Home Novel Thriller/Aksi SMACK O
Bab 5

Jangan ikut ayah, sayang."

Azlan berusaha memujuk, mencangkung menghadap anaknya, Izwan. Anak tunggal yang berusia lima tahun itu tidak henti merengek-rengek. Ditarik-tarik seluar ayahnya tidak mahu melepaskan, tidak mahu dirinya ditinggalkan pergi.

Air mata tumpah bagaikan hujan membasahi pipi mungil anak kecil itu. Hingus turut mengalir dari hidung mulusnya. Dengan kedua belah tangan, dengan penuh kasih-sayang, Azlan menyeka. Direnung anak semata wayangnya dengan penuh rasa cinta. Bintang hatinya, hari ini dan selamanya.

"Ayah nak pergi kerja, sayang. Kalau ayah tak kerja macam mana Iwan nak minum susu? Macam mana Iwan nak makan sedap-sedap nanti? Cuba Iwan beritahu ayah."

Mengusap kepala anaknya, Azlan menantikan jawapan. Namun tidak ada sepatah kata pun keluar dari mulut comel anak itu. Dia hanya berdiam memandang ayahnya, sedaya berusaha melawan sendu.

Azlan meneruskan pujukan. Meneruskan memberi keyakinan.

"Hah... jadi, ayah harus kerja, kan? Betul tak ayah cakap? Betul tak?"

Aisha, isterinya hanya berdiam memerhatikan Azlan terus membujuk. Berdiri di belakang anaknya, di wajah tidak memperlihatkan apa-apa riak. Raut wajah seperti biasa, tenang tetapi mendung. Kelelahan.

Bernikah di usia muda, di waktu itu Aisha baru sahaja berumur sembilan belas tahun. Manakala Azlan tiga tahun lebih tua darinya. Kini setelah hampir tujuh tahun menjadi seorang isteri, menjadi suri rumah, Aisha sedar, bercinta di bawah satu bumbung, tidak seindah bercinta di bawah pohon. Kenyataannya, tidak seperti yang diangankan. Begitu sekali berbeza larinya. Jauh berseberangan antara alam khayalan dan kenyataan.

Lebih-lebih lagi Azlan hanya bekerja sebagai pam atenden. Hanya mampu kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kesempitan ekonomi yang ditanggung mereka, kadangkala membuat Aisha berasa tertekan. Apa lagi apabila Azlan menghalangnya dari bekerja untuk meringankan beban keluarga, kenyataan itu dalam diam terpaksa ditelan.

"Okey, Iwan dengar sini ayah cakap. Iwan dengar baik-baik," anak kecil itu berdiam dan memberi telinga. Tangisan sudah mereda. Sudah terpancing dengan bujukan Azlan. "Nanti ayah balik kerja, ayah belikan Iwan gula-gula. Mahu?"

Izwan mengangguk perlahan, tetapi wajah tetap kusam. Bersama sedu-sedan masih lagi bersisa, dengan mimik-mimik muka dia bersuara. "Ayah, Iwan nak gula-gula yang besar sekali. Nak banyak-banyak. Banyaaakk sekali."

"Nak yang besar? Nak banyak-banyak?" menurut rentak, Azlan turut berkata dengan muka-muka. "Wahh... kalau gitu ayah harus pergi kerja sekarang ni cari duit. Kalau tak ada duit, tak boleh belilah, kan? Betul tak ayah cakap?"

Izwan, matanya yang masih basah, perlahan membesar. Perlahan mulai bersinar. Mulai hanyut di dalam imaginasi dunianya sendiri yang dicetus Azlan.

Azlan tersenyum. Anaknya itu didakap. Erat-erat. Terasa seperti menghidu bau syurga saat anak itu dicium. Terasa lengkap diri sebagai seorang ayah di saat Izwan berada di dalam pelukannya. Terasa jauh lebih lengkap apabila dia dapat mencari wang buat menyara keluarga, dan mampu menunaikan tanggungjawab sebagai seorang suami juga ayah.

Walaupun kadangkala dia terpaksa bekerja lembur hingga ke jauh malam, Azlan tidak peduli dan pernah berkeluh demi mencukupkan keperluan keluarga. Azlan sedar, memikul tanggungjawab, itulah sebenarnya cinta. Di situlah letaknya bukti cinta.

"Ayah pergi kerja dulu, ye sayang. Iwan duduk rumah jaga ibu. Iwan kan anak lelaki? Anak lelaki harus berani, kan?" Azlan membisik di telinga comel itu. Izwan mengangguk, setuju dan mengizinkan ayahnya pergi.

Mencium pipi anak itu, Azlan bingkas. Wajah tidak bercahaya isterinya itu ditatap sebentar. Tidak segaris senyuman pun ada bertukar. Masing-masing bagaikan memendam rasa.

"Abang pergi dulu. Jaga Iwan baik-baik."

Aisha mengizinkan lewat sinar mata. Mencapai tangan Azlan dan lembut diciumnya. Tanpa membuang masa Azlan beredar. Kapcai yang terpacak di halaman rumah sudah bersiap membawanya berlari ke tempat kerja, dipanjat. Memasang topi keledar dan mempertanggungjawabkan batang hidungnya dengan kacamata hitam, wajah Izwan dilirik.

Terasa berat hati melihatkan wajah anaknya yang seperti tidak merelakan dia pergi. Azlan menepis perasaan itu jauh-jauh. Dipaksakan senyuman. Sekilas wajah isterinya dipandang. Anak mata mereka bertemu. Entah kenapa, renungan Aisha bagaikan memberitahunya sesuatu. Sinar matanya bagaikan mengirim pesan. Menepis juga perasaan tidak enak itu jauh-jauh, kapcai itu dipacu meninggalkan kedua-dua orang yang tersayang di belakang.

Seperti biasa, kenderaan-kenderaan yang dahagakan minyak buat memastikan sampai ke arah tujuan tanpa sebarang masalah, menyambut Azlan sebaik dia sampai di tempat kerja. Memakir kapcainya di tempat khas, dia menuju ke stor. Nass, rakan kerjanya yang sedang menyalin pakaian, melayangkan senyuman saat mereka bertentang mata. Senyuman itu tidak dibalas Azlan.

"Hey, Lan... tadi Amir cari kau. Dia nak jumpa," Nass memberitahu. Nada suaranya kedengaran cemas.

"Ada apa cari aku? Apa cerita?" "Kau tanya aku, manalah aku tahu apa cerita. Mestilah pasal kerja. Tak kan dia cari nak ajak kau pergi petik buah kelapa pulak. Kau ni pun, tak agak-agak tanya."

Azlan tidak menjawab. Sendaan Nass pun tidak diendahkan. Tidak terasa menggeleteknya sama sekali. Dia terus sahaja menyalin pakaian. Tetapi di dalam hati tertanya-tanya.

"Eh, Lan... entah-entah kau nak naik pangkat tak? Mana tahu rezeki kau. Siapa tahu? Tapi kalau betul, jangan lupa aku. ABC spesial baik punya!" usik Nass lagi dengan gelak-ketawa lalu beredar meninggalkan Azlan sendirian.

Duduk di kerusi setelah menyalin baju seragam kerja yang berwarna merah putih itu, Azlan bermenung. Jauh memikirkan apa yang diingin penyelianya. Terasa benar-benar pelik. Semenjak dia bekerja di situ hampir dua tahun lamanya, tidak pernah walau sekali dia dicari penyelianya seperti ada sesuatu perkara yang sangat mustahak. Hatinya mulai menebak-nebak.

'Mungkin betul tak si Nass tu cakap aku nak dinaikkan pangkat? Hmm, manalah tahu rezeki Iwan,' bisik hatinya.

Dengan senyuman kecil menggaris di wajah, Azlan melangkah keluar. Langkah santai tetapi bersemangat dihayunkan ke pejabat Amir. Bahang pagi hari dan bau minyak yang tiba-tiba menerkam, sama sekali tidak terasa. Di hati penuh harapan, sendaan Nass itu akan menjadi satu kenyataan.

Di sebalik pancaran sinar matahari yang menyilaukan, kelihatan di hujung sana berdiri di tepi pam minyak, Zaid rakan kerjanya melambai. Pantas Azlan membalas dengan isyarat tangan akan bertemunya nanti. Tetapi lambaian Zaid semakin keras memanggil. Wajah tampak tegang. Mahu tidak mahu, Azlan hampiri.

"Hah, Zaid apa cerita? Macam penting sangat aja kau panggil," tanya Azlan sebaik dia mendekati. Bangku kecil yang ada di situ, dilabuhkan punggngnya.

"Pasal pentinglah aku panggil nak beritahu kau ni," Zaid berkata dengan wajah serius. Nada suaranya tinggi, sehinggakan bunyi kenderaan mengaum di situ pun jadi tenggelam.

"Kenapa? Apa cerita?" tanya Azlan dengan dahi berkerut. Seperti sudah dapat mencium ada sesuatu yang tidak kena.

"Eh Lan, duit tu macam mana? Ni dah dua minggu kau tangguh. Tak kan lupa, brader! Bunga bukan saja tambah berlipat, tapi aku yang jamin kau jugak nanti yang susah kena cari. Bahaya ni, brader! Siapa nak pergi tanggung ni semua? Ni benda kau jangan main-main," ujar Zaid cemas.

Terdiam Azlan. Raut wajah berubah. Mulai tampak gelisah. Zaid dipandang lurus-lurus. Cemas yang terpalit di wajahnya, Azlan mengerti alasannya. Wajar di dalam keadaan sebegitu dia berasa cemas. Sebagai penjamin, dia mengerti, Zaid turut bertanggungjawab di dalam soal ini.

"Zaid, tak boleh tangguh lagi ke? Sampai minggu depan ke? Aku bukan sengaja tak nak bayar. Tapi... kau tahulah aku sekarang ni betul-betul tengah tersepit. Dekat mana aku nak cekau duit?"

"Lan... kau ingat sikit. Sedangkan pinjam bank pun kalau kau tak boleh bayar, habis harta kau dia orang angkut, inikan lagi 'ah long'? Jangan cari penyakit, brader. Dengan 'ah long' ni kau jangan main-main. Bukan saja harta aja dia orang boleh angkut, dengan nyawa kau sekali pun dia orang berani angkut! Silap haribulan, dengan keluarga kau sekali nanti dijadikan mangsa! Binatang ni apa dia orang peduli! Duit aja yang dia orang ingat."

Kecemasan di wajah Zaid kini sudah menjangkiti Azlan. Gerun mendengar apa yang mampu dilakukan peminjam wang haram itu. Lebih-lebih lagi saat teringat anak-isteri, hatinya jadi kecut. Malah bukan itu sahaja, dia juga tidak mahu Zaid turut menjadi mangsa gara-gara membantunya.

Fikiran Azlan jauh melayang, ke segenap pelusuk dan ruang akalnya cuba menembusi, mencari lubang menggali wang untuk membayarnya. Tetapi hanya jalan buntu yang diketemui. Di manakah dia harus mencari wang sebanyak lima ratus ringgit? Itu belum termasuk lagi wang bunga yang bayaran pokoknya tertunda!

"Lan, apa macam... lusa boleh adakan tak duit tu?"

Tersentak Azlan apabila Zaid tiba-tiba bersuara mengingatkan. Darahnya berderau pantas memecut ke kepala. Seluruh badan terasa dingin. Sebentar dunianya terasa gelap.

"Lan!" Panggil Zaid lagi, "Kau dengar tak apa aku cakap ni? Kau jangan main-main, brader!"

"Aku dengar, aku dengar. Errr... gini Zaid, aku akan usahakan. Nanti aku fikir dekat mana nak cari duit tu. Hmm, okey, nanti aku jumpa kau lagi kita boleh bual panjang. Aku sekarang nak pergi jumpa Amir sekejap. Ada hal."

"Aku tak tahu nak cakap apa lagi, Lan. Cuma aku harap lusa duit tu kau boleh adakan. Kau sendiri tahu, apa-apa terjadi aku pun kena. Harap kau faham."

Azlan mengangguk. Mengerti apa yang dimaksudkan Zaid. Tanpa banyak bicara lagi, Azlan beredar dengan langkah berat menuju ke pejabat Amir. Di sepanjang jalan dia menunduk, memikirkan di mana dan bagaimana mahu mengadakan wang itu. Di dalam kekalutan, terlupa apa maksud tujuan Amir ingin bertemunya.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.