Khairul tidak
senang duduk. Air matanya menitik lagi. Setitik demi setitik. Dia jadi hairan
kenapa air matanya menitik. Dibelek, dipusing dan diramas. Hatinya remuk bila
kertas itu diramas.
Kembali
kertas itu dilurut-lurut dengan lengan jaket yang dipakai. Masih terbekas
renyutan. Dia kesal. Dibaca lagi sajak itu, emosi yang sama kembali berpilin.
“Sajak biasa
saja. Tengok tulisan dah tahu, dia ni bukan penyajak atau sasterawan. Tapi kenapa
aku rasa sedih? Rasa ditinggalkan,” langkah dia terhenti.
Dia berdiri
di tembok batu, menghayati panorama Jackie
Kennedy Reservoir yang berkeluasan
106 hektar itu. Bila dia menghembus nafas, wap sejuk meluncur keluar bertebaran. Ditemukan
kedua telapak tangan, pantas digosok laju kemudian bila terasa panas,
cepat-cepat dilekapkan tapak tangan ke pipi. Kesuamman menjalar ke permukaan
kulit.
Warna biru
air di Jackie Kennedy Reservoir direnung. Mendamaikan. Tenangnya terkuak bila
dilempar batu. Bergetar air hingga ke tepi. Dilempar lagi batu. Itulah yang
akan dilakukan bila dia ke situ.
Siapa tak
kenal Central Park Manhattan yang berkeluasan 883 hektar itu. ‘Cantik dan
menakjubkan’ dan itulah yang dapat digambarkan mengenai taman yang mula dibina
pada tahun1860.
Khairul
masih memerhati. Sepasang American Robin melayah turun, mungkin mandi atau mungkin
minum. Dada burung itu oren kemerahan dengan secalit putih di bahagian mata.
Terlompat-lompat si jantan, menarik cacing untuk pasangannya.
Khairul
mendengus. Dibaca lagi sajak itu, hatinya kembali sayu. “Mesti perempuan yang
tulis. Sebab tu guna khalifahku. Walaupun sajak ni biasa-biasa saja. Tapi aku dapat rasa kesedihan dia. Siapa dia agaknya.
Macam mana sajak ni boleh ada dalam bagasi lama aku?” Khairul melarikan lagi
wajah, mencari-cari pasangan American
Robin.
“Dah terbang…
kalaulah aku dapat cari pasangan yang setia macam American Robin tu. Tapi wujud ke perempuan yang setia zaman
sekarang. Yang kaki kikis ramai lah.” Khairul gigil kecil. Dia menghayun
langkah, mahu ke Le Pain Quotidien.
Setibanya di
hadapan restaurant berpintu kaca dengan bingkai kayu berkilat itu, dia
melangkah masuk. Macam biasa Maya, gadis berkulit pucat dan berambut perang
menyapa.
“I can take orders,” pantas dia mendapatkan
Khairul.
Bibir tipis
mengukir senyum. Maya menarik kerusi, tanpa malu dia duduk.
“Fish and chips… as usual.” Maya kenyit
mata.
“Yup…”
Senyum Khairul.
Kicauan American Robin mengalih tumpuan Khairul.
“Agaknya tu
burung tadi. Merdu… mungkin sebab tu aku suka ke sini.”
Bila
pasangan burung itu terbang, dia kembali merenung sajak itu. Satu keluhan kecil
kedengaran.
“Aku mesti
cari siapa penulis sajak ni. Aku nak jumpa dia. Nak bertentang mata. Mungkin
mama tahu sesuatu tentang penulis sajak ni,” wajah resahnya bertukar ceria. Dia
nekad.
“A love letter from a lover…”jeling Maya sebelum berlalu.
Fish and Chip itu hambar. Selera dia tidak seperti minggu-minggu yang biasa.
Maya datang
lagi. Ditarik kerusi lalu duduk. Mungkin kerana pelanggan sudah surut.
Dikerling lipatan kertas di sisi Khairul dan dia senyum.
“Kenapa tak
makan?” aju Maya. Tidak disangka gadis itu petah berbahasa.
“Tak selera,”
pendek dibalas.
Kepingan ikan di
pinggan dikuis dengan garfu. Maya capai sebatang kentang goreng. Dikunyah malas.
Matanya tak lepas merenung Khairul.
“Surat cinta?
Dari siapa?” aju Maya. Memang dia gadis yang penyibuk. Semua hal mahu diambil
tahu. Dari perkara paling remeh hinggalah isu negara.
Pintu terbuka,
seorang lelaki tua bertongkat masuk. Baju bercorak jalurnya kelihatan lusuh.
Mungkin gelandangan. Maya bangun menghalau, tetapi lelaki tua itu tetap pegun
malah merayu untuk satu hidangan.
“Go out… no free
food here. Do not let me call the police,” sergah Maya.
Pincing matanya menyentak Khairul seketika.
“Boleh tahan singa minah saleh ni.” Kharul bangun.
“Let him oder.I pay…”
“Thank sir.” Lelaki itu menggengam erat dan
berkali-kali dihayun tangan Khairul. Ketawa Khairul pecah tiba-tiba bila perut
lelaki gelandangan itu berbunyi.
“Lelaki yang berhati suci.” Maya renung terharu.
Khairul tersentak. Bukan kerana pujian itu, tetapi seakan-akan pernah mendengar
ayat itu. Rasa seseorang pernah menuturkan ayat itu kepadanya. Hatinya diusap
sayu.
“Macam pernah dengar ayat tu… tapi di mana dan
siapa yang cakap kan ya?” getus hati. Wajah kelatnya mengundang hairan Maya.
“Kenapa?” tajam direnung.
“Tak apa-apa. Saya bayarkan sekarang.” Dia
melangkah ke kaunter.
Sekali lagi lelaki gelandangan menyalami dan
memeluk Khairul sebaik dia melangkah meninggalkan Le Pain Quotidien.
Mendung menebar di wajah langit. Khairul melajukan
langkah. Bila-bila masa sahaja hujan akan turun. Angin mula bersiul. Central Park didakap suram ditambah 26 ribu batang pokok
menjadikan ia melankolis.
Berterbangan dedaun bila angin semakin kuat
bertiup. Malah jaket labuh yang disarungnya turut terbuai-buai. Mungkin kerana
lalai, sajak di tangan ditiup angin. Terkejar-kejar dia. Namun angin tidak
mudah mengalah, makin jauh kertas itu dilayangkan.
“Makin jauh kertas ni kena tiup angin. Jangan melayang
sampai atas pokok sudah. Kena cepat, bila-bila masa hujan boleh turun. Lencun
aku nanti.” Khairul terbongkok-bongkok, malah berlari-lari, sungguhpun begitu
kertas itu masih tidak berjaya ditangkap.
Hujan yang dijangka, turun juga akhirnya. Lebat
meludah bumi. Kertas itu kebasahan.
“Sakit punya hujan, habis basah kertas aku.”
Khairul pantas mencapai kertas itu. Diperiksa jika
ada koyakan. Dibaca sekali lagi dan pening menyerang hebat. Terduduk dia
seketika. Rezeki berpihak kepadanya kerana ada gazebo berhampiran. Dia berjalan
perlahan ke situ. Matanya berpinar.
“Setiap kali hujan mesti aku pening. Tapi hari ni
macam nak pecah kepala. Agaknya aku migrain.” Dia berpaut pada tiang gazebo.
Matanya layu dan makin berpinar. Jaketnya basah kuyup, mujurlah itu jaket kalis
air. Kepala pula makin berdenyut. Dia putuskan akan pulang bila surut hujan dan
pening.
***
“Mama… mama…” laung Khairul sebaik pintu
apartment dikuak. Sunyi macam selalu. Bermakna mamanya belum pulang.
Dia terketar-ketar, ternyata tubuhnya
masih kesejukan. Diperhatikan tapak tangan yang pucat. Kalau toreh pasti tak
berdarah. Ditanggalkan jaket lalu
disangkut ke dinding. Suis pemanas udara dipetik. Dia senyum bila hawa panas
memeluk tubuh.
“Lambat
lah kalau macam ni! Aduh… selagi tak siasat aku tak senang duduk. Macam mana
caranya ya.” Khairul memicit-micit dahi. Pening menggila, mungkin kerana banyak
berfikir.
Keempukan sofa menjadikan dia sedikit
selesa, dikalih kepala ke kanan. Terlihat pintu bilik yang terkunci. Di dalam
bilik itulah dia terjumpa bagasi yang terdapat sajak di dalamnya. Dia mengeluh
lagi.
“Aku nak periksa lagi sekali. Mana tahu
ada petunjuk.”
Sungguhpun pening dan kesejukan, dia tetap
bangun dan memulas tombol pintu bilik itu.
“Berkunci… semalam tak pula berkunci. Mesti
kunci ada dengan mama. Kena tunggu mama balik lah jawabnya.”
Langkah diatur ke sofa. Dihenyek tubuh
sasanya. Kepala disandar dan dia tidur.
Telefon berdering
memagut lena Khairul. Diraba-raba telefon bimbit malas, bila dicapai ditekan
dan ditekap ke pipi. Suara gembira menerjah.
“Dia terima
cinta aku akhirnya… kau dengar tidak kawan. Dia terima cinta aku akhirnya,”
makin galak suara itu, makin bingit telinganya.
“Corrado!
Sabar. Bertenang. Apa hal sebenarnya? Tak pernah-pernah kau seriang ni.”
Khairul berbasi-basi, malas melayan. Dia keletihan. Sebetulnya, akalnya yang
keletihan.
“Gadis tu
dah setuju nak kahwin dengan aku. Dia pinjamkan aku buku berkaitan agama Islam.
Aku rasa dia nak aku pelajari dan dalami Islam sebelum kami berkahwin,”
suaranya laju, macam orang tak cukup nafas.
“Tahniah…
nampaknya dia bukan calang-calang gadis. Kalau tak, mana mungkin kau terpikat.
Bertuah kau Corrado. Aku juga yang menduda,” usik Khairul.
“Kau tu yang
memilih sangat. Kat NY bertimbun gadis cantik. Petik jari, mesti sangkut. Kau
kan playboy hebat,” ketawa kedengaran
di hujung corong.
“Aku dah tak
buat kerja tu. Aku dah jadi baik. Kau carikan aku seorang gadis Melayu. Aku nak
buat isteri,” ketawa mengirai.
“Gadis NY
lagi cantik,” balas Corrado.
“Tapi gadis
Melayu tetap yang tercantik. Hidung tak mancung, kulit tak putih, tak hitam.
Tubuh tak tinggi, tak rendah. Pendek kata serba-serbi sederhana.”
“Nanti kau
balik Malaysia, kau pilih sendiri. Kau duduk kat NY lama-lama hendak buat apa.
Malaysia pun bagus,” bidas Corrado.
“Bisnes… aku
terikat dengan amanah. Tak kan aku nak tinggalkan mama aku seorang diri kat
sini,” tokok Khairul.
“Tepuk dada tanya selera. Aku masih ada kerja. Selamat tinggal
kawan.”
“Eh! Nantilah dulu… aku belum habis cakap lagi ni.”
“Apa lagi kawan.”
“Bila kau nak kenalkan buah hati, pengarang jantung kau
tu kat aku? Siapa nama dia? Aku kenal
tak buah hati kau tu?” bertalu soalan diaju.
“Tak payah kenallah. Nanti kahwin aku jemput, kau tengoklah
puas-puas.”
“Kau ni macam tak percaya kat aku. Aku tak mengoratlah isteri
kawan baik.” Khairul mengusik.
“Nantilah. Kalau jadi dan betul kami dah bertunang baru aku
kenalkan,” dalih Corrado.
“Oklah… nama dia siapa? Bagi tahu nama pun dah cukup. Mana
tahu silap-silap bekas mata air aku. Bermadu kita Corrado,” giat Khairul.
“Itu mustahil. Aku yakin seratus peratus yang perkara tu tak
mugkin berlaku. Dia bukan citarasa kaulah Rijal. Aku yakin kau tak akan pandang
pun dia,” ketawa Corrado pecah.
“Wah… wah… bukan main yakin kau ya,” tokok Khairul.
“Aku bukan baru kenal kau Rijal. Dah masak dengan perangai
kau.”
“Itu masa muda. Sekarang lain.”
“Aku kena letak telefon sekarang. Kau tahulah ayah aku tu.
Kalau dia bertukar jadi musang pendek. Lapan hari lapan malam tak habis,”
ketawa mereka berdua pecah. Perbualan mati bila Corrado mematikan talian.
***
Mek
termenung di kaki tangga. Pak Awi masih di atas kerusi goyang. Wajah kelat isterinya
disisir. Diangkat kaca mata yang melurut ke bawah.
“Teh ni tak
kelat macam biasa. Manis pula yang terlebih,” Direnung mek.
Mek buat
muka selamba. Tidak berminat untuk berbual.
“Meknya.
Manis sangat teh ni. Tak kelat macam biasa. Awak nak saya kena kencing manis
ke?” direndahkan pandangan. Mek berkalih pandang.
“Saya bancuh
macam biasa. Tak lebih tak kurang. Mana ada terlebih manis,” pangkah mek.
Pak Awi
ketawa. Terasa sunyi malam mengendur.
“Lah… baru
saya perasan kelat teh ni terlekat kat muka awak. Kenapa ni?” agah Pak Awi.
“Saya
risaulah. Dah empat lima kali budak Sufie tu telefon.”
“Baguslah
macam tu. Kuranglah sikit rindu awak.”
“Bagus… tak
bagus langsung.” Mek menapak tangga. Dia bersimpuh di sisi suaminya. “Dia nak
buat tahlil untuk Rijal.” Mek menagih simpati.
“Jadi…” aju
Pak Awi tenang.
“Orang tak
mati. Nak ditahlilkan apanya abang oiii,” resah mek terluah.
“Itulah awak
buat kerja melulu. Sekarang berjawablah dengan Sufie. Mesti sedih budak tu bila
tahu.” Pak Awi merapatkan bibir cawan ke bibirnya. Dihirup cermat.
“Kalau si
Rijal tu perangai macam manusia, saya tak buat kerja bodoh ni. Saya pun tak
faham dengan perangai Sufie tu.” Mek membutang mata.
“Anak sendiri pun awak tak faham. Pelik!”
sindir Pak Awi.
“Memanglah
pelik. Mana ada isteri yang nak tahlilkan suami sejahat Rijal tu.” Mek
meninggikan suara. Dia geram.
“Eh… eh… apa
pulak tak ada. Adalah,” balas Pak Awi. Dicubit pipi mek.
“Siapa yang
baik sangat tu. Saya nak jumpa. Nak ceramah berbakul-bakul.”
“Siapa lagi…
anak awak, si Sufie tu lah,” ketawa Pak Awi bergema.
Mek
tersentak. Kata-kata suaminya memang benar.
Suasana
kembali sunyi, hanya batuk Pak Awi yang melalikan suasana sunyi. Batuk tua Pak
Awi makin menjadi-jadi. Makin menambah serabut kepala mek.
“Esok kita
ke klinik. Makin menjadi batuk awak tu.”
Pak Awi urut
dada kemudian jeling mek. “Tak payah. Membazir. Saya tak apa-apa, esok lusa
baiklah,” cantas Pak Awi.
“Membazir
apanya. Bukan kita pergi merambu. Kita pergi klinik jumpa doktor. Minta ubat,”
marah mek.
“Amboi…
kalau sayang sekalipun, janganlah naik suara kat saya. Makin batuk nanti,” usik
Pak Awi.
“Awak tu.
Bila saya kata tak mahu dengar. Kita duduk berdua, kalau jadi apa-apa tengah
malam siapa susah. Awak seoranglah suami
saya.” Mek senyum. Namun kelat.
Makin galak
Pak Awi ketawa. Lucu mengeletek hati. Mek berwajah masam.