Home Novel Thriller/Aksi SMACK O
Bab 38

Reno memecut keretanya. Meredah jalanraya yang di waktu itu agak sepi dan lengang, seolah-olah nyawa dan keselamatan dirinya juga pengguna jalanraya yang lain, sama sekali tidak punya nilai dan harga. Buru-buru berdesup ke tempat tujuan.

Sekejap-sekejap jam tangan dijeling. Sepertinya, dia sedang mengejar sesuatu yang sangat penting. Namun matanya tetap awas ditujukan ke arah jalanraya. Memecut dengan berhati-hati.

Palm Resort Golf and Country Club yang terletak di Off Jalan Jumbo, Senai, menyambut ketibaan tidak lama kemudian. Menggeleng-geleng Reno sebaik keluar dari perut kereta. Sendiri bagaikan tidak percaya, dia cuma mengambil masa tidak sampai setengah jam dari pejabatnya di kawasan bandar ke tempat yang berprestij itu.

Berdiri memandang jendela kereta, Reno memperbetulkan duduk kacamata hitamnya. Memperkemaskan rambut dan blazer yang dipakai. Membelek sebentar bayangannya lewat kaca jendela kereta itu, lalu pantas melangkah ke tempat tujuan.

Reno memang berkarisma. Tampan, kacak dan bergaya. Auranya menarik perhatian staf-staf perempuan di situ ketika dia sedang berjalan ke tempat tujuan. Namun Reno tidak ambil peduli. Baginya, itu semua adalah satu perkara biasa.

"Selamat pagi, Mr Wong."

Dengan penuh hormat Reno menyapa seorang lelaki yang sedang duduk bersendirian bersarapan. Dalam-dalam Reno menghela nafas. Jam tangan dilirik. Berasa lega sampai di Golfers' Terrace, salah sebuah cafe yang terdapat disitu tepat pada waktu yang dijanji.

Lelaki yang disapa itu berbangsa Cina. Usianya sekitar 50'an. Mendongak saat mendengar sapaan itu. Dengan senyum penuh di muka, Reno menyambut pandangannya.

"Dah lama tunggu?"

Senyuman Reno tidak mendapat balasan. Pertanyaannya juga tidak dijawab.

"Sila duduk," pelawa lelaki itu ringkas, dan berbau arahan. Sikapnya sejajar raut wajah, dingin dan tegang.

"Terima kasih," lirih Reno sambil menarik kerusi. Akur.

Berkemeja putih dan dikenakan suit serba hitam, serta tali leher berwarna biru tua, raut wajah dan gaya lelaki itu tidak ubah seperti ketua samseng di dalam filem-filem Hong Kong. Raut wajah serius, dan miskin senyuman.

Reno menghulurkan tangan. Mereka bersalaman. Dapat dia merasakan kekuatan lelaki itu saat tangannya erat digenggam.

"Awak sudah sarapan?" tanya lelaki itu sebaik Reno duduk mengambil tempat di sisinya.

"Sudah tadi, Mr Wong. Terima kasih."

Mengangguk, lelaki itu menjulang tangan memanggil pelayan cafe yang sentiasa bersiap menjalankan tugas melayani kehendak pengunjung. Reno kembali dipandangnya.

"Awak apa khabar?" Lelaki itu berbasa-basi.

"Seperti biasa, bagus selalu. Mr Wong pulak apa khabar?"

Lelaki itu mengangkat mata dari pinggan sarapannya. Pertanyaan Reno dibalas hanya dengan renungan.

Sekilas membalas renungan lelaki itu, melepaskan kacamatanya, menyandar, Reno melontarkan pandangan di hadapan.

Saujana mata memandang, golf course yang terbentang luas. Hamparannya, tampak hijau keemasan disimbah cahaya mentari yang sedang menanjak. Pohon-pohon rendang yang menghiasi persekitarannya, menari-nari melambai dibelai angin pagi, menambahkan lagi keindahan mata memandang.

Di cafe itu yang ruangnya lapang dan berkonsep terbuka, suasananya sunyi, tenang dan aman. Sehinggakan derap langkah pelayan yang menghampiri meja mereka pun boleh kedengaran.

"Ambilkan encik ini Teh Cina panas," arah lelaki itu sebaik pelayan itu tiba di meja mereka.

Mengenakan kemeja putih lengan panjang dan vest berwarna hitam serta seluar yang warnanya serupa, pelayan itu lambang taraf cafe tersebut. Sepatu kulit hitamnya, berkilau memancar.

Reno bertukar senyuman saat matanya bertemu dengan pelayan berbangsa India itu.

"Saya ingat awak tak datang tadi," lelaki itu memulakan bicara sebaik pelayan itu pergi. Nada suaranya tajam dan keras.

"Mana boleh tak datang, Mr Wong. Janji harus ditepati. Lebih-lebih lagi ini perkara penting Mr Wong mahu bincang."

"Bagus. Saya tahu awak tak akan mungkir janji. Saya tahu awak pasti datang."

Reno senyum sambil membetulkan duduk. Menyelesakan diri cuba mengatasi ketegangan yang sedang mencengkam keadaan dan perasaannya. Entah kenapa, hati berdebar-debar. Namun dia tampak biasa-biasa. Raut wajahnya yang tenang, menyembunyikan apa yang sebenar sedang dirasa.

"Bagaimana bisnis awak sejauh ini. Maksud saya itu Smack-O. Ada bagus?" tanya lelaki itu sambil mencapai kopinya. Riak wajah tampak bersungguh-sungguh ingin tahu.

"Bagus, Mr Wong. Sejauh ini memang bagus. Tak ada apa-apa masalah. Semua berjalan lancar."

Lelaki itu mengangguk-angguk bagaikan mengucap tahniah. 'Croissant egg', hidangan sarapannya yang masih banyak bersisa, ditolak ke tepi. Napkin di atas meja dicapai. Mulut dan tangan dikesat.

"Sofea pula bagaimana? Bagus jugakah? Mesti bagus, kan?" mata lelaki yang tajam itu, memandang Reno sudah seperti 'dart board'.

"Sofea? Dia seperti biasa, Mr Wong. Semakin sihat dan semakin nakal."

"Semakin nakal?"

"Ya, Mr Wong. Dia sekarang semakin nakal. Nakal sangat!"

"Wow! Saya suka. Saya suka!"

Terkekek lelaki itu tiba-tiba. Dengan rasa senang ketawa mendengar penjelasan Reno yang bersahaja. Pecah sepi ruang cafe. Suasana yang tadi agak tegang, serta-merta berubah menjadi santai dengan sendaan Reno.

Reno hanya senyum kecil. Namun di hati yang dalam berasa senang melihat tingkah lelaki itu berubah dengan sekelip mata.

"Sudah lama saya tak jumpa dia. Saya yakin dia mesti semakin cantik," sambung lelaki itu dengan senyum meleret.

"Ya, Mr Wong. Dia bukan saja semakin cantik, tapi mungkin semakin rindu sama Mr Wong."

Lelaki itu terkekek lagi. Sehingga terkatup matanya yang sepet dan kecil. Digenggam kedua tangannya erat-erat, memperlihatkan rasa senang di hati.

"Betul! Betul tu, Reno. Sofea mesti semakin rindu sama saya," telunjuk kanan digoyang-goyang ke arah Reno, bersuara sambil ketawa. "Sebab apa dia semakin rindu? Sebab... dia banyak sayang sama saya. Saya tahu itu!"

Reno mengangguk setuju. Tenang, hanya tersenyum melayan ketawa lelaki itu yang semakin menjadi-jadi. Mata bersinar-sinar memerhatikan keletahnya. Sememangnya itu yang diinginkan Reno, melihat orang yang digantungkan perniagaannya, merasa senang.

"Kenapa tadi awak tak bawak dia jumpa sama saya sekali?" sambung lelaki itu setelah ketawanya reda. Anak mata bergerak ke kiri-kanan memandang Reno mencari penjelasan.

"Bukan saya tak mahu bawak dia tadi jumpa sama Mr Wong. Tapi Mr Wong sendiri tahu, kita ada hal penting dan rahsia yang mahu dibincangkan."

"Bukan rahsia besar macam mana pun. Ini perkara nanti dia akan tahu juga. Dia kan awak punya bisnis partner. Betul?"

Tersengih Reno. Telunjuk kanan disinggahkan ke pipi. Menggaru sambil mempamerkan wajah bersalah.

"Ya, betul Mr Wong cakap. Hmmm... saya minta maaf. Lain kali saya akan bawak dia sekali. Jadi, Mr Wong boleh jumpa sama dia. Saya yakin, dia pun pasti mahu jumpa sama Mr Wong."

"Tak apa. Perkara kecil," ujar lelaki itu lalu meneguk sedikit kopinya. "Reno, kalau awak nak tahu, saya sudah ada beli satu resort di Phuket. Sekarang itu tempat masih lagi 'renovate'. Nanti bila sudah siap, 'opening ceremony', saya mahu awak datang sama Sofea. Kita 'celebrate' sama-sama."

"Di Phuket? Kenapa beli di Phuket, Mr Wong?"

"Dekat sama rumah saya maa! Betul?"

Reno tersenyum sipu. Dia sedar, pertanyaannya itu kedengaran bodoh. Baharu sahaja Reno mahu membuka mulut bersuara, pelayan tadi muncul kembali dengan apa yang dipesan.

Reno menyandar. Dikunci mulutnya. Menahan sebentar apa yang ingin dikata. Senyuman mesra dilayangkan sekali lagi buat pelayan itu sebelum dia beredar.

Sekilas Reno mengitari ruang cafe itu. Pengunjung yang ada kelihatan tidak begitu ramai. Hanya memenuhi beberapa meja sahaja, bersantai dengan dunia mereka sendiri jauh dari mejanya.

"Mr Wong," panggil Reno. Nada suara bagaikan berbisik penuh hormat. "Apa hal penting yang Mr Wong mahu beritahu sama saya?"

Lelaki itu senyum. Tajam memandang Reno. Menyilang kaki menyandar, wajah Reno diamati lurus-lurus. Bulat-bulat matanya menelan Reno.

Hati Reno kembali berdebar. Aksi lelaki itu, secara mendadak berubah, membuat Reno berasa tidak selesa. Terasa waktu bagaikan merangkak di saat itu.

Membatuk kecil melapangkan kerongkongnya, dengan suara tenang lelaki itu memberitahu.

"Sekyen A, bahagian Melaka, lagi 3 bulan mendatang akan jadi kawasan awak."

Pantas Reno memajukan wajah. Anak matanya perlahan-lahan membesar. Reno, benar-benar seperti tidak percaya dengan berita yang baharu disampaikan lelaki itu. Tiba-tiba perasaannya bercampur-aduk. Suka, juga serba-salah.

"Bagaimana dengan Leo, Mr Wong? Apa kata dia pula nanti?"

"Reno... " suara lelaki itu lagi. Kali ini nada suara kedengaran tegas. "Siapa yang buat keputusan? Siapa? Leo atau saya?"

Reno berdiam tidak menjawab. Hanya menentang mata lelaki itu yang sedang merenungnya tajam.

"Boleh tak kalau saya cakap, Leo saya mahu lenyapkan dia dari ini dunia? Boleh?" sambung lelaki itu lagi. Getaran suaranya seperti mencabar, memaksa Reno memberitahu siapa yang lebih berkuasa di antara mereka semua.

Di meja itu Reno menjatuhkan matanya, membayangkan apa yang didengar. Mengangguk-angguk sesaat kemudian mengerti apa yang dimaksudkan lelaki itu tadi.

Memang benar, segala keputusan ada di tangan lelaki itu. Mr Wong, dia yang menentukan, dia juga yang memutuskan apa yang dikehendakinya.

"Tapi awak harus hati-hati," ujar lelaki itu lagi. Wajahnya serius. "Itu kawasan bahaya."

Reno kembali mengangkat muka. Rona wajah tiba-tiba memucat.

Previous: Bab 37
Next: Bab 39

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.