LOCENG REHAT
berbunyi nyaring. Para pelajar berpusu-pusu keluar dari kelas. Dalam kegopohan seorang
pelajar lelaki yang bertubuh besar terlanggar seorang pelajar.
“Gemuk,
tepilah. Sakitlah mata aku tengok kau. Kalau badan tu dah besar, sedarlah diri sikit,
jalanlah perlahan-lahan. Ini tidak lari laju macam lipas kudung.” marah Azman,
pelajar lelaki yang secara tidak sengaja di langgarnya itu.
Budak
gemuk itu kemudiannya di tolak kasar oleh Azman sehingga dia jatuh terduduk.
Rakan-rakan Azman tertawa galak.
Budak
gemuk itu hanya berdiam diri tidak melawan. Dia sedar kalau dia bersuara
sekalipun tetap tidak akan menyelesaikan masalah kerana geng Azman ramai. Dia
hanya seorang, bahkan tidak terdaya olehnya dek kerana tubuhnya yang gempal
itu.
Maisara
yang duduk tidak jauh dari situ, berasa kasihan melihat budak gemuk itu di
buli, dia lalu berjalan laju ke arah mereka semua.
“Kau
orang semua ni memang patut di ajar. Azman, awak tu ketua kelas sepatutnya awak
buatlah perangai yang elok-elok. Kalau saya nampak awak buli Mamat lagi, saya
akan buat aduan pada Cikgu Rohani, guru kelas kita.”
Azman
mencebik kemudian mengajuk percakapan Maisara, “Awak buli dia, saya buat aduan.
Mai, aku tak hairanlah. Cikgu Rohani sayangkan aku. Dia tak akan nak percaya
cakap kosong kau tu. Lagipun kau ada bukti? Tak ada kan? Jom, geng kita blah,”
ajak Azman, dan kemudian mereka berlalu pergi ke kantin.
Maisara
mendesis geram. Perhatian beralih ke arah Mamat yang berusaha untuk bangun. Dia
tergeleng apabila melihat lutut kawan baiknya itu yang berdarah lalu dia lantas
menghulurkan tangan membantu.
Mamat
tersenyum lemah. “Terima kasih dan minta maaf sebab saya, awak bergaduh dengan
dia lagi.”
“Benda
kecil sajalah, yang penting sekarang awak okey tak?”
“Saya
okey, cuma lutut terluka dan seluar sahaja yang kotor sikit,”
Maisara
cekak pinggang, “Dan yang awak ni pun satu hal juga, badan awak lagi besar dari
dia orang kenapa awak tak smack down je dia orang tu,”
“Mai,
bukan saya tak nak lawan dia orang. Ibu saya pesan jangan bergaduh, dia tak
suka saya cari pasal di sekolah. Awak sendiri pun tahu, kalau ibu dapat tahu, dia
akan naik angin dan pukul saya.” beritahunya.
“Balik-balik
itulah ayat awak. Sesekali awak pertahankan diri tak salah pun. Lagipun tadi,
awak bukannya sengaja terlanggar dia kan? Azman tu yang lebih-lebih,” bebel
Maisara.
Mamat
terangguk. Dia kemudiannya tersenyum. “Adanya awak saya tak takut. Sebab awak
Wonder Woman saya. Selalu ada untuk selamatkan saya,”
Maisara
selamba meluku kepala Mamat. “Sekarang memanglah. Tapi bila kita dah besar
nanti saya nak awak pula yang selamatkan saya. Kalau awak masih lemah macam ni
bila dah besar nanti saya tak nak kawan dengan awak,”
Mamat
angguk, “Saya janji. Saya akan jadi awak punya pelindung!!” Kemudian mereka
berdua tertawa. Mamat mula menggosok perutnya, “Jomlah pergi kantin, saya dah
lapar ni,”
Maisara
ketawa lagi, “Yalah, jom!!”
Maisara
dan Mamat telah lama bersahabat, sejak dari darjah satu hinggalah kini di
tingkatan satu. Tika sekolah rendah, saban tahun mereka berada di dalam kelas
yang sama, rumah sukan yang sama dan persatuan yang sama malah hobi mereka pun
sama. Menginjak menengah, mereka juga tanpa di sangka melanjutkan pengajian
menengah di sekolah dan kelas yang sama. Bagai aur dengan tebing, Maisara dan
Mamat bagaikan tidak dapat di pisahkan.
Maisara
satu-satunya sahabat Mamat dan pelindungnya. Mamat selain bertubuh besar, dia
mempunyai penyakit asma, ini tambah menyulitkan, untuk dia mempertahankan diri.
Sekiranya ada yang membuli Mamat, Maisara akan tampil menyelamatkannya seperti
seorang srikandi. Ini kerana Maisara berperwatakan kasar dan berpenampilan
boyish.
Saat
ini meskipun indah, namun mereka tahu. Akan tiba suatu masa nanti, perpisahan harus
mereka hadapi. Tidak selamanya sesuatu yang indah itu akan berkekalan dan
bertahan selamanya di dunia ini.
DIA MENARIK nafas
penuh kelegaan. Mamat berada di sini rupanya. Sebaik basikal di tongkat, dia mengambil
tempat di sebelah Mamat. Perkhabaran yang diberitahu ibu Mamat sebentar tadi
sedikit sebanyak menggoncang hatinya.
Dia
mengerti mengapa Mamat bertindak menghilangkan diri. Jikalau dia berada di
tempat Mamat, pasti dia juga akan berbuat perkara yang sama. Tiada suara. Mamat
menekur memandang tanah. Maisara juga tertunduk. Seketika terdengar esakan
kecil. Mata Mamat merah.
“Budak
gemuk, hodohlah muka awak dengan mata merah begitu.” tegur Maisara. Mamat
menoleh memandang Maisara. Air mata yang masih berbaki, di kesatnya. Maisara
ketawa paksa. “Awak itu lelaki, janganlah emosional sangat. Benda kecil macam
ini pun nak nangis?”
“Awak
mungkin rasa ini benda kecil tetapi pada saya ianya besar.Too big.”
jerit Mamat tiba-tiba.
Maisara
terpempan. Dia cuba berlagak setenang mungkin. “Ustazah pernah berpesan yang
setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Kita sebagai hamba Allah kena terima dan
redha dengan takdir Allah. Manalah tahu di sebalik perpisahan ini akan ada
suatu pertemuan yang baru,”
Mamat
terdiam agak lama. Dia tahu itu. Dia sepatutnya meneguhkan hati tetapi ianya
tetap sukar sementelah dia dan Maisara telah lama bersahabat. “Ibu tentu dah
beritahu awak kan?” Maisara angguk. Mamat tersenyum tawar. “Awak okey? Kita
mungkin tak dapat berjumpa untuk jangka masa yang panjang. Ataupun awak
sebenarnya gembira sebab dah tak perlu lindungi saya lagi?” suaranya mula
serak.
“Mamat,
tidak kira di mana awak berada. Awak tetap kawan saya untuk selamanya. Dan
siapa kata saya gembira? Saya akan kehilangan satu-satunya kawan saya. Awak
sahaja yang sudi berkawan dengan budak perempuan yang comot dan kasar macam
saya ini.” Bergenang sudah tubir mata Maisara.
Mamat
menyambung, “Samalah kita. Hanya awak yang nak berkawan dengan badak air macam
saya ni. Orang lain, menjauh tapi awak mendekat. Awak sentiasa ada untuk saya.
Hidup saya nanti pasti akan sunyi tanpa kehadiran awak.”
Maisara
ketawa dalam tangisan. Mamat merenungnya pelik. Maisara lantas berkata, “Cara
awak bercakap macam kita takkan berjumpa lagi. Kata-kata awak pula macam orang
yang sangat matang. Takut pula saya rasa,”
Mamat
tersengih. “Saya tiru ayat dalam drama. Tapi betul, saya benar-benar
maksudkannya. Tanpa awak, memang membosankan.”
Maisara
tarik senyum segaris. Pipi yang tadinya basah dengan air mata telah
kering. Senyuman ceria terukir. “E-mel!
Kita boleh berhubung melaluinya kan? Rasa rindu nak bercakap dengan saya, awak
e-mel sahajalah.”
Mamat
terangguk bersetuju. “Betullah. Lupa pula saya.” Tiba-tiba dia mencebik, “Tapi
takkan sama.”
“Memanglah
takkan sama. Sekurang-kurangnya kita dapat berhubung itupun sudah mencukupi.
Jangan pula nanti selepas dapat kawan baru, awak tak nak bersembang dan hantar
e-mel pada saya pula. Awak balik Malaysia nanti, saya takkan datang jumpa
awak.” ugut Maisara.
Mamat
mengangkat lima jari, membuat sumpah, “Saya berjanji. Awak sahabat saya buat
selamanya, tiada penggantinya.”
Maisara
menatap tenang wajah Mamat. “Saya juga. Sahabat selamanya.”
Deru
angin menampar lembut tudung Maisara. Terserlah keayuan seorang gadis. Mamat
mengukir senyum dalam diam. Maisara cinta pertamanya. Mungkin ada yang akan
mengatakan ianya hanya cinta monyet yang akan pudar di arus masa. Tapi entah
mengapa dia yakin, hanya Maisara untuknya.
“Awak
tahukan, awak my
Wonder Woman?”
Maisara
angguk. “Awak pula Hipopotamus saya. Kenapa?”
Mamat
geleng, “Nothing.
Saya terfikirkan 10 tahun nanti, selepas saya balik dari Korea Selatan, agaknya
bagaimana rupa awak? Rupa saya? Masih sama? Atau berubah. Ataupun kalau saya
lalu sebelah awak, awak akan kenal saya atau tidak?”
Maisara
termenung lama sebelum membalas, “Itu semua kan di bawah perkiraan Tuhan. Sama
ada berubah atau tidak, terpulang pada diri kita. Berubah kepada yang lebih
baik, itu baik. Tapi kalau yang sebaliknya harap di jauhkan.”
“Awak
doakan saya selamat pergi dan selamat pulang iya?” pinta Mamat penuh mengharap.
Maisara menggetap bibir, kepala di angguk. Tiada kata.
Mamat
senyum nipis. “Selagi ada rindu, kita pasti akan bertemu. Untuk itu saya
berjanji dengan awak. Awak orang pertama yang saya akan jumpa, sebaik menjejak
kaki ke bumi Malaysia. I promise you that!”
Maisara
angguk. “But
before that, I’m so gonna miss you a lot.”
ucapnya perlahan.
Burung yang bertenggek di pohon itu seketika
mencuri perhatian mereka. Mamat mendesis perlahan. Aku juga, akan sentiasa rindukan kau, Maisara. Segala kenangan
bersama Maisara akan dibawa pergi menemaninya di seberang sana. Doanya moga persahabatan
ini kekal menjadi memori yang terindah di dalam lipatan hidupnya.
GAMBAR
ITU di renunginya. Mamat telah berangkat ke luar negara petang tadi. “Belum pun
menginjak sehari, aku sudah teringatkan kau. Agaknya kapan rindu ini akan
surut?” tuturnya di luar sedar. Kemudian dia tertawa perlahan. “Berpuitis pula
aku.”
Dia
memeluk tubuh. Titis gerimis yang di benteng teguh, bah jua akhirnya. Dia
tenggelam dalam tangisan. Gelang tangan pemberian Mamat di tenungnya lama. “Aku
harus kuat. Mamat kan dah janji yang dia akan pulang semula ke sini. Lagipun
masih ada e-mel sebagai perantara kami.” bicaranya sendirian. “Aku akan setia
menunggu kau.”
Cinta
pertama atau cinta monyet hadirnya bisa menceriakan hati. Perginya meragut
jiwa. Indahnya pula mungkin hanya sementara, namun tetap kekal abadi di dalam
hati. Penantian, mungkin memenatkan dan bagaikan tiada penghujungnya. Namun
jika hati sudah terpaut, segalanya terasa berbaloi... meskipun masa depan itu
terlihat jauh.
JARINYA mula menari di
atas papan kekunci. Bibir mengukir senyum. Dia ingin berkongsi segala cerita
dan masalah dengan Maisara. Ibu dan ayah menggeleng kepala melihat telatahnya.
Sejak menjejak kaki ke bumi Korea Selatan ini, Mamat tidak senang duduk selagi
belum menulis e-mel kepada Maisara. Hendak di larang tiada daya mereka. Mamat
dan Maisara bagaikan bersaudara.
Maisara, saya sudah dapat kawan baru; Kim. Dia serupa macam
awak. Sentiasa melindungi saya. Bezanya cuma dia lelaki, awak perempuan. Dia
nasihatkan; saya harus kuat dan lawan balik. Tengok, nasihat dia pun sama. Tapi
saya tetap rindukan awak.
Satu lagi, hendak berkomunikasi di sini memang menyulitkan.
Bahasa Inggeris memang mereka tak pakai sangat. Orang di sini kebanyakannya
lebih suka berbahasa ibunda. Jadi hendak atau tidak saya wajib belajar.
Tergeliat juga lidah ni, memula dulu. Tetapi berkat bantuan cikgu dan Kim kini
makin okey sikit. Mujurlah juga Kim pandai berbahasa Inggeris, dialah yang jadi
tukang translate untuk saya.
Akhir kalam sila balas. Saya pun mahu tahu cerita awak macam
mana kat Malaysia. Baru sebulan di sini, saya dah rindukan Malaysia dan awak
tentunya. Bagaimana mampu saya bertahan? Sepuluh tahun? Lamanya... Maisara
kidnap saya balik ke Malaysia, boleh? Baiklah, jumpa lagi.
DIA tersenyum membaca e-mel kiriman
Mamat. Sahabatnya ini benar-benar mengotakan janjinya. Sebulan sekali pastinya
akan di terima e-mel dari Mamat. Maisara semakin yakin yang hubungan
persahabatan jarak jauh ini tidak akan goyah. Dengan izin Dia, pastinya.
Tanpa menunggu lagi,
dia terus membalas e-mel dari Mamat.
Rindu? Benarkah awak rindukan saya? Tapi saya tak rindukan
awak. Macam mana ni? Jangan kecil hati, saya bergurau sahajalah. Sunyi betul
tak ada awak kat sini. Hidup saya masih sama... tiada perubahan sejak awak
pergi. Ada juga yang nak berkawan tapi entahlah... dia orang tak macam awak.
Bercakap tentang bahasa Korea. Biasalah memula belajar
memanglah susah. Lama-kelamaan nanti jadi biasalah. Jangan sampai balik
Malaysia nanti tak reti cakap Melayu sudah. Kalau awak cakap Korea dengan saya,
jenuh saya ternganga tak paham. Melainkan awak ajar saya. Hmm...cantik juga tu.
Boleh juga saya belajar bahasa asing lain, selain bahasa Inggeris dan Arab.
Awak nak saya
culik awak? Tak naklah nanti saya kena tidur dalam lokap. Just joking. Anyway,
keep in touch okey? See you... .
Beginilah caranya
kedua-dua sahabat ini melestari dan mengekalkan persahabatan yang telah terbina
sekian lama ini. Sehingga tanpa sedar masa telah pun berlalu... dan masing-masing
telah menginjak dewasa.