya, tangan kirinya dilunjur membuka 'dashboard'. Meraba-raba, lalu mencapai sekeping sampul surat kecil berwarna putih.

"Nah, ambik ni. You lupa yang you ada pesan I?"

Seperti mawar di jambangan yang tiba-tiba mekar, begitulah senyuman Dila di muka saat melihatkan apa yang disodor Reno. Dengan pantas dicapai. Meraba-raba dengan jari mulusnya, sampul surat itu penuh hati-hati dibuka.

Mata disusup, tajam mengintip isi sampul surat itu. Dengan bantuan sinar lampu jalanraya yang baharu sahaja bercahaya, dapat Dila melihat dengan jelas isi kandungannya. Begitu senyumannya merebak ke seluruh muka bagaikan api liar yang menyala.

"Sukalah tu?" usik Reno mesra.

"Suka, ye suka. Tapi... I sekarang ni belum ada duit. Macam mana?" mengangkat muka memandang Reno, Dila bertanya.

"Bila-bila pun you boleh kasi," jelas Reno tenang tanpa memandang Dila, "tak kasi pun tak apa."

"Tak kasi pun tak apa? You biar betul? Ini you ikhlas, ke sebenarnya you menggiat?"

"Agak-agak you mana satu?"

"Mana I tahu? Kalau I tahu untuk apa I tanya you?"

"Tak apa, I kasi you pilih."

"Kalau nak ikut pilihan I, dah tentu nak you ikhlaskan I tak payah bayar."

Memaling memandang Dila, senyuman manis Reno titipkan. Pantas atas-bawah Dila dipandang. Ke arah jalanraya kembali ditujukan pandangan sebentar kemudian.

"I ikhlas," lirih Reno, "kalau you ingat nak kasi, you kasi. Kalau you ingat tak nak kasi, terserah pada you. I tak kisah. I ikhlas."

"Betul ke apa yang you cakap ni?"

"Betul! Benda tak seberapa, untuk apa I nak berkira dengan you? Dan kalau you nak tahu, I sebenarnya bersusah-payah carikan. Tapi, kerana you, I tak kisah ni semua. Untuk you kawan lama I, ini semua bagi I tak ada apa-apa."

Dila menjuirkan bibir seperti mengejek. "Betul ye, you cakap ni? Bukan main-main?"

"Jaminan yang macam mana lagi yang you nak? Tak percaya ke dengan apa yang I cakap? You cuba cakap, biar I tahu."

"Betul yang you bersusah-payah pergi cari?"

"Ye, betul tak bohong," tegas Reno.

Dila berdiam seketika. Reno dipandang lurus-lurus. "Betul ikhlas tak payah bayar?"

"Nyawa I beri jaminan. Puas hati?"

"You jangan pulak nanti di belakang hari you ungkit-ungkit ye. Siap nanti you, I kerjakan!"

"Ungkit di belakang hari? Eh! You tak tahu ke yang I selama ni murah hati? Tak tahu?" begitu ketawa Reno pecah. Terkekek-kekek. Menggema perut kereta dengan ketawanya.

Dila hanya berdiam. Sama sekali tidak terasa ada hati untuk turut ketawa bersama. Di hati yang dalam tidak dapat menafikan, Reno yang selama ini dikenalinya, adalah seorang yang sangat pemurah. Bermurah hati dengan dirinya, juga dengan sesiapa di sekelilingnya.

Dikalihkan arah pandang ke jendela kereta. Mendongak, langit malam yang baharu sahaja bertandang, pandangan Dila tujukan. Di hati yang dalam berbisik, betapa dia berharap, menginginkan sangat, gelak-ketawa Reno adalah gelak ketawanya juga. Namun dia sedar, Reno lebih senang bergelak-ketawa sendirian. Tidak akan mahu berkongsi kebahagiaan dengan dirinya. Selamanya!

Wajah Sofea menerkam pandangan. Rakan niaga Reno yang dia sendiri perkenalkan kepadanya, pernah bertemu sekali-dua, entah kenapa sangat dibenci Dila. Sepertinya, dia berasa tidak senang Reno berkawan rapat dengan Sofea, walaupun Dila tahu antara mereka berdua, tidak punya apa-apa hubungan intim yang berlangsung.

"Dila," panggil Reno beberapa saat setelah ketawanya reda, "untuk apa I nak berkira dengan you? Untuk apa? Selama kita berkawan, pernah ke you tengok I ni berkira? Pernah?"

"Ye, itu I tahu! I tahu you selama ini tak pernah berkira."

"InsyAllah, tidak akan pernah, Dila. Selagi I mampu, selagi I ada, I tak akan berkira. Baik dengan you, atau pun dengan sesiapa. Duit, kita tak kan bawak mati."

"Baguslah kalau gitu," ujar Dila tanpa memandang Reno.

"Dila, permata yang jatuh ke lumpur, tetap permata. Nilainya tetap sebutir permata."

Dila hanya mengangguk mengiyakan. Faham sikap Reno, dan faham maksud kata-kata itu. Dila cukup kenal siapa diri Reno yang sebenar. Mengenalinya sejak dia masih lagi bergelandangan hampir enam tahun lalu.

Tidak sampai pun lima belas minit perjalanan dari Skudai, rumah Dila, hotel Blue Wave, tempat kerja Dila yang terletak di kawasan Stulang Laut, menyambut mereka. Di hadapan lobi hotel itu, Reno memberhentikan kereta.

Sampul surat yang diberi Reno, kemas-kemas Dila selitkan ke dalam dompetnya. Mengangkat muka, Reno ditatap. Mata redup Reno yang sedang memandangnya, Dila renung. Sebentar sinar mata mereka bagaikan berbicara.

"Terima kasih, Reno. I pergi dulu," berat suara Dila meminta diri.

"Sama-sama. You hati-hati. Jaga diri baik-baik. Apa-apa yang you perlu nanti, jangan lupa contact I."

"Tentu. Ada masa kita jumpa lagi. Dan kalau ada apa-apa urusan yang you nak I selesaikan, beritahu I awal."

"Itu sudah pasti. Ada apa-apa urusan yang sesuai untuk you nanti, I akan beritahu awal. Jumpa lagi. Kerja baik-baik."

Dila mengangguk. Walaupun sebenarnya di hati yang paling dalam ada rasa tidak senang dengan Reno, namun pada masa yang sama diri terasa begitu berat mahu menghayun langkah pergi meninggalkannya. Dipaksakan.

Reno memerhatikan Dila melewati lobi hotel itu sehingga dia hilang dari pandangan. Keharuman minyak wangi Estee Lauder yang masih lagi menyengat ditinggalkan Dila, bagaikan sahaja memesan Reno, jangan pernah lupa akan dirinya. Juga jangan pernah lupa, cintanya terhadap Reno sentiasa mekar.

Jam tangan dilirik Reno. Sudah hampir ke pukul 7.45 malam. Teringat Sofea. Pasti dia sudah menunggu di tempat yang dijanjikan, di lobi hotel Eden, di Stulang laut juga. Memasang gear tanpa lengah, berdesup Reno seperti pelumba kereta ke tempat tujuan.

Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.