Home Novel Thriller/Aksi SMACK O
Bab 37

"Saya Salleh. Salleh Kausari."

Dengan bangganya Salleh Kausari memperkenalkan diri sebaik mereka berjabat tangan. Dipandang Azlan kemas-kemas atas bawah. Tangan kekar Azlan yang berurat, erat-erat digenggamnya.

Berdiri di sisi Sofea menghadap Salleh Kausari di seberang meja pejabatnya, Azlan tampak sebaya dengan orang kuat Sofea itu. Mereka tampak sama tinggi, sama tegap, juga kekekaran.

Turut berdiri, Sofea memerhatikan kedua pemuda itu bersemuka. Walaupun secara fizikal mereka kelihatan hampir serupa, namun Azlan yang berambut pendek dan kemas, tampak kacak berbanding Salleh Kausariyang berambut ala Gondrong dan berwajah bengis. Senyuman Azlan juga manis.

"Saya Azlan," senyuman lega Azlan masih meriah di wajah. Berasa lega Sofea tidak memperlihatkan rasa kurang senang dengan kelewatannya.

"Sila duduk, Lan." Sofea dengan ramah menjemput Azlan duduk di kerusi di sisinya sejurus kemudian.

"Terima kasih," lirih Azlan sambil duduk menyelesakan diri. Begitu juga dengan Sofea dan Salleh Kausari, kembali duduk di kerusi masing-masing.

"Kenapa awak lambat?" Sofea langsung bertanya. Nada suara biasa-biasa.

"Saya sesat tadi ke sini. Kalau tak, awal tadi dah sampai."

"Susah sangat ke nak cari tempat ni?" Salleh Kausari mencelah. Tajam dan sinis!

Kata-kata Salleh Kausari itu dengan sendiri menarik perhatian, juga pandangan Azlan ke arahnya. Begitu mereka bersemata. Saling merenung.

"Biasalah. Kalau tak tahu memanglah susah. Kalau dah tahu, susah pun jadi senang," balas Azlan tenang dan bersahaja.

Memperkemaskan duduk, Salleh Kausari menyandar. Anak mata turus-turus memanah Azlan. Sinar matanya, menyelidik dan merisik. Ingin tahu siapa diri Azlan yang sebenar jauh lebih dalam.

Azlan mengalihkan pandangan, pura-pura tidak nampak. Tidak mahu ambil tahu.

"Lan... " panggil Sofea lembut. "Buat pengetahuan awak, Salleh Kausari adalah penyelia di gudang ini. Semua pekerja di sini termasuk awak nanti, berada di bawah arahannya. Tanggungjawab Salleh Kausari, buat memastikan semua urusan yang bersangkut-paut berjalan dengan licin dan lancar tanpa sebarang masalah."

Azlan mengangguk mengerti. Salleh Kausari yang sedang menongkat dagu memasang telinga, dilirik. Tanpa sebarang riak di wajah, tanpa segaris senyuman, Salleh Kausari menyambut pandangan Azlan. Seketika anak mata mereka bertembung lagi.

"Jadi... " sambung Sofea. "Saya sangat berharap awak akan dapat memberi kerjasama yang sebaik mungkin. Boleh?"

Azlan senyum lebar. Sejuk hati mengingatkan kerja ini menawarkannya gaji yang lumayan. "Boleh... errr... "

"Bos. Lady boss!" suara garau Salleh Kausari mencelah. Memberitahu Azlan dengan tegas gelaran Sofea.

Sekilas memandang Salleh Kausari, Azlan mengangguk dan kembali memandang Sofea yang lagi tersenyum.

"Boleh, bos. Boleh sangat. Saya akan berusaha beri yang terbaik buat memastikan tugas Salleh Kausari akan jadi tambah mudah. Dan memastikan semua urusan berjalan dengan lancar. Tapi... boleh terangkan betul-betul apa tugas saya yang sebenar?"

Sofea dan Salleh Kausari saling memandang. Senyuman turut bertukar. Sebentar ruang pejabat itu sepi dibiarkan berbicara. Dalam ikatan renungan Sofea dan Salleh Kausari, tanpa dilihat Azlan, Salleh Kausari mengangguk-angguk.

"Brader... " Salleh Kausari membuka mulut, "Itu nanti aku akan terangkan pada kau. Semua kerja-kerja kau dan apa yang harus kau buat, aku akan beritahu kau satu-persatu. Kau santai aja."

"Terima kasih. Salleh Kausari. Terima kasih banyak," ghairah Azlan. Berasa lapang dada mendengar apa yang diberitahu Salleh Kausari.

"Jangan takut, Lan. Kerja awak mudah aja. Cuma hantar-hantar barang. Nanti Salleh Kausari akan jelaskan lebih lanjut skop kerja awak," celah Sofea cuba meyakinkan Azlan.

"Syukur alhamdulillah. Terima kasih banyak, bos. Terima kasih kerana beri saya peluang bekerja dengan bos. Syukur sangat."

"Sama-sama, Lan. Mengenai pasport awak... saya ingat... lusa saya hendak uruskan. Jadi... anak-isteri awak 'free' tak nanti? Jika 'free', lusa kita boleh pergi buat."

"Anak-isteri saya? Mereka selalu 'free', bos. Mereka dekat rumah aja tak ke mana-mana. 'Free' selalu mereka tu!"

Azlan senyum memanjang. Terbayang Singapura. Teringat Pulau Sentosa. Teringat 'Universal Studio'. Wajah riang anak-isteri serta senyum-tawa mereka, berlegar-legar di ruang mata.

Sofea turut tersenyum sambil melirik jam di dinding. "Okeylah, kalau gitu, saya jalan dulu. Ada urusan lain yang nak saya selesaikan. Nanti, apa-apa saya akan 'contact' awak, Lan. Salleh Kausari nanti akan jelaskan tentang skop kerja awak lebih lanjut. Saya jalan dulu."

"Baik, bos. Jumpa lagi. Baik-baik jalan," balas Azlan.

Mengangguk, Sofea bingkas. Begitu juga Azlan dan Salleh Kausari turut bingkas tanda hormat. Sofea melangkah tanpa lengah, disusuli Salleh Kausari menemani 'Lady boss' ke luar pejabat.

Dari kaca pintu pejabat itu, Azlan dapat melihat dengan jelas di luar pejabat, Sofea membuka mulut berkata-kata dengan wajah serius. Layaknya, seperti sahaja sedang memberi Salleh Kausari arahan. Kelihatan, Salleh Kausari pula hanya sekadar mendengar dan mengangguk-angguk.

Seperti anak panah meninggalkan busur, begitulah Salleh Kausari kembali ke pejabatnya dengan pantas sebaik Sofea beredar. Duduk di kerusi menghadap Azlan lagi, Salleh Kausari menghulurkan tangan ingin bersalaman, buat kedua kali!

Terpana Azlan melihat sikap Salleh Kausari yang dikira pelik. Keningnya melengkung, rapi-rapi memandang Salleh Kausari. Hairan! Benar-benar hairan dengan sikap Salleh Kausari. Tidak faham apa maksudnya yang sebenar. Menahan nafas, perlahan Azlan melunjurkan tangan di tengah-tengah meja menyambut salamannya itu.

"Brader jangan kecik hati kalau suara aku tadi keras masa bercakap," lirih Salleh Kausari sebaik tangan mereka bergenggaman erat.

"Suara keras? Bila? Tadi?" semakin dalam melengkung kening Azlan. Di bibir, dengan sendiri menggaris senyuman nipis.

"Ye, tadi. Harap kau faham, brader. Depan bos, aku kena tunjuk sikit ketegasan aku. Nanti apa pulak dia cakap. Kan?"

Melepaskan tangan dari salaman, Azlan mengibarkan tangannya. "Arghh... perkara kecik tu semua. Tak ada masalah pun. Aku faham, jangan risau."

Salleh Kausari menyandar. Menyilang kaki menongkat dagu, Azlan dipandang. Menusuk pandangannya. Seperti sahaja sedang membaca diri Azlan yang tidak kelihatan di luaran. Membaca siapa diri Azlan yang sebenar, yang tersembunyi dari penglihatan mata.

Azlan hanya berdiam, dan membiarkan. Namun, jadi salah tingkah pula lama-lama direnung Salleh Kausari sebegitu. Dalam-dalam menghela nafas, membetulkan duduk, akhirnya Azlan membuka mulut.

"Kenapa kau tengok aku macam gitu?"

Salleh Kausari perlahan mengangkat anak mata menangkap pandangan Azlan. Matanya tajam memanah. "Kau tak menyesal nanti kerja dekat sini?"

"Menyesal? Kenapa aku nak menyesal? Aku cari rezeki halal untuk anak-bini aku."

Tanpa menumpulkan renungannya, tanpa meleraikan pandangan, Salleh Kausari mengangguk-angguk.

"Baiklah... aku akan beritahu apa kerja kau nanti," lirih Salleh Kausari. Tenang.

Previous: Bab 36
Next: Bab 38

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.