Sejak kelmarin matahari senyum megah
meyinari alam malah sinarnya menusuk segenap ceruk. Burung-burung yang kedinginan kembali berterbangan,
berlagu riang. Pepohon melambai-lambai menyatakan kegembiraan. Sufie kuntumkan
senyum bersama harapan menggunung. Berharap panas mentari akan berlarutan
sehari dua lagi, sempena majlis perkahwinan. Persandingan tidak akan diadakan,
bagi memenuhi kehendak ayahnya. Malah dia bersyukur tidak perlu bersanding.
“Woii! Nak bunuh orang ke? Tengok dulu baru lempar.”Mudin terjerit-jerit kepada Adam.
Babak Mudin mengelak dari terkena kayu api
mencuit tawa Adam sekaligus menderai tawanya.
“Ala! Maaflah, tak sengaja. Nama pun kahwin expres, jadi
kerja pun kenalah expres. Nanti kita bakal sambut pengantin expres pula. Mahu excident
kampung kita nanti,”marah Mudin surut diganti gelak tawa
dan usik mengusik.
Sufie tersentak dari balik jendela.
Sekarang dia sudah digelar pengantin expres. Dia ketawa lucu, baginya gelaran
itu tidak penting kerana dia kini bakal bergelar isteri kepada seorang lelaki.
Mudin berbadan gempal terbongkok-bongkok menyusun kayu api yang dilempar Adam
Tiang Lampu . Walaupun saiz mereka berbeza namun mereka bak belangkas, berdua
ke mana saja. Kerja pun bersama, tokey ayam.
Dia kembali memerhati gelagat Mudin
dan Adam sungguhpun begitu minda melayang jauh entah ke mana.
Sejujurnya, Sufie belum pernah
melihat gambar mahupun bertentang mata dengan calon suaminya iaitu Rijal.
Menurut mek, Rijal tidak kacak dan tidak hodoh, tetapi pesonanya mampu
mencairkan hati gadis yang memandang. Sufie terbuai-buia dengan kata-kata itu.
Bila sahaja teringatkan kata-kata itu, senyum terukir tanpa dipaksa, malah
jantung menendang dada dengan laju. Padahal dia sendiri bingung dan kelu bila
membayangkan raut Rijal. Bohonglah kalau dikata hatinya tidak melonjak untuk melihat bagaimanakah keindahan rupa Rijal.
Pernah ditanya kepada mek, namun pertanyaan hanya dijawab dengan senyuman
kecil.
Sufie senyum lagi. Baginya rupa
tidak penting kerana yang benar-benar dirindui adalah sikap Rijal yang
tergambar tulus. Dia beerjanji akan setia hingga ke hujung nyawa. “Alhamdullilah Ya Rahman. Ya Rahim. Masih
ada jodoh buatku,”mulut menzahir kata hati.
“Ya Allah. Syukur, masih ada jodoh buatku,” ungkap Sufie lagi.
Diliarkan mata, makin galak senyum
menebar. Seorang dua yang melintas menyapa kagum. Mungkin mereka tidak
menyangka gadis albino sepertinya bakal berkahwin dengan lelaki kaya. Perkarangan
rumah, seperti berpesta dengan kehadiran penduduk kampung, semua peringkat umur
datang. Dari sekecil-kecil hingalah setua-tua. Golongan wanita dan lelaki
bergandingan bahu bergotong –royong bagi meraikan persiapan perkahwinan Sufie.
Sufie jadi terhibur bila melihat
kemeriahan, tidak pernah, malah tidak berani untuk dia bermimpikan hal seperti
itu. Ternyata segalanya mungkin apabila diizin Allah. Dari arah tepi berdekatan
pohon nangka mek bersuara lantang. Rupa-rupanya mek menjadi kepala urusan
masak-memasak. Wanita tua itu masih bersemangat dan bertenaga mengarah sambil
mengupas kulit nangka muda, semestinya akan digulai. Berdekatan mek sekumpulan
anak dara sedang melarik batang keladi dan sejurus itu dia sengih bila teringat
asam pedas keladi pertamanya.
Dari jauh kedengaran bunyi pick up buruk masuk ke halaman. Gelak
tawa makin hangat apabila kepulan asap hitam dari pick upmenjulang naik sekaligus memeritkan tekak mereka yang
terhidu. Pak Awi melambai dari tingkap pick
upberwarna merah kepunyaan Hassa. Bila sahaja berlabuh
kelihatan timbunan ayam yang bakal dimasak. Beberapa pemuda berlari
menghulurkan bantuan menjinjing plastik dipenuhi ayam. Kedengaran kaum wanita
menjerit riang setelah keletihan menunggu.
“Ingatkan dah tak jumpa jalan balik. Naik kematu punggung
aku. Habis rosak mekap aku,”jerit
Melah.
“Tak payah mekap-mekaplah Melah kamu memang dah cantik pun,”
puji mek. Melah kembang hidung,
diangkat bahu mengiyakan pendapat mek. Dia kembali duduk dengan bangga sebaik
dicapai pisau memotong.
Ketua Kampung juga telah bermurah
hati menumbangkan seekor kerbau sempena majlis. Bertambah syukur Sufie kerana semuanya berjalan lancar. Di
beranda rumah sebahagian wanita sedang
membungkus cenderahati untuk para tetamu yang hadir nanti. Pak Awi juga sudah
bernazar yang dia tidak akan menerima sebarang wang jika dihulur tetamu sewaktu
bersalaman, sebagai tanda kesyukuran atas jodoh Sufie.
Kamarul dan beberapa lelaki sedang
melapah daging kerbau. Dia agak kekok seperti rusa masuk kampung. Terkial-kial
dia melapah kulit kerbau, kadang-kadang golok dipegang meluncur jatuh dan
hampir-hampir terkena kaki mujurlah dia pandai mengelak. Pemuda lain ketawa geli hati melihat
kedegilannya yang tidak mahu menyerah kalah.
“Sudah-sudahlah tu, Kamarul. Kamu pergi tolong anak dara
basuh pinggan lagi baik. Lunyai nanti daging kamu kerjakan.” Ketua Kampung mengusik, disambut gelak-ketawa.
“Mana boleh Tuk. Saya nak juga lapah daging ni. Ingat senang
ke nak dapat peluang. Saya boleh buat.”
Kamarul bertegas.
“Biarlah dia belajar Tuk. Kalau tak diajar sekarang. Nanti
bila kita dah tak larat, sapa pula yang nak ambil alih.” Pak Awi membela menantunya. Kamarul sengih gembira.
“Inilah penyakit orang kita, suka sangat kutuk kekurangan
orang. Bila lebih pulak, pakat-pakat jatuhkan. Nanti tahu-tahu, bangsa sendiri
hilang dalam peta. Sebut Melayu, sorang tak kenal.” Haji Mail mencelah.
“Yelah-yelah, aku kalah. Aku salah.” Ketua Kampung ketawa lucu.
******
Keralitan Sufie menyaksikan
kemeriahan persiapan mati sebaik Afiena melangkah masuk bersama jubah yang
telah siap dijahit. Sekali lagi dia
ralit melihat ketelitian jahitan mek, apatah lagi dengan kerawang terhias indah
bersama taburan labuci dan manik melatari jubah putih.
“Indah…Sangat indah,”mata
Sufie terpaku pada jubah dalam dakapan Afiena.
Afiena ketawa mengusik kemudian
bersimpuh bersebelahan Sufie. Dia menyuakan jubah pengantin kepada Sufie.
“Hasil kasih sayang mek.”
Afiena tersengih dengan kening terangkat.
“Macam mimpi rasanya. Betulkah apa yang tengah kak long
rasakan sekarang? Sukar nak percaya. Risau ini adalah mimpi.“ Sufie bersuara.
“Dah, tak payah nak buat cerita sedih. Tak sedih langsung.” Afiena bernada meluat, kemudian menambah.
“Kalau dalam cerita mat saleh, selalunya kalau nak tahu
mimpi ke tidak senang sahaja.”
“Macam mana?”
soal Sufie teruja.
“Mari sini, dekat sikit. Nanti orang lain dengar. Janji ni
rahsia kita berdua saja.” Afiena
berwajah nakal.
“Insay-Allah kak long janji,”angguk Sufie.
Tanpa teragak-agak Sufie berkalih
menghampiri. Disuakan wajah sambil memasang telinga, sebaik dia menyuakan wajah,
satu tamparan kuat singgah ke pipi. Dia terkejut dan hampir rebah ke sisi.
Pipinya kini merah akibat tamparan itu. Tiada sedikitpun perasaan bersalah
dirasakan oleh Afiena, malah dia ketawa besar.
“Fiena main-mainkan kak long, ya?” aju Sufie geram. Namum nadanya tetap lembut dan tenang.
“Itulah petua dalam drama kat tv. Kak long pun selalu tengok
kan, bila hero merasa seolah-olah tengah bermimpi akan disuruh heroin tampar
pipi dia sekuat hati. Nah, sekarang kak long tahu yang ini bukan mimpi tapi
realiti.” Afiena kembali ketawa.
“Yang selalu kak long tengok dokumentari, cerita kuranglah.”
“Lain kali tengoklah, terutama kisah cinta,”tokok Afiena. Diangkat ibu jari.
“Cerita mungkin bagus, Cuma tak kena dengan selera kak long.
Ada adengan yang tak sesuai. Tak manislah kalau Allah perhatikan hamba yang
disayang lihat yang bukan-bukan. Malu.” Sufie cubit lengan Afiena.
“Tiba bab tu tutup matalah kak long.”
“Fiena dengan Kamarul mungkin faham, macam mana dengan Akim
dan Jemi. Tup..Tup keluar adengan yg tak sepatutnya. Sempat ke nak terkam tutup
mata anak-anak.”
“Ooo… Jadi kak long nak kata cerita cinta tak oklah,”lentok kepala Afiena ke bahu Sufie.
“Cerita apapun baik dan bagus selagi berkualiti. Cuma kena
pandai pilih. Boleh tengok semua cerita selagi tidak memudaratkan akal dan
iman. Rugilah kalau kita terpaksa gadai kewarasan akal dan keindahan iman hanya
kerana sebuah filem. Kak long sukalah tengok cerita cinta.”Sufie jentik hidung Afiena.
“Sakitlah!”
“Tak sesakit pipi kak long ni. Kak long gurau sajalah. Mana
tahu lepas ni tak sempat nak bergurau lagi.”
“Ish… Jangan cakap macam tu. Tak sukalah.”
“Yelah intan payung, kak long tak cakap macam tu lagi.”
“Yang tulah Fiena nak dengar. Sekarang masa cuba jubah
pengantin,”bingkas Afiena bangun disusuli
Sufie.
*****
Bumi menyarung jubah malam,
bertaburan bintang-bintang menghiasi jubah kemegahan langit.. Tidak sekadar
itu, disunting pula rembulan buat menambah seri. Mungkin kerana teruja, angin
berlarian laju menyapa sesiapa sahaja. Sungguh damai alam ini dirasakan.
Hampir pukul tiga pagi, sewaktu
Sufie tersedar. Dipisat-pisat mata, pantas telinganya menagkap suara dari
halaman rumah dan beranda. Masih meriah, walaupun sudah berkurangan orang
kampung yang membantu. Kebanyakan mereka sudah pulang di sebelah petang bila
segala bahan asas untuk masakan sudah disediakan, kanopi sudah dipasang, meja
dan kerusi sudah disusun dan segalanya sudah disiapkan.
Sufie mengintai dari celahan jendela.
Matanya dibuka seluas-luasnya, makin bundar mata yang sedia bundar itu. Sebuah
pemandangan yang pasti menjadi kenangan terindahnya sampai bila-bila. Deretan
meja dan kerusi yang tersusun rapi, dibungkus pula dengan kain putih, malah
kanopi juga cantik dengan bunga yang melata pada tiang. Sufie terpana seketika.
Sudah berkali – kali hatinya menyoal adakah dia pengantin bertuah itu, seakan
dia masih bermimpi, begitu sukar untuk dia mempercayai masih ada seorang lelaki
yang sanggup menerima gadis albino sepertinya.
“Ya Allah benarkah aku tak bermimpi? Benarkah aku pengantin
itu? Benarkah dia ikhlas menikahiku?”
pertanyaan itu sudah acap kali mengasak akal. Dia sedikit goyah.
Bunyi derap kaki berjalan, kemudian
berhenti di depan bilik. Pintu bilik diketuk kecil, seseorang memanggil namanya
lembut. “Sufie…Sufie. Bangun nak.”Persoalan
itu mati tanpa jawapan, diseka mata yang bergenang dia keliru apakah genangan
air mata itu tanda gembira atau sebaliknya.
“Kejap ayah. Sufie datang,”lembut suaranya menyahut, namun ada getar yang terbit. Bingkas
kaki dihayun dan dengan pantas tombol pintu dipulas, sebaik itu juga wajah Pak
Awi dengan bibir kering melempar senyum. Wajah tua itu pucat. Sejak akhir-akhir
ini ayahnya sering tidak enak badan malah membawa ke demam.
“Sufie dah bangun atau belum tidur lagi?”
“Baru bangun, kenapa ayah?” aju Sufie tenang.
“Eloklah kalau macam tu. Tolong ke dapur bancuhkan air,
goreng pisang sekali, ya. Dalam pukul tiga setengah, orang kampung mahu datang
nak mula memasak. Tak sedap rasanya kalau tak dijamu.” Pak Awi senyum tawar.
“Baik ayah. Sufie tahajud sebentar, ya.”
“Alang-alang witir sekali,”batuk kecil mematikan perbualan mereka. Pak Awi berlalu
sebaik anaknya ditenung tajam sekaligus mengundang gugup Sufie.
Tidak mahu membuang masa, laju Sufie
ke bilik air mengangkat wudhuk. Dia
kembali ke bilik dan solat sunat Tahajud, usai Tahajud diteruskannya dengan
Witir seperti diminta Pak Awi. Sebenarnya jika tidak diminta tetap akan
dikerjakan Witir kerana itu adalah runtin yang biasa dia lakukan. Masih diingat
pesanan gurunya yang mengatakan, menurut Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah bahawa solat
akan membawa rezeki, menjaga kesihatan, menolak gangguan, mengusir segala jenis
penyakit, menguatkan hati, menceriakan wajah,menggembirakan jiwa, menghilangkan
kemalasan, mencergaskan anggota badan, melahirkan kekuatan, melapangkan dada,
memberikan makanan kepada roh, menjadikan hati bersinar,menolak bencana,
mendatangkan berkat, menjauhkan daripada syaitan dan mendekatkan kepada
Ar-Rahman.
Hampir selesai berdoa Jemi masuk,
mengambil lajak lalu melompat ke atas katil, terjerit-jerit umpama kerasukan.
Cuma jeritannya kali ini kerana kegembiraan. Jeritan itu tidak sedikit pun
menggangu Sufie. Baginya sudah lumrah kanak-kanak sukakan keseronokan. Dia
memandang Jemi sesudah berdo dan anak buahnya senyap sebaik menyedari kesalahan
sendiri. Sungguhpun begitu wajahnya tetap ceria kerana dia tahu adalah mustahil
untuk dimarahi Sufie.
“Mak long, ibu suruh pergi dapur sekarang juga. Pergi goreng
pisang. Orang dah datang.”Jemi
berkata pelat.
“Yalah, sayang. Nanti mak long pergi.”
“Cepatlah. Orang dah lapar. Nanti dia orang tak nak masak
nasi minyak.” Jemi memaksa.
“Ya, sayang. Mak long pergi. Tapi mak long kena saling
telekung dulu. Jemi pergi dulu.”
“Pergi goreng pisang tau mak long. Nanti dia orang tak nak
masak. Nanti mak long tak jadi kawin. Jemi nak tengok mak long kawin.”
Sufie ketawa melihat keletah Jemi.
Dia berharap akan memiliki zuriat yang sebijak itu, akan dibelainya nanti
dengan penuh kasih sayang.
“Jemi keluar dulu. Kata pada ibu, nanti mak long datang.”
Jemi terus melompat turun, bergegar
lantai bila dia mendarat. Kemudian dia berlari mendapatkan Afiena. Setelah
bersalin pakaian Sufie berjalan ke dapur. Setibanya kelihatan adiknya sedang
memotong pisang. Dia senyum malas kepada Sufie sebaik menguap beberapa kali.
“Kak long tolong goreng. Fiena dah bancuh tepung. Pisang
sudah ada yang dipotong.”
“Mana Akim, Jemi dan Kamarul.”
“Dekat halaman. Tolong orang mengulai daging. Kita kena
cepat, dah ramai yang sampai.”
“Tak awal sangat ke mengulai daging.”
“Tak! Gulai, ayam masak merah, kurma daging, nasi minyak dan
yang lain semuanya kena siap sebelum sebelas pagi esok.”
Berdesir minyak sebaik Sufie mula
mengoreng pisang. Dari jendela dapur dia memerhati, dilihat tungku-tungku mula
diletakkan, kayu api mula disusun dan periuk kawah sedang diusung. Maka
bermulalah acara masak-memasak. Pelita-pelita minyak tanah yang menerangi
halaman menjadikan suasana semakin meriah, seperti malam pertama Aidilfitri.
Kanak-kanak yang mana telah terjaga berlarian dan bergurau senda. Tidak
terkecuali Jemi dan Akim. Di satu sudut beberapa wanita sibuk menghiris nenas
untuk dibuat acar. Ayahnya pula sedang memasukkan tepung gandum bersama daging
yang akan dibilas, menurut ayahnya, hanya cara itu yang terbaik untuk
menghilangkan hamis daging.
Semakin mentari merangkak keluar
semakin riuh rendah bahkan semakin meriah suasana. Sesekali Afiena turun ke
tanah mencongak bilangan orang kampung yang tiba dan dia akan menghela nafas
mengah bermakna bilangan pisang dan teko kopi harus ditambah. Berlari dia ke
dapur semula. Sufie senyum penuh makna bila lihat Afiena angkat bahunya dengan
kening terjungkit tinggi.
“Kak long. Dekat bawah dah macam semut. Kita kena cepat,
kena tambah pisang goreng. Tak menang tangan kalau berdua.”
“Apa nak dirisaukan, hari ni kan ramai sukarelawan. Pergi
panggil sorang dua menolong. Pilih saja yang mana berkenan,”usik Sufie.
“Ek… Tak terfikir pun. Punyalah kelam kabut. Ok Fiena pergi
pilih sukarelawan terpilih dulu,”balas
Afiena sebelum berlalu dengan gopoh.
*****
“Abda kamu dekat mana sekarang?” soal mek risau.
“Dah nak sampai, janganlah kalut sangat. Akad nikah pukul
dua belas, sekarang baru sebelas. Aku terus ke masjid. Kamu tunggu sahaja dekat
situ.” Datin Abda menjawab ceria.
“Baik.” Mek
menjawab polos. Kemudian senyum meleret. Hajatnya, bakal tertunai. “Ya Allah, akhirnya Sufie berjodoh juga.
Aku sangat gembira dan bersyukur atas kurnia-Mu.”
Tetamu semakin membanjiri halaman
rumah. Keringat yang turun daripada mereka, bukan setitik dua, tetapi
bertitik-titik, kerana matahari bersinar terik hari ini, sedikit sebanyak
menceriakan mek dan Pak Awi yang memerhati dari jendela utama.
“Allahhuakbar. Tengok mek, terik matahari hari ni. Syukur
sangat-sangat.”Pak Awi menunding jari telunjuk ke
langit.
“Agaknya matahari pun gembira tengok Sufie kahwin,”leret senyum mek tak kebah-kebah.
“Alhamdullilah, sempat juga siap masak. Tu, cuba tengok
budak tembam yang tengah makan tu,”ketawa
kecil Pak Awi pecah. Mek ikut ketawa sebaik terpandang budak yang dimaksudkan.
“Harap-harap anak Sufie nanti secomel tu juga. Geramnya!
Tengok cara dia kunyah ayam tu. Aduh comel sungguh,”berkerut wajah mek menahan geram.
Bau semerbak gulai kawah dan ayam
masak merah mengitari halaman rumah. Begitu berselera tetamu menjamah.
Kanak-kanak comel bergaun merah jambu membawa bakul berisi bunga telur untuk
diberikan kepada tetamu yang hadir. Itu adalah idea Afiena, kononnya mahu
diselitkan sedikit element barat. Sufie ikutkan sahaja. Kanak-kanak itu
menghampiri setiap tetamu dengan senyuman manis sambil menghulurkan bunga
telur. Ada juga tetamu yang mengusik, menyebabkan mereka tersipu malu.
Kini mek sedang merapikan hantaran.
Serba tidak kena baginya. Setiap yang dipegang dirasakan belum cukup sempurna,
padahal sudah hampir berbelas kali hantaran itu disentuhnya.
“Fiena mari sini. Cuba tengok, cantik ke tidak gubahan ni.
Mek tengok makin senget, tak seimbang. Ni kalau besan tengok tak ke malu.”
Afiena muncul dari muka bilik.
“Cantik dah mek. Jangan dipegang acap kali, nanti jadi
lain.”
“Lain apanya pula.”
“Lainlah. Fiena dah gubah cantik-cantik, tapi mek pula main
ubah-ubah.”
“Mek tengok macam tak kena, ke mata mek yang salah tengok.”
“Elok dah. Baik mek pergi tengok kak long. Dia tengah kena
andam.”
Sufie masih didandan, mengenakan
persalinan jubah jahitan mek. Wajahnya dihijab, hanya menampakkan mata, persis
gadis arab. Kening dan alis dicelak hitam. Cukup ayu, seayu gadis pingitan yang sedang menanti
suntingan jiwa. Untuk lebih cantik, Afiena telah mengantikan cermin mata Sufie,
dengan kanta sentuh prostetik iaitu kanta sentuh dengan iris palsu. ini kerana
golongan albino kurang pigment di mata. Tujuan kanta sentuh itu adalah untuk
mengurangkan cahaya masuk ke dalam mata dan menyekat cahaya UV yang tidak baik
untuk mata Sufie.
Kamarul pula sudah ke masjid seawal
pagi, bersama persalinan jubah lelaki yang dijahit ibu mertuanya. Sudah naik
berpeluh ketiaknya menunggu, namun belum juga tiba rombongan pengantin lelaki.
Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia pulang tidur memandangkan sejak semalan
dia tidak tidur kerana persiapan perkahwinan Sufie. Entah sudah berapa kali dia
menguap, dia sendiri tidak tahu.
“Dah sejam tak sampai-sampai, apa cerita. Naik kematu
menunggu.” Kamarul bersungut.
Dia bercadang mahu pulang dahulu,
baru beberapa langkah dia menapak sebuah BMW meluncur masuk diikuti beberapa
buah kereta. Dia kembali senyum kerana rombongan yang ditunggu tiba akhirnya.
Sebaik pintu dibuka, terpacul wajah manis Rijal yang segak berbaju kemeja. Dia
senyum ramah, tidak seperti kebanyakan orang kaya yang sombong. Potongan
badannya juga bagus, sebagus jaguh sukan yang berbadan kekar dengan berkumis nipis.
Selesai bersalaman dengan rombongan
lelaki, Kamarul terus sahaja menghampiri, bersalaman lalu menyerahkan jubah
kepada Rijal.
“Mana nak disalin?”
soal Rijal tenang.
“ Mana-mana yang berkenan, asal bersalin sudah.” Datin Abda mengarah.
“Mana mak mertua kamu. Belum sampai lagi?”aju Datin Abda usai matanya meliar mencari kelibat mek.
“Dalam perjalanan.”
Ringkas Kamarul menjawab. “Lebih baik
kita tunggu di dalam.”Kamarul memberi cadangan. Tanpa diminta persetujuan
dia mendahului rombongan masuk ke masjid. Kadi yang sedang menunggu tersenyum
lebar, kemudian membelek-belek buku catatan. Sesekali cermin matanya dibetulkan
bila hampir terlurut dari pangkal hidung.
“Sibuk Tok Kadi?”
aju Kamarul berbasi-basi, sambil menyalami Kadi. Diikuti lelaki-lelaki lain
yang turut bersalam dengan kadi.
“Alhamdullilah, Masih banyak lagi pasangan yang menunggu
untuk dinikahkan hari ini. Jadi seeloknya kita percepatkan urusan yang mulia
ini.”
Belum sempat Kamarul menjawab
perhatiannya berkalih kepada Rijal yang melangkah masuk. Kelihatan segak dan
gagah, malah terletak jubah yang dijahit ibu mertuanya itu. Rijal melangkah dan
senyum penuh yakin. Seperti mengerti dia memilih duduk bersila di atas kusyen,
rombongan pengantin perempuan pula tiba sejurus itu. Makin gamatlah suasana.
Usik-mengusik bergema, cuba mendebarkan Rijal, namun lelaki itu tetap tenang.
Pak Awi mendahului langkah, diikuti langkah
laju mek yang cuba menyamai rentak suaminya. Sufie diiringi Afiena dan kawan
baiknya yang bernama Maria. Tertip sungguh dia melangkah, menyebabkan Rijal
teruja. Bebola matanya seakan menyala-nyala. Walaupun hanya mata yang terlihat
namun di matanya Sufie kelihatan sungguh anggun.. Persis bidadari turun ke
bumi.
“Jangan tenung lama-lama, tembus anak dara orang nanti.” Datin Abda mengusik.
Rijal menjadi malu, terus dilarikan
wajah ke wajah kadi, menyebabkan dia dihadiahi senyum sinis bersama renungan penuh
makna dari kadi. Dia bertambah malu.
Pancaran kilat daripada kamera,
memenuhi ruangan, masing-masing sibuk mengambil dan merakan saat bersejarah
itu. Tangan Rijal digenggam oleh Kadi, seolah digenggam bakal mertua sendiri.
Kejap dan erat. Dia tetap tenang,
baginya keadaan itu tidak lebih hanyalah masaalah kecil yang mampu dihadapi.
Sufie masih tertunduk malu saat dia mula melangkah
masuk ke masjid, jantungnya sedang berdegup kencang. Sesekali dijeling Rijal
dan hati makin kuat menendang, seolah sebiji bom waktu sudah ditanan di dalam
hati, hanya menunggu saat untuk meletup. Mujurlah wajahnya sudah dihijab, jika
tidak tentu wajah yang merona merah itu dapat dilihat. Dia bersyukur kerana
dapat melihat wajah khalifahnya. Datin Abda meramas-ramas lembut tangan Sufe,
cuba menenangkan. Wanita itu seolah-olah dapat merasai getaran hati menantunya,
seolah-olah getaran dikongsi bersama.
Selesai majlis akad nikah kedua
mempelai bergambar kenang-kenangan. Ternyata walaupun Rijal bertubuh kekar,
namun bersuara perlahan, penuh kelembutan. Patutlah mek pernah berkata pesona
khalifahnya mampu mencairkan hati wanita, buktinya dia sendiri sudah mencair
dengan perwatakan sopan Rijal. Dan yang lebih mencairkan ialah Rijal tidak
kekok mahupun malu dengan kekurangannya. Dia benar-benar bahagia kini.