Home Novel Thriller/Aksi SMACK O
Bab 18

'Mereka ada kaitan.'

Amru mengurut dagu memikirkan butir SMS yang baharu sahaja diterima. Dinding di hadapan diarahkan pandangan. Mata berkedip-kedip cuba membayangkan.

Tanpa lengah, SMS itu kemudian dibalas. Amru mengangguk-angguk puas. Ada membuahkan hasil nampaknya. Walaupun sedikit, walaupun apa yang diinginkan tidak begitu jelas dan cerah.

'Hati-hati. Pegang peranannya baik-baik. Jangan sampai ketara. Bahaya!' - Bunyi SMS yang dibalas Amru.

Meletakkan telefon bimbitnya di atas meja, Amru menyandar. Mata terpejam. Kerusi kerja yang empuk baharu sahaja diganti, terasa begitu sekali selesa dan nyaman dengan penghawa dingin di dinding menghembus lembut.

Fikiran dibiarkan melayang ke mana-mana. Merehatkan minda bila berkesempatan. Tugas-tugas yang banyak belum lagi dapat diselesaikan, benar-benar menyedut tenaganya, secara fizikal juga mental. Senyuman kecil menjalar di bibir saat bayangan Reno melintas ruang mata. Genggamannya dikepal. Erat-erat.

Kembali membuka mata tidak lama kemudian saat kedengaran pintu pejabatnya diketuk. Amru memperkemaskan diri dan membetulkan duduk.

"Masuk masuk," menggema suara Amru menjemput. Pecah kesepian pejabatnya.

"Selamat pagi, tuan," seorang pemuda berpakaian kemas dan berbadan tegap, petugas Amru, menyapa dengan hormat sebaik melangkah masuk.

"Selamat pagi. Sila duduk."

"Ini fail yang tuan mintak tadi," suara petugas itu sebaik melabuhkan punggung.

"Hah, sampai pun. Lengkap tak semua info yang saya nak?"

"Lengkap, tuan. Semua info yang tuan perlukan ada di dalam fail ini. Saya dah periksa semuanya dan memastikan."

Lebar senyum Amru sambil mencapai fail yang dihulur petugasnya. Menyandar menyilang kaki, fail itu dibelek.

Amru tampak santai dan ranggi dengan berbaju T dan seluar jeans, serta sepatu Adidas kulit berwarna putih. Penampilannya, sama sekali tidak memperlihatkan dia seorang yang punya kedudukan, seorang yang dihormati di kalangannya.

"Ada apa-apa lagi tuan mahukan yang saya boleh bantu?" tanya petugas itu sebentar kemudian penuh hormat.

Amru mengangkat muka. Raut wajah tenang dan bersinar. Senyum dikibar buat petugas itu yang sentiasa bersiap melaksanakan tugas yang diarah.

"Hmmm... " Amru mengurut dagu, lalu menyelak-nyelak kandungan di dalam fail itu, "okey, nanti jika ada apa-apa yang saya perlukan, saya panggil awak. Biar saya semak dulu. Awak boleh pergi sekarang. Terima kasih banyak."

Amru menitipkan senyuman, sebelum petugas itu dengan penuh hormat meminta diri.

Ditinggalkan sendirian, fail itu diletak di atas meja dan dibuka. Badan ditegakkan. Mata perlahan merayap. Penuh tumpuan. Satu-persatu helaian kertas yang ada diselak, meneliti segala maklumat yang tertera.

Amru senyum lagi. Sinis kali ini! Pancaran sinar mata memberitahu dia sangat berpuas hati dengan segala maklumat yang baharu diterimanya tadi, yang diinginkan sangat dan begitu sekali penting.

Menutup kembali fail itu, Amru menyandar. Dinding di hadapan dilekatkan pandangan. Merenung, seolah-olah dia sedang menonton sebuah tayangan filem di dinding itu.

'Tupai oh tupai. Kalau tak ada tanah mungkin kau tak kan jatuh. Tapi kau lupa, tanah sentiasa bersiap-sedia menanti saatnya. Menanti saat bila kau akan jatuh!' bisikan hati diiring gelak kecil.

Seperti hendak memuaskan hati, fail itu kembali dicapai. Diselak lagi perlahan satu-persatu. Mata tajam meneliti. Mengangguk-angguk sebentar kemudian bagaikan isi kandung sudah pun dihafal.

Mencapai telefon pejabat, Amru membuat panggilan. Fail itu ditepuk-tepuk di peha sementara menanti panggilan dijawab. Raut wajah Amru tampak tenang, tetapi serius. Berdehem-dehem membetulkan kerongkong.

"Ishak... " bergetar suara Amru sebaik panggilannya dijawab, "awak datang ke pejabat saya sekejap."

Beberapa detik kemudian, orang yang dihajatkan sudah pun berada di pejabat Amru. Pantas, siap dan amanah petugas Amru itu memunculkan diri.

Berpakaian ranggi, kurus tinggi lampai, rambut agak kusut-masai mencecah bahu, pemuda itu tampak sugul. Berempat mata duduk menghadap, raut wajah masing-masing serius. Kedua-duanya, bibir kemarau senyuman.

"Bagaimana perkembangan, okey?" menyandar menyilang kaki, Amru bertanya. Aura seorang berpangkat dan berkedudukan, menyerlah di suaranya. Cahaya sinar mata seperti sang raja rimba.

"Sejauh ni alhamdulillah, tuan. Berjalan lancar semuanya. Tak ada apa-apa masalah," nada suara petugas Itu mengkhianati penampilannya. Tidak sejajar apa yang diperlihatkan. Suaranya tegas dan bertenaga.

"Seperti yang dirancang?" mata Amru melilau, merayap ke segenap susuk tubuh petugas yang berada di hadapannya.

"Seperti yang dirancang, tuan. Sejauh ni semuanya berjalan lancar. Licin seperti yang diinginkan, tuan."

Amru mengangguk-angguk mengerti. Berpuashati dengan laporan yang diberi petugasnya itu. Mata tajam merenung. Memantau keadaan pemuda itu.

"Habis, awak ada pergi check-up tak?"

"Ada, tuan. Tiap minggu tak pernah lepas."

"Bagus. Pastikan awak sentiasa dalam pemerhatian doktor. Saya tak mahu terjadi apa-apa ke atas diri awak. Jangan sampai parah tak terkawal."

"Saya tahu, tuan. Itu akan saya pastikan. Sejauh ni, semuanya terkawal."

"Bagus bagus. Itu yang saya nak dengar."

"Hmm... ada apa-apa lagi, tuan? Jika tak ada apa-apa, saya nak bersiap-siap pergi turun padang."

"Nak bersiap turun padang? Sekejap lagi?" Petugas itu hanya mengangguk menjawab pertanyaan Amru.

"Hmmm... baiklah, awak boleh pergi sekarang. Apa-apa perkembangan baru, jangan lupa beritahu saya."

"Siap, tuan. Ada apa-apa perkembangan, tuanlah orang pertama yang akan saya beritahu."

"Baik. Hati-hati. Selamat menjalankan tugas."

Bingkas dan memberi hormat, petugas itu beredar. Amru memerhatikan setiap susunan langkahnya yang berjalan seperti seorang wira. Rasa kagum dan simpati, serona di wajah Amru.

"Ishak... " panggil Amru ketika petugasnya sudah berada di muka pintu.

"Saya, tuan," jawab petugas itu tegas penuh hormat sebaik menoleh.

"Saya minta maaf kerana telah menyusahkan awak. Saya janji, akan memastikan awak kembali seperti dulu setelah selesai segalanya. Saya bertanggungjawab."

Sejak dari tadi, barulah kali ini petugas itu tersenyum. Amru membalas, dengan berat hati. Terharu melihat keadaan fizikal petugasnya yang selama ini telah memikul amanah, menjalankan tugas dengan cekap dan baik.

"Demi memastikan apa yang kita semua impikan tercapai, anggap saja apa yang saya buat ini adalah satu pengorbanan. Tuan, tanpa pengorbanan, tak kan wujud istilah cinta."

Amru mengacung ibu jari. Berbesar hati mendengar apa yang dikatakan. Kagum dan bangga dengan petugas yang begitu komited dan berdedikasi. Sanggup berkorban, meletakkan nyawa dan keselamatan sebagai cagaran demi mencapai matlamat dan tujuan yang diinginkan.

Perlahan Amru meletakkan kepala di penyandar sebaik pintu pejabatnya ditutup. Mata kembali dipejam. Rasa bersalah yang bersarang di dada diusirnya jauh-jauh. Fikiran dibiarkan melayang merayau. Entah mengelamun, entah memikirkan sesuatu.

Kembali membuka mata sebentar kemudian, telefon bimbit dicapai. Jari ligat menari menekan kunci kekata mengirim SMS. Tersenyum setelah sudah, apa yang siap dikirim dibaca.

'Reno, bila free jom ngeteh. Rindu pulak dengan kau.'

Amru senyum. Sinis!

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.