Tariq
menompang dagu, berfikir dalam. Sudah beberapa hari dia berfikir, setelah
ditimbal baik dan buruk akhirnya dia gagahkan jiwa untuk menghantar pesanan
ringkas kepada mamanya. Sebaik siap ditaip, ditekan-tekan nombor yang sudah
terukir di dalam kepala. Kalau diikutkan nombor sudah tersimpan di dalam peti
simpanan, tapi saja dilambat-lambatkan. Akhirnya pesanan terkirim juga. Tidak perlu
menunggu lama, hanya beberapa minit, pesanan berbalas. Dari sekeping jadi
berkeping-keping.
Tariq : Saya tak mahu kahwin dengan Miera.
Mama: Jangan
nak mengada-ngada.
Tariq : Saya nak kahwin dengan orang lain.
Mama: Dengan
hantu!!! Kau nak cari kat mana gadis tu.
Tariq : Saya dah janji hanya akan berkahwin dengan
dia.
Mama: Janji
seorang diri. Gadis tu pun tak tahu apa-apa. Dah jangan banyak cakap tahun
depan kahwin dengan Miera. Muktamad.
Tariq : Katakanlah saya dapat cari dia, bagaimana?
Boleh saya kahwin dengan dia.
Mama: Tariq
nak buat lawak ke? Mama tolong gelak ha… ha… ha…
Tariq : Saya serius. Kalau saya jumpa dia boleh ke
saya batalkan berkahwin dengan Miera dan kahwin dengan gadis tu?
Mama: Boleh
tapi bersyarat. Ada berani?
Tariq : Mestilah berani. Anak jantan.
Mama: Mama
bagi masa hingga febuari tahun depan, kalau tak jumpa kena kahwin dengan Miera.
Muktamad.
Tariq : Dah macam drama melayu la pulak. Mama curi
idea cerita melayu ke?
Mama: Curi
ke, mencuri ke tu tak penting. Yang penting kita dah buat perjanjian. Langgar
janji jatuh munafik tahu.
Talian putus
sejurus itu. “Baru nak memujuk dah putus.” Tariq berbaring. Kemudian dicapai head phone dan kepalanya mula terhayun ke kiri dan ke
kanan mengikut rentak lagu. Dia senyum
nakal kemudiannya. Wajah Zikrey muncul.
“Aku mesti pujuk dia supaya tolong aku dapatkan maklumat gadis tu.”
Tanpa berlengah
Tariq bingkas membuka pintu bilik, melaju dia melangkah. Bila pintu kayu
berwarna biru dirapati dia mengetuk perlahan. Kebiasaan yang pelik,
kebiasaannya dia akan masuk tanpa izin, kadangkala akan memeranjatkan bila
tombol pintu dipulas kasar dan pintu disentap laju.
“Masuklah,”
balas suara dari balik pintu.
Sebaik pintu
di buka, tersengih tariq. Sopan dia hilang bila melihat tilam empuk yang
terbentang. Apa lagi dilompatnya ke atas katil itu. “Duss…”
“Habis katil
aku, baru lepas kemas,” cemik Zikrey.
Makin
tersengih Tariq, kalah kerang busuk. Kemudian dia jelir lidah buat muka
raksasa, Zikrey malas melayan. Dia masih tekun membelek-belek kitab di tangan.
“Ziq… oh
Ziq…,” lembut Tariq memanggil. Dia bangkit bersila.
“Cakap sajalah.
Aku bukannya duduk sebatu. Mesti ada apa-apa ni, sopan semacam saja aku tengok,”
sindir Zikrey. Matanya memaku wajah Tariq.
“Aku memang
sopan, kau saja yang tak perasan,” ketawa Tariq pecah. Zikrey masih berwajah
tenang.
“Sopan
bersebab. Kalau tak bab usik- mengusik kaulah rajanya.” Zikrey pula ketawa.
Tariq berguling-guling seketika, senyum pula
panjang. Dia yakin Zikrey pasti setuju dengan kehendaknya.
“Kau tahu
kan dulu ada orang derma hati kat aku.” Tariq berubah serius, dia merangkak ke
birai katil.
“Kau nak aku
cari maklumat pasal gadis tu?” aju Zikrey.
“Bijak la
kau ni Zik. Memang adik kesayangan aku.” Tariq bangun menepuk-nepuk bahu
Zikrey.
“Maaf, tak
boleh tolong.”
Tarik
pincingkan mata. “Kenapa pulak? Soal hidup dan mati aku tahu. Kau tak mahu
lihat kebahagiaan aku ke?” pujuk Tariq. Dia bersila dan memeluk kaki Zikrey.
“Masalahnya
si penderma tak mahu kau atau sesiapa tahu.”
“Mana kau
tahu, masa aku kena bedah kau masih belajar,” tokok Tariq.
“Aku dah
cuba siasat dulu. Doktor senior beritahu. Kau tak percaya kau siasatlah
sendiri. Aku tak mahu campur.” Bantah Zikrey.
“Kalau aku
dapat tahu siapa gadis tu, kau bolehlah kahwin dengan Miera. Kau suka dia kan?”
pancing Tariq. Dia kembali tersengih.
“Aku suka
kat dia, tapi taklah sampai tergila-gilakan dia,” cantas Zikrey.
“Tak pun aku
beritahu Sufie kau adik aku,” ugut Tariq.
“Aku hanya
anak angkat papa dengan mama,” tersentak Zikrey, namun berlagak tenang.
“Ok… esok
aku beritahu Sufie yang kita berdua adik beradik… good nite.” Tariq melangkah. Bibirnya senyum sinis.
“Jangan kau
berani bocor rahsia. Bagi aku masa berfikir. Ini soal amanah kau tahu.” Zikrey
berkeras.
“Kenapa kau
takut sangat Sufie tahu pasal kita? ” Tariq menyoal. Dia pelik, namun dia tahu
ada sesuatu yang cuba disembunyikan.
“Kau tak
perlu tahu. Terlanjur kau datang, aku nak pesan sikit.”
“Apa?”
terjungkit kening Tariq.
“Tengok-tengokkan
juga si Daniel tu, jangan asyik buat hal sendiri. Budak tu perlukan perhatian,”
nasihat Zikrey.
“Budak mulut
macam orang tua tu. Mintak ampun la. Menyirap darah aku dengan dia.” Tariq
mencemik bibir.
“Kau kena
ingat dia sakit, bila-bila masa boleh balik. Tak salah kau mengalah, sebab
mengalah bukanya kalah tapi kemenangan dalam mengalahkan ego,” kali ini giliran
Zikrey pula menepuk-nepuk bahu Tariq.
Tariq bangun
lalu senyum. “Ok… adikku sayang, busuk…busuk.” Dipicit pipi gebu Zikrey
kemudian dia lari. Zikrey senyum. “ Bilalah dia ni nak matang? Macam
budak-budak.”
Bila pintu
bilik ditutup oleh Tariq, Zikrey hempas badan ke tilam, lengannya diletak ke
dahi. Rasa bersalah bertimpa-timpa meramas dada, sesak nafasnya.
“Maaf Sufie.
Mungkin ini yang terbaik untuk kita semua.”
Rasa lemas
makin menjalar, makin menyesakkan dada. Makin merimaskan akal warasnya.
“Kalau Tariq
tahu yang Sufie sebenarnya kakak ipar dia, naya. Belum lagi mama dengan Abang
Rijal yang tahu. Kalau aku temukan mereka, makin sengsara, makin bernanah luka
Sufie. Abang Rijal sudah lupa siapa Sufie. Lagipun aku risau kalau cinta dia
tak utuh. Lebih baik semuanya berjalan seperti biasa. Biar Sufie mulakan hidup
baru. Kalau dia tahu siapa aku tentu hidup dia kembali sukar. Ya lah macam mana
dia nak lupakan Abang Rijal kalau bekas adik ipar dia ada depan mata.”
Lagu
berirama rancak menyentak gegendang telinga Zikrey. “Siapa pula malam-malam
ni.” Tertera nama mamanya. Datin Abda. Ditekan punat hijau lalu dibaca pesanan
yang tertera.
Mama: Jangan
kamu beritahu Tariq yang penderma hati itu ialah arwah Sufie. Mama dah janji
dengan arwah akan rahsiakan perkara ni. Kamu buatlah apa saja, agar dia kahwin
dengan Miera. Kalau perkahwinan ni tak jadi malu kita satu keluarga…
Pesanan itu dipadam. Dia risau jika pesanan itu tersebar.
“Makin kacau nampaknya. Aku kena buat sesuatu.” Dia mencair dalam masalah itu.
***
Pukul sembilan
pagi Tariq sudah terpacak di perdu pokok berhampiran pagar hospital. Apa lagi
kalau tak menunggu Sufie. Hatinya berkocak, dia sudah nekad mahu pujuk Sufie
membantu dia menyiasat susuk bidadari yang berlabuh dihatinya itu.
“Mana lah
bunga albino ni. Selalunya dia datang awal.” Tariq senyum bila kelibat Sufie
melangkah masuk.
Dia
menjerit. “Bunga albino… bunga albino…”
Sufie geleng
kepala. “Tak makan saman sungguh mamat seorang ni.”
Tariq
berlari, tidak disedari ada kereta meluncur laju. “Prangg…” terbaring Tariq.
Sufie berlari ke arahnya. Pemandu kereta tercengang namun berusaha menolong.
“Su… Sufie…”
tangan Tariq mengarah kepada Sufie. Sebaik menghampiri, Sufie pegun tanpa kata,
matanya membulat seakan tidak percaya bila melihat cecair pekat berwarna merah
mengalir keluar.
Sufie
meletakkan buku dengan cermat. Wajahnya masih tenang, direnung Tariq dengan
sebal. Dia menyesal kerana memarahi Tariq beberapa hari lalu. Selepas kejadian
itu Tariq menjauh diri daripadanya.
“Aku kat
sini Tariq… Kau akan selamat,” Sufie memandang pemandu kereta itu. “ Encik
tolong bawa dia ke wad kecemasan.” Pinta Sufie.
Batuk Tariq
makin keras, bersama batuk membuak darah keluar. Wajah Sufie tetap tenang,
mengusik naluri seorang lelaki. Tariq terpana seketika melihat wajah lembut
penuh ketenangan itu. Sufie menyapu darah yang keluar.
“Penuhi
permintaan terakhir aku?” pinta Tariq lemah. Beberapa orang mula berkerumun,
sebaik menyedari perkara yang berlaku.
“Apa dia
Tariq?” agak goyah nada Sufie. Matanya tak lepas memerhati Tariq, ternyata dia
risau.
“Carikan aku
siapa gadis tu. Carikan dia untuk aku… aku mahu lihat siapa bidadari aku,” air
mata mengalir deras. Tariq lemas dalam tangisannya sendiri. Ternyata tangisan
itu turut mengundang tangisan lain. Namun wajah Sufie tetap tenang walau
hatinya berkocak.
“Berkerut
dahi Sufie. “Cari kat mana Tariq? Aku tak tahu macam mana nak cari? Dekat mana
nak dicari?” tokok Sufie.
Makin keras
batuk Tariq. Pemandu dan beberapa orang cuba membantu, malah beberapa petugas
wad kecemasan kelihatan sedang berlari.
Doktor
Zikrey tercungap-cungap. Jantugnya gugur tiba-tiba melihat keadaan abangnya
yang nyawa-nyawa ikan.
“Angkat ke
wad kecemasan sekarang,” arah Zikrey.
“Tapi doc tak mahu periksa dahulu. Pesakit
kena langgar, mungkin ada tulang retak atau patah. Organ dalaman pun mungkin
cedera sama,” nasihat seorang jururawat.
Zikrey
menunduk, memeriksa Tariq yang masih merayu kepada Sufie. Dipaku wajah Tariq
sesal. Ya, dia benar- benar sesal dengan apa yang telah berlaku.
“Ok…
Kecederaan pesakit tak teruk sangat. Beritahu senior doctor saya akan charge
pesakit. Masukkan dia ke wad kelas A.” Zikrey senyum tenang.
“Tapi wad tu
untuk orang tertentu saja. Katil pun belum tentu kosong.” Tokok jururawat.
“Jangan
risau, saya kenal keluarga dia. Awak kenal kan Dato’ Megat yang macam singa
lapar tu. Tak serik ke awak kena marah dengan dia bulan lepas,” selamba Zikrey
berkata. Dia kini memerhati beberapa MA
yang kelam-kabut bila terdengar nama Dato’ Megat. Siapalah tidak kenal
dengan Dato’ Megat itu. Orangnya pembegis dan keras kepala. Hati Sufie
tersentak, tidak disangka Tariq anak orang kaya.
“Saya akan
uruskan yang lain. Kamu ikut saja permintaan saya.” Zikrey berlalu, dia mahu
lekas ke bilik yang bakal menempatkan Tariq.
Tubuh lemah Tariq diangkat ke atas stracher,sempat ditatap wajah itu seketika. “Insya-ALLAH, aku
tolong kau Tariq.” Sufie sempat senyum sebelum Tariq dibawa pergi.
***
Tariq batuk
keras ketika tubuhnya diletakkan ke atas katil. Malah mengerang kecil. Zikrey
hanya memerhati.
“Doc yakin tak mahu saya laporkan dan
daftarkan kes ni. Susah kita kalau jadi apa-apa nanti,” cadang seorang
jururawat.
“Tak… saya
akan bertanggunjawab jika jadi sesuatu. Saya masih baru, tapi tolong percayakan
saya ya! Saya akan uruskan pesakit ni.” Wajah tenang dan berkeyakinan Zikrey
mengusir kegusaran jururawat itu. Diangkat bahu, seolah-olah berkata ‘Ikut suka
doc lah’ kemudian dia berlalu.
Troli stainlesstain
yang siap dengan ubat dan bahan untuk luka, ditolak ke tepi. Zikrey menghampiri
Tariq. Diperhati wajah lemah Tariq.
“Kau ok
Tariq?” aju Zikrey.
“Aku rasa
aku dah tak lama lagi… Cuma satu permintaan aku sebelum aku pergi…” Tariq batuk
lagi tanpa darah. Mungkin pendarahan dalamannya sudah terhenti.
“Aku pasti
tolong, kau kan abang aku. Beritahu apa yang boleh aku bantu?” wajah tenang
Zikrey bertukar sayu.
“Ca… carikan
siapa yang telah dermakan hati untuk aku tu. Aku mahu jumpa dia. Itulah
satu-satunya hajat terakhir aku.” Tariq pegang erat tangan Zikrey, matanya
berkaca. Pastilah siapa yang melihat akan menangis kerana penderitaan yang
ditanggung Tariq.
Zikrey
mengganguk tanda setuju. “Duss…” siku Zikrey dibenam ke perut Tariq. Tepat dan
jitu. Terduduk Tariq. Dia meraung hebat. Wajahnya merona merah, air matanya
keluar kerana sikuan itu.
“Kalau orang
lain kau boleh tipu. Tapi bukan seorang doktor.” Zikrey merenung tajam.
“Agak-agaklah
kalau geram pun. Boleh putus urat perut aku kau tahu. Kau ni adik atau musuh
aku?” bentak Tariq geram.
“Bila kau
nak jadi matang hah? Makin tua makin macam budak-budak. Kau tahu tak kalau
Sufie tahu kau tipu dia kecil hati dibuatnya tahu.” Zikrey hempas punggung atas
kerusi. Disilang kaki, matanya memaku wajah Tariq.
“Hal ni kita
berdua saja yang tahu. Kalau Sufie tahu kau lah yang beritahu.” Tariq sengih
sambil mengusap-usap perut.
“Kau nak
ajar adik sendiri jadi pembohong. Kau tu
abang, kenalah tunjukkan contoh yang baik. Ini tidak kau pula yang buat onar.
Apa pun, aku tak mahu masuk campur. Aku tak mahu menipu,” cantas Zikrey.
“Aku
terpaksa…” tokok Tariq.
“Terpaksa
sampai kau sanggup permainkan kepercayaan orang lain,” bidas Zikrey.
“Itu sajalah
jalan yang aku ada. Aku bukan tak pernah minta cara baik, dia yang berdegil tak
mahu tolong aku. Kau pun sama tak mahu tolong aku. Jadi tak salah kan kalau aku
guna sedikit tipu muslihat,” bela Tariq.
Zikrey tepuk
dahi. “Apa pun alasannya, cara kau tetap salah. Kau pasti yang kau akan ambil
gadis tu sebagai isteri kalau kau tahu siapa dia. Bukan aku tak tahu, kau
dengan Abang Rijal sama saja. Jenis citarasa tinggi.”
Tariq makin
tersengih, direnung ke luar. “Aku yakin aku akan kahwini dia dan cintai dia
sepenuh hati. Kalau dah baik, tentulah wajahnya juga cantik jelita.” Tariq
ketawa.
“Jangan suka
berangan Tariq. Berpijaklah di bumi nyata. Mimpi dan impian sering menipu
hakikat sebenar dunia. Kahwin sajalah dengan Miera,” nasihat Zikrey.
“Dengan ahli
sihir tu! Saja cari bala lah aku kalau kahwin dengan dia. Aku tetap akan cari
dan kahwin dengan gadis tu, walau apa yang terjadi.” Tariq berkeras. Dia
bersilang tangan.
“Aku dah
nasihat, jangan salahkan aku kalau apa-apa berlaku. Dan seperkara lagi. Kalau
Sufie tanya aku tak teragak-agak beritahu perkara sebenar.” Zikrey mengancam,
namun disambut tawa Tariq. Dia kemudian merebahkan badan.
Zikrey mula
mengatur langkah. Pintu bilik dibuka, terpancul wajah Sufie. “Assalamualaikum…
maaf menggangu, boleh saya masuk melawat Doc.”
Tariq terkejut
begitu juga Zikrey. Kehadiran Sufie yang tidak dijangka itu memutarkan
seribu-satu kemugkinan yang bakal terjadi.
“Matilah aku
kalau Zikrey beritahu hal sebenar,” wajah Tariq kelat tiba-tiba. Zikrey senyum
sinis, terjungkit keningnya. Dia gembira melihat ketakutan Tariq.
“Boleh saya
melawat sekarang atau saya datang sebelah petang.” Sufie senyum tenang seperti
biasa. Zikrey gelabah tiba-tiba. Memang dia akan gelabah bila berhadapan dengan
Sufie.
“Sekarang
pun boleh… saya pergi dulu ada pesakit sedang tunggu,” laju Zikrey melagkah.
Tariq senyum penuh makna.
“Ooo… kau
takut dengan Sufie rupa-rupanya ya…. Siaplah kau lepas ni,”
Sufie
menghampiri Tariq, wajah itu diamati, kemudian dia berpaling.
“Astagfirullah…
tak sepatutnya aku tenung lelaki lama-lama. Risau akan jadi zina mata.”
Tariq masih
berpura-pura tidur, dia senyum mendengar ungkapan Sufie. Tiba-tiba tubuhnya
terasa hangat, dibuka seminima mungkin mata. “Dup… dup… dup…” detak jantungnya
tanpa dipinta. Sufie sedang menyelimuti tubuhnya.
Kemudian dia
terdengar lirih suara gadis itu berkata.
“Ya ALLAH. Jadikanlah hatinya rela
dengan takdir-MU. Dan berkatilah dia dengan perkara yang telah KAU takdirkan
untuknya. Sehingga dia merasa senang dengan segala takdir yang telah KAU
tekdirkan untuknya. Sesungguhnya dia seorang teman yang baik untukku. Aku mohon
kesembuhan zahir dan batin untuknya.”
Sufie
berlalu usai berdoa. Makin kencang degupan jantung Tariq. Makin terpana dia
dengan sikap sahabatnya itu, terlantun kata yang tidak dirancang.
“MAAF SUFIE!”