Home Novel Thriller/Aksi SMACK O
Bab 17

"Dear, betul ke apa yang you cakap tadi tu? Betul ke?"

Anna akhirnya bersuara setelah agak lama memikirkan. Entah kenapa, sebenarnya, ada rasa bersalah menyinggah di sudut hatinya yang paling dalam saat mendengar keinginan Reno.

"Ye, betul. I tak bohong. Jika ada peluang dan diberi kesempatan, memang I nak sangat. Memang I nak memiliki cinta you."

Terdiam lagi Anna. Terkunci mulutnya. Apa yang diinginkan Reno, sama sekali di luar dugaan. Sama sekali tidak disangka! Setelah lebih dari tiga bulan mengenali Reno, inilah pertama kali Reno meluahkan isi hatinya.

Hati Anna tiba-tiba berdebar-debar. Dari maklumat yang diterima dari sumber yang boleh dipercaya, dia kenal siapa Reno. Dia tahu ramai kaum sejenisnya meminati Reno. Meletak hati padanya. Malah dia tahu lebih dari itu tentang diri Reno. Cuma, sejauh ini belum lagi dapat dia pastikan.

Namun bagi diri Reno pula, Anna begitu sekali luarbiasa di matanya. Tidak sama dan sangat berbeza dengan perempuan-perempuan yang pernah dia kenal dan menyinggah hidupnya. Walaupun sekali tidak dinafikan mereka pernah tidur bersama, namun Anna tahu memagar kehormatannya. Reno menghormati, kagum dan begitu teruja dengan sikap Anna. Sikapnya, gambaran sebutir permata yang sukar dicari.

"Tapi, dear... I tengok selama ni walaupun kita mesra, dan you begitu ambil berat tentang I, kenapa sekalipun I tak pernah dengar you cakap yang you cintakan I? Kenapa tiba-tiba, dear?"

Sebentar Reno berdiam. Jauh dan dalam dia memikirkan.

"Hmm... I takut sebenarnya, sayang. Bukan I tak mahu, tapi I takut," jelas Reno jujur tidak lama kemudian.

"Takut? Kenapa, dear? Apanya yang you takutkan?"

Bingkas duduk di sofa, Reno senyum. Bersinar-sinar sorot mata mendengarkan. Namun, pertanyaan Anna kedengaran agak berat mahu diterangkannya. Telunjuk kanan didekatkan ke muka. Pipinya yang tidak gatal digaru.

Bayang-bayang yang berada di hadapan, diperhati. Agak lama juga dia perhatikan. Seolah-olah di situ terletak jawapan yang diinginkan Anna. Dalam-dalam Reno menghela nafas.

"Cinta itu tak dinafikan memang indah," ujar Reno lembut memulakan bunga bicara. "Punya satu kuasa yang sangat luar biasa dan sukar hendak dijelaskan. Andai di dalam kehidupan ini tidak wujud cinta, kehidupan itu sendiri tidak mungkin akan ada. Kerana cintalah, kehidupan ini tercipta. Jadi, jangan lafazkan cinta sembarangan jika diri tidak mampu memikulnya. Cinta adalah anugerah besar, satu amanah berat dari Tuhan, sayang."

"Jadi... maksud you... sebenarnya you tak cintakan I? Gitu? Habis kalau gitu, tadi kenapa you nak hadiah macam tu?" Anna menyelidik. Suara dengan sendiri sedikit meninggi.

"Bukan gitu maksud I... "

"Habis apa maksud you?" pantas Anna memotong.

"Maksud I, belum masanya, sayang. Bukan I tak cinta, tapi belum masanya untuk I ucapkan," lirih Reno. Bergetar suara jantannya di telinga Anna. "I tak bohong cakap, memang ada rasa cinta sebenarnya dekat you. Jujur kata, perasaan itu memang dapat I rasakan sekarang ni."

"Lalu?" tanya Anna lagi, ringkas.

"Maksud I gini. Daripada sekarang I buru bayang-bayang, lebih baik I buru cahaya. Biar nanti apabila cahaya itu sudah diraih, sudah ada di dalam tangan, baik di dalam terang atau pun gelap, bayang-bayang itu pasti sentiasa ada bersama setiap masa. Tetapi jika sekarang ini bayang-bayang yang I buru, I yakin ia akan lari dari hidup I. I tak mahu macam gitu, sayang."

Seperti bermadah Reno, tetapi maknanya sarat dan padat. Menjelas berdasarkan pengalaman lalu. Pengalaman pahit yang pernah dilaluinya di suatu ketika dahulu.

Begitu wajah kekasih lama melintas. Wajah yang pernah dipuja, yang mana cintanya didamba dan diburu dengan sepenuh jiwa, akhirnya yang ketemu tidak lain hanyalah hampa dan lara.

Reno tidak mahu peristiwa pahit itu berulang buat kedua kali. Tidak mahu duka memalit hatinya sekali lagi. Dia sedar, kesilapan itu adalah satu pelajaran. Tetapi mengulanginya, itu tidak lain hanyalah satu kebodohan. Namun pada masa yang sama Reno tidak dapat menafikan, sejak hadirnya Anna di dalam hidupnya, Reno tidak ubah seperti sedang berdiri di gerbang taman bunga.

"Apa maksud you, dear? I tak fahamlah. Betul I tak faham. Cuba you jelaskan sikit," suara Anna lembut ingin tahu apa yang dimaksudkan Reno.

"Maksud I... I nak buru dulu apa yang I impikan. Bila dah berjaya nanti, I akan beri you segala-gala yang wajar. Di saat itu, I tak kan ucap cinta dengan kata-kata. Tapi I akan ucap dengan perbuatan."

"Ucap dengan perbuatan? Kenapa tak dengan kata-kata?"

Lebar senyum Reno mendengar pertanyaan itu. Dalam dan berat nafas dihela. Bersila di atas sofa itu, dia menjelaskan.

"Kata-kata, siapa-siapa pun boleh ucapkan, sayang. Sebab ia mudah. Tapi akhirnya, apa yang diucap jadi tak berharga. Tak punya nilai sama sekali kerana apa yang diucap itu gagal dilaksana. Untuk apa gitu? Apa faedahnya? Jadi untuk membuktikan cinta I pada you itu cinta yang sejati, I akan ucapkan pada you dengan perbuatan. Memberitahu you, yang I benar-benar cintakan you."

Begitu bunga-bunga di taman hati Anna memekar dengan sendiri. Runtuh dan cair imannya sebagai makhluk yang bernama Hawa. Jiwa Anna menjadi lemah. Hilang dayanya!

Keindahan mewarnai setiap sudut dan penjuru halaman hati. Tanpa sedar, perasaan Anna menyanyi. Berlagu bagaikan kicauan burung menyambut kehadiran pagi hari. Senyuman, bersinar seperti bulan penuh di malam hari yang gelap gelita.

"Tapi, biar I capai dulu apa yang I inginkan. Sesudah I dapat capai itu semua, orang tua you akan I jumpa. I akan pinang you nanti untuk dijadikan isteri I yang sah."

"Keinginan you? Apa tu keinginan you, dear? Boleh I tahu?"

"I nak kumpul duit sebanyak yang boleh!" Reno menekan.

"Nak kumpul duit? Apa lagi yang you nak, dear? Rumah, you ada. Kereta, bisnis, semua you ada. Apa lagi yang you nak? Dear, duit ni tak pernah akan rasa cukup selagi kita tak bersyukur. Cuba you fikir betul ke tak I cakap ni."

Tersenyum, jendela berdekatan dilepaskan pandangan. Jauh dilepaskan. Jendela yang dapat dilihat dengan jelas senja kian menghilang, seolah-olah ada sesuatu di situ sedang Reno renungkan.

Dia mengerti maksud Anna, duit ini tidak pernah akan cukup selagi tidak bersyukur dengan apa yang ada. Cuma Anna sahaja yang tidak mengerti, siapa sebenarnya dia dan apa yang pernah dilaluinya di suatu ketika dahulu.

"Kalau you nak tahu," Reno membuka mulut. "I bukan datang dari keluarga yang senang. I ni datang dari keluarga yang susah dan tak berpunya. Emak I bertungkus-lumus membesarkan adik-beradik I yang empat orang, bila abah I seorang penoreh getah meninggal dunia dalam satu kemalangan jalanraya, ketika adik-beradik I semua masih hingusan. I tahu apa itu erti susah."

Reno berhenti seketika mengambil nafas. Mata digantungkan di dinding di hadapan, sebentar merenung masa silamnya.

Anna di hujung talian berdiam hilang kata-kata. Teruja mendengar secebis kisah sejarah kehidupan Reno. Telinga terus dipasang.

"I tahu apa erti dipandang rendah bila diri tak punya apa-apa," sambung Reno. Suara tenang tidak dipengaruhi sebarang riak. "I tahu sangat apa erti dipandang rendah dan hina. Tahu sangat-sangat rasanya. I dah lalui itu semua, bagaimana hidup tak berduit dan tak punya apa-apa. Tapi, itu semua adalah satu pengalaman yang sangat berharga buat I. Bukan saja mengajar, malah membakar semangat untuk I terus mengejar cita-cita."

"Maafkan I, dear. I tak berniat nak menyinggung perasaan you. Maafkan, I," suara Anna mencelah dengan rasa bersalah.

"Tak ada apa yang nak dimaafkan. Betul apa yang you cakap, duit tidak pernah akan cukup selagi kita tak bersyukur. Itu memang I setuju dan tak menafikan. Cuma... mungkin sekarang ni, I belum lagi mahu bersyukur!" Reno menjelaskan sambil senyum sinis.

"Belum lagi mahu bersyukur? Sampai bila tu, dear?"

Mencebir, Reno mengangkat bahu. Seperti sahaja Anna di saat itu sedang berada di hadapannya, memberitahu Anna pertanyaan itu tidak dapat dijawabnya. Mata meliar mengitari dinding itu.

"Hidup ini pelik," Reno tiba-tiba bersuara.

"Pelik? Kenapa pulak? Apanya yang pelik?" Anna kening bersatu.

Reno senyum. Nafas dihela dalam-dalam. Menggeleng sambil membetulkan duduk.

"Dalam hidup ini, kita hanya akan dipandang jika berharta dan punya kedudukan. Kebanyakan orang akan suka kita dan hormati bila kita ada itu semua. Tak kira samada dapat dengan secara halal, atau pun haram, itu tak menjadi soal. Apa yang penting... kita berpunya. Ada kedudukan, pangkat dan harta, diri pasti disanjung. Dipandang tinggi! Rata-rata di dunia yang semakin moden ini, boleh dikatakan duit boleh beli apa saja. Maruah diri pun sanggup dijual kerana duit!"

"Ye, dear, betul apa yang you cakap. I setuju sangat. Melainkan keikhlasan dan kejujuran saja yang yang tak boleh dibeli dengan duit," Anna menokok.

"Tak dinafikan. Itu memang benar sekali," sambut Reno dengan senyuman penuh di wajah.

Sebentar masing-masing membisu bagaikan sedang hanyut melayan perasaan. Sepi sesaat datang menyinggah, memeluk ruang waktu seperti malaikat sedang melintas lalu.

"Sayang, bila tiba masanya kalau I petik bunga di hati you, I tanam di halaman hati I, you suka?" tanya Reno tiba-tiba. Kata-katanya kedengaran lembut mencumbui telinga Anna.

Seperti disodor sejambak bunga ke tangan, perasaan Anna ketika itu. Seperti mahu melompat kegirangan. Halaman hati tiba-tiba terasa terang-benderang dan gemilang dengan sendirinya. Senyuman, seperti pelangi melintang di petang hari.

Terlupa Anna siapa dia yang sebenarnya, hanyut dipukul arus kata-kata lembut Reno yang bersulam sutera.

"Dear, I tak tahu apa lagi yang patut I cakap. Betul, dear! Cuma I boleh beri jaminan pada you, bunga itu akan terus mekar, segar mewangi menghiasi hidup dan mimpi-mimpi you untuk selamanya, jika itulah kemahuan Allah. Itu saja yang I boleh cakap, dear. Selebihnya, I berserah."

Lebar senyum Reno memenuhi wajah mendengar pengakuan Anna. Berdehem membetulkan kerongkong, Reno bersuara. Padat, tepat, dan menembusi jiwa Anna yang paling dalam.

"Sayang, nanti bila tiba masanya, cinta I akan menghalalkan cinta you. Mensucikannya ketika I melafazkan akad, di hadapan kedua orang tua you. I janji, sayang."

Terbuai Anna. Terbuai mendengar kata-kata itu. Jauh!

"Sayang... " panggil Reno lagi, "andai you benar ditakdir jadi isteri I, I nak you tutup aurat bila keluar rumah."

"Dear... tentu, dear! Tentu! Kita orang Islam, dan I tak mahu juga berpenampilan begini sampai bila-bila."

"Bagus. Tapi... di rumah, I nak you pakai seksi. Boleh?"

"Hah? Pakai seksi? Kenapa, dear?" membuntang mata Anna mendengar keinginan Reno.

Reno senyum. Memanjang!

"Gini, esok malam kita jumpa, okey tak? I akan beritahu kenapa."

Lebar hingga ke belakang telinga senyuman Anna mendengar pelawaan Reno. Itulah yang diharapkannya. Sangat-sangat diharapkan.

"Tentu, dear. Boleh sangat-sangat."

"Okey, esok malam I tunggu di tempat biasa. Tepi pantai Stulang Laut, di bawah cahaya simbahan purnama."

Di hujung talian, kedengaran Anna gelak manja.

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.