“Kak cepat sikit! Saya nak telefon
rumah. Abang saya masuk ICU,” suara kesedihan menyapa dari belakang.
Sufie berpaling. Seorang remaja
lelaki bermata redup dengan bibir terketar-ketar. Dia memandang mengharap
simpati. Baju dan seluar yang dipakainya diwarnai darah hanyir yang memualkan
tekak.
“Maaf dik… Kakak tak perasan adik
ada kat belakang. Gunalah. Masih berbaki, gunalah telefon rumah,” senyum
lembut menyapa pandangan. Lega bercambah di hati remaja itu.
“Terima kasih,” segaris senyum
terbit di bibir remaja itu.
Sufie berjalan selaju yang boleh,
namun langkahnya masih terbatas kerana penglihatan yang bermasalah. Mujurlah
lampu-lampu jalan menyimbahi cahaya pada lantai bumi.
“Ya ALLAH kenapa dengan mataku ini.
Adakah Engkau mahukannya semula?” bibir Sufie bergerak kecil, menyoal TUHAN.
Corrado mundar-mandir, resah bila
memikirkan Sufie. Dia berharap Sufie berjaya menghubungi, sekaligus
melampiaskan rindu pada keluarganya. Resah itu surut bila melihat kelibat Sufie
dari jauh.
“Dapat ke tidak? Harap-harap dapat.”
Corrado tercegat memandang.
Entah kenapa ada desir halus
melintas mendebarkan dadanya, saat wajah Sufie muncul. Bukan sekali dua, malah
sudah berkali-kali. Gadis albino itu begitu berbeza baginya. Tidak seperti
gadis-gadis lain. Dia ibarat jinak-jinak merpati, ramah dan mesra. Namun sukar
dijerat. Mungkin kerana itulah dia jatuh cinta kepada Sufie.
“Dapat tak?” tanya Corrado laju.
Wajahnya berkerut.
“Belum diizinkan ALLAH. Saya telefon
kemudian sajalah.” Sufie senyum, namun desir hati Corrado menyatakan gadis itu
hampa.
“Nah telefon saya. Gunalah dulu.”
Corrado mengeluarkan telefon bimbitnya daripada poket apron. Menyuakan kepada
Sufie.
“Terima kasih! Syiling saya masih
berbaki.” Sufie bernada lembut. Menolak penuh sopan.
“Kenapa selalu tolak bila saya suruh
guna phone saya. Apa yang awak takutkan? Saya tak ada niat bukan-bukan
pun. Saya jujur.” Corrado bernada lembut, tetapi matanya agak mencerlang garang.
Tanda geram.
Sufie senyum geli hati melihat
kesungguhan Corrado.
“Tak apalah, simpan saja kredit
awak. Saya jenis kuat bergayut. Sekali saya guna phone awak, esok pagi
belum tentu habis bercakap, Awak pun janganlah mudah terasa hati. Saya tahu
awak lelaki jujur. Malah, kalau saya kena senaraikan nama lelaki jujur yang
pernah saya kenal. Pasti nama Corrado di antaranya,” ketawa kecil Sufie
kedengaran. Menampakkan barisan gigi putihnya, sekaligus menggeletek tawa
Corrado.
Sebenarnay Sufie bimbang jika
Corrado tahu nombor telefon rumahnya. Mungkin jika tersalah hari akan
mengundang resah kedua orang tuanya. Maklumlah dia tidak pernah memberi nombor
telefon kepada lelaki.
“Oklah… ikut suka awak.” Corrado
mengalah.
Rozita datang tiba-tiba. Corrado tersengih
kemudian senyum nakal. Sufie tertanya-tanya maksud senyuman itu.
“Boleh saya pergi rehat tak? Nanti
lepas Insyak mesti lagi ramai pelanggan.” Rozita meminta kebenaran.
“Tentulah boleh… tapi ada
syaratnya,” balas Corrado.
“Aik… sejak bila pula nak rehat kena
pakai syarat-syarat ni?” aju Rozita geram.
“Baru sesaat. Dan hanya khusus untuk
awak,” balas Corrado. Senyum nakal bermain dibibirnya.
“Ini dah dikira menindas pekerja.
Kalau saya report kat Jabatan Buruh, silap-silap ada harapan bercuti dalam
penjara tahu.” Rozita mengugut.
Corrado ketawa mendadak melihat
wajah Rozita yang berang. Hatinya terhibur bercampur resah. Terhibur melihat
wajah berang Rozita dan resah melihat wajah suram Sufie.
‘Tentu dia sangat rindukan keluarga.
Aku risaukan dia. Aku takut hati dia pecah macam gelas. Betul ke Kau
benar-benar wujud TUHAN? Kalau ya, sembuhkanlah rindu di hati Sufie.’ Getus
hati Corrado yang paling dalam. Matanya terpejam seketika, kemudian direnung
wajah suram Sufie.
‘Tabah sungguh hati dia. Jarang aku
jumpa gadis seperti ini,’ hatinya kembali berkata.
“Lamanya tenung anak dara orang.
Jangan main-main nanti jatuh cinta naya…” Rozita mengusik. Ditepuk bahu Corrado
dengan kuat.
Corrado tersentak. Tidak disedari
yang dia sedang merenung Suffie. Gadis albino itu menjadi malu, sedikit resah
bersarang pada wajahnya akibat renungan itu.
“Kalau saya cintakan Sufie kenapa?
Lagi pun kami sama-sama bujang,” balas Corrado. “Betulkan Sufie?” aju Corrado
gugup. Memang sah dia tak pandai dan tak pernah memikat. Buktinya dia
tergagap-gagap.
Serba salah Sufie. Gelaran janda
sudah dimenanginya. Janda dara yang tidak terusik oleh sesiapa. Perlukah dia
ceritakan hal itu. Ah! Hatinya membantah. Bercerita kisah hidupnya hanya akan
menambah luka. Sujurus itu wajah Rijal bertandang. Senyuman yang menjengkelkan
pada wajah itu, mengundang rasa hiba. Tiba-tiba tanpa disangka senyuman itu
bertukar kepada senyuman paling manis yang pernah dilihat dan diingatinya.
‘Kenapa aku tak mampu membenci,
sedangkan dia tak pernah mencintai. Kenapa aku masih merindui, sedangkan dia
tak pernah sekalipun mengingati. Kenapa aku masih mahu setia, sedangkan dia tak
pernah menanti,’ detik hati Sufie.
“Kak Sufie… Kak Sufie,” panggil
Rozita. Bahunya dicuit lembut.
“Maaf, Kak Sufie tengah berfikir.”
Ramah mata Sufie menyapa.
“Jangan-jangan awak tengah berfikir.
Ya atau tidak saya nak jadikan awak kekasih hati. Saya ok saja kalau awak
mahu.” Corrado membuat kesimpulan. Makin gagap nadanya.
Entah kenapa wajahnya merona merah,
mungkin malu. Kali kedua dia jatuh cinta. Namun mencintai Sufie agak lain
perasaannya. Kalau ditanya, dia sendiri tidak tahu. Perasaan yang sukar untuk
diungkai dengan kata-kata.
“Ada-ada sajalah awak ni Corrado,”
balas Sufie, “Suka sangat mengusik saya, buatnya saya betul-betul jatuh hati,
baru haru-biru dunia awak.” Sufie senyum. Menambah sesak dada Corrado.
“Bertuah siapa yang dapat awak
Corrado. Saya yakin dekat luar sana berebut-rebut gadis yang mahukan awak.”
Sufie berlagak tenang.
Corrado kelu.
“Mana tidaknya. Mata dia saja dah
mencairkan hati. Cukup sempurna.” Rozita menambah. Matanya tertancap pada mata
Corrado.
“Tapi yang paling menarik, orangnya
mempunyai hati yang penyayang. Seorang lelaki baik yang menyenangkan sesiapa
sahaja. Sentiasa gembira bila melihat kegembiraan orang lain, walau hatinya
terluka.” Tambah Sufie. Senyum penuh makna.
Berdebuk…. Tangkai hati Corrado
putus dan hatinya jatuh. Seakan nafas terhenti. Wajah yang merona merah kini
merah saga, kerana tersentuh mendengar kata-kata Sufie. Benarlah apa yang
dikata orang. Bila mendengar patah kata daripada kekasih hati, seumpama
mendengar suara malaikat. Dia diam membatu, pandangannya beralih ke lain.
“Huh…. Gila. Aku benar-benar sudah
jatuh cinta pada dia,” desir halus Corrado.
“Ada orang dah jatuh cinta… “ Rozita
mengusik. Dia benar-benar pasti yang Corrado sukakan Sufie.
“Pandailah kamu….” Corrado gagap.
“Yalah tu… sampai tergagap. Memang
dah sah Corrado dah jatuh hati pada Kak Sufie.” Rozita bersuara yakin.
“Sudahlah, jangan diusik Corrado
lagi. Kita masih banyak kerja yang nak diselesaikan,” balas Sufie.
“Oh ya, Rozita beri Sufie pinjam phone
awak. Dia nak telefon keluarga di kampung.” Corrado bernada tegas, sedikit
mengarah.
“Ok….” Rozita menghulurkan telefon
bimbitnya.
“Tak apalah. Public phone
masih ada. Habis pula kredit kalau Kak Sufie guna.”
“Ambil sajalah. Apa yang nak
dimalukan.” Rozita mendesak.
“Betul tak menyesal ni?” soal Sufie.
Minta kepastian.
“Ya…,” balas Rozita.
Tanpa berlengah, diambil telefon
dari tangan Rozita. Dia memanjatkan kesyukuran kepada ALLAH. Corrado lega.
“Ambil pula. Bila saya hulur phone
tolak. Kenapa ya? Awak tak sukakan saya ke?” aju Corrado, sedikit terkilan.
“Sebab awak orang lelaki dan Kak
Sufie perempuan baik-baik. Dia takut timbul fitnah nanti. Manalah tahu, silap
hari bulan Miera si ahli sihir dapat tahu. Kiamatlah jawabnya.” Rozita
membalas.
“Miera tu bukan kekasih saya, per… cayalah
Sufie. Miera bukan kekasih saya. Saya tak tipu.” Corrado menerangkan dengan
tergopoh-gapah.
“Sikap awak yang macam air batu akan
cair bila bertemu Kak Sufie, salah satu tanda awak dah jatuh hati.” Rozita
ketawa geli hati.
“Sudah-sudahlah tu. Kak Sufie minta
diri kejap, nak telefon kampung.” Sufie berlalu ke pinggir belibas.
***
Afiena sibuk di dapur. Fikirannya
menerawang mencari kebenaran yang boleh diterima akal.
“Macam tak logik lah pulak? Tapi
rasa macam betul. Tapi rasa macam bukan pula.” Afiena keliru.
Azan Insyak baru sahaja berkumandang, bermakna
dia sudah kesuntukan masa. Masih banyak pinggan yang perlu dilap. Kalau
diikutkan hanya jemaah surau sahaja dijemput, tetapi hidup di kampung, hidup
bagaikan keluarga besar. Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul. Maka
berduyunglah yang datang.
Mek bersandar lemah pada sudut
dapur, hanya memerhati. Air matanya menitis sekali-sekala, tanda pilu belum
berlalu. Wanita lain tidak menghiraukannya kerana faham.
‘Betul ke kak long hidup lagi? Macam
tak logik lah pulak. Tapi kalau betul.” Afiena senyum panjang, kemudian muram. Sudah
berkali-kali soalan itu menerjah sejak Akim menerima panggilan daripada gadis
yang dianggapnya Sufie.
Deruan enjin motorsikal dan kereta
di perkarangan rumah, mematikan lamunan Afiena.
“La… ada juga yang mari awal.”
“Mari nak tolonglah tu. Kanopi kat
bawah belum disusun meja. Kain pun belum bentang.” Mak Cik Anita yang
sememangnya ramah menjawab.
“Cadang nak buat ala kadar, tak
sangka jadi meriah sampai macam ni. Kalaulah ini kenduri kesyukuran dan bukan
kenduri tahlil,” luah Afiena.
“Jangan suka berkalau. Nanti ALLAH
kata hambaNya tak redha. Tak suka dengan keputusan Dia.” Cantas Mak Cik Anita.
Afiena senyum tawar. Tidak mampu
menangkis nasihat itu, malah itulah juga nasihat yang sering diberi Sufie
kepadanya.
Suasana sibuk, semakin sibuk apabila
jam menghampiri pukul sembilan. Makin riuh keadaan di dapur. Tapi yang lebih
riuh bab menganyam ketupat. Adatlah orang perempuan. Selagi sempat, semua
tempat mereka bersidang.
Bila-bila masa sahaja para jemaah akan sampai.
Di perkarangan sudah ada yang menunggu. Afiena menghampiri tingkap. Bulan
bersinar terang menerangi halaman.
“Cantik… kak long suka sangat tengok
bulan. Cantik kata dia. Memang cantik pun, serupa kak long. Rijal tu saja yang
bodoh.” Afiena merenung bulan, menitis air matanya.
Bunyi kanak-kanak berlari
kedengaran. Akim menghampiri cemas.
“Ibu hantu mak long telefon lagi.”
“Bila?” soal Afiena deras. Ombak
hatinya bertukar tsunami kini. Matanya makin berkaca.
“Dia telefon, guna nombor ibu. Akim
cepat-cepat tutup telefon. Akim takutlah ibu.” Akim ketakutan. Peluh membasahi
dahinya.
Tanpa berlengah Afiena berlari ke
dapur, dicapai telefon, mendail nombor yang dimaksudkan Akim. Menanti penuh
debaran. Hatinya tidak putus berdoa yang Sufie masih hidup dan tidak meninggal
seperti yang dikatakan.
“Please!
Angkatlah. Walau siapa sekalipun. To…
tolong angkat,” sendu Afiena muncul. Hatinya sudah tidak keruan lagi.
Sudah beberapa kali didail, namun
masih tiada yang menjawab. Dia hampa akhirnya. Diperhatikan akaun panggilan.
“Patutlah. Dah lima kali kak long
dail. Aku rasa kak long masih hidup. Ya ALLAH mintak-mintaklah dia masih hidup.
Aku rindu.” Afiena duduk penuh kesal. Sesekali hatinya meracun, ‘kalau cepat
mesti sempat angkat telefon.”
Saat ditunggu tiba, jemaah masjid
tiba juga akhirnya. Hati Afiena hancur, seakan kedatangan jemaah itu adalah
kata putus daripada TUHAN, yang kakaknya sudah pergi. Mungkin kerana sedih dia
masuk ke kamar tidur. Berteleku di atas katil.
***
“Mentang-mentanglah malam ni, malam
minggu. Semua mari serbu. Baru masuk Insyak dah kena terkejar-kejar macam kuli
batak. Kena maki dengan coustemerpula. Adoi…” Rozita geram. Mulutnya
muncung, sesekali dia mendengus.
“Susah payah adalah sebahagian
daripada hidup. Bukan namanya hidup kalau tiada susah payah Cik Rozita comel
oiii…. Jadi mahu atau tak. Suka atau benci kita kena tempuhi dengan
kesyukuran.” Sufie mencubit pipi montel Rozita.
“Saya tengah bengang ni. Ada ke
patut marahkan saya sebab panggil dia kak dan bukan puan. Kerek mengalahkan Tan
Sri. Esok-esok bila jadi janda, masa tu saya panggil dia Miss J. Baru tahu
langit tinggi atau rendah.”
“Ada satu ayat Kak Sufie baca dalam
sebuah buku. Bagus ayat ni. Nak dengar tak?” aju Sufie tenang.
“Mintak-mintak lepas dengar ayat tu,
sejuk sikit hati saya.” Rozita angguk tanda setuju.
“Jika aku menghendaki akan seseorang
itu beroleh keburukan di Akhirat, akan Aku beri dia secukup-cukupnya nikmat di
atas dunia ini, supaya di Akhirat nanti tidak ada sebab untuk Aku merasa belas
kasihan ke atasnya untuk menyumbat ia ke dalam api neraka yang panas membakar.”
“Rasa-rasanyalah, coustemer
tadi tu sedang diuji atas nikmat pangkat yang dia ada, sebab tu pandang orang
macam kuman. Kalaulah yang tengah tanya oder tadi perdana menteri,
rasa-rasalah, ada tak dia jawab macam tu? Di situ kita dah tahu sombong atau
tak dia.”
“Tapi jalan terbaik, serah sahaja
pada Allah. Tugas kita memaafkan jika perkara itu tak memudaratkan. ALLAH balas
lagi hebat tahu. Silap-silap jatuh terduduk orang tu.” Sufie ketawa kecil.
“Mintak-mintak orang tu kena sumpah
jadi basikal. Boleh buat lumba kat litar.” Rozita ketawa besar, kemudian diam
bila diperhatikan krew lain.
“Jangan suka berdendam, Hidup untuk
menyelesaikan masalah, menambah kawan dan pahala dan mencari redha ALLAH. Bukan
menambah masalah, mencari musuh dan membentak-bentak ujian ALLAH. Dahlah,
bazirkan masa saja ingat benda-benda macam tu.” Sufie makin ramah, sehingga
mengundang marah Arturo.
Lelaki dempak itu memerhati dari
tadi. Hatinya menggelegak melihat keadaan itu.
“Masih sempat mengumpat. Dasar orang
perempuan.”
Dia bergerak laju menghampiri,
menjerit kecil. Sangat kecil hampir tidak disedari Sufie dan Rozita.
Reputasinya di mata pelanggan amat baik, namun Sufie sering mencabar
reputasinya dengan sikap berani yang ditunjukkan.
“Kafe ni jual pastri, bukan jual
ketupat daun palas atau ketupat nasi. Nak berhenti kerja atau berkerja. Boleh
pilih sekarang,” ancam Arturo.
“Maaf chef. Saya tengah tunggu
pesanan untuk meja 12.” Sahut Sufie.
“Kamu pula buat apa? Berkepit 24
jam. Naik rimas saya tengok.”
“Saya tengah rehat. Ada lagi
setengah jam waktu rehat saya.” Rozita menjawab gagap. Entah kenapa wajah
Arturo amat digeruni oleh dia.
“Dah pergi rehat di luar. Jangan nak
menyemak di dapur,” usir Arturo geram.
Rozita berlalu pergi. Dia sudah
tidak sanggup melihat wajah lelaki garang itu. Sampai sahaja di anjung dia
mendengus deras. Terasa nafasnya yang tersekat sebentar tadi mengalir normal
semula.
“Apa punya bos. Nasib baik aku baik.
Kalau tak aku dah sekolahkan kau tadi. Harap kau pendek saja aku kasihan.”
Rozita membebel sendirian.
“Baik main game.” Dia kembali ceria.
Memang dia jenis yang tidak pandai marah lama-lama.
Rozita keluarkan telefon bimbitnya.
Mod senyap diaktifkan. Sudah menjadi peraturan di kafe itu supaya telefon
dimatikan ketika bertugas. Kalau ada yang melanggar peraturan, sudah tentulah
berbuih telinga mendengar bebelan Arturo.
“Alamak banyaknya panggilan masuk.
Tapi nombor siapa pula ni? Bukan nombor kawan-kawan aku.” Rozita membuka baret
krew di kepalanya, mengipas-ngipas badan.
“Ah, biarkan sajalah. Tak penting
pun.” Rozita mengabaikan panggilan itu.
Dia mula bermain game. Bila menang dia ketawa berdekah-dekah.
Terlompat-lompat macam monyet sarkas, mengundang pandangan pelanggan. Mujurlah
dia duduk agak tersembunyi, kalau tidak mesti kena ceramah percuma dengan
Arturo.
***
Jemaah menggambil tempat
masing-masing. Afiena masih di dalam bilik berduka.
“Kak long tinggalkan Fiena juga
akhirnya. “ Afiena menangis,namun hanya esakan yang kedengaran. Mek pula
seakan-akan lumpuh dan masih bersandar lemah di dapur. Sudah puas dipujuk, namun
dia tetap membisu. Mungkin masih terkejut dengan kematian Sufie yang mengejut.
“Kena tunggu lagi sepuluh minit, Tok
Imam lambat sikit,” suara bergema daripada ruang tamu.
“Bila arwah pergi? Kenapa?” aju
salah satu suara. Mungkin orang luar agaknya.
“Kena tanya tuan rumah…. Setahu saya
hanyut di sungai. Kesian. Baik budaknya,” suara tua itu membalas. Afiena kurang
pasti, suara siapakah itu.
“Tak boleh jadi kena telefon lagi.
Selagi tak dapat, aku tak boleh berpuas hati,” mendadak semangat Afiena muncul.
Dia sudah nekad. Kepastian harus diketahui.
Namun semangat itu semakin memudar
bila nombor yang didail tidak disambut. Bukan sekali, malah berkali-kali. Hampa
juga hasilnya. Hampa makin mengukuh bila Imam sampai. Suara tua Imam kedengaran
memberi salam.
“Kak long benar-benar dah pergi,
tinggalkan Fiena. Putus sudah kasih kita.”
Tanpa sedar, jari-jemarinya mula
mendail lagi.
***
Rozita mula membebel, bila nombor
yang tak dikenali itu menggangu tumpuanya bermain game.
“Siapalah yang gatal tangan kacau
aku ni? Jangan sampai aku telefon, masak aku sekolahkan. Ni mesti mamat- mamat
kutu rayau.” Rozita mematikan panggilan itu dan mula bermain lagi.
Sudan lima pusingan permainan dan
dia menang. Dia gembira, ceria menyapa seperti biasa. Dia kembali meneliti
nombor itu kemudian menjerit.
“ARRR…. Tak mungkin!”
Para pelanggan terkejut melihat,
namun cepat-cepat ditenangkan oleh Rozita.
“Maaf… maaf. Teruskan menjamu selera
seperti biasa. Saya terkejutkan katak.” Afiena ketawa. ‘Cover line’.
Tanpa berlengah dia berlari
mendapatkan Sufie.
“Kak Sufie ambil phone ni. Pergi
duduk kat sana. Ada panggilan dari kampung rasanya. Kerja Kak Sufie saya
sambung. Rehat saya masih ada dua puluh minit. Rasa-rasanya cukup untuk lepas
rindu,” belum sempat Sufie menjawab, pinggan di tangannya sudah diambil Rozita.
Sufie yang sememangnya sangat rindu
kepada keluarga terus mendail nombor Afiena sambil berjalan. Hatinya berdebar
kencang. Rasa rindu itu harus dilunasi saat itu juga.
***
Afiena tersentak bila deringan
telefon bergema. Dia kaku seketika, tidak percaya nombor yang didail tadi
berbunyi. Agak lama dia terpaku. Getar hatinya makin laju. Makin menusuk
semangat yang sudah goyah.
“Kak long ke tu? Betul ke kak long
masih hidup?” soal Afiena sendirian.
Tanpa berlengah dicapai telefon
bimbitnya. Ditekan punat hijau. Dalam getar dia melekapkan telefon ke telinga.
Air matanya tumpah sebaik mendengar suara pada badan telefon bimbitnya.
“Assalamualaikum Fiena. Maaf kak
long sibuk sikit tadi,” suara ceria Sufie bergetar, sekaligus mengetarkan
jantung Afiena.
Afiena meraung hebat. Seisi rumah
tersentak. Masing-masing mula berandaian. Ada yang kata Afiena sakit jiwa,
tidak kurang yang kata dia tersampuk oleh badi arwah Sufie. Mek makin kecut
perut, manakan tidak setelah Sufie meninggal, kini Afiena pula yang buat hal.
Hati tuanya sudah tidak sanggup lagi kehilangan. Kamarul pantas berlari
mendapatkan Afiena.
“Kenapa?” soal Kamarul cemas.
“K… kak long… kak long.” Afiena
menyuakan telefon kepada Kamarul. Pantas disambar lalu dilekapkan ke telinga.
“Hello… hello… ada orang tak. Fiena
kenapa menangis?” soal suara itu cemas, malah cemas itu turut berjangkit kepada
Kamarul menjadi berganda cemas.
“Kak long ke ni?” soal Kamarul,
masih tidak percaya.
“Yalah… siapa lagi. Kenapa tanya?
Baru beberapa hari dah tak cam suara kak long ke Kamarul?” soal Sufie pelik.
“Kenapa baru telefon? Betul kak long
masih hidup?” siasat Kamarul. Afiena sedikit reda, namum masih menangis. Bilik
itu kini dipenuhi jemaah.
“Alhamdullilah. Masih hidup,” balas
Sufie, “Telefon kak long tertinggal dalam lori ikan, sampai di Selayang kena
rompak pula. Sesen tak berbaki. Tapi ALLAH Maha Besar, segalanya dapat kak long
atasi dengan bantuanNya.”
“Alhamdullilah. Amin. Kak long saya
telefon semula, ya. Ada hal kena selesaikan.”
“Baik Kamarul. Kak long pun kena
sambung kerja.”
“Kerja apa malam-malam ni?”soal
Kamarul cuak.
“Kerja separuh masa di kedai pastri.
Tahu-tahulah kerja kerajaan lepas tiga bulan baru dapat gaji. Jangan lupa kirim
salam kat mek, ayah, Fiena dengan anak-anak. Kak long rindu sangat. Nanti kak
long telefon, ya.”
“Baik kak long,” bersemangat Kamarul
menjawab.
Kamarul senyum meleret. Dia memegang
erat tangan Afiena.
“Masih tak gembira ke intan payung?”
usik Kamarul. Dicuit hidung Afiena.
“Kakak kita hidup. Mastilah gembira,”
balas Afiena dalam sendu.
“Kalau gembira, sudah-sudahlah
menangis. Membazir. Kalau nak menangis sangat, awak pergi tadah dalam hilter,
boleh jugak dijerang buat air kopi.” Kamarul galak mengusik.
“Kita beritahu mek dengan ayah.”
Afiena mencadang.
Kamarul senyum. Dipaut lengan Afiena lalu
mereka berjalan laju ke dapur, meghampiri mek yang longlai di penjuru dapur.
Mata wanita tua itu bengkak akibat menangis.
“Mek kita terpaksa batalkan kenduri
tahlil ni.” Kamarul berwajah sedih. Saja dia mahu menakutkan ibu mertuanya.
Afiena mencubit kecil. Dia senyum.
“Kenapa?” Wajah mek semakin layu,
selayu bunga yang kekeringan di musim kemarau.
“Nanti saya beritahu. Kita panggil
ayah sekali. Saya serba-salah nak cakap. Takut mek dengan ayah gelisah. Takut
makin tak boleh nak tidur malam.” Kamarul berlakon. Dengan sopan dia berlalu.
Langkahnya diatur longlai. Ada dua tiga orang yang ketawa melihat lakonan
Kamarul itu. Macam dah berpakat, mereka semua mengunci mulut masing-masing.
Kamarul berjalan laju ke ruang tamu.
Kelihatan ayah mertuanya di kaki tangga. Dia meghampiri. Ternyata lelaki tua
itu sedang menitiskan air mata.
“Ayah mari kita ke dapur. Nampaknya
terpaksalah kita batalkan kenduri doa selamat malam ni.” Mata Kamarul layu.
Nadanya sebak. Tisu ditangan ditenyeh ke hidung. Bila masa dia sambar tisu pun
tak tahu.
“Jadi bila nak dibuat semula? Isteri
kamu kenapa menjerit tadi?” soal Pak Awi bertalu. Dia cuba berlagak tenang.
Namun mata merahnya menceritakan sejarah. Memang sah dia menangis.
“Nantilah saya cerita. Kita ke dapur
dulu.”
“Tak payahlah abang.” Afiena
menjawab. Dia sudah tercatuk bersama mek dan jemaah lainnya.
“Ada dua berita, satu sedih dan satu
gembira. Rasanya saya beritahu yang sedih dahulu lah.” Kamarul menundukkan
kepala. Memang hebat dia berlakon. Mana tidaknya sampaikan mek terpaksa
dipapah.
“Yang sedihnya, kita terpaksa
batalkan kenduri doa selamat malam ni.”
“Habis membazir lauk pauk malam ni.”
Pak Awi bersuara dalam.
“Yang baiknya kita terpaksa buat
majlis kesyukuran.”
“Kesyukuran apa pula?” aju Pak Awi
pelik.
“Kesyukuran, sebab kak long masih
HIDUP!” Kamarul menjerit, sekaligus memecah kesunyian. Dia memegang tangan
Afiena dan melompat. Afiena cuba membantah, tetapi jemari kasar Kamarul
memaksanya ikut melompat. Naik biru mukanya kerana malu. Kerja paling bodoh
yang dia pernah buat dalam hidup.
“Jangan main-main mek tak suka.” Mek
geram. Namun senyum gembira mula mengitari bibirnya. Dia benar-benar berharap
berita itu adalah benar.
“Betul, tadi kak long telefon. Dia
baik-baik saja. Tapi kalau nak telefon kena tunggu sebab dia tengah kerja.”
Kamarul membalas.
“Be… betul ke Kamarul? Kamu tak tipu
mek?” nada berharap mek lontarkan lemah.
“Tak percaya! Tengok saya melompat
lagi sekali dengan Fiena.”
Belum sempat Afiena menolak, sekali
lagi tangannya disambar Kamarul. Hendak atau tidak terpaksalah dia ikutkan
gelagat suaminya itu. Maka terlompat-lompatlah dia macam tupai pening.
Ketawa pecah berderai. Jemaah lain
turut gembira melihat aksi pasangan suami isteri itu. Mek menjadi cergas
tiba-tiba, semangatnya pulih sepenuhnya, macam biasalah bila semangatnya
kembali, bisinglah dapur dengan arahan-arahanya yang mengarah itu dan ini.
Pak Awi tak putus- putus memuji TUHAN
dan mengucapkan ‘SubhanALLAH.”