Home Novel Thriller/Aksi SMACK O
Bab 1
 Anak mata yang sedang merenung lantai perlahan diangkat. Mata sudah berusia itu, sudah lama kelam, suram seiring masa dan keadaan yang pesat berubah, menyahut renungan pemuda yang sedang mencangkung di hadapannya. 

 Reno, seorang pemuda yang mempunyai paras rupa dan penampilan seperti hero-hero di dalam novel cinta, melayangkan senyum nipis, ikhlas dan jujur. Wajah tua itu yang mana setiap garis-garisnya ada menceritakan kisah perjalanan hidup, ditatap Reno dalam-dalam. Seolah-olah dia sedang membacanya.

 Berpakaian compang-camping, perempuan tua itu adalah salah seorang gelandangan di antara ramai gelandangan yang tidak ada mahu mempedulikan. Berkeliaran di jalanan yang menjijikkan di pandangan mata sesetengah orang, tetapi tidak di mata Reno. 

 "Mak cik ni, dah makan?" tanya Reno lembut. Sinar mata yang di waktu itu sedang erat berpaut, menceritakan pada Reno, perempuan tua itu sedang kelaparan. 

 "Tadi pagi aja, nak. Makan roti orang kasi." 

 Mengangguk, membuang pandang, rokok yang bersisa tersepit di jari disedut lalu menjentiknya ke longkang kecil yang kotor dan busuk berhampiran. 

 Wanita tua itu kembali dipandang. Sinar matanya yang menyambut pandangan Reno, bagaikan sahaja merayu meminta diri dikasihani. Meminta keadaannya dimengerti. Menusuk penuh pengharapan pandangannya. 

 "Itu aja mak cik makan seharian?" 

 "Ye, nak. Itu aja. Mak cik tak bekerja, tak berduit. Meneruskan hidup hanya atas belas ehsan orang," jelas perempuan itu lagi yang umurnya sudah melepasi lebih dari setengah abad. 

 Menunduk, Reno bagaikan merenung sesuatu. Dagu diurut-urut. Kembali mengangkat muka, wajah suram perempuan tua itu dipeluk dengan pandangan penuh simpati. 

 Perempuan tua itu jelas sedang kedinginan. Bermalam beralaskan suratkhabar lama, di tepi deretan kedai-kedai yang sudah pun ditutup perniagaan untuk hari itu.

 "Errr... mak cik tunggu sekejap boleh?" beritahu Reno. Nada suara lembut seakan membujuk. 

 Wanita tua itu mengangguk dan memerhatikan Reno pergi. Diperhatikan sehingga Reno hilang di sebalik lorong belakang bangunan berhampiran. 

 Lorong yang bersepahan dengan warung makan di sana-sini, yang mana pelanggannya sedang menjamu bagaikan malam masih lagi muda, Reno selusuri. Beraneka bau masakan mengapung memenuhi lorong itu, sememangnya dapat membangkitkan selera. Mata Reno liar mencari-cari.

 Terperanjat Dila, rakan Reno yang sudah pun berjanji akan bertemu di situ, apabila meja sedang didudukinya diketuk. Dia yang sedang menikmati yong tofu, mengangkat muka. Reno mengenyit mata dan mengibarkan senyuman. Manis! 

"Dah lama tunggu?" tanya Reno ringkas. Kening tebalnya diangkat. 

 "Lama pun tak lama juga, baru pun tak baru juga," jawab Dila sinis. Senyuman Reno dibiarkan tidak berbalas. 

 "Okey, bagus. Jawapan yang macam gini I suka dengar. Ikhlas dan jujur!" balas Reno juga sinis. Menampar muka Dila dengan kata-kata itu. 

 Dila menjeling. Membuang muka. Raut wajah mencuka. 

 "You tunggu, nanti sekejap I datang balik. Nak order makan untuk orang," sambung Reno. Bersuara seakan berbisik. 

 Sebaik Reno beredar, Dila melirik memerhatikan Reno. Dari tempat duduk dia memantau Reno menghampiri salah sebuah warung yang ada di situ. Mata tajam tidak berkedip. 

 Seorang wanita muda tinggi lampai berkerudung, kulit putih bersih, menyambut Reno dengan senyuman manis. Dari jauh dapat dilihat Dila, sinar mata mereka mesra dan ramah. Sambil menyuap hidangan, Dila terus sahaja memerhatikan gerak-geri Reno yang sedang leka bermesra lidah dengan wanita itu. Kembali menunduk tidak lama kemudian apabila melihat Reno bergerak menuju ke mejanya. Pura-pura tidak melihat apa-apa.

 "Beb... " panggil Reno sebaik tiba di meja Dila. "Tunggu sekejap, nanti I datang balik. Okey?" 

 "Tak kan dari tadi tunggu, tiba-tiba I nak balik, kan?" jawab Dila sambil menjeling. 

 Reno melemparkan senyum memandang Dila yang tampak agak tegang. Wajahnya miskin dengan senyuman. Mendekatkan muka ke muka Dila, Reno bersuara. 

 "Kata orang, alang-alang mandi biar gosok gigi sekali, betul tak?" 

 Reno gelak kuat melihatkan Dila memuncungkan bibir. Mengenyit mata sekali lagi, tanpa lengah Reno menyusun langkah, beredar pergi menunaikan niat. Lenggok jalan seperti kata-katanya, penuh dengan keyakinan diri. 

 Dalam senyum masih melingkar di bibir, hati Reno sebak melihatkan dari jauh perempuan tua itu tadi, meringkuk menyelesakan diri di dalam kedinginan malam. Cuba memeluk mimpi indah, dengan membantalkan lengan. 

 Reno mempercepatkan langkah. Menggema setiap derap langkahnya memecah kesunyian malam saat sepatu kulit hitamnya yang berkilau, mencecah lantai. 

 "Cik... " mencangkung seperti tadi, Reno menyapa lembut. Perlahan dia mengejut. Perempuan tua itu membuka mata, disambut Reno dengan senyuman sebaik mereka bertemu pandang. 

 "Ini saya ada belikan mak cik nasi dengan teh. Mari cik, bangun makan. Lagi hangat ni." 

 Perlahan perempuan itu bingkas mengangkat tubuhnya yang sudah dimamah usia, dengan kedua belah tangan dari pembaringan. Apa yang ditanggung, tampak begitu sekali membebankan di mata Reno.

 "Pelan-pelan, cik," dengan bungkusan makanan dan minuman di tangan, Reno cuba memberi dukungan. 

 "Tak apa, nak. Tak apa. Mak cik boleh." 

 Reno melepaskan tangannya lalu membuka bungkusan nasi itu. Dalam keadaan terpaksa, dihidangkan makanan itu di atas lantai yang kotor dan berdebu. Sambil membetulkan duduk, perempuan tua itu memerhatikan Reno. 

 "Anak ni tak rasa rugi ke belikan mak cik makan?" 

 Reno senyum, sambil tangan pantas meleraikan ikatan bungkusan teh susu yang dibelinya tadi. Mengangkat muka memandang perempuan tua itu yang bagaikan sedang menantikan jawapan, Reno menggeleng. 

 "Sama sekali tidak, cik. Ini adalah bekal untuk hari mati saya nanti, kenapa harus saya rasa rugi? Lagi pun, apa yang saya beri, nanti Allah pasti akan lipat gandakan rezeki saya. Itu janjiNya. Juga, mana tahu mak cik ni adalah malaikat yang dikirim Allah untuk menguji saya?" 

 Perempuan itu tersenyum mendengar apa yang dikatakan. Berbinar merenung Reno. Menjatuhkan mata kemudian pada apa yang Reno hidangkan untuknya, dengan bersahaja wanita tua itu bersuara.

 "Allah tidak perlu mengirim Malaikat untuk menguji manusia yang seperti kita, nak. Darjat kita tak setinggi mana di sisi Allah. Untuk apa dikirimkanNya Malaikat menguji kita, sedangkan diuji oleh perasaan dan nafsu sendiri aja kadangkala akal kita sudah lemah?" 

 Lebar senyum Reno mendengar jawapan itu. Senyum tersipu seolah-olah kata-kata itu mengena dirinya. Tepat menyasar. Menunduk, sebentar Reno merenung perjalanan kisah hidupnya. Sebentar merenung sikap dan dirinya sendiri. 

 Diangkat muka beberapa detik kemudian, dan kembali menatap orang tua itu yang sedang enak menikmati hidangan.

 "Mungkin saya belum lagi dapat melihat sesuatu yang betul-betul akan menyedarkan saya tentang erti kehidupan yang sebenar, cik. Hidup ini memang tidak dinafikan, penuh dengan lorong-lorong gelap yang begitu mengelirukan. Lorong-lorong yang menyesatkan." 

 "Suatu hari nanti, nak. Suatu hari nanti pasti anak akan sedar. Pasti anak akan melihat sesuatu yang membuat anak betul-betul tersedar. Cuma mak cik berharap, tidak akan terlambat semuanya."

 "InsyaAllah, cik. Moga doanya dikabulkan Allah."

 Reno senyum kecil. Sejuk hati mendengar. Kata-kata orang tua itu, tidak ubah seperti sebatang mancis yang sedang menyala, memberi sedikit cahaya pada kegelapan hidup yang sedang dilewatinya. 

 "Ye, mudah-mudahan Allah mendengar dan kabulkan doa mak cik," sahut perempuan tua itu sambil melapah hidangannya. 

 Mengangguk dan mengaminkan, Reno menyeluk wang yang ada di saku bajunya. Tanpa mengira jumlahnya, wang itu digenggamkan ke tangan kiri perempuan itu. 

 "Untuk apa ni? Tak usah, nak. Tak usah." 

 "Ambil, cik. Ambil. Rezeki Allah jangan ditolak. Anggap saja saya ini adalah perantaraan Allah untuk memanjangkan nikmatnya."

 Bersinar mata tua itu mendengar penjelasan ikhlas Reno. Digenggam erat wang itu dengan wajah syukur. 

 Melihatkan, di hati Reno yang paling dalam berasa puas dan lapang. Berasa sangat puas menyaksikan sinar mata itu memancarkan rasa syukur. Senyuman yang tergantung di wajah tua itu, cukup menceritakan apa yang sedang dirasakannya. 

 "Hmm... saya pergi dulu, cik. Saya ada hal sikit yang hendak diselesaikan. Mak cik jaga diri baik-baik. Moga Allah sentiasa bersama di setiap langkah mak cik." 

"Terima kasih, nak. Terima kasih banyak-banyak. Allah pasti akan balas budi baiknya nanti. Hati-hati!"

 "InsyaAllah, cik. Terima kasih juga," balas Reno. Menitip senyum ikhlas, bingkas lalu beredar.

 "Nak... " 

 Suara orang tua itu menggaung di belakang Reno yang sedang melangkah dengan pantas untuk menyelesaikan urusannya. Reno menoleh. 

 "Masa akan mengupas segala, nak. Hati-hati aja. Jangan sampai tersalah langkah." 

 "Terima kasih, cik. InsyaAllah."

 Dengan senyum lebar Reno mengacung ibu jari. Dikibar tinggi di udara. Dia meneruskan langkah tanpa lengah. Dila sudah lama menunggu. Menantikan tugas penting yang Reno mahu dia laksanakan. Tugas penting yang membabitkan imej seorang lelaki yang bernama Reno.
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.