Home Novel Thriller/Aksi SMACK O
Bab 21

Teh tarik hangat yang disodor pelayan warung makan, menarik perhatian Azlan. Aromanya seperti mempunyai satu kuasa luarbiasa. Pandangan yang sedang erat terikat, dengan sendirinya terlerai. Azlan menjatuhkan matanya ke minuman itu yang tampak begitu pekat dan menyelerakan.

Sofea senyum. Sinar matanya mesra memerhatikan Azlan. Raut wajah kelihatan begitu bersemangat dan berkobar-kobar, seperti ada sesuatu yang begitu penting hendak dibicarakannya. Tidak seperti awal tadi, sikap seperti seekor singa.

Sebentar warung makan yang terletak di belakang stesen minyak Jalan Storey tempat Azlan bekerja, Sofea kitari. Pelanggan di pagi itu tidak begitu ramai. Keadaan agak lengang dan sunyi. Hanya beberapa meja sahaja kelihatan dipenuhi.

"Awak boleh memandu, kan Lan?" Sofea tiba-tiba bertanya mencari kepastian.

"Ye boleh. Cuma saya tak ada kereta aja. Tak mampu nak beli. Tak ada duit," beritahu Azlan dengan gelak kecil.

Sofea mengangguk mendengar penjelasan Azlan itu. Senyumannya melebar seperti diri sedang berada di satu lorong yang gelap, tiba-tiba terlihat cahaya di penghujungnya.

Azlan, menatap Sofea dengan rasa kagum. Kagum dengan penjelasan Sofea tadi tentang siapa dirinya yang sebenar. Dia memang sedar sejak pertama kali bertentang mata, dari penampilannya, dia yakin Sofea adalah seorang yang berkedudukan dan berpunya. Namun dia sama sekali tidak menyangka, perempuan yang penampilannya seperti seorang peragawati itu adalah pemilik sebuah syarikat courier.

"Bagaimana, Lan?" Sofea bersuara, berusaha meyakinkan Azlan. "Awak nak tak kerja yang saya tawarkan tadi tu?"

Azlan menunduk. Rona wajah seperti memberitahu ada perkara yang agak mengganggu. Telunjuk disinggahkan ke gelas teh leka bermain mengelilingi bibirnya bagaikan sedang memikirkan sesuatu.

Azlan mengangkat muka memandang Sofea seketika kemudian. Dari sinar mata yang terpancar, dapat Sofea merasakan Azlan seperti kurang yakin dengan apa yang ditawarnya tadi. Seperti sahaja ada sesuatu yang memberatkan hatinya.

"Buat pengetahuan awak, sekarang ni syarikat saya sangat memerlukan pekerja. Banyak pekerjaan penting yang harus diselesaikan cepat. Dan saya rasa, awak boleh buat kerjanya. Tak susah mana pun, Lan," kata Sofea lagi memberi keyakinan.

"Kerjanya, macam mana tu? Buat apa sebenarnya?" tanya Azlan. Teh diteguk. Perlahan sedikit-sedikit sambil mata tajam merenung Sofea menantikan penjelasan.

"Hantar-hantar barang ke semerata Johor. Sekali-sekali kirim ke Singapura."

"Gitu aja? Senang juga nampak kerjanya. Tapi... macam mana saya nak hantar barang ke Singapura kalau saya tak ada pasport?"

Teh yang sejak dari tadi terhidang, Sofea meneguk sedikit. Wajahnya tampak tenang dan lega dengan tindak-balas yang diterimanya. Azlan kembali dipandang. Diteliti setiap garis yang ada di wajah itu.

"Lan... saya sebagai bos awak nanti, akan uruskan itu semua. Itu tanggungjawab dan tugas saya. Awak tak perlu risau. Semua saya akan siapkan," Sofea, sungguh-sungguh memberi jaminan.

"Jadi... maksud awak, saya tak perlu keluarkan duit untuk buat pasport tu?"

Sofea mengangguk sambil tersenyum. Berusaha keras untuk meyakinkan Azlan.

"Ye, Lan. Macam mana yang saya cakap tadi, awak tak perlu risau tentang tu semua. Jika perlu, mungkin saya akan buatkan juga pasport untuk anak-isteri awak."

"Pasport untuk anak-isteri saya?" terbelalak Azlan. Penjelasan Sofea itu sama sekali tidak diduga. "Kenapa awak nak buatkan pasport untuk mereka? Apa kena-mengena mereka dengan kerja saya?"

Bersinar mata Sofea mendengar pertanyaan itu. Dalam-dalam nafas dihela. Dipandang Azlan rapi-rapi dengan senyuman kian melebar. Gelas teh itu dicapai lagi.

"Awak tak mahu sekali sekala ajak keluarganya berlibur dan berhibur di sana? Sambil menjalankan tugas, sambil melancung. Tak mahu?"

"Maksud awak?" berkerut dahi Azlan. Seperti tidak percaya dengan apa yang baharu didengar. Seperti bermimpi.

"Maksud saya, awak dibenarkan berlibur setelah selesai tugasnya. Setelah selesai mengirim barang yang dipesan pelanggan, awak tak perlu buru-buru pulang. Awak bebas nak buat apa dengan masa yang bersisa di sana. Dan syarikat akan beri juga sedikit duit poket untuk perbelanjaan awak nanti."

Membuntang Azlan mendengar penjelasan itu. Sinar matanya serta-merta menjerit meriah. Tawaran yang dibentangkan Sofea, begitu sekali teruja dan menggoda. Melonjak-lonjak hati dengan sendirinya keghairahan.

Teringat Aisha. Teringat Izwan. Terbayang kegembiraan mereka berpeluang berlibur di negara jiran tetangga nanti, yang selama hidup tidak pernah mereka jejaki.

"Gajinya berapa sebulan?" tanpa Azlan sedar, di dalam keghairahan, pertanyaan itu menyembur dari mulutnya.

"Sebagai permulaan, saya akan beri awak dua ribu ringgit sebulan."

"Dua ribu ringgit sebulan?" ternganga Azlan. Diraba-raba lengannya bagaikan ingin mengingatkan diri sendiri yang dia bukan bermimpi.

"Bukan itu saja, Lan... " suara Sofea mati di situ. Teh yang sudah agak dingin itu dicapai. Diteguk sambil merenung Azlan. Renungannya jauh, dalam dan menusuk.

Azlan spontan menegakkan badan. Berkobar dan tidak sabar lagi ingin mendengar tawaran yang sedang menantinya. Dia yakin, tawaran yang akan dinyatakan Sofea, pasti dapat memberinya keuntungan yang menjanjikan.

"Lan... " panggil Sofea sambil meletak kembali tehnya di atas meja.

Pantas Azlan memajukan wajah menyambut mata Sofea. Berkobar-kobar memasang telinga. Mata tidak berkedip memandang wanita muda di hadapannya. Hati semakin berdebar-debar.

"Jika awak sudi terima tawaran saya," sambung Sofea perlahan. Detik-detik yang dinantikan Azlan, terasa begitu lama sekali tiba, "duit enam ratus ringgit yang awak hutang saya tu, awak tak perlu bayar. Kira langsai."

"Kira langsai? Kira saya tak perlu bayar? Betul ke apa yang awak cakap ni? Betul ke?"

Sukar Azlan hendak mempercayainya. Namun kegembiraan yang amat sangat, di matanya, sudah bersiap mahu meledak. Hanya menanti saat sahaja untuk meletus.

"Betul, Lan. Saya tak bohong. Saya janji tak akan tagih. Dan bukan itu saja. Jika hari Isnin ini awak boleh memulakan kerja, enam ratus ringgit juga saya akan beri sebagai pendahuluan gaji."

Seperti mahu melompat Azlan dari kerusi yang sedang diduduknya. Melonjak sakan hati. Sememangnya, itulah yang diingin dan diharapkan sangat selama ini, mendapat pekerjaan yang menawarkan gaji yang bagus dan lumayan.

Azlan ketika itu, bukan sahaja tidak ubah seperti orang mengantuk disorongkan bantal, malah disorongkan tilam dan selimut juga. Tawaran Sofea, bukan sahaja begitu lumayan, malah memberinya peluang mengajak Aisha dan Izwan bersiar-siar berlibur di Singapura. Memberi mereka kesempatan bergembira melawat negara jiran tetangga.

Seketika Azlan merenung nasibnya. Dia benar-benar seperti tidak percaya musibah yang selama ini tidak henti memburu, dengan sekelip mata berubah menjadi satu keberuntungan buat dirinya. Tiba-tiba sahaja, nasib yang baik menyelinap dan berpihak kepadanya.

"Jadi bagaimana, Lan? Setuju tak?"

Azlan, tajam merenung Sofea yang sedang tersenyum menantikan jawapan. Dikalihkan pandangan sesaat kemudian memandang stesen minyak yang dapat dilihat dengan jelas dari tempat duduknya. Stesen minyak yang selama ini telah menabur jasa, memberi sesuap rezeki buatnya dan keluarga. Azlan menggeleng-geleng.

Melihatkan gelagat Azlan, Sofea yang tadi senyum memanjang dan mengundang, senyuman itu serta-merta mati. Berkerut dahi Sofea. Hairan dengan sikap yang dipertontonkan Azlan.

Anak mata mereka kembali berlaga sebentar kemudian.

"Saya rasa," lirih Azlan, "macam nak berhenti kerja sekarang juga."

Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.