Home Novel Thriller/Aksi SMACK O
Bab 26

"Kenapa abang tengok Sha macam tu?"

Aisha memicingkan mata. Hairan melihat sikap Azlan sebaik dia kembali duduk di sisi. Sambil menyodorkan botol susu ke mulut Izwan, suami tercinta dilirik.

Azlan menyambut lirikan Aisha itu dengan senyum nakal memanjang. Teringat tiba-tiba mendapat kerja baru yang ditawarkan Sofea. Rasa senang yang mengulit, membuat hati terasa ingin bersenda dengan yang tercinta di malam itu. Teh yang diteguk, dikembalikan ke atas meja.

"Sini mari, duduk dekat sikit dengan abang," arah Azlan. Mata tajam dan liar memandang Aisha yang hanya berkain batik dan kemeja T labuh.

"Dah kenapa ni dengan abang? Hah?"

"Jangan banyak cakap. Sini mari duduk dekat sikit. Jangan degil! Jangan derhaka dengan suami."

"Kenapa? Apalah abang ni!" menjeling, suara Aisha manja sambil mendekatkan diri duduk di samping Azlan. Bibir dicebir.

Mengusap kepala Izwan yang sedang leka menyusu, wajah belahan jiwa yang selama ini dengan setia telah memperhambakan diri sebagai seorang isteri, Azlan amati. Redup matanya meraba wajah yang cantiknya masih menyerlah.

Aisha mengerutkan dahi. Azlan senyum. Perlahan dicapai tangan Aisha lalu diramas sambil merenung wajah isteri tercinta. Didekatkan ke mukanya sendiri, tangan yang selama ini tanpa keluh-kesah telah merawat dan mengurus hidupnya. Memejamkan mata, lembut dan mesra tangan itu Azlan kucup.

Aisha membiarkan. Memerhatikan sahaja tingkah suaminya. Tersipu tersenyum dengan kemesraan yang ditunjukkan.

"Sha tahu tak apa abang rasa bila minum teh yang Sha buat tu?"

"Entah. Tak sedap, ye?" Aisha gelak kecil sambil meramas tangan Azlan juga.

"Agak-agak Sha, apa abang rasa?"

"Manalah Sha tahu. Abang yang minum, bukan Sha."

Azlan mengejek. Memuncungkan bibir, kepala digoyang-goyang seolah-olah sedang mencumbui Aisha. Tergelak Aisha. Rasa senang dan bahagia melihat gelagat suaminya.

"Okey!" mesra Azlan bersuara. "Kalau Sha nak tahu... walaupun tehnya pahit sebab kekurangan gula, tapi bila abang minum sambil menatap muka Sha yang jelita, teh tu terasa manissss sangat!"

Kuat Aisha tergelak sambil menutup mulut. Serta-merta! Izwan yang sedang leka meminum susu, menggeliat-geliat dalam pelukan Azlan, menjengahkan kepala memandang ibunya. Terganggu mungkin.

Azlan menyeringai. Merasa senang melihat isterinya ketawa dengan sebegitu rupa. Tangan Aisha yang masih lagi digenggam, perlahan dan lembut dikucupnya lagi.

Membebaskan dirinya dari ketawa tidak lama kemudian, Azlan yang sedang merenungnya, Aisha membalas dengan mencumbui wajah suaminya itu dengan pandangan mesra. Agak lama dalam diam mereka berbalas renungan.

"Sha dah tua, bang. Mana ada lagi manis dan jelitanya. Entah mana pergi dah hilang, Sha pun tak tahu," dengan kedua belah tangan, Aisha genggam erat tangan Azlan. Dibawa tangan kekar itu ke pipi mulusnya, lalu digesel-geselkan perlahan. Azlan membiarkan.

Melepaskan genggaman tidak lama kemudian, bahu Aisha dipaut Azlan. Dirapatkan tubuh mungil itu ke tubuhnya yang tegap. Lembut dikucup mesra dengan rasa cinta ubun-ubun Aisha.

Aisha mendongak menatap Azlan. Anak mata mereka langsung bertaut tanpa sebarang suara dan sepatah kata. Namun sinar mata dalam diam jelas berbicara, tentang kasih-sayang, rindu dan cinta.

"Sha... " suara Azlan memanggil lembut, "tua atau muda, itu semua cuma ukuran masa. Tapi Sha yang sentiasa di dalam pagar mata abang, tidak pernah akan dijamah masa. Tidak pernah akan dimamah usia. Di mata abang, Sha sentiasa cantik, manis dan jelita. Selamanya, sayang. Selamanya!"

Aisha melentokkan kepala di dada bidang Azlan. Permukaan dinding di hadapan, digantungkan pandangan. Berkaca matanya mengingatkan apa yang dikata Azlan tadi.

Di pelusuk hati yang paling dalam sangat bersyukur, Azlan dikurniakan Tuhan menjadi jodoh dan teman hidupnya. Walaupun kehidupan mereka selama ini sering dihimpit masalah kewangan, namun bukti cinta Azlan yang selama ini bertanggungjawab sebagai seorang suami juga ayah, telah melapangkan segala.

Aisha, benar-benar bahagia hidup di samping Azlan. Tidak pernah dia berasa kesal dengan segala beban ekonomi yang dihadapi selama mereka berumahtangga. Dia sedar dan mengerti, kekayaan yang sebenar-benarnya, ada terletak dan tersembunyi di dalam lipatan dan pelukan cinta sejati.

"Di mata abang... tak ada perempuan yang lebih cantik dan menarik dari Sha," puji Azlan sambil membelai-belai rambut Aisha.

"Abang pun sama. Pada Sha, tak ada lelaki yang pernah Sha jumpa, pandai mengayat lebih dari abang," kata Aisha sambil gelak kecil.

Azlan senyum lebar dengan sendaan itu. Dikucup lagi ubun-ubun Aisha. Perlahan dan lembut ditindihkan kepalanya ke kepala yang dipuja. Digesel pipinya mesra di rambut yang selembut sutera itu. Lengan mulus Aisha diramas.

"Sha nak tak pergi Singapura?"

Tersenyum Aisha mendengar pertanyaan itu. Memejamkan mata di dalam pelukan Azlan, negara jiran itu terbayang di benak. Senyumannya melebar. Aisha sedar, dengan keadaan ekonomi mereka yang sekarang ini, ajakan Azlan hanya akan wujud di dalam mimpi.

"Sha, abang tanya ni. Sha nak tak pergi Singapura?" tanya Azlan lagi apabila melihatkan Aisha tidak menjawab pertanyaannya tadi.

"Bila abang nak bawak Sha pergi? Malam ni?" suara Aisha dengan gelak kecil lagi. Sinis kali ini.

"Hey! Abang tanya betul-betul ni. Bukan main-main!"

"Tahu. Sha pun bukan main-main juga. Sha cakap betul-betul ni," gelak Aisha kian nyaring.

"Sha... " panggil Azlan. "Tengok abang sini."

Aisha mengangkat muka. Lembut dan manja. Di bibir, digariskan senyuman mengusik.

"Hah, dah tengok ni. Ada apa?" Aisha langsung bertanya. Anak mata memanah.

Azlan menyambut dengan senyuman. Renungan Aisha, tetap seperti dahulu tidak pernah berubah. Tetap segar. Sesegar renungan di malam pertama perkahwinan mereka.

Rambut Aisha yang jatuh menutup sebahagian mata, dengan telunjuk Azlan menyelak menyisipnya ke celah telinga. Dengan telunjuk juga, Azlan membelai kening Aisha. Diusapnya perlahan sambil meramas wajah Aisha dengan renungan penuh cinta.

"Abang ada berita baik nak beritahu, Sha," ujar Azlan seketika kemudian.

"Berita baik?" melengkung dalam kening Aisha mendengarnya. "Berita baik apa tu, bang?"

"Kalau Sha nak tahu, abang dah dapat kerja baru. Hantar-hantar barang. Gajinya jauh lebih bagus dari yang sekarang."

Aisha membetulkan duduk. Pantas dan ghairah. Anak matanya membesar, menatap Azlan dengan rasa tidak percaya. Rapi-rapi wajah suaminya itu diamati.

"Betul ke ni abang cakap? Jika betul, Sha sangat bersyukur kepada Allah, bang."

"Abang bukan main-main cakap, sayang. Abang tak bohong. Pernah ke selama ni abang ada berbohong dengan Sha? Pernah?"

Dengan mulut ternganga Aisha mengangguk. Setuju sangat dengan apa yang dikatakan Azlan. Selama ini, selama Aisha mengenali Azlan, suaminya memang seorang jujur dan berkata benar.

"Sha dan Iwan, tak lama lagi akan jejakkan kaki ke Singapura. Sebab kerja abang ni, sekali-sekali kena hantar barang pelanggan di sana."

"Jadi?" Aisha sudah semakin ghairah.

"Bos izinkan abang bawak Sha dan Iwan. Jadi, sama-samalah nanti kita akan bersiar dan berhibur di sana. Abang nak sangat bawak Sha dengan Iwan ke Pulau Sentosa. Melawat 'Universal Studio'," penuh kemeriahan sinar mata Azlan memberitahu. Terbayang kebahagiaan yang sedang menanti mereka sekeluarga.

"Tapi, bang... " nada suara Aisha menurun.

"Jangan risau," pantas Azlan memintas. Mengerti apa yang dirisaukan isterinya. "Abang tahu apa yang Sha fikirkan. Sha tenang aja."

Dengan senyuman menyimbah-nyimbah di muka, Azlan menatap wajah Aisha. Impiannya selama ini ingin menjengah negara jiran itu dengan seisi keluarga, melihat dengan mata kepala sendiri apa yang ada ia tawarkan, akan menjadi satu kenyataan tidak lama lagi.

Singapura, tidak lama lagi bukan hanya sekadar wujud di dalam khayalannya sahaja. Singapura yang selama ini terasa begitu jauh gara-gara kesempitan ekonomi yang ditanggung mereka sekeluarga, tanah itu semakin mendekati. Akan dijejaki tidak lama lagi.

Iya, tidak lama lagi!

Previous: Bab 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.