NIZAM melirik sedikit
matanya ke arah meja Maisara. Hampa. Usahkan orang, bayangnya pun tiada. Dalam
dia masih berkira-kira mahu menelefon Maisara, terdengar suara Rifa bercakap-cakap
dengan seseorang melalui telefon. Gerak hatinya kuat mengatakan itu adalah
Maisara. Sebaik Rifa mematikan talian, sepantas kilat dia datang menghampiri,
Rifa yang terkejut dengan kemunculan Nizam, menggosok perlahan dadanya.
Cemberut di muka Rifa langsung tidak Nizam hiraukan, yang penting padanya adalah
Maisara. Hampir 3 hari Maisara tidak hadir berkerja. Nizam jadi resah manalah
tahu sekiranya Maisara terus meletakkan jawatan.
“Rifa,
Ria masuk kerja tak hari ini?”
Rifa
menentang mata Nizam tajam. “Boleh kau bagi aku satu sebab kenapa aku perlu
beritahu kau?” soalnya dingin.
Nizam
kerut dahi. Apahal pula minah ni? Macam
nak terkam aku saja lagaknya. “Rifa, aku takda masa nak bagi sebab pada
kau. Beritahu sajalah. Ria masuk atau tidak?”
Rifa
tidak menjawab. Tetap bertegas selagi Nizam tidak memberikan jawapan. Walhal, sebenarnya
dia sengaja. Sengaja mahu Nizam berteka teki. Maisara masih lagi bercuti.
Semuanya kerana kejadian beberapa hari yang lalu. Rifa tahu itu. Maisara telah
menceritakan segalanya. Berkenaan hal Azam dan penyamaran Nizam sebagai Mamat.
“Rifa,
aku tahu yang telefon tadi tu, Ria kan?”
“Ya,
memang dia.”
“Dia
masuk kerja tak?”
Rifa
senyum penuh sinis. “Nizam, aku rasa lebih baik kau balik ke tempat kau,
sambung buat kerja. Itu lebih baik daripada menjaga tepi kain orang lain.” katanya
selamba tanpa memandang wajah Nizam.
Nizam
menghela nafas. “Rifa, aku hanya nak tahu dia masuk atau tak, itu sahaja!! Aku
tak rasa aku jaga tepi kain orang lain. Ria, kawan baik aku.” Suaranya sedikit
meninggi.
“Memang dia kawan baik kau. Tapi kau jangan
lupa, dia juga kawan baik aku! Aku takkan berdiam diri kalau dia terluka hatta
sedikit pun!! Kau faham tu?”
Muka
Nizam berubah riak. Dahinya berkerut seribu. “Kau cakap apa ni?”
“Aku
rasa kau jauh lebih faham kan? Cukuplah. Pergi sambung kerja kau.” ujarnya
tanpa memandang wajah Nizam.
Dahi
Nizam berkerut seribu. Rifa tahu apa yang
terjadi ke? “Dia ke mana?” tanya Nizam yang tidak dapat menyembunyikan rasa
ingin tahunya itu.
Rifa
angkat bahu. “Dia tak cakaplah pula.” beritahunya acuh tak acuh.
Nizam
tersenyum tawar, mengerti. “Kalau macam tu, tak apalah. Terima kasih.”
Sebaik
Nizam berlalu, Rifa menggeleng kepala. Kenapa begini jadinya? Pertemuan yang
sepatutnya indah bagi Ria menjadi memori yang pahit pula. Hidup ini memang
suatu perjalanan yang panjang yang tidak kita ketahui di mana penghujungnya?
Anehnya pula, bila ia tiba di depan mata, kita jadi sangsi, adakah bahagia itu
milik kita?
ENTAH ke-berapa kali
dia menukar siaran televisyen, dia sendiri tak pasti. Sesekali dia mengeluh.
Tiada rancangan atau drama di t.v. yang dapat menarik minatnya untuk menonton.
Apa yang ada adalah... dia hanya sekadar merenung kosong kaca t.v. Fikirannya
mula menerawang entah ke mana.
Tanpa
Maisara sedari, ibunya, Puan Arisa telahpun mengambil tempat, di sebelahnya.
“Eh, ibu?! Bila masa ibu ada sebelah ni? Mai tak perasan pun?”
Puan
Arisa menggeleng dalam senyuman. “Erm... dalam 5 minit? Kamu tu termenung jauh,
sampai nak tembus t.v., memanglah tak perasan. Fikirkan apa? Teman lelaki? Mai
bergaduh dengan dia? Ataupun dia dah lukakan hati anak kesayangan ibu ni?”
tanya Puan Arisa berserkap jarang. Tangannya lembut menggosok bahu Maisara.
Maisara
diam. Berfikir ayat yang bersesuaian untuk soalan ibunya. Namun, akhirnya yang keluar
tetap cliche’. “Tak adalah. Teman lelaki pun tak ada. Mai fikirkan hal kerja je.
Merungsingkan sungguh. Sebab tu, Mai ambik cuti 3 hari! Nak hilangkan tekanan.”
Jawabnya mendatar tanpa memandang wajah
ibunya.
Puan
Arisa menarik nafas panjang. “Mai, kalau betul kamu nak hilangkan tekanan, kamu
akan pergi ke pantai! Itu tempat kegemaran kamu kan? Tapi... kali ini ibu
nampak kamu lain sangat!”
Kebisuan
Maisara membuktikan yang dia tak salah. Anaknya ini memang ada masalah, tapi
degil mahu berkongsi dengannya. Dia kenal anaknya, sekalipun masalah itu besar,
pasti dia akan kendalinya dengan baik. Seringkali, tekanannya banyak berpunca
daripada hal kerja tetapi kali ini dia sendiri kurang pasti apa penyebabnya.
Maisara
tergagap-gagap mengatur kata. “Taklah ibu. Ibu terlebih fikir ni. Sengaja Mai
tak ke pantai sebab cuaca kan kurang elok. Nak hujan!”
Puan
Arisa angguk. “Iya... tapi itu 2 hari lepas. Kelmarin dan hari ini tak!! Apa
sebenarnya ni? Apa masalah kamu? Pertama kali, ibu nampak kamu macam hilang arah.
Macam putus cinta pun ada.Tell me, what’s going on?!”
Maisara
menggaru kepala yang tak gatal. “Beginilah! Ibu jangan bimbang okey? Semuanya
masih di dalam kawalan!” ujarnya tegas dalam lembut agar Puan Arisa berhenti
mengasaknya.
Puan
Arisa angguk mengerti. Maisara menarik nafas penuh kelegaan. Soal siasat tamat!
Seketika kemudian ibunya tersenyum. “Hmm... daripada kamu terperuk kat rumah
tak buat apa-apa ni, apa kata kamu temankan ibu ke rumah kawan lama ibu?
Boleh?”
Maisara
lantas menggangguk. “Boleh juga. Kat mana rumah dia ibu?”
“Taman
Mewah.”
Maisara
angguk. Macam pernah ku dengar tapi di
mana iya?
SEBAIK sahaja melangkah
masuk ke dalam rumah ini, matanya terpaku kagum. Seolah-olah dirinya berada di
dalam taman istana. Penuh dengan bunga-bungaaan di sekitar halaman rumah. Indahnya
pemandangan. Tenang jiwa dengan suasana yang sebegini rupa. Air terjun buatan
di sisi kolam ikan amat menarik minatnya. Di tambah pula ada jambatan kecil di
tengahnya. Sungguh! Cantik sangat! Puji Maisara dalam diam.
Tepukan di bahu
mematikan kelekaaan Maisara memerhati persekitaran di rumah ini. Dia langsung
menoleh ke arah ibu Puan Arisa yang tergeleng kepala melihat tingkah lakunya
itu.
“Ibu
tahulah kamu tu interior
designer, tapi jangan sampai terleka sangat. Nanti
apa kata kawan ibu kalau dia nampak kamu dok asyik perhati rumah dia.”
Maisara
sengih menutupi rasa malu yang bertamu. “Maaf, ibu. Tak boleh nak elak. Lagipun
memang cantik sangat hiasan rumah ini. Umpama berada dalam taman.” bisiknya
perlahan.
Puan
Arisa geleng kepala. “Sudah-sudahlah tu. Itu kawan ibu dah datang sini. Jaga
mata kamu jangan nak meninjau merata lagi. Faham?” pesan ibunya perlahan.
Maisara
kemudiannya diam tanpa suara. Patuh pada pesan ibunya. Namun, sebaik sahaja
kawan ibunya datang dan duduk berhadapan dengan mereka. Mata Maisara tak
berkelip. Wajah mak cik ini persis ibu Azam dan Nizam. Walau bertahun tak
bersua, wajah kecil molek Puan Husna masih segar dalam ingatan. Dia amat yakin
ini memang Puan Husna. Maisara menoleh memandang ibunya. Puan Arisa tersenyum,
tanda mengiyakan apa yang terlintas di fikiran Maisara.
Maisara
jadi kalut, gelisah mula bertandang. “Jadinya, kawan lama ibu ialah Mak Cik
Husna?” tanyanya separuh berbisik.
Puan
Arisa angguk. “Ingatkan kamu dah lupa wajah Mak Cik Husna. Ibu sahaja tak nak
beritahu. Cadang nak buat kejutan tapi nampaknya ingatan kamu kuat.”
Maisara
cuba memaniskan senyuman apabila bersalaman dengan Puan Husna. Maknanya sekarang aku berada di dalam rumah
Azam dan Nizam? Alamak mampuslah aku macam ni. Nak elak tapi tetap berjumpa.
Alahai... nasib kaulah Mai. Kalau terjumpa dengan diorang apa patut aku buat?
Takkan nak larikan diri? Nanti apa kata ibu aku dan Mak Cik Husna.
Ketika
dia sedang asyik berfikir, Puan Husna telahpun memeluknya erat. “Syukur. Dapat
juga mak cik jumpa kamu. Dah lain kamu sekarang, semakin comel dan cantik.”
Pujinya sambil meleraikan pelukan. Tangannya kemudian erat menggenggam tangan
Maisara.
Maisara
berasa agak kekok dan malu. Reaksinya beku. Akhirnya yang keluar dari mulut tak
selari dengan apa yang terlintas di hati. “Cantik rumah mak cik, siapa yang
hias? Mak cik upah designer ke?”
Kata-kata
Maisara mengundang tawa Puan Husna. Puan Arisa hanya mampu tersenyum
mengenangkan sikap anak tunggalnya yang agak cemerkap ini.
Maisara
yang sedar akan kesilapannya turut ketawa. “Maaf, mak cik. Saya bukannya apa,
saya hanya nak tahu,” ujarnya sekadar memberi alasan.
Walhal,
gemuruhnya sudah sampai ke tahap maksimum. Bimbang sekiranya Azam dan Nizam
tiba-tiba muncul. Bagaimana harus dia berhadapan dengan mereka? Dalam diam sempat
lagi dia menjeling dari hujung mata jikalau timbulnya kelibat Azam atau Nizam.
Tiada bayang mereka. Dia menarik nafas lega. Not today, please not today!!
“Nizam.
Dia yang hias rumah ni.” beritahu Puan Husna dalam senyuman.
Puan
Arisa termanggu. “Nizam? Bukannya anak awak namanya Mamat?”
Puan
Husna lalu menceritakan segalanya. Bagaimana dan kenapa Nizam bukan dalam
jagaan mereka tika itu. Sedang rancak Puan Husna bercerita, Azam muncul entah
dari mana.
Perlahan-lahan
dia menolak kerusi roda mendekati ibunya. Maisara yang menyedari kehadiran Azam
cepat-cepat menundukkan kepalanya. Azam menolak sedikit kerusinya untuk
bersalaman dengan Puan Arisa. Sebaik sahaja Azam jauh sedikit darinya, barulah
Maisara mengangkat kepalanya. Azam tersenyum pahit. Faham akan sikap Maisara
yang enggan menatap wajahnya.
“Sebenarnya
bukan ibu berniat nak rahsiakan dari kamu. Ibu pun baru dapat tahu itupun sebab
kebetulan terjumpa dengan Mak Cik Husna kamu masa melawat Pak Leman di hospital
tempoh hari.” beritahu ibunya tanpa di pinta. Puan Arisa memandangnya pelik. “Tapi...
hairan ibu. Kamu tak nampak macam terkejut pun?”
Azam
memintas, “Sebenarnya mak cik, saya dan Mai dah lama pun berjumpa. Kami hanya
tunggu masa yang sesuai untuk beritahu semua ini, tak sangka pula saya boleh
kemalangan dan Mak Cik Arisa pula kebetulan jumpa ibu saya di hospital. Semua
ini memang tak terjangka, kan Mai?”
Maisara
angguk. Seulas senyuman terhias pudar di bibirnya. Puan Husna menyampuk. “Tapi...
kenapa ibu tak pernah nampak Mai datang melawat kamu?”
Azam
menjawab dengan tenang, “Dia datang lepas habis kerja. Masa tu kan ibu dah
balik jadi memanglah tak berjumpa.”
Puan
Husna angguk tanda mengerti.
Maisara
bersuara perlahan setelah sekian lama membisu. “Saya minta maaf, sebab tak
datang melawat mak cik. Niat tu memang ada, tapi tak berkesempatan sebab sibuk
sangat dengan kerja.”
“Takpa
mak cik faham, mesti Mamat yang sogok kamu, nak buat kejutanlah ni kononnya,
tengoklah sekarang apa dah jadi.”
“Ibu
sebelahkan Mai? Saya anak ibu atau Mai anak ibu ni?” ujar Azam pura-pura
merajuk.
“Mai
bakal menantu ibu, salahkah kalau ibu menangkan dia?”
Mereka
yang lain rancak ketawa. Berlainan dengan Maisara dia tergamam. Beku. Menantu? Lawak apa pula ni?
Azam
yang menyedari kekekokan Maisara lantas berkata kepada ibunya, “Ibu, mak cik,
saya dengan Mai ada hal sikit nak sembang, kami minta diri dulu iya?”
beritahunya sopan. Mereka berdua mengangguk. “Pergilah, ibu pun nak tunjukkan
rumah kita pada Mak Cik Arisa.” kata Puan Husna.
Tanpa
banyak soal, Maisara terus sahaja bangun dan menolak perlahan kerusi roda Azam.