Home Novel Thriller/Aksi SMACK O
Bab 9

Senyap sepi!

Apa yang kedengaran ketika itu hanyalah detikan jam bagaikan berbisik di dinding yang dicat putih kesemuanya. Warna, selari dan seirama dengan langit siling. Di dadanya tergantung dengan megah, berkilau lampu chandelier klasik.

Di bawah lampu itu, di katil berukuran 'King size' bertilam empuk, kelihatan dua susuk sedang lena diulit mimpi. Ada dua biji bantal peluk besar duduk di tengahnya. Menyempadankan, memisahkan mereka berdua. Wangian minyak aroma terapi yang diganggang malam tadi, masih keras terapung keharumannya memenuhi ruang kamar yang agak luas, kemas dan rapi itu.

Kesepian kamar tercemar apabila telefon bimbit yang terletak di atas meja samping katil menjerit dengan lantang. Bergema kamar dengan deringannya. Reno membuka mata. Berat dan perlahan. Berkeluh, tangan dengan malas dijulur mencapai telefonnya.

"Hello sayang, selamat pagi."

Bagaikan hendak muntah apabila mendengar suara di hujung talian lenggoknya sengaja dimanja-manjakan. Loya! Menggulung anak mata Reno. Bibir dicebir.

"Ya, selamat pagi," jawab Reno bagaikan tidak bertenaga. Dipaksanya bersuara. Mata yang separuh kantuk diseka dengan jari-jemari.

Perempuan di sisinya, dilirik. Perempuan berambut panjang keperangan kusut masai yang sedang lena diulit mimpi, selesa di sebalik selimut putih bersih, diamati. Kagum dan pelik Reno dengan sikap perempuan itu.

Walaupun sudah beberapa kali tidur bersama, sekatil, namun dirinya tidak pernah diizinkan disentuh, dijamah. Alasan kehormatannya kenapa dipagar rapi, ianya adalah untuk pemilik abadi. Reno bukan sahaja kagum, malah hormati keputusan perempuan itu.

"You dekat mana? Senyap aja!" suara di hujung talian bergema lagi di telinga Reno.

"I dekat rumahlah. Nak ada dekat mana lagi pagi-pagi buta macam ni?" balas Reno. Muka dironyokkan. Rasa terganggu di pagi hari Ahad mendapat panggilan yang tidak penting.

"You pecat Cik Ros?"

Reno mengurut dahinya. Efek minuman keras yang dia dan Amru berpesta sakan semalam, benar-benar membebankan diri di pagi hari. Kepalanya benar-benar terasa berat dan bengal.

Apa yang ditanya, Reno berusaha mengimbasnya kembali. Dalam-dalam dia menggali apa yang berlaku semalam.

"Ye, I dah pecat dia, dan I tak mahu tengok muka dia dekat situ lagi," jelas Reno tidak lama kemudian apabila tindakan yang diambil semalam melintas. Tegas dia bersuara.

"Kenapa sampai gitu sekali?" di hujung talian pertanyaan diaju lagi.

Reno berkeluh. Berat dan panjang. Rambutnya dijambak.

"I tak suka orang yang diberi amanah, dia tak tahu pikul. I tak suka! Dah berapa kali I bagi amaran, tapi sama jugak! Okeylah, jangan cakap pasal ni semua lagi boleh tak? Malaslah I nak bualkan benda yang tak berfaedah pagi-pagi buta ni!"

"Okey okey I mintak maaf. Tak perlu nak marah. Perkara kecik ni semua. Hmm, Reno... jumpa I dekat tempat biasa pukul sepuluh nanti. Kita sarapan sama-sama."

"Pukul sepuluh nanti?" Reno mengerutkan kening. Kepala yang masih mamai membuatnya seperti hilang arah.

"Ya, pukul sepuluh nanti. Sepuluh pagi! Bukan sepuluh malam. Itu bukan sarapan, tapi 'supper'!"

Anak mata Reno berlegar di dada siling, merayap bagaikan sedang menimbang duduk perkara. Rambut lurusnya yang sudah jatuh ke dahi, disapu dengan tangan. Perempuan di sisi sekali lagi dilirik.

"You dah dapat yang I suruh cari tu?" tanya Reno. Suara seakan berbisik. Telefon bimbit itu dieratkan ke telinga, penuh minat menanti jawapan.

"Jumpa nanti, kita boleh berbuallah. Pukul sepuluh, ye."

"Cakap ajalah sekarang! Apa bezanya cakap nanti dan sekarang?" Mahu sahaja Reno meninggikan suara, jika tidak kerana akan mengganggu rakan ranjangnya yang sedang lena.

"You ni, tak sabar sabar ye! Nanti I pergi sana, I tampar muka you dengan bibir I, baru you tahu!"

Dengan pantas Reno merenggangkan telefon bimbit yang sedang mencumbui telingannya, apabila di hujung talian menggaung ketawa. Sekali lagi anak matanya menggulung.

"I nak beritahu you sekali tentang 'customer' baru kita kat Singapura tu. So, you pergi siap-siap sekarang. I jumpa you nanti pukul sepuluh," jelas suara itu tenang penuh keyakinan.

"Hah, apa cerita dengan dia orang?"

"You turunlah! Nanti kita boleh bual panjang."

"Kenapa tak boleh beritahu sekarang? Apa masalahnya?" Reno jegilkan mata.

"Hello! Apa yang I nak beritahu ni penting. Profesional sikit boleh tak? Apalah you ni!"

Reno menggeleng. Berkeluh keinginannya tidak tertunai.

"Okeylah, jumpa sana! You tunggu nanti I datang."

"Baik, hensem. I akan tunggu walau apa sekali pun terjadi," berderai lagi ketawa di hujung talian memekakkan telinga Reno.

Jam di dinding ditujukan pandangan sebaik perbualan dimatikan. Jarum menunjukkan sudah hampir ke pukul sembilan pagi. Dikalihkan pandangan menatap sebentar perempuan yang masih lena itu. Membiarkannya, Reno bingkas menuju ke kamar mandi.

Seperti bunga layu disimbah air kembali segar, begitulah tubuh Reno di saat air dingin yang menyimbah bagaikan hujan membasahi tubuhnya yang berketak dan kekar. Kepala yang tadi terasa berat, kini ringan. Muka sembabnya kembali bersinar.

Berdiri menghadap cermin besar yang terlekat di dinding kamar, Reno mengangguk puas melihat dirinya sendiri yang sudah pun bersiap. Penampilan, seperti biasa. Gah!

Tersenyum Reno tiba-tiba apabila teringatkan sesuatu. Senyuman yang menyimbah di wajah, cukup menceritakan apa yang sedang melintas di benak. Menjentik jari, tanpa lengah Reno bertindak.

Mentari yang sudah agak tinggi memanjat hari, sinarnya lembut menjamah wajah Reno sebaik dia melangkah ke berandah. Angin sepoi-sepoi menyapa, membisikkan rahmatNya. Udara nyaman dan segar. Perlahan tanpa lengah diteruskan langkah ke taman yang menghiasi halaman rumah.

"Selamat pagi lambang cinta yang tidak ada duanya," ceria suara Reno sebaik sampai di taman itu, seceria senyumannya yang memenuhi wajah.

Mawar-mawar merah kelihatan bagaikan senang menyambut Reno. Memekar segar dan indah. Bergoyang-goyang bagaikan menari saat disapa hembusan angin pagi.

Penuh hati-hati dilunjurkan tangan memetik sekuntum yang paling segar dan terindah, lalu dibelek. Dicium mawar itu. Terpejam mata saat menikmati keharumannya yang begitu mengasyikkan dan menusuk. Beberapa detik kemudian, ke kamar kembali ditujukan langkah. Pantas dan lincah.

'I ada hal sikit. Jumpa lagi nanti, taman indah hatiku.'

Mawar merah yang dipetik tadi di taman, bersama kata-kata itu ditulis di sekeping nota kecil, lalu diletakkan di atas meja samping katil. Tanpa mengejut perempuan itu yang masih belum lagi tersedar dari lenanya yang panjang.

"Mimpi indah, sayang," ucap Reno sambil merenung mesra perempuan itu. Mencangkung di tepi katil menghadap perempuan itu yang masih dibuai mimpi, Reno memanjangkan tangan ingin membelai rambutnya. Namun terhenti apabila mengingatkan perempuan itu hanya mengizinkan lelaki yang dinikahi sahaja boleh menyentuhnya. Reno senyum, dan mematikan niatnya.

"Kita jumpa lagi nanti jambangan hati kiriman dari syurga," bingkas, Reno melayangkan kucupan lewat pandangan lalu beredar.

Tanpa lengah, Reno meninggalkan rumah agamnya yang tersergam di kawasan Danga. Kereta sport BMW model M6 Convertible warna merah menyala, dipacu. Memancar badannya yang berkilat dipanah sinar mentari pagi. Berdesup membawanya berlari ke tempat tujuan penuh gaya.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.