Home Novel Thriller/Aksi SMACK O
Bab 19

"Mana kau nak dengar dulu? Berita baik, atau yang tak baik?"

Azlan senyum, tetapi senyumannya tawar dan hambar. Bibir dipaksa-paksa tarik membalas senyuman Zaid yang memanjang mencecah telinga.

Pagi-pagi buta sudah disarapankan dengan pertanyaan sebegitu, pertanyaan yang tidak diketahui hujung pangkalnya, ditambahkan lagi dengan masalah yang sedia ada, membuat Azlan sama sekali tidak bersemangat hendak bersenda. Di dalam hati, berat mengeluh.

"Apa-apa ajalah!" balas Azlan kemudian.

"Aku tanya kau ni betul-betul, brader. Bukan gurau! Kau nak dengar yang baik dulu atau yang tak baik?" tanya Zaid lagi, sambil memaut bahu Azlan keluar dari stor.

Bau petrol dan diesel menerkam keras, menyengat lubang hidung sebaik mereka keluar dari stor. Bau yang sudah sebati dalam kehidupan harian mereka berdua, sepertimana pekerja lain yang bekerja di situ. Terpaksa tabah mengharungi, menyesuaikan diri untuk mencari sesuap rezeki.

Kenderaan yang ada di pagi itu tampak agak lengang. Tidak seperti biasa sering sesak di hari yang sudah-sudah. Hanya beberapa buah kereta sahaja yang kelihatan sedang mengisi minyak. Namun, itu semua tidak membezakan apa-apa bagi Azlan. Masalah yang terus membeban, membuat perasaan sering terasa berat.

Sinar mentari memancar terik. Bilah-bilahnya merusuh menikam mata. Menggigit kulit tubuh, mengingatkan bagaimana nikmatnya memikul tanggungjawab. Untung angin yang menghembus menyumbangkan sedikit kedinginan. Meredakan sedikit kehangatan pagi hari itu.

"Ada bezanya ke?" tanya Azlan sambil mereka berjalan menuju ke tempat pam minyak. Azlan yang bertubuh kekar seperti seorang komando, tinggi dan tegap, membuat Zaid kelihatan kerdil berjalan di sisinya.

"Tergantung pada penerimaan kau. Mungkin ye mungkin tidak."

Azlan berdiam. Seperti sahaja sedang menimbang-nimbang duduk perkara. Anak mata bergerak ke kiri kanan, memikir-mikir.

"Cakap ajalah. Mana-mana pun boleh. Aku rasa tak ada bezanya pun. Cakap aja!" tegas Azlan kemudian.

"Okey brader, dengar sini baik-baik. Kau punya hutang, lagi tiga kali bayar habis," Zaid menjelaskan sambil menepuk-nepuk bahu Azlan seperti mengucapkan tahniah.

'Lagi tiga kali bayar baru habis?' bisik hati Azlan. Anak mata membesar.

Azlan memandang wajah Zaid yang memberitahu seolah-olah itu adalah perkara kecil, perkara yang boleh diselesaikannya sambil menutup mata. Begitu otak pantas berkira-kira, mengerjakan matematik.

Sebulan dua ratus lima puluh ringgit, kali tiga. Tujuh ratus lima puluh ringgit. Itu kira jika bayaran tidak tertunda, licin dan lancar. Jika bulan ini tertunda, sebulan tertunda sudah bertambah lagi dua ratus lima puluh ringgit. Jadi seribu ringgit. Itu jika sebulan tertunda. Jika dua bulan dan seterusnya? Jawabnya, bukan sahaja bunga jadi berlipat-ganda, malah dia, keluarganya juga Zaid, pasti akan berada di dalam keadaan bahaya.

Menyapu mukanya dengan telapak tangan kanan, dalam dan berat Azlan menghela nafas, "Itu kira berita baik ke tak baik?"

"Aku dah cakap tadi, tergantung pada penerimaan kau, kan?"

"Kalau tergantung pada penerimaan aku, jadi tak payahlah kau nak suruh aku pilih berita baik atau tak baik! Sama aja, kan?"

Azlan, pandangan jauh dilepaskan. Sama sekali tidak menghiraukan Zaid yang sedang bergelak. Sinar matanya suram dan kelam. Sepertinya, di mana mata memandang, di situ kelihatan beban. Seolah-olah segala beban di dalam kehidupan ini senang sekali mendekatinya. Bagaikan berasa senang mendampingi setiap langkahnya.

Azlan mengangguk. Mengerti. Yakin berita seterus yang akan disampaikan Zaid nanti, pasti tidak ada bezanya. Di dalam keadaan seperti ini, sebenarnya, tidak ada satu berita pun dapat membuat diri berasa gembira. Selain hanya berita mendapat durian runtuh. Satu berita mustahil akan didengar khabarnya.

"Okey, apa berita lagi satu? Cakap aja."

"Aku pelik! Benar-benar pelik!" Zaid memuntahkan tanpa lengah.

Azlan memicingkan mata. Dahinya yang luas berkerut. "Pelik? Apanya yang kau pelikkan?"

"Albert telefon aku tadi... "

"Albert telefon kau?" Azlan memotong. Rona wajah tiba-tiba memucat mendengar nama itu. "Apahal dia telefon kau?"

"Pelik, sebab dia selama ni tak pernah telefon aku," Zaid memberitahu dengan mimik muka.

"Okey, tu aku tahu. Tapi apa dia cakap? Pasal aku ke?" Azlan yang mendengar dengan penuh tumpuan, hati semakin berdebar.

"Ye. Dia cakap pasal kau!"

"Hah? Dia cakap pasal aku? Apa yang dia cakap?"

Azlan dilirik. Wajah pucat itu sekilas Zaid pandang. Dia sedar apa yang sedang difikir dan dirasakan Azlan. Debaran dada sahabatnya itu seperti bergendang di tepi telinganya.

Wajah bengis Albert, tubuh badan dipenuhi tatu sentiasa dikelilingi konco-konco yang tidak kurang bengisnya, melintas ruang mata Azlan. Dia sedar, bahaya yang mampu dituam samseng-samseng ini ke mukanya.

"Sebenarnya," kata Zaid lagi. "Dia telefon aku cakap pasal kau, itu tak begitu pelik... "

"Habis, apanya yang pelik?" sinar mata Azlan yang tajam merenung Zaid, sungguh menceritakan apa sedang dirasakannya ketika itu.

Dalam-dalam Zaid menghela nafas. Menggeleng-geleng. Raut wajah yang ditunjukkan, memberitahu Azlan, yang dia sendiri tidak percaya dengan apa Albert ada katakan kepadanya.

Azlan semakin cemas. Semakin tidak sabar menunggu Zaid memuntahkan semua. Memuntahkan kebenaran! Detik-detik yang bergerak, terasa seperti merangkak. Begitu lambat!

Tepat-tepat di muka, Zaid kemudian merenung Azlan. Hairan! Pelik! Itulah yang dirasakan Azlan ketika itu. Azlan benar-benar hairan dan pelik melihatkan ada segaris senyuman di bibir birat Zaid.

Kenapa Zaid tersenyum? Ada berita gembirakah ingin disampaikannya? Mustahil! Mana mungkin dia yang berhutang dengan si pemberi pinjaman wang haram, ada pula berita baik mahu disampaikan?

"Wehh!" Azlan menyergah. Terperanjat Zaid. "Apa yang dia cakaplah!"

"Errr... dia cakap, kalau kau tak ada duit nak bayar, jangan paksa diri," spontan Zaid meluahkan.

"Eh, brader!" Azlan mendekati Zaid yang sedang duduk di bangku tepi pam minyak. "Engkau ni bergurau ke apa? Engkau ingatkan kelakar?"

Zaid menggeleng, "kenapa? Kau tak percaya ke dengan apa yang aku cakap? Kau ingat aku buat lawak?"

"Eh, Zaid! Macam mana aku nak percaya dengan kau punya cakap? Mustahil dia akan cakap gitu! Dia orang ni berniaga duit, kau tahu tak?"

Membuang muka, Zaid berkeluh. Raut wajah tampak bengang. Marah apa yang diberitahunya, disangka hanya satu sendaan. Azlan kembali dipandang sebentar kemudian.

"Kau lupa ke apa yang aku cakap tadi, aku sendiri pelik dengan apa yang dia beritahu? Lupa?" Zaid mengangkat kening.

"Itu aku ingat! Tapi tak kan dia cakap macam gitu?"

"Habis, aku nak cakap macam mana lagi kalau dia dah cakap macam gitu? Kau ingat aku ni saja ada-adakan cerita? Gitu?" Zaid menjeling. Tajam dan sinis.

"Okey, Zaid! Kau tengok sini!"

Perlahan Zaid kalihkan pandangan. Mata bundarnya membalas renungan tajam Azlan. Sejajar, setajam dan saling menikam.

"Ada apa?" tanya Zaid ringkas.

"Kau tak bohong, kan?"

"Apa kata, kalau kau telefon dia sendiri? Jadi kau boleh tahu kalau aku ni bohong atau tak! Okey?"

Azlan terdiam. Hilang kata-kata. Dia tidak dapat menafikan apa yang dikata si peminjam wang haram itu memang benar-benar pelik, jika apa yang dikatakan Zaid, adalah benar.

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.