Home Novel Thriller/Aksi SMACK O
Bab 30

"Ikan tak mungkin dapat dikail tanpa umpan. Tak mungkin!"

Ishak mengangguk setuju. Kata-kata yang baru merangkak keluar dari mulut Amru, tidak dapat dinafikan kebenarannya. Duduk menghadap Amru di pejabatnya, Ishak terus sahaja memasang telinga. Sedar, Amru belum lagi selesai bicara.

Amru tampak muram. Kegelisahan bergayut terus di hati sejak kebelakangan ini. Apa yang diinginkan, sejauh ini, belum lagi menampakkan hasil. Sedangkan waktu kian suntuk. Jangkanya kian sempit dan mendekat. Namun bukti yang kukuh, belum juga dapat digali.

Telefon bimbit yang dipegang, dipusing-pusing di atas meja. Dibuatnya main-main. Namun tumpuan bukan di telefon bimbit itu. Tumpuan yang sebenar, adalah apa yang sedang direnungkan, kes yang begitu sekali rumit hendak diselesaikannya.

Amru menggeleng. "Tapi nampaknya... ikan ini memang liat sangat. Memang jenis yang bijak! Tak makan umpan!"

Ishak tersenyum dan mengangguk setuju. "Memang benar, tuan. Sejauh ini, nampaknya begitu. Saya pun tak boleh menafikan, dia ini memang licik. Permainannya sungguh licin, tuan. Saya tengok, dia ini seperti 'invisible'."

"Betul awak cakap, Ishak. Saya pun boleh kata, dia ini memang macam 'invisible'. Tapi... "

SMS yang tiba-tiba masuk di telefon bimbit Amru, serta-merta mematikan perbualan. Dikalihkan tumpuan. Sepertinya, pesanan ringkas itu ada membawa khabar penting, melihatkan nama si pengirim.

SMS yang ditunggu-tunggunya!

Matanya tidak berkedip, merayap di muka skrin membaca isi pesanan yang dikirim.

'Maaf, tuan. Mungkin kali ini saya gagal. Sejauh ini, saya tak dapat gali apa-apa.'

Menyilang kaki, Amru menyandarkan kepala di kerusi empuk itu. Hatinya semakin terasa berat dengan apa yang baharu diterima. Berkeluh-kesah di hati paling dalam. Kesemuanya, kelihatan seperti tidak ke arah sebagaimana yang diinginkan.

Dada siling ditujukan pandangan. Mata liar berlari di setiap penjuru yang terjangkau. Memikir, mencari jalan keluar. Mencari anak kunci yang dapat memecahkan dinding segala kebuntuan.

SMS itu dibaca lagi. Sebentar memikir-mikir, lalu dibalas.

'Jangan putus asa. Teruskan peranannya. Tapi hati-hati. Jangan sampai awak terbuai dengan kata-katanya. Itu boleh membahayakan diri awak dan semua.'

"Tuan," panggil Ishak membuat Amru kembali memandangnya. "Tak boleh ke kita terus tangkap aja dia? Kan senang?"

"Boleh. Tapi bukti apa yang boleh letak dia di tali gantung? Kalau setakat nak sumbat dia ke penjara, kita tak perlu susah-susah. Mungkin dari dulu pun boleh." Amru berhenti menghela nafas. "Kalau kita tangkap dia sekarang, paling-paling dia cuma kena hukuman ringan. Sejajar ke? Sedangkan info yang kita terima, dia adalah ahli kumpulan sindiket besar. Jadi, saya mahu dia terima hukuman yang wajar."

"Betul apa yang tuan cakap tu. Saya setuju sangat. Hukuman harus sejajar dengan kesalahan yang dilakukan. Baru adil."

"Itulah sebabnya saya mati mati mahukan bukti. Saya perlukan bukti kukuh untuk membuktikan yang dia tu benar-benar bersalah. Jika tidak, dia akan terlepas begitu saja."

Amru menggeleng berat. Kesal dan hampa jelas ada tergantung di wajahnya. Kerongkong kelihatan bergerak-gerak menelan ludah. Bayangan suspek, terus sahaja berlegar di ruang mata mengejek-ejeknya.

"Saya mahu lenyapkan dia dari muka bumi ini!" kata Amru lagi bersungguh. "Orang yang macam gini, yang merosak dan menghancurkan masyarakat, memporak-perandakan para remaja dan meruntuhkan banyak keluarga demi kepentingan diri, tak layak hidup di samping kita. Tak layak! Sama sekali tidak!"

"Betul, tuan. Itulah undang-undang dunia, selagi tak ada bukti yang diketengahkan, selagi itulah yang ada buat salah pun sampai bila-bila tak kan dikira bersalah."

Amru mengangguk. Sangat setuju dengan apa dikatakan Ishak. Jauh dia merenung mengimbas kembali kes-kes yang pernah dikendalikannya selama ini. Kes-kes dipecahkan kebuntuannya dengan begitu mudah, tanpa sebarang masalah menggali bukti yang diperlukan. Tetapi kes ini, sedang ditanganinya, tampak begitu sulit. Tidak nampak sama sekali jalan untuk mengatasinya. Sehingga kadangkala dia sendiri merasakan info yang diterimanya ini, adalah satu info palsu. Namun nalurinya mengatakan sebalik.

Ishak yang sedang duduk memeluk tubuh, Amru pandang. Penghawa dingin pejabat yang kedinginannya hanya sederhana, tampak begitu menggigit baginya. Dia yang sanggup berkorbankan nyawa dan keselamatan, juga kesihatan demi kepentingan masyarakat, seluruh tubuh badannya yang kurus itu diamati Amru.

Pegawai yang terpaksa dipasang, menyusup dan bergaul dengan lingkungan penagih dadah untuk menggali info lebih lanjut dari bawah, keadaannya sekarang ini adalah gambaran keruntuhan para remaja. Amru sedar, sejak dari dahulu sudah sedar, malapetaka ini tidak boleh dibiarkan terus berleluasa. Amru bertekad, bersumpah sejak mula dinaikkan pangkat mengetuai unit, akan terus memerangi gejala ini. Habis-habisan!

"Bila terakhir kali awak pergi check-up?" Amru membuka mulut. Ciri-ciri seorang ketua dapat didengar dari nada suaranya.

"Semalam, tuan." Amru mengangguk. Menongkat dagu, Ishak dipandang rapi-rapi. Pandangannya menyelidik, ingin memastikan Ishak orang bawahannya sentiasa di dalam keadaan terkawal.

"Kes selesai nanti, saya akan hantar awak ke pusat Serenti."

Pecah ketawa Ishak mendengar sendaan ketuanya. Sekilas dia melirik keadaan diri sendiri. Raut wajahnya tenang, seolah-olah reda tugasnya itu memerlukan pengorbanan.

"Errr, tuan. Agak-agak tuan, dia pun ada hisap tak benda haram jadah ni?"

"Dia hisap benda ni?" Amru ketawa kecil sambil menggeleng. "Orang yang macam dia ni tak bodoh. Tahu benda ni tak menguntungkan hidup. Tahu yang hisap benda ni tak ubah macam bunuh diri secara perlahan. Orang macam dia ni sedar, hanya orang bodoh saja hisap benda ni. Mereka sedar, benda haram jadah ni akan meruntuhkan kehidupan. Akan memporak-perandakan segalanya. Hidup akan hilang arah sehingga lenyap moral dan imej di mata masyarakat. Mereka sedar, ini adalah agenda komunis mahu menghancurkan masyarakat, terutama sekali para remaja. Apabila remaja iaitu pemimpin esok hari sudah dapat dihancurkan, maka mudahlah nanti komunis boleh tawan negara dan bangsa kita. Orang macam dia tak bodoh."

Menyandar, Ishak yang sedang memasang telinga disedekahkan senyuman. Amru sedar, Ishak yang baharu juga ditukarkan ke bahagian anti-narkotik, pengetahuannya tentang ini semua tidak sedalam mana. Namun dedikasi yang ditunjukkan pegawai rendahnya itu cukup mengkagumkan.

"Ishak," lirih Amru, "Orang yang seperti ini, pengedar dadah, di kepala otak mereka cuma duit saja. Mereka tak kan hisap benda ni. Sebab mereka tahu, sesiapa yang hisap benda ni, duit setinggi gunung pun lama-lama akan jadi rata. Hisap dadah ni macam makan nasi. Malah lebih teruk! Sudahlah tiap hari nak, malah jumlah yang diperlukan semakin hari semakin bertambah banyak. Itulah sebabnya, dadah ni adalah ibu segala jenayah! Tapi dengan mengedar dadah saja, hidup dengan cepat boleh kaya-raya. Tapi untung apa, jika leher sentiasa dekat dengan tali gantung?"

"Memang wajar mereka digantung sampai mati, tuan. Mencari kekayaan di atas penderitaan orang lain, itu dikira zalim. Saya memang tak setuju cara seperti ini. Itulah sebabnya saya sanggup jalankan tugas yang diberi dengan sebaiknya," ujar Ishak.

Amru bingkas menuju ke jendela. Kedua tangan menyeluk saku jeansnya, pandangan dilontarkan jauh ke luar sana. Hatinya yang sedang dicengkam kegalauan, sebak mengenang nasib anak bangsa, yang tidak bersalah menjadi mangsa. Dan akhirnya, seluruh keluarga terpaksa juga menanggung nasib yang tidak kurang malangnya. Gara-gara pengedar dadah mahu mengaut kekayaan dengan cara mudah.

Menoleh, Ishak yang sedang memandangnya, disatukan pandangan. Erat terikat. Jelas dapat dilihat Ishak di waktu itu, sinar mata Amru memancarkan ketidakpuasan hati. Merah menyala sinar mata Amru.

"Ishak," lirih Amru, "Apabila seseorang itu terlibat dengan dadah, bererti bukan saja dia yang menjadi mangsa, tetapi seluruh keluarganya turut menanggung beban. Ishak, kita tidak boleh duduk diam. Kita harus perangi gejala ini habis-habisan. Kita cari bukti dan kirim nyawanya ke neraka!"

"Siap, tuan! Saya sentiasa bersiap!"

Mengangguk, Amru kembali menghadap jendela.

'Tapi di mana buktinya? Di mana?' gaung hati kecil Amru yang paling dalam.

Previous: Bab 29
Next: Bab 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.