Hujan malam turun lebat, setelah sekian lama daerah
itu tidak diratapi awan. Bintang-bintang
hilang di balik selimut malam, malah bulan juga ikut merajuk. Maka murunglah
langit malam, tiada lagi pestaria dengan tarian bintang dan senyuman bulan.
Di pinggir pintu paling hadapan.
Matanya melatari laman anjung. Meliang- liuk pokok di taman diasak angin dan diterjah
hujan. Mungkin kalau boleh dibaca hatinya kala itu, keadaannya adalah sama.
Saat ini hatinya gugup, ketar tangannya
ketika itu. Entah mengapa dia sendiri tidak tahu, yang pasti jantungnya
menendang dada. Kencang sekali.
“Astagfiruwah…
Ya Allah kenapa ni? Hatiku tak tenteram, tak tenang. Mungkin ni petanda?”
Corrado muncul, satu senyuman disimpul selepas
matanya menangkap senyum yang tidak
lekang di wajah Sufie.
“Jom…
Kita mesti sampai sebelum pukul sembilan. Rozita sedang menunggu di tempat
letak kereta. Saya suruh dia keluar dahulu. Hujan masih lebat. Mari saya
payungkan. Jangan risau payung ini besar, lebih dari cukup untuk mengelakkan
kita bersentuhan.”Corrado menekan punat kecil di batang
dan payung merah mengembang. Ternyata
benar, payung itu cukup besar.
“Tak
manis, dan saya tak biasa berpayung macam ni. Saya cari payung lain. Mungkin ada payung dalam bilik persalinan. Awak pergi
dulu, nanti saya susul.”
“Saya
sudah agak…”Corrado melangkah merapati pasu bunga
bersaiz besar. “ Ini payung untuk kamu.
Saya sengaja selit celah pasu… Nah.”
“Terima
kasih Maaf kalau awak tak selesa dengan cara saya,”gumam
Sufie sebelum senyum tipisnya muncul. Hatinya masih resah, masih teragak-agak
dengan keputusan yang diambil.
“Ummm…Ya.
Saya sedikit tidak selesa, tapi tidaklah sampai menjengkelkan. Kalau tidak
menjadi salah, boleh saya kata sesuatu?”aju Corrado.
Renungan mesranya bertukar kepada
renungan yang mendebarkan dada. Sufie berkalih pandangan.
“Apa
dia?”Tanya Sufie tanpa berpaling.
“Kamu
bahagia dengan hidup kamu? Kadang-kadang saya rasa kamu sengsara! Terlalu
banyak peraturan. Betul ke, kamu benar-benar bahagia?”soal
Corrado dengan nada gusar. Terpalit nada kesal dengan cara hidup Sufie yang
dianggap penuh kekangan.
Tersentak dengan pertanyaan yang tidak disangka itu,
Sufie berpaling. Senyum tipis dengan wajah tenang yang tidak menunjukkan tanda
amarah, menjadikan Corrado malu. Tidak disangka gadis Albino itu mampu setenang
itu. Jauh sekali dengan berita dan cakap-cakap yang pernah dia dengar berkaitan
umat islam. ‘Mungkin ini keindahan
sebenar islam? Tenang dan santun dalam amarah,”detik hati Corrado.
“Saya
berjalan agak lambat, kena pula hujan tengah lebat. Mata saya pun tak berapa bagus bila malam.
Rasanya sempat kalau saya terangkan sambil berjalan.”Sufie
membuka payung kecil berbunga putih, tanpa mengajak Corrado, dia melangkah.
Sepantas itu juga jejak derap Sufie dituruti.
Bersaingan mereka berjalan. Walaupun begitu jawapan yang ditunggu belum
terluahkan oleh Sufie. Dia masih menanti. Bila langkah mereka menghampiri
lorong pejalan kaki berbumbung. Payung dikuncupkan mereka berdua. Usai
perlakuan itu, Sufie melantun kata.
“Ya.
Saya bahagia,”pendek dibalas Sufie.
“Err…
Itu saja. Puhhh… Rasa macam orang bodohlah pula. Saya harapkan jawapan yang
lebih memuaskan hati,”kesal Corrado terluah.
“Jadi
apa yang awak harapkan?”aju Sufie kembali. Sesekali
langkahnya tersasar, menerbit gusar Corrado.
“Jawapan
yang dapat memuaskan hati saya!”
“Saya
jawab kemudian. Sekarang jawab soalan saya. Pernah bercinta? Jangan kata tak!
Mustahil lelaki sekacak awak tak pernah bercinta.”
Tertunduk Corrado seketika. Persoalan itu melilit
hati. Ah! Memang dia pernah bercinta, malah cinta yang dirasakan ikhlas itu
akhirnya dikhianati oleh orang dicintainya.
“Pernah…”
mendatar sahaja.
“Miera,”
teka
Sufie tanpa memandang.
Terhenti langkah Corrado. Tidak disangka lain yang
diharap lain pula yang berlaku. Bila dilihat Sufie masih melangkah tanpa
menghiraukannya, mahu atau tidak terpaksalah dihayun langkah kembali.
“Bestkan
bila bercinta! Macam-macam benda sanggup buat sebab nak rebut cinta. Mesti ramai kata awak
buat kerja bodoh, sampai sanggup seksa diri sendiri masa tu kan?”
“Ya…
Saya akui perkara tu. Tapi saya tidak pernah rasa itu kerja bodoh. Jauh sekali
menderita. Saya bahagia.”Corrado angkat tangan tanda
bersumpah. Senyum Sufie sedikit menyebalkannya. Dikira yang gadis albino itu
tidak mempercayai kata-katanya.
“Betul
saya tidak tipu! Saya bahagia buat semua itu. Mungkin di mata orang Nampak saya
merana, tapi hakikatnya saya gembira. Tidak sedikit pun derita.”
Makin bersungguh Corrado mempertahankan pendapat,
makin lebar pula senyuman terukir di wajah Sufie.
“Sekarang,
awak dah jawab soalan saya tadi.”Sufie melangkah. Baru
setapak dua dia kembali berpaling. “Tiada
istilah berkorban dalam bercinta atau mencintai. Tahu tak kenapa?”soal Sufie. Satu renungan tajam dilemparkan.
Terpana Corrado seketika, itulah kali pertama dia lihat renungan itu dari
Sufie. Dia geleng kepala selepas mengangkat bahu.
“Bila
cinta menyapa, duka sama macam mawar merah yang cantik dengan haruman semerbak,
dan gembira pula seperti kepingan coklat yang enak dikunyah. Manis mencair.
Dua-dua membawa bahagia.”Sufie kembali melangkah.
Langkah Corrado masih terhenti. Diperhati Sufie. Ada
kagum yang menyubur. Dirasakan dia sedang bermimpi, tidak disangka dia akan
bertemu dan berkenalan dengan gadis seperti itu. Bukan tidak pernah dia bertemu
atau berselisih dengan gadis berpurdah dan berjubah labuh, namun rata-rata
hanya memandang sepi kepadanya. Mungkin mereka takut timbul fitnah jika
menghadiahkan sekeping senyuman.
Khayalannya mati bila Sufie mengamit dari jauh. Disusun kembali langkah
yang tertunda.
“Siapa
kawan baik awak tu?”aju Sufie sebaik Corrado tiba.
“Sahabat
lah… Kami dah macam adik-beradik. Pasti kamu suka bila bertemu dengan dia.”Makin
laju langkah diatur.
Kelibat Rozita bersandar pada kereta sambil
menyilang tangan kelihatan dari jauh. Sesekali gadis montel dengan baju panas
besar itu memandang sekeliling dengan raut wajah resah.
“Sini…
Sini…”jerit rozita riang. Tangannya mengamit dari balik
hujan lebat.
“Nampaknya
kena redah hujan lagi,”usik Corrado.
“Tak
apalah, hujan rahmat. Hadiah Tuhan untuk seisi bumi.”Tanpa
menunggu, Sufie mengatur langkah hingga terlupa untuk membuka payung di tangan.
Corrado jadi pelik, gadis yang begitu teliti boleh terlupa untuk berpayung,
walhal payung itu digenggam erat.
Makin menghampiri kereta Corrado, semakin kencang
jantungnya berlari. Ah! Sebenarnya ketika Rozita melambai, ingatannya sudah
melayang bersama ketenangan yang luput. Dia benar-benar ketakutan. Takut kepada
sesuatu yang terhijab oleh akal.
“Kak
Sufie pucatlah!”terperanjat Rozita melihat wajah Sufie.
“Ok,
Tak? Kalau tidak, saya pergi dengan
Rozita saja,”tingkah Corrado. Wajahnya terpalit
gusar.
Kembang hidung Rozita bila mendengar kata-kata itu.
Dan dia benar-benar berharap yang Sufie akan bersetuju dengan cadangan Corrado.
Andai kata dihimpunkan semua doa-doanya dan salah satu bakal dimakbulkan, maka
dia berharap yang doanya pada malam ini tertunai.
“Awak
dan Rozita? Berdua?” soal Sufie dengan kerut di dahi.
“Yup…
Berdua. Kamu tak keberatan kan Rozita?”aju Corrado sebaik
berpaling memandang Rozita.
“Tak!
Ok aje.” Rozita melangkah setapak setelah dirasakan suaranya
perlahan. Mungkin gugup.
“No way
. Saya akan ikut. Tak manis anak dara dengan anak teruna
berdua-duaan. Bimbang ada yang tumbuh tanduk. Dah, mari kita pergi sekarang,”
usik Sufie. Corrado faham dalam usikan itu ada tegas yang terpasak, dia ketawa,
manakala Rozita mencemik kecil. Hampa.
Sepanjang perjalanan Sufie diam. Jauh matanya
merayap, nun sejauh yang mampu. Hanya Rozita yang rancak bercerita. Misinya
hanya satu, menggunakan kesempatan yang ada untuk memenangi hati lelaki pujaan.
Melalui cermin pandang belakang, Corrado memerhati wajah Sufie. Ada gelora yang
sedang membadai pada raut wajah itu. Sesekali tumpuannya terganggu apabila
Rozita menarik lengan baju yang dipakai. Naik meluat pula dia dengan perlakuan
Rozita itu.
“Kamu
ok! Dari tadi senyap tidak bersuara. Kalau malas saya hantarkan kamu berdua
balik,”nada mendatar Corrado lantang menerjah.
Sekilas Rozita berpaling pada Sufie sebelum
pandangannya bertaut pada Corrado pula.
“Kami
ok sajalah. Kak Sufie tu bukan apa. Gembira sangat tengok lampu waktu malam.
Bukan selalu dia keluar malam. Tak ada apa-apalah. Tak payah risau.”
“Insay-ALLAH
saya ok… mungkin penat sikit. Hari ni kan hari Ahad,”dalih
Sufie.
Makin menghampiri tempat dituju, semakin getar
menyapa hati. Makin terketar-ketar tangannya. Dia beristigfar lagi. Kali ini
terkumat-kamit mulutnya. Ada resah yang sukar ditafsir. Ada hati yang
melonjak-lonjak. Di antara gembira dan sedih, dia buntu sekarang.
“Dah
sampai ke Corrado?”takjub Rozita menyapa.
“Ya.
Kita akan ke oriental kitchen dekat sayap kanan hotel. Kawan saya sedang
menunggu kita di sana.”
Lemah langkah yang dihayun, menarik perhatian Corrado. Rozita mula
mencemik bila dirasakan lelaki bermata hijau laut itu pilih bulu.
“Jalanlah
dulu. Saya sejuk. Mungkin sebab kena hujan tadi. Nanti saya cari awak dekat
sayap kanan hotel.”Sufie melabuhkan punggung di kaki tangga
bersebelahan susur besi dengan kerawang berbentuk bunga Casablanca. Kakinya
benar-benar lemah. Dirasakan, andai dia terus melangkah, mungkin dia akan
jatuh.
“Saya
bimbang kamu sesat.”
“Tak
apalah. Saya boleh tanya petugas hotel. Awak pergilah dulu.”
“Saya
teman kamu. Saya telefon kawan, suruh dia tunggu.”Telefon
bimbit bersaiz sederhana dikeluarkan dari poket seluar jean yang dipakai. Namun
belum sempat nombor didail, Rozita datang menarik tangan Corrado.
“Tak
payahlah. Saja nak buat Kak Sufie susah hati. Dah jom kita pergi dulu, nanti
Kak Sufie datanglah tu.”
Sufie senyum redup, tanda bersetuju. Rozita makin
galak senyum apabila Corrado mula menurut.
Sufie memerhati dari kaki tangga. Dia duduk paling
tepi, risau jika di tengah akan menghalang pergerakan tetamu yang datang. Dia
mendongak langit memandang bulang. Kemilau cahaya itu mendamaikan hatinya
seketika. Gemersik buluh cina berhampiran bagaikan simfoni indah buatnya saat
itu. Dia hanyut dalam khayalan tanpa sedar.
“Cik
boleh guna payung saya kalau nak,”suara menyapa
tiba-tiba.
Dia memerhati di hadapan dan barulah disedari yang
rintik hujan membasahi bumi. Ditoleh
pula kepada suara yang berkata.
“Allahhuakbar,”
getar sekali suaranya.
Tidak lekang walau sesaat matanya merenung wajah
itu. Kepalanya berpusing dengan badan yang menggeletar hebat. “Betul ke apa yang aku lihat ni? Mustahil.
Dia dah mati.”
“Siapa
yang dah mati?” aju lelaki itu dengan kerut seribu.
Kemudian dia sengih. “Maaf saya kena
cepat ada janji dengan kawan.”
Sufie terpana tanpa kata. Dia benar-benar… Sukar
sekali untuk dinyatakan seperti apa gelodak jiwanya saat itu, yang pasti dia
merasakan seakan-akan rohnya disentap hebat. Seakan nyawanya mahu melayang,
namun sukar melepasi jasad. Nafasnya tertahan.
Payung yang
ditinggalkan lelaki itu dibiarkan ditiup angin. Dia kebasahan. Dalam ketar dia
berpaut pada susur besi, menapak dalam payah. Penuh cermat agar tidak jatuh.
Dia mahu mengejar lelaki itu. Mahu ditanya adakah dia adalah Rijal. Lelaki yang
pernah dicintai.
Rozita menarik kerusi berhadapan Datin Abda. Wanita
pertengahan usia itu dimatanya sungguh anggun dan bergaya. Corrado pula masih
berdiri memerhati, cuba mengesan kelibat Sufie. Dia berharap yang gadis albino
itu akan muncul sebelum sempat dia menarik kerusi.
“Kalau
ya pun, duduklah dulu. Rijal pergi dekat kereta. Kata dia nak ambil sesuatu.”
Corrado menarik kerusi sebaik hampa menyapa. Baru
sesaat dua, Rijal muncul dengan senyum penuh usikan. Rozita menjadi malu dan
Corrado jadi serba-salah.
“Nampaknya
merpati dua sejoli turun ke tanah akhirnya.”Rijal kenyit
mata. Tangan Corrado dijabat sebaik lelaki Itali itu menyuakan tangan.
Datin Abda mencuri pandang ke wajah Corrado.
Ternyata lelaki itu punyai ketampanan yang mampu mencairkan mata yang melihat.
Ternyata Rozita gadis yang bertuah. Segelas jus oren disuakan kepada Rozita.
Sebenarnya beliau sudah memesan seawal tadi lagi. Beliau berharap segalanya
akan selesai awal. Rindu pada rumah agaknya.
“Comel!”
Lentok
kepala Datin Abda, Cuba memerhati Rozita yang agak menunduk. Apa lagi
kembang-kempislah hidung Rozita bila dipuji.
“Ada
special hari ni…”Rijal melatari satu persatu wajah yang
ada di meja itu. Menambah gugup Rozita, menambah meluat Datin Abda. Hatinya
masih berbulu dengan insiden yang berlaku sewaktu di dalam pesawat. Corrado
pula hanya membisu kerana dia lebih berminat untuk menyilau kelibat Sufie.
Seorang pelayan berbaju putih dengan seluar polos
warna hitam datang. Satu- persatu potongan kek Vanila dihidang. Seperti tadi
ianya tidak menarik minat Corrado. Fikirannya melayang.
“Jemput
makan. Jangan malu-malu,”pelawa Rijal. Ada renungan nakal
bersama pelawan itu.
Kek Vanila itu amat menarik, sekaligus meruap rasa
lapar. Masing-masing tanpa kata mula menyuap. ‘Nikmatnya’Agaknya itulah yang sedang bermain-main difikiran
mereka ketika itu.
“Auchh…
Sakitnya”Rozita berdengking sambil tangannya meluahkan
sesuatu. “Cincin. Siapa punya?”
Rozita bingung. Diambil dan dibelek-belek lagi. Dia
benar-benar tidak percaya. Ledakan ketawa terlerai selepas itu. Geli hati Rijal
melihat keletah yang dirasakan begitu lucu. Manakala Corrado masih resah,
mungkin selepas ini resahnya akan bertambah.
“Ada
cincin dalam kek saya. Mungkin cincin chef terjatuh masa membakar kek,”teka
Rozita dalam hairan.
“Mungkin
kamu patut tanya chef sebelah kamu tu.”Rijal meyinggung lengan
Corrado di sebelah, membuatkan lelaki itu terkejut. Ternyata dia khayal dalam
dunianya dan tidak menyedari apa yang berlaku.
“Cincin
siapa ni?”aju Rozita malu-malu. Sekilas itu dia
terbayang drama melayu yang ditonton minggu lepas. “Dia nak pinang aku ke? Kenapalah dia tak cakap yang dia sukakan aku
selama ni.”Rozita jadi kelu dan
berkalih pandang. Makin berat untuk ditatap wajah lelaki itu. Namun hatinya
benar-benar berbunga.
Corrado cuak seketika. Diperhati cincin di atas
tapak tangan Rozita. Dia cuba mengingati sesuatu.
“Hey,
kawan. Tu cincin yang kau tempah minggu lepas. Strait dari USA. Cincin lamaran
untuk gadis pujaan hati kaulah tu. Aku suruh chef sumbat dalam kek tadi.”
Dup dap… Dup dap…. Begitulah irama jantung Rozita.
Makin menunduk kepalanya saat itu. Dia merasakan yang dunia sudah bertukar
menjadi syurga. Syurga kebahagiaan yang didambakan setiap gadis. Kini dia pasti
yang Corrado mahu menyuntingnya.
“Aku
kena berani. Aku kena gapai impian aku sekarang. Walau apa yang jadi aku tak
akan lepaskan, walau untuk sesaat.”Rozita angkat muka
sejurus itu. Dia benar-benar nekad. “Saya
setuju terima lamaran awak.”
Kelu Corrado. Lain yang dirancang lain yang jadi.
Mungkin silapnya juga kerana meninggalkan Sufie tadi. Sekarang salah faham
sudah berlaku.
“Rosak
rancangan aku. Rijal ini pun pandai-pandai ubah apa yang aku aturkan. Mungkin salah
aku juga tidak beritahu yang Rozita ikut sama,”keluh
Corrado sendirian.
“Semua
dah selelai. Harap semuanya gembira. Rijal kamu balik dengan Corrado. Mama nak
balik awal. Letih,”luah Datin Abda. Tanpa persetujuan
Rijal, tangannya pantas mencapai kunci kereta. Beliau bergegas sejurus itu.
“Nampaknya
ada lagi seorang penumpang. Hari ni aku tidur rumah kau sajalah. Esok pagi aku
nak ke hospital melawat Dani. Kira esok gerak sekali.”Rijal
berkata sebaik langkah mamanya hilang.
Ketika Datin Abda tergesa-gesa beliau terlanggar
Sufie, menyebabkan gadis itu jatuh. Mungkin kerana tergesa-gesa mahu menolong
beliau turut jatuh keranan lantai licin akibat air menitik dari baju kurung
Sufie.
Pelayan hotel yang melihat bergegas datang membantu.
Sufie membantu, walaupun cuba dibantu. Zahir dan batinya terasa longlai.
“Maaf
puan atas kejadian yang menimpa. Mahu saya iring ke bilik?”tawar
seorang pelayan kepada Datin Abda.
Sempat Datin Abda melemparkan seulas senyuman kepada
pelayan itu selepas dia membetulkan baju. “Tak
mengapa. Saya ok. Saya ke sini hanya makan. Rasanya dia yang patut dibantu.
Kesian habis basah lecun.”
Datin Abda dan pelayan itu mendekati Sufie. Beliau
menepuk lembut bahu Sufie dari arah belakang. Rasa bersalah terpamir di wajah. “Maafkan saya ya. Saya terburu-buru tadi.
Ini kad saya, kalau ada kecederaan saya sanggup tanggung kos perubatan.”
Datin Abda merasakan yang Sufie tidak senang dengan
kehadirannya. Buktinya dia tidak respon terhadap percakapan beliau. Malah
pelayan yang cuba membantu juga tidak dihiraukan.
“Rasanya
baik kita bertiga pergi. Mingkin cik ni mahu sendirian. Saya tinggalkan kad di
sini. Apa-apa call ya.”
Sufie masih kaku. Ternyata semangatnya sudah disedut
keluar. Titis demi titis air jernih menjatuh laju. Dia sendiri keliru. Jika
sebelum ini dirasakan yang dirinya sudah cukup tabah. Namun permainan TUHAN
merubah segalanya.
“Ya
ALLAH. YA RAHMAN, YA RAHIM. Akukah hambamu yang tidak cukup dengan satu cinta?
Kenapa aku masih gagal melupakan lelaki yang pernah menzalimiku. Lelaki yang
melihatku tak ubah macam boneka. Aku sengsara di hari aku tinggalkan dia. Aku
juga sengsara di hari kau jemput dia. Dan sekali lagi aku sengsara di hari kau
pulangkan dia. Walaupun itu bukan dia.”
Dalam lemah, Sufie mengesot. Sedikit-demi sedikit,
dipaut dinding dan digagahi untuk bangun. Janji harus ditepati. Janji yang dia
akan bertemu sahabat Corrado. Jika janji
dimungkiri maka dia adalah munafik. Dalam ketar, tetap juga dia melangkah.
Ternyata hawa dari pendingin udara lebih sejuk berbanding hujan. Atau mungkin kerana
dirinya yang kebasahan.
Akhirnya sampai juga
dia di sayap kanan. Tempat di mana janji harus ditepati. Dia berjalan mengitari
ruangan Oriental Kitchen. Cuba mencari kelibat Corrado dan Rozita. Tapi dengan
keluasan yang sebegitu adalah sukar untuk dia mencari dengan cepat. Ditambah
penglihatan yang bermasalah. Sesekali matanya lebih meliar. Berharap menemui
lelaki yang berwajah seakan Rijal. Sebaik wajah lelaki itu muncul difikiran,
sebaik itulah air matanya turun. Dia cuba memperlahankan esakan. Risau menarik
perhatian tetamu. Ah! Sememangnya dia sudahpun menarik perhatian dengan
tubuhnya yang basah lencun dan warna kulitnya yang memucat akibat dingin.
“Gelisah
semacam aje muka kau ni Corrado. Gelisah sebab takut nak jumpa mertua atau
gelisah sebab takut nak jawi,”usik Rijal sekaligus
mengirai ketawa Rozita.
Corrado leka, diabaikan usikan itu. Matanya melingas memerhati. Namun
yang ditunggu masih belum muncul.
“Heh…
Kenapa dengan kau ni. Dah makin pelik aku tengok. Sepatutnya gembira. Ni muka
kelat macam awek dekat kaki tangga hotel.”Rijal menyenduk
tauhu lalu meletakkan ke dalam pinggan Corrado dan Rozita.
“Gadis
berbaju kurung ke?”aju Corrado mendadak. Sekaligus mencuit
cemburu Rozita.
‘Sikit-sikit
Kak Sufie. Dah melamar aku pun masih duk ingat Kak Sufie,”bungkam
Rozita. Matanya mengecil geram.
“Minat
nampak…”Rijal jeling nakal.
“Ya.
Aku berminat,”tegas Corrado menjawab. Sekaligus
mematikan selera Rozita. Sudu dilepaskan. Kini dia turut merenung Corrado.
Rijal pula tersentak. Tidak disangka sahabatnya itu nekad.
“Gadis
tu tak sedar hujan turun. Aku berilah payung dekat dia. Tapi masa aku
tinggalkan dia, aku tengok dia tak ambil pun payung tu. Mungkin dia suka mandi
hujan.”
Bagai terkena renjatan elektrik, Corrado tersentak.
Bingkas dia bangun. Belum sempat Rozita bertanya, belum sempat Rijal ketawa dia
berlari laju. Kelam-kabut langkahnya. Mengundang sesal Rozita, mengundang
curiga Rijal.
“Kamu
tunggu dulu. Jangan ke mana-mana. Saya nak kejar Corrado. Ingat jangan ke
mana-mana,”arah Rijal. Kini hatinya mulai sangsi
apakah benar yang Rozita adalah gadis pilihan Corrado. Jika bukan maka dialah
yang paling bersalah kerana telah mengkhianati hati seorang gadis yang
mencintai sahabatnya. Masakan dia silap, wajah Rozita telah menceritakan
segalanya.
“Mampus
kalau salah.”
Langkah Corrado menyusut, menurun resahnya. Namun
gusar masih tersisa bila melihat gigilan Sufie. Gadis albino itu kesejukan. Dia
duduk tercatuk di sudut restaurant. Mungkin dia sesat memandangkan Oriental
Kichen adalah restaurant yang terbesar bagi hotel ini.
Langkah disusun dengan cermat. Dimaniskan wajah.
Resah hati harus disembunyikan serapat-rapatnya. Kalau boleh mahu dipeluk jasad
itu dalam dakapan, agar cinta menghangatkan dingin yang cemburu.
“Sudah
lama saya tunggu… Tapi… Tapi kamu tetap tidak muncul. Sejuk? Mahu balik? Atau
mahu makan?”aju Corrado bertubi.
Sufie mendongak lemah. Bergenang mata Corrado
tatkala pandangannya jatuh pada bibir
pucat Sufie. Sedikit kecewa dan sesal bersarang.
“Maaf…
Maaf… Maaf.” Hanya
itu mampu diucap Corrado.
Seperi tadi, Sufie masih bisu. Pandangannya kosong.
Hanya senyuman lemah yang terukir. Dia cuba bangun namun lemah makin
mencengkam. Makin menambah sebak Corrado.
Rijal sedikit tercungap sebaik tiba. Mungkin kerana
faktor usia atau mungkin juga kerana kurang bersenam. Dia berdiri di belakang
Corrado. Dia senyum sebaik mengesan wajah Sufie.
Jantung Sufie kembali deras menendang dada. Wajah
yang dicari kini muncul tanpa diundang. Dia bangun. Tanpa paksa dia mengatur
langkah longlai. Dia memegang kepala kerusi bila dirasakan langkahnya makin
goyah. Corrado terpana apabila Sufie melepasinya dan berdiri di hadapan Rijal
membelakanginya.
Berkerut dahi Rijal melihat kelakuan Sufie. Sejurus
itu dia pasti yang gadis itulah yang ditemui di kaki tangga. Mungkin wajahnya
tidak diingati namun baju kurung itu adalah bukti nyata. Pandangan mereka
bertemu. Ada kedamaian yang singgah, malah hati Rijal turut merasai kedamaian
itu. Ralit dia memerhati wajah albino itu.
Duhhh… Sufie tumbang. Dia pengsan. Jasadnya letih,
namun lebih letih hatinya. Hati yang menunggu sekian lama.
Kekakuan Corrado mati sebaik terdengar bunyi itu,
pantas dia berpaling dan meluru. Digoncang bahu Sufie. Bagaimanapun keletihan telah
melenakan jasad. Rijal masih memerhati. Kali pertama dia sebegitu. Sukar untuk
ditafsir apa yang bermain dibenaknya kala itu. Hatinya meronta untuk menyambut
ketika Sufie hampir rebah. Mahu dipaut sekuat tenaga. Tapi dia tidak berdaya.
Kali pertama dia kenal makna sebenar kaku.
‘Kenapa
aku rasa lemah? Rasa sedih? Rasa nak sangat peluk dia?’keluh
Rijal. Tubuh yang terbaring itu diperhati lagi. Terasa yang mereka pernah
bertemu. Kalau ya, dimana? Dan bagaimana? Persoalan itu hanyut bila Corrado
cuba mengangkat tubuh Sufie. Rijal tersentak, pantas dia membongkok.
“Aku angkat,”tegas nada Rijal menyebabkan dahi Corrado
berkerut, malah hatinya turut memberontak dengan permintaan Rijal. Namun belum
sempat dia menjawab, Sufie sudah berada dalam dakapan Rijal. Laju dia melangkah
mendapatkan kereta.
“Tak
tahu kenapa. Tapi, aku sedih bila lihat dia, dalam masa yang sama aku gembira. Aku mahu lindungi dia.
Mungkin aku dah gila!”
Makin laju derap kaki Rijal melangkah.
Makin cemburu Corrado. Dia turut melajukan langkah.