Home Novel Thriller/Aksi SMACK O
Bab 29

"You lupa ke, dear?"

Reno mengerutkan kening. Anna yang sudah tampak tenang, sudah kering air mata, kemas-kemas dipandang. Tidak mengerti sebenarnya apa yang dimaksudkan Anna.

"I lupa?" Reno melayangkan senyum. "Apanya yang I lupa tu, sayang?"

"Owhhh... jadi kira ni memang lupalah?"

"Hmmm... " Reno gelak kecil, seperti mengakuinya. "Cuba you cakap, mungkin I akan ingat."

Sebentar Anna menunduk. Senyum, tersipu malu. Giginya yang kelihatan bertaring, memaniskan lagi senyuman. Mulut tampak berat mahu meluahkan.

Dalam-dalam menghela nafas, mengangkat muka, Reno kembali ditatap. Tidak seperti berbual di telefon, bila bersemuka, rasa malu mulai bermaharajalela. Anna memberanikan diri.

"Tadikan you cakap... hmm... nak beritahu kenapa I harus pakai seksi di rumah bila dah jadi isteri you? You lupa ke?"

"Owhhh, pasal tu, ye," membetulkan duduk, Reno menyeringai. Berbinar mata. "Bukan I lupa, cuma sebenarnya I nak beritahu you nanti. Tapi memandangkan you ni dah tak sabar nak tahu, okeylah I beritahu you sekarang."

"Eh, gitu pulak! I bukan tak sabar, tapi cuma teruja!"

"Samalah tu maksudnya. Hati bergelora tak sabar nak tahu, kan?"

Begitu ketawa mereka bersama meledak. Seiring dan senada. Seirama! Sinar mata mesra saling bertaut. Berkata-kata, meluahkan rasa yang terpendam lewat pandangan.

"Okey, you dengar sini baik-baik apa I cakap," ujar Reno. Raut wajah sudah serius. "Pertama, you harus tahu lelaki ni sifat semulajadinya adalah 'visual creature'. Tak seperti perempuan yang menerima pasangannya dengan pengaruh perasaan, lelaki buat pengetahuan you, lebih berat kepada pandangan. Itu fitrah lelaki."

"Okey. Jadi kenapa, dear?" potong Anna ketika Reno sedang menghela nafas.

"Sekarang I nak tanya. You suka tak jika nanti bila I dah jadi hak milik you, I makan di luar? Suka?"

"Apa salahnya? Jika I sakit, sibuk tak punya masa nak masak, apa salahnya sesekali you makan luar?"

Reno menggeleng-geleng dengan kata-kata Anna yang kedengaran seperti cetek pengetahuan. Kembali menyandar menyilang kaki, telunjuk kanan mengusap bibir, Anna dipandang. Agak lama.

"Kita jangan suka terima sesuatu yang didengar secara bulat-bulat, sayang. Itu hanya menunjukkan kecetekan akal fikiran. Kita harus berusaha meluaskan pandangan, dalamkan pemikiran, barulah kita akan nampak dan faham sesuatu maksud itu lebih jauh lagi. Teroka!"

"Apa maksud you, dear? Cuba you jelaskan biar I faham."

Reno menggeleng lagi. Berkeluh di dalam hati. Untung rasa sayang terhadap Anna menyimbah-nyimbah, jika tidak, malas Reno mahu melayan pertanyaan yang tidak berfaedah. Membuang masa!

"Apa yang I maksudkan tentang makan itu tak ada kena-mengena langsung dengan masakan atau pun makanan. Tapi tentang diri you dan I."

Anna mengerutkan kening. Reno mengerti maksudnya dan sudah bersiap hendak menjelaskan lebih lanjut lagi.

"Maksud I... " Reno menghela nafas. Berat dan dalam. "Andai I sudah jadi milik you, you suka ke jika I tengok dan cari perempuan lain? Suka? Itulah yang I maksudkan. Faham?"

"Tentulah tak suka, dear. Perempuan mana yang suka pasangan hidupnya buat macam tu, kan?"

"Tak suka, kan?" Reno menekan.

"Tentulah, dear! Siapa yang suka?"

"Itulah sebabnya bila you dah jadi isteri I, I nak you pakai seksi di rumah. Biar I tak pandang dan cari perempuan lain. Untuk apa I makan di luar, jika isteri di rumah beri I cukup makan?"

Menunduk, Anna tersenyum. Lebar dan panjang. Malu-malu. Begitu juga dengan Reno tiba-tiba tersipu. Entah kenapa.

Sebentar kemudian, sinar mata mereka bergelut dan saling menikam. Saling hunus-menghunus. Tajam dan dalam menembusi dinding hati.

"Jadi kira di rumah I kena pakai ketat-ketat dan pendeklah, dear?" Anna mengkedip-kedipkan mata.

"I dah cakap dengan you tadi, jangan terima sesuatu itu bulat-bulat. Seksi yang sebenar bukan letaknya pada pakaian yang ketat-ketat dan pendek. Itu seksi yang cuma mengundang nafsu."

"Habis seksi yang sebenar letaknya di mana? Yang macam mana, dear?"

Sebentar Reno berdiam. Kuku ibu jari kanan digigit, seperti sedang memikirkan sesuatu. Menghela nafas, Reno membetulkan duduk.

"Seksi yang sebenar jika you nak tahu, bukan terletak dekat tu semua, tapi letaknya dekat keyakinan diri. Yakin dengan apa yang you ada, yakin dengan apa yang Tuhan kurniakan pada you, di situlah letaknya seksi seorang perempuan. Dari situ dengan apa yang you ada, you guna dengan sebaiknya untuk pikat dan senangkan hati pasangan hidup you."

"Jadi... kira I pakai apa saja pun boleh nampak seksi asal ada keyakinan diri? Gitu ke, dear?"

"Pakai apa saja asal dapat mengundang kekaguman pasangan you. Bersih, kemas, nampak menarik, dan penuh keyakinan diri, itulah seksi," berhenti di situ, Reno senyum. Diteruskan beberapa detik kemudian. "Tapi kalau you nak pakai ketat dan pendek, okeylah kan! Lagi pun, you bukan hak siapa-siapa. You hak I. Cuma bila keluar rumah, janganlah dedah sana dedah sini. You harus ada rasa malu dan mesti tutup aurat. Sebabnya, you bukan hak umum!"

Spontan tangan Anna menutup mulut. Pecah gelaknya begitu sahaja. Senyum, Reno kitari ruang restoran itu. Takut kalau-kalau ketawa Anna mengganggu ketenteraman pelanggan yang ada. Pandangan kembali ditujukan ke arah Anna yang sudah menunduk malu.

"Sayang... " panggil Reno mesra. Anna mengangkat mukanya kembali. Anak mata lembut bersatu. "Ada lagi satu perkara penting yang I nak you tahu, andai you jadi isteri I."

"Apa tu, dear? Cakap aja I dengar," rasa teruja Anna jelas kedengaran di nada suaranya.

"Andai you ditakdirkan jadi isteri I... " Reno terhenti di situ seperti memikirkan sesuatu, "I tak mahu you salin pakaian depan I. Jangan sekali-sekali you salin pakaian depan I. I tak mahu gitu. Dan I tak mahu you tanpa seutas benang pun di tubuh tanpa sebab tertentu. You tahu apa maksud I."

"Tapi dear... jika ikatan kita sudah sah, kan halal? Jadi apa masalahnya?"

Telunjuk menggaru batang hidung, Anna direnung. Senyum yang dilayangkan Reno, sarat dengan makna. Penuh misteri dan rahsia. Anna di seberang meja pula, kelihatan sudah tidak sabar mahu mendengar penjelasan Reno yang seterusnya.

"You sendiri pasti tahu... sesuatu perkara yang sudah menjadi biasa, sudah terbiasa, sudah sering dilihat, walaupun sekali nilainya tetap ada, tetap berharga, tapi rasa terujanya pasti akan berkurangan. Atau nasib tak baik akan hilang. I tak mahu macam gitu dekat you, sayang. I tak mahu."

Perlahan bibir Anna mengukir senyuman. Mengangguk perlahan, memberi isyarat dia mengerti apa yang Reno maksudkan. Di saat itu, di mata Anna, Reno tidak ubah seperti Dewa cinta yang baharu turun dari kayangan, melebarkan sayap menghangatkan kedinginan malam.

"Sayang... " sambung Reno, "I nak rasa teruja I pada you sentiasa berapi. Bahangnya tak pernah padam seperti gunung berapi yang sarat dengan lahar. Sampai bila-bila, sayang."

Anna pantas menutup mulut. Bertambah malu. Tersipu! Menunduk menggeleng-geleng. Melarikan pandangan dari Reno yang mengusik dengan sinar mata

. "Sayang... " panggil Reno lagi.

"Apa lagi? Tak mahulah cakap tu lagi! Malulah I," jelas Anna. Suara dimanja-manjakan.

"I bukan nak cakap pasal tulah!" Reno menjeling.

"Habis, nak cakap apa?"

"I nak cakap, yang I ni tiba-tiba jadi lapar bual panjang dengan you. Kita makan ye?"

Sambil tergelak, Anna mengangguk setuju.

Previous: Bab 28
Next: Bab 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.