Home Novel Thriller/Aksi SMACK O
Bab 35

Anak jati Johor, Dila mengenali Reno sejak dia pertama kali berhijrah ke bumi bertuah itu bertujuan merubah nasibnya. Dila menyaksikan jatuh-bangun Reno. Menyaksikan bagaimana cekalnya dia, berusaha menggapai apa yang diimpikan dengan mengguna apa sahaja kaedah yang terhidang di hadapan matanya.

Namun tanpa pengetahuan Reno, Dila yang cintanya pernah ditolak Reno yang bersedia hanya berkawan rapat, mengenali Amru tidak lama kemudian. Melihatkan Dila berpotensi di dalam menjayakan segala urusannya, Amru menawar Dila bekerja dengannya secara sambilan. Dila bersetuju. Sejak hari itu, segala maklumat yang diperlukan Amru, khidmat Dila akan digunakan.

"Dia cakap sama macam yang you cakap tadi."

"Cakap tentang apa?" tanya Amru.

"Yang tadi you cakaplah I pandai berlakon tu!"

Amru mengeluh kecil. Dia tidak pasti sama ada apa yang dikatakan Dila itu adalah benar, atau pun hanya rekaan semata. Tetapi itu tidak begitu penting baginya. Ada yang jauh lebih penting daripada itu semua.

Menyandar duduk menyilang kaki, Amru mengetuk-ngetuk meja dengan jari-jemari. Agak lama juga dia memikir-mikirkan. Wajah Reno melintas. Memiringkan muka, Dila yang sedang membasahkan tekaknya dengan minuman yang terhidang, dipandang lurus-lurus.

"Dia tak ada cakap apa-apa pasal I? Mesti ada kan?" Amru membuka mulut.

Dila senyum. Cukup mengerti maksud pertanyaan itu. Sedar, ego kedua lelaki yang dikenalinya setinggi langit.

"Jujur kata, walaupun I ni memang menyampah dengan dia, I tak nafikan dia memang seorang yang 'gentleman'. Sejauh yang I tahu, dia tak pernah cakap hal buruk tentang you, juga tentang siapa-siapa. Dia mungkin jahat dan nakal, tapi mulut dia tak jahat dan tak suka ambil tahu hal orang. Dia begitu fokus dengan impiannya."

"You menyampah dengan dia? Ke sebenarnya dalam diam you 'admire' dia? Ngaku ajalah!" Amru gelak sinis.

"You jangan asal boleh cakap, okey. I tak suka!" Dila menjegilkan mata. Suara sedikit meninggi. Telunjuk diarahkan ke Amru dengan wajah serius.

"Mana tahu, kan? Lain di mulut, lain di pinggan."

"Apa? Lain di mulut, lain di pinggan? You cakap periuk kan lagi bagus!"

Pecah ketawa Dila serta-merta. Hilang tiba-tiba rasa marah. Terasa lucu mendengar ungkapan Amru. Bagaikan digeletek-geletek di pinggang dia ketawa. Amru pula hanya tersenyum memerhatikan. Raut wajah tenang.

"Betul tak I cakap?" Amru mengangkat kening. Merisik!

Dila menggeleng menidakkan. Pada masa yang sama berusaha membebaskan diri dari terus ketawa. Kelopak mata yang sudah basah ditekap dengan sehelai tisu. Perlahan agar tidak merosakkan celak yang melukis alis matanya. Dalam-dalam nafas dihela, Dila menekan mempertahankan pengakuan.

"Tak betul. Sama sekali tak betul. Itu tidak lain cuma imaginasi you! Khayalan you saja."

"Apa pulak tak betul? Apa pulak imaginasi I? Apa pulak khayalan I? You sendiri dulu yang beritahu I. Betul tak? You lupa ke apa? Bukan I yang buat cerita!"

Terkunci mulut Dila. Serta-merta! Teringat dahulu Amru pernah bertanya, merisik tentang hal Reno. Dila yang mengenali siapa diri Reno seperti dia mengenali telapak tangannya sendiri, ada Dila memberitahu Amru ketika itu asal-usul Reno. Memuntahkan segala, siapa diri Reno sebenarnya, juga perasaannya terhadap Reno.

Memang, Dila tidak dapat menafikan rasa cintanya terhadap Reno sejak mengenalinya. Sejak Reno masih bergelandangan lagi. Sejak Reno masih bekerja sambilan di warung sana-sini. Namun, Reno bertegas hanya ingin berkawan sahaja apabila Dila meluahkan rasa cintanya. Bertegas, hubungan mereka hanya boleh pergi hingga ke tahap kawan rapat sahaja.

Tanpa pengetahuan Reno pula, di sepanjang hubungan mereka, rasa cinta Dila bertukar menjadi dendam. Dendam kerana cintanya ditolak. Bersarang di dada dalam diam hingga ke hari ini rasa benci terhadap Reno. Begitu juga terhadap Sofea, rasa benci terhadap perempuan itu, meluap-luap. Tidak senang Dila melihat Sofea berhubung rapat dengan lelaki yang dipujanya.

"Itu dulu! Memang tak dinafikan I memang cintakan dia. Tapi sekarang tak lagi," lirih Dila tidak lama kemudian. Nada suara tenang dan bersahaja.

"Sebab cinta you tak berbalas? Tepuk sebelah tangan gitu?"

"Hello! You jangan cakap pasal ini lagi boleh tak? I tak sukalah. Menyampahlah I dengar!" Dila menjeling dan menarik muka.

Tajam Dila direnung Amru. Mengerti Dila sedang marah. Tidak senang kisah silamnya diungkit. Membetulkan duduknya kemudian, senyuman nipis Amru titipkan. Cuba menyejukkan hati Dila.

"You dah makan belum?"

"I tak selera!" Dila memberitahu tanpa memandang Amru.

"Alololo! Janganlah merajuk. Tak cunlah macam gini. Sesekali jumpa, manis-maniskanlah muka."

"I tak sukalah you cakap pasal tu semua. Serius ni I cakap!"

"Okey, I mintak maaf. I janji tak cakap lagi pasal tu semua."

"You janji? Dah berapa kali you janji, tapi tetap you cakap juga! Apa cerita?" ujar Dila dengan mengangkat muka. Rasa tidak senang dengan sikap Amru jelas terpancar.

"Okey, ini kali I cakap betul. I tak kan cakap lagi pasal tu. Ini kali I pegang janji I betul-betul."

Dila yang wajahnya tampak tegang, perlahan melirik memandang Amru. Tenang, Amru menawarkan senyuman saat anak mata mereka berlaga.

"I janji!" Amru menekan.

Dila mengangguk ringan. Mengirim isyarat, memberi Amru peluang sekali lagi buat mengotakan janji. Sinar mata Dila memberitahu, kali ini akan dipeluknya erat-erat janji itu.

Menyandar, menongkat dagu, di kegelapan malam yang mulai melebarkan sayap, Dila tebarkan pandangan. Kegelapan itu, gambaran cintanya terhadap Reno, yang mungkin tidak akan lagi menyinarkan sebarang harapan di dalam hidupnya. Kian lama, harapan itu jelas kian kelam dan suram. Sekelam dan sesuram raut wajahnya ketika itu.

"I janji tak sebut lagi," Amru ulangi. "Cuma satu perkara yang I rasa pelik... "

"Rasa pelik?" Dila memintas, "Tentang apa?"

"Info yang you kasi tu. Sampai sekarang I tak dapat cari bukti. Walaupun I dah pasang orang-orang I menyamar, tetap satu bukti pun tak dapat. Seolah-olah, perkara ni langsung tak wujud."

"I harap, I boleh beritahu you lebih dari apa yang I dah beritahu. Tapi... you sendiri tahu... "

"Ye, I faham. Tak ada sindiket yang akan dedahkan aktiviti mereka dengan senang-senang. You tenang aja. I akan usaha cari bukti."

Dila mengangguk-angguk. Pandangan jauh dilepaskan.

"Dila... " panggil Amru lembut, "nah ambik. You punya ni."

Mengalihkan pandangan, mata Dila jatuh ke sampul surat kuning yang dihulur Amru di atas meja. Diangkat mukanya, Amru dipandang.

"Sejauh ni, I memang kagum dengan cara you menjalankan tugas. Memang terbaik. Itu I tak boleh nafikan. I sangat berpuashati," jujur Amru memberitahu. "Ambik, itu you punya duit titik-peluh."

Perlahan Dila melunjurkan tangan mencapai apa yang diletakkan Amru di atas meja. Membuka sedikit penutupnya, Dila mengintip isinya. Membesar mata Dila.

Kelihatan, di dalamnya, dari remang-remang cahaya lampu yang menyinar, bertepek wang note 50 ringgit Malaysia. Amru kembali dipandang.

"Kenapa ni banyak sangat?"

"Itu tak banyak. Bila sudah selesai kerja semua nanti, you akan dapat lagi banyak dari ni."

Dila hanya berdiam. Tidak tahu apa yang harus dikatakan. Sampul surat yang berisi wang itu, digenggam erat-erat. Dipandang Amru tepat-tepat di muka.

"You hati-hati bila jalankan tugas," Amru menyambut pandangan Dila dengan peringatan. "Pastikan semuanya berjalan lancar dan licin."

Dila hanya mengangguk mendengarkan nasihat itu. Tidak berkedip mata memandang Amru.

"Dan kekalkan mutu lakonan you. Macam mana yang I cakap tadi, lakonan you memang kelas dunia. Memang terbaik." Amru menokok.

Dila menggariskan senyuman nipis. Bayangan Reno kembali bermain di ruang mata. Melambai-lambai cinta memanggil-manggilnya.

'Reno, kalau aku tak dapat kau, tak dapat cinta kau... aku akan pastikan tak ada orang lain akan dapat kau juga. Aku janji!' Dila berbisik di dalam hati.

'Masa akan memberitahu, Reno. Sama ada kau terlibat atau pun tidak, kita sama-sama tunggu dan lihat nanti. Aku akan buru kau sampai ke lubang cacing, Reno!' hati Amru turut berbisik.

Previous: Bab 34
Next: Bab 36

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.