Suasana sepi, menambah duka hatinya.
Afiena merenung ke hadapan. Penuh
tumpuan. Sesekali lopak air yang dilanggarnya menambah sakit kepala Rijal. Dia
menggigit bibir. Entah apa yang bermain di benaknya, Rijal tidak tahu. Cuma
diperhatikan wajah Afiena, lebih masam daripada cuka. Muncung sahaja sudah
boleh disimpul-simpul. Entah-entah sama panjang dengan belalai gajah jika
dibiarkan.
Kereta itu masih merempuh lopak-lopak air,
kalau boleh semua lopak air mahu dilanggar, biar pecah kepala Rijal. Bukan dia
tidak tahu perbuatan Rijal yang telah mengoyak surat titipan Sufie, dan itu
membuak-buakkan amarahnya.
“Sakit ke, abang long? Naik kasihan
pulak Fiena tengok. Tapi abang long tak payah risau, sebab Fiena pakar bab
pecut-memecut.” Nada kejam bergema. ‘Vroom….’ Makin laju kereta dipecut. Rijal
bertambah pening, sakit kepala semakin memuncak.
“Arrg! Perlahan sikit Fiena.” Rijal
bernada lemah. Afiena senyum sinis. Makin gila dia menekan pedal minyak, makin
mengaung kereta itu. Terumbang-ambing kereta dipandu. Afiena sudah dirasuk
kebencian, sehingga tidak mempedulikan hujan lebat. Terlambung-lambung Rijal di
dalam kereta. Kejap, dia memegang tali pinggang keledar.
Sekilas Afiena menjeling Rijal.
Dalam sesaat diratah lumat wajah lelaki berdosa itu. Dia kembali menggigit
bibir, senyum benci kemudiannya. Wajah Rijal yang pucat kebiruan dangan badan
lemah itu masih belum mampu menceriakan Afiena.
“Jangan ajar aku jadi setan. Kalau
aku jadi setan, aku lagi jahat deripada setan. Kiamatlah dunia. Rasakan.”
Afiena melirih perlahan. Sekali lagi pedal minyak ditekan kuat.
“Warrg!” Bau masam memenuhi ruangan
kereta. Segala macam sisa yang sudah lumat diluahkan. Muntah Rijal melekat pada
cermin, memercik pada baju mereka berdua. Dia benar-benar lemah. Namun masih
tidak diendahkan Afiena, tetap juga dipecut kereta itu.
Hatinya sudah dimamah syaitan,
begitulah perumpamaan buat Afiena.
“Kau yang paksa aku jadi jahat. Kau
yang paksa aku buat semua ni,” detik hati Afiena.
Seekor lembu melintas. Afiena
menjerit nyaring, kereta dibrek mengejut. Berpusing-pusing kereta itu lalu
melanggar timbunan tanah di pinggir jalan. Kepala Afiena terhantuk pada
stereng, dunia kabur, akhirnya gelap.
“Fiena… Fiena….” Suara lembut itu
merisik, suara yang dirindui. Air matanya mengalir laju. Sufie berdiri di
hadapan, melarik senyum manis seperti selalu.
“ Kak Long tak mati. Kak long masih
hidup. Fiena rindu. Fiena takut kak long pergi.” Pertama kali dalam hidup, dia
menangisi sesuatu. Ternyata kekerasan hatinya lebur juga.
“Semua akan pergi, bila saatnya saja
kita tak tahu, tapi kita tetap akan bertemu. InsyaALLAH dalam keadaan yang
lebih baik.” Sufie mengusap ubun-ubun Afiena.
“Lelaki jahat tu ceraikan kak long.
Fiena dah baca dalam surat yang dia koyakkan tu. Tergamak dia ceraikan masa
malam pertama. Tak boleh dimaafkan perbuatan dia.” Nafas turun-naik, Afiena
berusaha menahan sebak bertindih amarah.
Wajah Sufie berubah, namun wajah
tenang itu masih mampu mengukir senyum.
“Jangan berani berdendam. Dendam
hanya akan menyebabkan derita yang lebih dasyat. Nanti, elok-elok redha jadi keluh-kesah
pula. Hidup kita tak lama. Jangan dibazirkan dengan benci dan dendam. Masih
banyak manusia baik yang tengah menunggu untuk dijadikan kawan, pasangan dan
sahabat. Jika ada jodoh, InsyaALLAH kak
long kahwin lagi.”
“Tapi dia gila! Maruah kak long
dibuat main, dan kak long masih boleh melayan dia sebaik tu. Fiena tak faham.
Betul-betul tak faham dengan perangai kak long. Jangan-jangan kak long memang
ada hati dengan jantan tu.” Afiena geram dengan tindakan Sufie.
“Tak akan jatuh walau sehelai rambut
tanpa izin ALLAH. Fiena kena faham tu” Sufie mencium pipi Afiena.
“Jadi salah ALLAHlah semua yang
berlaku?” Afiena menyindir.
“Sifat cinta itu mahal, suci dan
tinggi tarafnya. Sangat sempurna. Kalau tak sempurna tentulah cinta tu cacat.
Itulah sifat sebenar cinta. Begitulah sifat cinta ALLAH. Tidak akan sekali-kali
diainaya hambaNya.”
“Lagi pun, kak long tak perlukan
cinta semurah itu daripada seorang lelaki. Bercerai itu pahit, tapi jika itu
yang harus dipilh…” Wajah Sufie layu serta-merta.
Belum habis Sufie berkata, Afiena
mencantas pantas.
“Bukan harus dipilih, tapi terpaksa
dipilih. Kak long tak diberi hak langsung untuk memilih. Lelaki tu ainaya kak
long. Tak hargai langsung, kebaikan orang.”
“Jangan terlampau berharap kebaikan
dibalas kebaikan. Hukum dunia tak selalu bergerak seperti yang kita mahu.
Cukuplah ALLAH yang membalas segala kabaikan yang kita lakukan, bukan berharap
manusia yang membalas.” Sufie memicit-micit lengan Afiena.
“Betul! Tapi dia kenalah tahu adap… Kenalah
hormat perasaan orang lain.” Afiena masih tidak berpuas hati.
“Fiena suka makan coklat, bukan?
Sedangkan kak long tak suka, sebab manis.” Sufie masih senyum.
“Jadi?” Afiena terpinga.
“Kesimpulannya, jika Fiena makan
selori coklat sekalipun. Kak long tak akan kisah, sebab tak pernah berharap kat
coklat tu. Begitu juga bila Fiena berharap hanya balasan ALLAH, Segala
pandangan dan balasan manusia pada Fiena sudah tiada makna lagi. Baik atau
buruk balasan manusia Fiena tetap gembira.”
“Tapi Fiena geram lah!”
“Jadi belajar-belajarlah sabar,
sebab sabar tiada titik noktah.” Kepala Afiena dirangkul lembut, dicium-cium
kepala dan ubun-ubun adiknya. Dia akhirnya berbisik.
“Serahkan surat tu pada abang long.
Surat itu amanah kak long. Sekarang surat tu ada pada Fiena. Jadilah pemegang amanah
yang amanah.” Afiena bungkam, tidak disangka Sufie tahu mengenainya.
Seorang doktor datang, entah kenapa
doktor itu menggoncang kuat tubuhnya.
“Apa doktor buat ni? Sakitlah!
Lepaskan saya… Lepaskan saya. Kak long tolong Fiena.”
Sufie menghilang sejurus itu. Dalam
rontaan itu, Afiena masih cuba mencari kelibat Sufie, namun hanpa. Malah
semakin kuat pula tubuhnya digoncang. Suasana yang tadinya putih, semakin
berbalam dan bertukar hitam. Semakin lama suara doktor itu bertukar lemah dan
bergetar.
“Fiena… Fiena. Bangun” Badan itu
digoncang sekeras mungkin oleh Rijal dengan tenaga yang berbaki. Kepalanya
berdarah kerana terhantuk pada cermin. Mujurlah Afiena sempat membrek kereta.
Jika tidak sudah tentu nyawanya melayang.
Afiena masih digoncang. Namanya masih
diseru berulang-ulang. Getir hati Rijal makin bertambah.
“Ya ALLAH. Aku mohon ampun. Jangan
Kau tambah rasa berdosaku. Jangan ada yang mati lagi kerana kejahatanku. Ya
ALLAH. Aku mengaku, aku selalu ainaya orang lain. Dadaku dah cukup sendat
dengan rasa berdosa. Tolonglah aku kali ini. Aku mohon… aku mohon dengan
sangat-sangat.” Rijal gumam sendirian. Dia benar-benar berharap yang Afiena
akan bangun.
Terasa yang TUHAN benar-benar
mendengar permintaannya. Dia berasa diampuni. Sekilas dia teringat pesanan
Sufie di malam keramat. Malam kejahilan. Malam dia menceraikan gadis suci itu.
“Kasih sayangNya maha luas, abang
yang sedang bersangka buruk denganNya, masih tidak ditarik nafas. Masih diberi
rezeki. Saya redha jika perceraian ini pilihan abang, Cuma tolonglah berhenti
mempersoalkan ALLAH. SAYANG-NYA TIDAK BERTEPI. Sayangilah Dia selagi sempat.”
Hatinya dipagut sebak. Afiena
membuka mata sedikit demi sedikit, badannya juga bertindak balas.
“Alhamdullilah. Terima kasih YaALLAH.”
Pertama kali dirasakan yang ayat itu terbit seiklas-iklasnya, dari dasar hati.
“Apa yang berlaku? Mana kak long?
Bukankah Fiena kat hospital tadi?” Afiena keliru, kepalanya pening dan
berdenyut. Benjol membengkak di kiri dahi. “Aduh! Sakitnya.” Dia berdengking
kecil bila tersentuh bengkak itu.
“Kita masih dalam kereta. Fiena ok,
tak? Nak abang long drive? Rijal menggagahi diri, walaupun wanita
itu membenci, namun kerana kasih Sufie rasa benci pada Afiena hilang, malah
kasihan pula yang timbul. Wanita itu terpaksa berpisah dengan kakaknya iaitu
satu-satu saudara kandung yang dia ada. Semuanya kerana dia.
“Fiena ok… Tapi kalau nak
memandu tak boleh.” Afiena menggangkat kepala. “Auw!” Tangan Fiena terseliuh,
dia menjerit kecil. “ Kita tunggu ayah dan abang Kamarul lalu, boleh tumpang
nanti.” Bergetar suara Afiena menahan sakit.
“Tak boleh! Kita kena balik sekarang, tak boleh tangguh-tangguh. Biar abang
long drive.” Pintu kereta dibuka, belum sempat dia melangkah Afiena
bersuara.
“Tak payah! Kita tunggu saja kat sini.
Abang long bukan boleh pandu pun. Nanti tak pasal-pasal lain yang jadi.”
“Risau juga Fiena dekat abang long.
Ingat dah benci.” Rijal jadi terhibur sedikit, dirasakan yang selama ini dia
telah tersalah anggap mengenai Afiena.
“Tolong sikit. Fiena risau kat
kereta ni, bukan abang long. Kalau setakat abang long, Fiena tak heran
langsung.” Suara Afiena marah-marah. Meluatnya datang berganda.
“Hati orang, abang long tak boleh
paksa-paksa. Nak buat macam mana, kalau orang dah meluat.” Layu nada Rijal.
“Baguslah kalau dah sedarkan diri.
Tak payah nak tunjuk baik. Berlakon punyalah class. Kalau bertanding,
mesti menang artis paling hipokrit.” Afiena mendengus.
“Dah lah. Abang long tak mahu
bertekak. Suka atau tak, abang long akan drive. Kita balik sekarang jugak.
“Kenapa yang beria-ia sangat. Tak
sabar-sabar nak balik kemas kain baju. Dah rindu sangat kat buah hati di kl.
Malang kak long dapat suami macam abang long.” Makin menyinga Afiena.
Bila nama Sufie disebut, Rijal
bungkam seketika.
“Kita balik sekarang juga.” Pantas
pintu kereta dibuka. Rijal keluar, menghayun langkah lemah. Ya, langkahnya
lemah, malah jika ada yang melihat dia ketika itu pastilah akan menitiskan air
mata, kerana melihat kondisi tubuhnya itu. Afiena tiada pilihan selain menurut.
Itupun sambil memberontak.
Makin menggigil bila mereka berdua
disirami hujan, namun Rijal sudah nekad. Walau terpaksa merangkak sekalipun,
surat Sufie harus diselamatkan dan dibaca.
Bukan sesuatu yang mudah untuk dia
memandu dengan tubuh yang lemah dan kaki yang sakit. Adakala dia menjerit bila
kesakitan menyerang. Dalam payah, dia masih memberi tumpuan. Berharap yang
perjalanan itu dimudahkan. Sudah beberapa kali kereta itu hampir terbabas,
mujurlah TUHAN masih merahmati.
Afiena memutarkan siaran radio, buat
melalikan suasana yang tegang.
Juugo Ya O Tsukisama Hitori Bochi
Sakura Fubuki No Hanakageni
Tooi Osata No Oneesama
Watashiwa Hitori Ni Narimashita
Di bawahnya Sinar bulan Terang
Purnama
Air mataku menitis bagaikan embun
Melihat dikau berangkat Tinggalkan
semua
Ke alam yang baru begitulah Jalan
hidup mu
Lagu Hanakage berkumandang, lagu
kegemaran Rijal ketika melanjutkan pelajaran di Negara Edo dahulu. Lagu yang
begitu difahami itu mengisahkan perpisan seorang wanita kerana perkahwinan,
namun berbeza dengan situasi sekarang. Lagu itu seperti menceritakan kisah
hidupnya pula.
Hampir-hampir terlelap mata, bila
Pening menyerang kuat. Mata berpinar, akal menyasar. Dingin meratah hebat
jasad. Rijal batuk beberapa kali. Wajahnya benar-benar pucat.
“Berhenti! Kita tunggu ayah dan
Abang Kamarul.” Afiena kembali menggulang.
Dia membiarkan sahaja bila Rijal
membisu. Ingatannya kembali menayang mimpi tadi, atau mungkin lebih tepat ilusi
sewaktu dia separuh sedar.
Hatinya terhibur bila mendengar
suara Sufie dan kembali berduka setelah mengetahui ia hanyalah mimpi, namun
setiap butir kata itu masih terpahat kukuh dalam benak.
Setelah bersusah payah. Mereka
sampai juga. Senyum kecil terpancul dari garis bibir kedua-dua mereka. Rijal memberhentikan
kereta di tengah kawasan lapang rumah, bukan di bawah rumah seperti biasa
Dirasakan yang kereta itu bergerak terlalu perlahan, maka dia memutuskan untuk
berlari. Afiena menyoroti langkah Rijal yang tidak tentu arah. Kemudian dia
berhenti, memerhati dari jauh.
Rijal merendahkan badan dan
terbongkok-bongkok di bawah lantai beranda. Bersama wajah kelat, dia
mengais-ngais sampah yang dihanyutkan air. Dia mencari-cari sesuatu, dan Afiena
tahu apa yang dicarinya. Namun Afiena kaku, tidak disangka lelaki itu berkeras
untuk pulang hanya kerana sekeping surat. Di antara benci dan kasihan, hatinya
berperang hebat. Benci dengan apa yang telah dilakukan kepada kakaknya, dan
kasihan melihat kesungguhan Rijal.
“Fiena apa yang kamu buat dalam
hujan tu?” Ibunya melaung dari muka pintu. Wanita tua itu turun bersama sekaki
payung, berlari mendapatkan Afiena. Wanita itu risau jika dia akan kehilangan
anak untuk kedua kali pula. Dipimpin tangan Afiena, namun anaknya itu tetap
membatu.
“Kenapa tercegat lagi? Hujan tengah
lebat. Demam nanti. Jangan kamu tambah susah hati mek. Cukup-cukuplah dengan
apa yang berlaku.”
Mata Afiena masih kejab memaku
pergerakan Rijal, diperhati setiap perbuatan lelaki itu. Hati kecilnya membenih
kasihan. “Mungkin dia tak sejahat aku sangka. Mungkin dia dah berubah. Mungkin
betul kata kak long, dia lelaki baik.”
Sesuatu sedang bergerak di bawah
rumah, menarik perhatian mek. Terkejut dia, bila melihat Rijal sedang tekun
menguis-nguis mencari sesuatu. Dia ikut kelu, seribu satu persoalan bermain dibenak.
Agak lama terbongkok-bongkok, Rijal keluar dari bawah rumah. Dia berlari lemah
terhincut-hincut, mengikut arah aliran air. Sudah beberapa kali dia tersembam
kerana kesakitan kakinya menjalar ke saraf, namun tetap digagahi bangun. Dan
dia terus berlari lemah mengikut aliran air, berharap apa yang dicari ditemui.
Debaran hati berganda.
Mungkin kerana semangat, dia masih
bertahan. Jika tidak sudah tentu dia pengsan kerana demam dan dingin hujan.
Sesekali guruh menjerit, kilat memancar. Tetap tidak dipedulikan.
Afiena melangkah laju, menyebabkan
ibunya terkebil-kebil. Dia merapati Rijal, disuakan kepingan kertas putih yang
telah dicantum dengan pita pelekat.
“Ini yang abang long cari. Fiena
kutip masa kena hanyut air. Simpanlah kalau mahu.”
Rijal berkalih pandangan, didongak
wajahnya. Dicapai surat itu, ditatapi. Air matanya mengalir deras. Sekali lagi
dia mengucapkan syukur.
Afiena berlalu, kali ini dia pula
yang memimpin ibunya. Seakan faham ibunya hanya menurut. Rijal kedinginan dalam
hujan, namun surat itu sudah cukup untuk memanaskan jasadnya.