Sufie
terjaga bila jam berbunyi.
“Dah pukul 4
pagi,” disanggul rambut panjangnya.
Sudah
menjadi kemestian untuk dia bangun seawal itu. Bersolat sunat Tahajud dan
Witir. Waktu yang paling digemari.
Cergas dia
berjalan ke bilik air. Air dingin dijirus, sekaligus mengundang gigilan kecil.
Selesai mandi, air dingin diraup untuk wudhuk. Hatinya berdetik.
“Terima
kasih ya ALLAH. Kau masih izinkan aku untuk berjumpaMu. Hadiah terindah buat
hamba sekerdilku.” Sufie meleretkan senyuman. Makin laju dia melangkah. Sudah tidak
sabar menanggung rindu.
Usai solat
dia memerhati kelendar di dinding. Terpana seketika, seakan tidak percaya.
“Dah hampir
setahun rupanya aku mengajar. Pejam celik… pejam celik dah nak masuk tahun
baru. Singkatnya hidup.”
Dia ke dapur
kemudiannya menyediakan sarapan pagi. Dari minggu lepas teman serumahnya iaitu
Salmi dan Tini mengidam hendak makan nasi goreng.
Radio
diputar. Suara Tini kedengaran. Sufie senyum.
“Ya rakan
pendengar sekalian…”
Sengaja
diputar radio untuk melalikan suasana sunyi.
“Bau sedap!
Sal teka ya. Nasi goreng.” Salmi muncul memeluk pinggang Sufie.
Salmi memang
manja, umurnya pun masih muda. Paling mudah merajuk dan tersentuh hati. Tini
pula lebih terbuka dan berdikari.
“Kak Sufie
masak nasi goreng dengan jemput-jemput bilis hari ni. Sal boleh bawa pergi prep,” pantas
sufie mengodek kuali.
“Bawa lebih
boleh. Nak share dengan boyfriend,” jelir Sal. Terbongkar rahsia.
“Aik… Tak
sukalah Kak Sufie dengar. Belajarlah dulu. Bila habis baru bercinta.” Sufie
senyum, tapi kelat.
“Tapi Sal
cintakan dia. Baik sangat dia Kak Sufie. Manja sama macam Sal,” Bibirnya
didekatkan ke telinga Sufie.
“Malam esok
Kak Sufie nak bincang sikit. Boleh bawa Kak Sufie jumpa dia bila free?” dahi
Sufie berkerut, minta kepastian.
“Boleh Kak
Sufie. Seronok sangat tau Kak Sufie. Ee… tak sabar nak bawa Kak Sufie jumpa
dia,” terlarik senyuman gembira Salmi.
“Pergi
mandi. Lepas tu siap solat Subuh,” lembut disuruh. Salmi menurut.
Suasana kembali sunyi, mujurlah suara Tini yang sedang ke
udara menemani. Sesekali dia senyum mendengar kepetahan dan jenaka Tini. Tak
keterlaluan jika dikatakan popularitinya melonjak sejak beberapa bulan
kebelakangan ini.
Sufie
melangkah sebaik matahari mula meyinar. Angin masih dingin, memaksanya
menyarung baju panas.
Salmi keluar
dengan muka ceria. “Kak Sufie oiii… hari sabtu pun nak kerja ke? Berhentilah
kerja kat kafe tu. Naik kesian Sal tengok.”
“Duduk rumah
pun bosan. Baik kerja. Bolehlah menabung lebih sikit.” Sufie menyarung kasut
tumit rendah.
“Ke, ada
buah hati kat situ. Mesti tergila-gilakan Corrado,” usik Salmi. Nadanya manja,
mengundang tawa.
“Assalamualaikum.
Jangan lupa kunci rumah bila nak keluar,” tidak menunggu jawapan, Sufie
berlalu. Risau terlewat.
***
Macam biasa.
Sudah hampir setahun, wajah Itali itu tetap setia menunggu di anjung café
seperti hari-hari sebelumnya. Rasa terujanya memuncak bila wajah jernih seputih
kapas itu dikesan. Dia melangkah laju.
“Awak tak
payah kerja hari ini.” Corrado bernada tenang.
“Kenapa?”
pelik mengusik hati.
“Kita pergi
periksa mata awak. Saya rasa awak perlu buat cermin mata,” matanya merayu dan
layu. Wajah risau seorang lelaki.
“Saya dah
adalah cermin mata. Cuma jarang pakai,” tangan Sufie menyeluk beg, cermin mata
dengan bingkai biru dikeluarkan lalu dipakai.
Corrado
mendengus. Digeleng kepala, dipicit dahi yang tak pening dan senyum pendek. “Mulai
saat ini, saya tak benarkan awak berkerja tanpa cermin mata. Awak tetap cantik
walau dengan cermin mata.”
“Terima
kasih sahabat.” Sufie senyum. Jantung Corrado disentap hebat. Senyuman itu
sungguh bisa. Buktinya dia masih mendabakan cinta Sufie. Namun mulutnya
terkunci.
“Aku yakin dia akan sedar betapa aku cintakan dia.”
***
“Mulai hari
ini kamu kerja di dapur. Saya tak mahu kamu berperang dengan Miera.” Corrado
kenyit mata. Sebaris gigi putih tersusun terlihat.
“Apa kata
chef? Saya tak suka kamu bergaduh sebab saya.”
“Chef sudah
tahu. Lepas waktu operasi kafe saya ajar kamu buat pizza. Pukul dua belas kena
sedia.”
“Pukul dua
belas?” aju Sufie.
“Sabtu. Kita
operasi sekerat hari. Pukul dua belas closing.”
Sufie
berlalu. Langkahnya diamati. Rozita senyum penuh makna.
“Orang
lelaki kena berani. Kalau kecut orang
tak panggil lelaki.” Rozita tepuk bahu Corrado. “Puk…” Kuat berbunyi. Corrado
tersentak. Hampir terlibas mangkuk berhampiran.
“Apa yang
lelaki? Mengarut sajalah.”
“Kak Sufie
tu sempurna. Walaupun dia albino. Tapi wajah dia tak kalah dengan gadis-gadis
lain. Ada sesuatu yang dia ada dan tak ramai gadis lain ada.”
“Apa
bendanya.” Corrado teruja. Matanya terbuka luas.
“Akhlak dan
agama. Tak ramai yang sesabar dan selembut dia. Tapi bila berkaitan agama,
ketegasan dia muncul.” Rozita angkat kening. Corrado malu. “Lambat terlepas…
jangan gigit jari sudahlah.” Rozita tepuk lagi bahu Corrado, kemudian berlalu bila kelibat pelanggan masuk.
“Aku mesti luahkan. Tapi macam mana?” Corrado bermulut
muncung. Segan dan malu bercampur.
***
Matahari
tegak memancar. Kerusi-kerusi di anjung dilipat dan disandar pada meja.
Payung-payung putih dikuncup satu persatu. Rozita menyeka peluh. Panas
membahang tak seperti biasa. Dari pagi sudah beberapa ketulan ais dikunyah.
“Jadi tak
tunggu Kak Sufie?”
“Jadi. Tapi
saya duduk kat ruang utama. Nak kena sental dan polish rak pameran. Kalau tak
mahu kiamat dunia dengan bebelan musang pendek tu.” Rozita ketawa mengekeh.
Geli hati bila terbayang wajah Arturo.
“Baik-baik
Rozita. Silap hari bulan dapat kekasih bongsai.” Sufie menarik pipi montel
Rozita. Sebulan dua ini, berat Rozita naik mendadak.
“Bongsai pun
bongsailah Kak Sufie oii… janji hensem macam Corrado,” dijungkit pinggang
Sufie. Sufie ketawa riang.
Corrado
berwajah ceria, namun serba-salah. “Jom kita mulakan sekarang. Sufie mari ke
dapur.”
“Saya ajak
Rozita sekali?” pinta Sufie. Tidak selesa.
“Kak Sufie
pergilah. Dapur dengan ruang utama kan bersambung. Saya boleh nampak jelas
kalau si Corrado ni nak buat perkara tak elok.” Rozita sengih. Corrado tambah
kalut.
“Oklah… “
Sufie mengatur langkah.
“Meja stainlestain
berkilat bila disimbah cahaya
lampu. Di bahagian tepi tersusun
mangkuk-mangkuk berisi bahan.
Corrado tabur
tepung di atas meja. Tekun, tidak dipedulikan Sufie. Di tumbuk kecil adunan
doh.
“Kena buang
udara yang terperangkap.” Dia kembali berkerja.
“Apa yang
saya nak kena belajar?”
“Hari ini
kita buat pizza. Ambil kertas depan awak tu. Sukat ikut resepi yang tercatat,”
tidak dipandang Sufie. Rasa nak pecah dada bila jantung menendang laju.
Agak mudah
dia membaca dengan kaca mata fotokromik barunya itu. Dia ke kabinet,
mengeluarkan sukatan. Dia ralit dan
teruja. Masing-masing hanyut.
‘Tak boleh
jadi. Sampai bila nak macam ini. Tak salah kalau ditolak, sekurang-kurangnya
aku tak perlu berteka-teki,’ paksa hatinya.
“Dah ada
buah hati?” gagap Corrado menyoal.
Sufie
senyum. Tapi kelat. Wajah Rijal muncul lagi. Dia beristigfar seketika.
“Bila nak
kahwin?” aju Corrado. Kali ini agak tenang.
“Belum ada
jodoh,” wajah Sufie berkerut. Tidak selesa dengan soalan itu.
“Nak kahwin
tak?” tenangnya menghilang. Dia kembali gagap. Tangannya pantas mencanai doh.
“Mungkin
kalau ada lelaki albino yang sudi saya kahwinlah.” Sufie bercanda.
Corrado
tarik muka. Hampa mendengar jawapan Sufie.
“Kenapa aku
nak sensitif sangat. Dia bergurau saja.” Corrado pujuk hati. Lama-lama
ketenangan kembali. Dia senyum.
Semangkuk
tepung dicurah ke atas kepala. Sufie berkerut pelik, namun masih memerhati.
Digenggam lagi tepung, dilumur ke wajah, kaki, tangan dan tempat yang dirasakan
perlu. Dia sengih macam kerang busuk. Sufie kelu.
“Kalau macam
ini bagaimana? Boleh dikira lelaki albino tak?” aju Corrado. Ditahan perasaan
gugup. Jawapan Sufie harus ditagih. Dia berdebar melihat wajah serius Sufie.
Mungkinkah dia rasa dipermainkan.
Senyuman
terlarik pada wajah berkerut Sufie. “Lawaklah awak ni Corrado. Pandai mengusik.
Kalau awak albino, saya pasti awaklah jejaka albino paling hensem di muka bumi
ni. Terima kasih sahabat.”
“Sahabat!”
mata Corrado mengecil. Hatinya menolak perkataan itu.
“Itulah
perkataan paling sesuai untuk orang sebaik awak. Terima kasih kerana
menceriakan hari saya. Tak sangka sanggup awak lumur badan, semata-mata nak
hiburkan saya.”
Corrado
kelu. Patah katanya mati tiba-tiba.
“TUHAN… kau tahu
hatiku. Bisikan rasa cintaku kepadanya.” Corrado mengeluh. Rozita memerhati.
“Kasihan
Corrado. Mencintai dalam diam amat menyeksakan. Aku faham perasaanmu itu
Corrado.”
Suasana di
dapur kembali ceria bila Rozita turut menyertai. Kalau sebut pasal Rozita, satu
kafe tahu yang dia memang kaki menyakat dan mengusik.
“Kak Sufie
bancuh air kejap. Untuk Corrado, kopi tanpa gula dan Rozita, kapucino.” Sufie
menjatuhkan senyuman pada wajah Corrado lalu berkalih ke Rozita.
Seperti
dipanah, pantas Corrado perpegang pada birai meja. Hatinya terseksa tiap kali
melihat senyuman dan sikap ramah Sufie. Rozita menyedari reaksi itu. Dia jadi
kelu.
“Kamu percaya
cinta sejatu wujud?” aju Corrado bila Sufie kembali.
Ditatang
dulang berisi tiga cawan. Diletak cermat, dihulur cawan kepada Corrado dan
Rozita.
“Alhamdullilah…
saya percaya, malah yakin.”
Bibir cawan
didekatkan ke hidung. Dihidu dengan mata terpejam lalu dihirup sedeguk.
“M-mm… Masih
sama aroma dan kepekatannya. Kamu memang memahami Sufie,” tidak dipandang wajah
albino itu. Hatinya kembali terjentik.
Rozita
bersandar pada kabinet. Mata bundarnya menjadi redup tiba-tiba. Kapucino
dihirup terasa hambar. Sehambar hatinya. Dia senyum kepada Sufie.
“Cinta tu
pelik kan? Cukup berhantu. Menghantui malam-malam yang sepi.,” dengus
kedengaran agak kuat, “Mencintai dan dicintai. Tak ubah macam mangsa dan
pemangsa. Pasti ada yang terkorban.” Rozita ketawa tiba-tiba.
“Bagi saya
cinta macam minum kopi. Pahit… tapi masih diteguk dan digemari kerana ia
mencergaskan hari-hari yang dilalui. “ Corrado menyampuk.
“Cinta dalam
diam. Tak ubah macam manusia dengan bayang-bayang. Zahirnya terlihat bersama,
tapi terpisah. Tipulah kalau manusia boleh sehati dengan bayang-bayang. Bila
matahari tenggelam, bayang pun hilang. Tinggallah manusia keseorangan,” sindir
Rozita. Lemah nadanya. Corrado pula yang mendengus kali ini. Madah Rozita ada
benarnya.
“Aik…
berfalsafah nampak kamu dua orang ni. Kak Sufie nak join boleh?” pinta Sufie
manja. Terpana Corrado. Pertama kali dilihat Sufie sebegitu menggoda.
“Apa madah
Kak Sufie pasal cinta.”
Sufie
senyum. Wajah Rijal sewaktu makan beradap singgah. Ah! Wajah itu senyum ikhlas
kepadanya.
“Cinta adalah perjuangan.
Perjuangan
membentuk dua hati menjadi satu.
Perjuangan
mencintai kekurangan
Perjuangan
menyemai benih-benih ke Syurga.
Bila
bercerita pasal cinta.
Hatiku jadi
kelu. Tercari-cari patah kata untuk menyatakan cinta.
Dan aku dapati
tiada yang benar-benar tepat untuku nyatakan perihal cinta.
Cinta datang
dengan keindahan, dan perginya tidak terjangka.
Malu rasanya
bila cinta menyapa dibiar berlalu tanpa disapa,” wajah Sufie merona merah.
Sedikit demi sedikit wajah Rijal berlalu.
Corrado
hanyut mendengarkan puisi Sufie. Rozita juga akui puisi itu tajam hingga
menikam rasa.
“Wah… Kak
Sufie pandai berpuisi rupa-rupanya. Tengok. Terlopong Corrado. Baik-baik nanti,
tak pasal-pasal minum kopi liur awak Corrado,” usik Rozita. Dia kembali tegak,
tidak lagi bersandar.
“Sufie!”
lantang suara Corrado. Matanya memaku Sufie.
“Terkejut
saya. Apa halnya?” rasa gusar singgah, malah rasa itu turut singgah ke hati
Rozita.
Tenungan
tajam itu bertukar lembut. Seulas senyuman menguntum. Malah suara lantang itu
bertukar romantis.
“Saya nak
lamar awak menjadi kekasih…”
Sufie masih
tenang. Rozita menjadi resah. Kalut meramas-ramas hati.
“Awak
bergurau ke? Sudah lah mari kita sambung kerja.” Selamba Sufie berkata.
“Kamu tak
percaya? Saya serius.” Corrado menapak mendekati. Sufie berundur. Rozita
bertambah resah.
“Saya tak
suka awak bergurau macam tu. Saya sahabat awak. Sampai bila-bila kita tetap
sahabat,” senyum tawar Sufie lemparkan, “ Ya ALLAH. Aku bertawakal kepadaMu.
Jangan persahabatan ini hancur hanya kerana rasa yang terkeliru. Dia berhak
mendapat cinta yang lebih agung, iaitu cintaMu. Berikan dia hidayah ya ALLAH,”
bisik Sufie perlahan.