Minggu ini tidak akan dilupakan
seisi keluarga Pak Awi sampai bila-bila. Manakan tidak, persandingan dan akad
nikah yang dijadualkan berlangsung tahun hadapan, dipercepatkan ke minggu
depan. Bermakna hanya sebulan bertunang dan hanya seminggu sebelum perkahwinan
Sufie bakal dilangsungkan.
Dari beranda rumah, Afiena memerhati
mek. “Memang kerja orang gila. Tak faham
dengan mek dan ayah. Macam manalah
mereka boleh setuju,” kedengaran ketapan gigi Afiena. Sufie senyum.
Mek tersenyum lebar di halaman. Namun
senyuman getir, senyuman paksa seorang ibu yang terlalu berharap anaknya akan
berkahwin, sehinggakan sanggup menerima permintaan Datin Abda. Kerja gila yang
mungkin difikir beratus kali oleh orang yang siuman.
Mek kelelahan, nampak benar yang dia
tercungap-cungap. Sungguhpun begitu hati keras berbisik. “Masih banyak nak dibelah. Kalau bertangguh takut tak sempat. Kerja
lain masih banyak.”
Peluh yang menitik masuk ke pelupuk
mata dibiarkan. Mek sedang menghayun kapak, membelah kayu api untuk kenduri. Sufie dan Afiena masih memerhati dari beranda.
Wajah geram Afiena masih belum
surut. Dia berang kerana mek bersetuju dengan permintaan gila Datin Abda,
manakala Sufie berwajah sayu, kasihan melihat penderitaan ibunya. Namun
keduanya berkongsi pemandangan yang sama, sebuah pemandangan pilu, pengorbanan
seorang ibu yang mahu melihat kebahagian anaknya.
“DEGIL,” bentak
Afiena.
“Fiena… walau selautan api pun marah, bahasa kena jaga.
Jangan lupa mek masih lagi ibu kita.”
Sufie tenung tajam. Hatinya juga gusar. Segusar Afiena.
Pak Awi pula sudah ke rumah Ketua
Kampung, berbincang mengenai urusan menyewa kerusi, meja dan kanopi. Dia ke
sana dengan berbasikal tua. Sesak nafasnya akibat dingin musim hujan masih
belum reda, tapi bila berkaitan perkahwinan Sufie digagahi juga.
Ternyata mulut manusia, bukan mulut
tempayan yang boleh ditutup. Lebih kencang daripada angin, berita perkahwinan
itu menjadi bualan sensasi penduduk kampung. Seribu satu andaian dibuat,
kebanyakannya menikam dada, merimaskan otak, malah mengelukan lidah. Paling
tidak sedap di halwa telinga adalah Sufie mahu berkahwin awal kerana khuatir
calon lelaki berubah hati.
Hujan turun lagi setelah berhenti
seketika. Mek masih mengapak kayu. Degil sungguh hati seorang ibu. Tempikan
guruh seolah rengekan manja bayi, langsung tidak diendahkan. Basah lencun
dirinya dimandikan hujan.
Afiena yang resah turun berlari
dengan sekaki payung setelah dia dihalau tadi. Sebaik sahaja mek melihat Afiena
menghampiri, sekali lagi dihalau, seperti menghalau ayam.
“Pergi naik rumah aku kata. Berapa kali nak pesan. Datang
setapak lagi, aku baling dengan kayu api ni. Kalau tak nak bertelur dahi tu,
pergi naik tolong kak long kamu,”agah
mek dengan sepotong kayu api yang dijulang tinggi.
“Orang nak tolong pun nak marah… Orang pun pandai belah kayu
api. Mek pergilah naik, biar orang belah pula.” Afiena berkeras.
“Bertuah punya anak. Aku kata tak payah… tak payahlah. Pergi
naik!” arah mek.
“Orang tolong kejap. Nanti orang naiklah,” cantas Afiena.
“Pung…” sebatang
kayu melayang ke sisi Afiena. “Nak lagi.
Kalau tak nak kena baling baik naik
rumah,” ancam mek. Muncung Afiena makin panjang, mahu atau tidak diturutkan
juga kata mek.
Sufie hanya diam melihat cereka dua beranak
kerana dia faham mek khuatir Afiena ditimpa demam. Wataknya memang kasar, tapi
bukan hatinya.
Tidak perlu dibayangkan wajah Afiena
saat itu, kerana dia begitu geram dengan apa yang berlaku. Dia merasakan
firasat hatinya benar. Baginya sesuatu telah berlaku sehingga Datin Abda
tergesa-gesa mahu perkahwinan disegerakan dan ibunya beria-ia berkerat rotan
bersetuju, namun dia sendiri tidak tahu apakah sebabnya.
“Batalkan saja kak long! Orang gila pun tak buat kerja gila
ni. Melampau. Dia ingat kak long terdesak sangat nak kahwin.” Fiena tarik rambut ikalnya kemudian digeleng-geleng bagi
melarikan air yang melekat.
“Ikutkan saja. Tentu ada hikmahnya. Lagi pun mek dan ayah
dah setuju. Kita anak-anak ikut saja. Jangan suka membantah. Fiena ni pun satu
hal, dari dulu suka sangat melawan.”Sufie
senyum kelat. Hatinya juga sangsi, ibunya seperti memendam rasa, menahan
derita. Jika inilah harga bagi kebahagiaannya, dia rela kuburkan sahaja mimpi
indah itu.
“Cuba tengok mek, dah macam buruh paksa. Dekat dua jam dia
duk kapak kayu api. Fiena nak tolong tak bagi.” Afiena bernada tinggi.
“Exekutif bank boleh ke belah kayu? Kalau tak biasa tak
perlulah cuba-cuba...” Sufie
bersuara riang; berlakon agar Afiena tenang.
Afiena kembali ke kaki tangga lalu
menjerit nyaring. Sungguhpun begitu mek tetap bisu atau lebih tepat malas
melayan kerenah Afiena.
“Mek! Hujan lebat… guruh kuat. Naiklah dulu. Nanti hujan
reda Fiena kapakkan pula.”Afiena memandang penuh erti, seolah ibu kesayangan
bakal pergi selamanya. Matanya berkaca, namun bukan sifatnya menitiskan air
mata, saling tidak tumpah seperti mek.
“Kalau tahu nak jadi macam ni, Fiena ajak abang Kamarul
dengan anak-anak balik sekali. Bolehlah abang Kamarul yang belah kayu api.
Semua Abda sewel tu punya pasal. Ingat kak long lapar sangat nak berlakikan
anak duda dia.” Afiena memerhati dari kaki tangga.
Sufie yang sedang menghias bunga
telur memujuk, lembut memamah hati Afiena.
“Benda yang lepas jangan dikalaukan lagi! Jangan suka
berkalau Fiena. Kalau itu akan menukar redha jadi sesalan. Sabar jadi amarah.
Sayang jadi dendam. Nanti bila hujan berhenti kak long turun pujuk mek. Dia
tengah risaukan sesuatu. Cuba Fiena perhati muka mek, bahasa badan dia. Ada yang
memeritkan hati tu. Jangan terlalu mendesak, beri sikit masa untuk mek tenang.”
“Fiena risau. Fiena Cuma ambil berat. Kalau tahu masalah,
senanglah Fiena bantu. Ini tidak pendam sorang diri. Tulah punca, jadi sakit
jantung, darah tinggi.” Afiena menyatakan
rasa hati dengan polos.
“Kak long tahu sayang.Tapi Fiena kenalah faham yang tak
semua orang selesa berkongsi masaalah. Ada yang lebih suka selesaikan sendiri.
Cara terbaik fahami mereka, sokong mereka, hormati privisi mereka dan
jangan mendesak.”
“Nanti kalau timbul masalah, orang kata abai mak, ayah
sendiri pula. Susahlah mulut orang ni. Buat baik salah, buat salah, lagilah
salah,” omel Afiena dengan mulut muncung.
“Sukat hati sendiri dulu. Ukur rasa hati. Tak semestinya
kalau orang kutuk. Kita pun harus kutuk diri sendiri. Dahlah. Biarkan saja
mulut orang.” Sufie melirih senyum.
“Fiena tak puas hatilah.”
Afiena berkeras.
“Sudahlah tu, mari siapkan bunga telur ni, banyak lagi yang
belum siap. Tak kasihan ke tengok kak long. Dah la tu, mari sini.” Sufie lambai tangan memanggil, walaupun sebenarnya Afiena
hanya beberapa langkah darinya.
*****
Hujan lebat petang tadi berlarutan
ke malam. Air semakin naik, cerita dari mulut ke mulut yang menyampai,
mengatakan baruh di hulu sudahpun dilimpahi air. Sufie sedikit gusar, risau
jika tarikh perkahwinan terpaksa ditunda kerana banjir. Afiena turut risau. Dia
risau jika jalan ke kampung ditengelami air, tentulah tidak dapat dia
melampiaskan rindu kepada suami dan permata hatinya, kerana kenderaan mereka
pasti tersangkut di jambatan kampung yang hilang diselimuti air.
“Habislah… Jambatan dah tenggelam. Mesti abang Kamarul
dengan anak-anak Fiena sangkut.”
Afiena gusar. Mundar-mandir seketika.
“Kita doakan yang terbaik. Insya-ALLAH ada hikmahnya.” Sufie sedang mengalih rak pinggan ke tempat lebih tinggi.
“Kak long… Fiena rindulah dengan anak-anak.” Afiena merengek manja.
“Rindu anak, atau ayah anak.” Sufie mengusik.
“Kak long. Fiena tengah risau. Dia buat main-main pula.”
“Jadi betullah rindu ayah anak-anak.” Sufie senyum lembut.
“Kak long....”
bentak Afiena.
“Yaah…yalah… rindu dua-dua sekali.”
Sedang kedua beradik itu dihantui
kerisauan yang melilit hati, mek pula tekun menyulam labuci pada jubah kedua
mempelai, sudah hampir sebulan dia cuba menyiapkan persalinan yang
bertemakanArab, kemahuan Datin Abda.
Risau Sufie tiba-tiba bertukar arah
bila melihat mek terkebil-kebil, mukanya kerut seribu cuba mencari lubang
jarum. Mek sudah tua, sanggul cinanya sudah memutih, boleh dikira warna hitam
yang tersisa. Kaca matanya juga sudah semakin tebal berbanding tahun lepas.
Setelah seharian membelah kayu api,
naik sahaja terus mek mandi, solat Magrib, berzikir sekejap sebelum Insyak dan
selepas itu berteleku dengan alatan jahitan. Sesekali terdengar dengkingan
kecil bila bilah jarum mencucuk jari. Sufie dan Afiena serentak memandang.
“Mek letih sangat tu. Tengok sambil menjahit pun
tersenguk-senguk.” Afiena separuh berbisik.
“Biar kak long pergi tolong.” Sufie bernada tenang sungguhpun hatinya gusar.
“Masalahnya, mata kak long tu nampak ke? Nak membaca pun
sekian hal. Masukkan benang dalam lubang jarum lagilah sekian hal. Dah tak
payah tolong. Nanti silap hari bulan, kak long pula kena halau.” Afiena menegah. Mereka kembali mengalihkan barang-barang di
dapur.
Wajah tua diperhati oleh Sufie dari
pintu dapur, seolah-olah wajah itu melarik kata ‘aku penat, sudah tua, tidak
gagah lagi’ kemudian, sekali lagi wajah itu melarik kata ‘sabarlah demi Sufie.’
“Mek makan dulu! Nasi dah sejuk. Orang lain dah makan, mek
sorang belum.” Afiena melaung dari dapur. Dia dan
Sufie sedang mengalihkan alatan elektrik ke tempat lebih tinggi, bimbang jika
air naik di tengah malam.
Afiena mahu melaung sekali lagi,
pantas Sufie menepuk bahu. “Jangan! Mek
tengah ralit tu. Fiena alih yang ringan-ringan dulu. Kak long nak hantar nasi
dekat mek, ya.”
“Tak faham betul. Apa yang berkenan sangat bermenantukan
anak Datin Abda tu. Mujur bukan mak mertua Fiena, kalau tak, anak- beranak kena
sepak.” Afiena tinggikan suara berharap mek
mendengar, namun bunyi hujan dan keletihan menulikan telinga tua.
“Amboi! Tinggi cita-cita, tuan macam ayam serama. Panjang
sangat ke kaki Fiena tu?”usik Sufie
manja.
“Pendek-pendek jangan dibuat main. Sekali kena, melayang
sampai ke Bejing. Tak payah tempah tiket.”
Afiena ketawa pendek.
“Kak Long pergi hantar nasi dulu, ya. Nak berbual sikit
dengan mek.” Sufie berkata polos.
“Fiena kena buat sorang-sorang lah ni,” rengek Afiena.
“Tinggal sikit saja kan. Buatlah…. Mek belum makan lagi.
Kalau tak diturut, bila nak makan tak tahu,”tokok
Sufie.
Berkriang-kriuk lantai papan
dipijak. Mek kalih tumpuan, direnung Sufie agak lama sebelum senyum.
Pandangannya pecah, setelah lama menjahit.
“Lama baru senyum, kenapa?” Sufie bersimpuh bersebelahan mek. Dulang yang dibawa
diletakkan bersebelahan. Mek senyum panjang bila melihat singgang ikan, sambal
belacan dan ulam pegaga. Kemudian dia memandang Sufie kembali.
“Lama sangat menjahit, naik senak anak mata.” Mek ketawa mendadak. Ketawa yang dibuat-buat.
“Elok perangai anak-anak mek. Salah satu syurga dunia, “ luah mek tiba-tiba.
“Biar Sufie sulam pula. Mek makan dahulu.” Sufie capai jarum dari tangan mek. Namun ditepis.
“Jubah pengantin ni, hadiah daripada mek dan ayah. Mek nak
siapkan sendiri. Ukuran untuk pihak lelaki sudah Datin Abda beritahu masa dia
telefon hari tu.” Mek tekun menyulam.
Manik pelbagai warna pada jubah
berkilauan bila terkena pantulan cahaya lampu. Kerawang-kerawang halus
menghiasi leher, pergelangan tangan dan bahagian bawah kain. Terserlah motif
awan larat dan paku-pakis. Sufie senyum lalu berkata.
“Halus kerja tangan mek,”
ikhlas dirasa sekaligus menguntum senyuman mek. Namun dengan renungan kosong.
“Mek, S-sufie nak tanya. J-jika berat mek abaikan saja.” Sufie bertanya lembut namun ketenangannya sedikit kendur
bila kata-katanya tersekat-sekat.
Ibunya senyum dan mengangguk lemah.
“K-kenapa mek setuju dengan permintaan Datin Abda? Sekarang
musim tengkujuh, silap hari bulan rumah kita tenggelam.”
“Itu rupanya. Ingatkan apa tadi. Insya-ALLAH, kampung kita
tak banjir, harap-harap begitulah. Selama ini yang banjir belah hulu. Belah
kita dekat pantai, ada pula sungai lebar dan dalam. Jadi kalau nak banjir
memang susah. Kecuali dengan izin ALLAH. Moga-moga rezeki berpihak pada kita.”
“Pasal perkahwinan kamu, mek tak kisah pun, bila nak
dilangsungkan. Mek ikut saja. Kalau esok pun mek akan tetap buat. Biar letih.
Biar bergolak-gadai mek tetap nak buat. Mek dah tua, dunia dah tiada nilai.
Cuma satu yang mek nak. Mek nak sangat tengok kamu kahwin. Itulah impian mek
sejak kamu dilahirkan.“ Mek
melepas lelah di dada. Seperti bebanan yang ditanggung sudah dimuntahkan.
“Mek..” Sufie
kelu seketika. “Mek malu tak ada anak
macam Sufie?”wajahnya dialih ke luar jendela. Hujan masih turun. Hatinya
sedikit berdebar. Adakah mek akan marah dengan soalan itu.
Tekaan Sufie meleset.Mek tidak marah
malah ketawa besar, diseka air mata yang mengalir. “Kenapa? Kamu rasa mek benci kamu ke, selama ni? Bertuah punya budak.”
Mek merenung minta penjelasan. Kening mek terangkat bersama badan yang
terdorong ke hadapan merapati Sufie.
“T-taklah… cuma tanya. Nanti bila kahwin, entah bila pula
boleh sembang-sembang macam ni,”
debaran Sufie masih belum surut sepenuhnya.
“Mek bukannya sempurna, tak layak pun nak tentukan yang mana
sempurna, yang mana tidak. Tak layak nak pilih-pilih kasih. Apa yang Allah
bagi, mek terima,” ditenung Sufie penuh makna.
Berharap Sufie faham betapa dia menyayanginya.
“Ada satu kisah lucu. Kamu nak dengar tak.” Mek kembali ketawa.
Sufie angguk kecil.
“Masa kamu lahir. Mati-mati mek tak percaya kamu anak mek.
Ingatkan dah tertukar dengan anak orang putih. Ayah mertua mek, pula ingat mek
curang. Heboh seharian. Nasib baik doktor cadang buat ujian DNA. Bila keluar
keputusan barulah kami lega dan barulah kami percaya kata doktor pasal albino
yang kamu alami.”
Mek berdengking lagi, bila jarinya
tercucuk jarum, Sekali lagi Sufie cuba menggambil jubah dan jarum, namun sekali
lagi tangannya ditepis. Agak lama suasana sepi, seolah mek mencari kekuatan
untuk berkata.
“Mek tak pernah malu ada anak macam kamu. Jauh sekali benci.
Mek memang garang tapi tak bermakna mek tak sayang anak-anak. Impian mek Cuma
satu, nak lihat anak-anak bahagia, sebelum mek pulang. Terutama sekali kamu,
Sufie.”
Tersentak Sufie. Tidak disangka
begitu sekali impian ibunya. Hatinya tersentuh dengan impian itu, dan secara
tidak sedar dia juga berimpian agar dapat memenuhi impian mek
Mek kembali menyulam dan menjahit,
kali ini lebih tekun. Air muka harus dijaga, dia tidak mahu dilihat keletihan
di depan anak sendiri. Namun ada sedikit kelainan. Kelihatan badan mek
bergetar, matanya berkaca dan air matanya hampir tumpah. Hati mek menjadi sayu bila melihat Sufie ralit
memerhati, mungkin selepas ini suasana itu tidak akan kembali lagi. Suasana
seorang anak menemani ibunya menjahit. Sufie faham mek tidak suka meluahkan rasa.
Demi menjaga maruah mek dia berkata.
“Dah pukul sebelas, badan mek pun dah mengigil. Tentu sebab
letih kerja seharian. Isyarat badan supaya mek sambung menyulam esok. Tak baik
dera tubuh badan pinjaman ALLAH. Mari Sufie suapkan mek.” Sufie mengacah, mahu menjemput nasi di pinggan.
“Tak payah… mek belum cacat lagi. Dah, pergi ke dapur tolong
Fiena, mek makan sendiri.” Ibunya
berpura-pura membetulkan rambut dan bila dirasakan Sufie terlepas pandang
cepat-cepat diseka mata yang bergenang. Sufie pula berpura-pura tidak
menyedari.
“Ayah mana mek?”
soal Sufie ketika bangun.
“Tidur! Demam kena hujan masa ke rumah penghulu tadi. Dah
pergi ke dapur tolong Afiena.”
Mek mengarah. Sufie senyum lalu beredar.
*****
Sebaik menyediakan sarapan mek terus
mencapai selendang berbunganya dan dengan pantas didorong basikal Pak Awi.
Tujuannya hanya satu, mahu sampai ke pasar seawal mungkin. Niatnya mahu
menempah ayam dan kelapa untuk kenduri kahwin Sufie. Mungkin dia risau
memandangkan hari kenduri semakin tiba. Mudin melaung panjang sebaik kelibat
mek dikesan dan seperti diduga mek singgah ke gerainya.
“Awal hari ni mek. Pilih… Pilih, ayam segar.”
“Mek nak tempah ayam boleh. Dalam seratus ekor,”selendang dibahu dibetulkan.
“Saya bagi diskaun, macam mana. Setuju.”Mudin berwajah serius.
“Alhamdullilah. Moga dimurahkan rezeki.”Mek tadah tangan lalu diraup ke wajah.
“Anggaplah hadiah perkahwinan Sufie. Saya pun nak tumpang
pahala sekaki.”Mudin berseloroh.
Melah muncul sejurus itu, dibelek-belek ayam
dengan dua jari. Mulutnya mencemik geli. Dia berpura-pura terkejut sebaik
berpaling kepada mek.
“Eh! Mek rupanya. Maaflah tak perasan. Hello mek, awal hari
ni. Mesti banyak barang nak dibeli.”Melah
memandang meluat.
“Kita orang Islam. Bagilah salam, ini tidak. Dihellokan
pula.” Mudin menegur.
Melah jeling geram. Dimuncungkan
bibir. Tidak lama. Dia kembali senyum sinis kepada mek.
“Amboi… amboi! Tak sempat-sempat nak kahwinkan anak. Kita
ada anak dara juga tau. Cantik pula tu.”
“Pihak lelaki nak cepat, aku ikutkan saja.” Mek menyibukkan diri bagi menyelindungi rasa geram.
Hati mek bertukar kusut, tidak
senang dengan kehadiran Melah. Bukan dia sahaja, malah rata-rata penduduk
kampung tidak senang dengan perangai Melah.
“Ya, ke? Jangan-jangan mek yang nak cepat. Maklumlah
bermenantukan orang kaya. Kalau aku pun nak cepat jugak. Mesti best,
tinggal goyang kaki saja. Duit, modal tak payah keluar. Semua orang sponser.” Melah meyinggung badan mek, namun dibiarkan sahaja oleh
mek.
“Tak adalah, duit simpanan aku dengan pencen Abang Awi.
Sufie pun ada berikan duit simpanan. Yang lain-lain Afiena dengan Kamarul
tambah,” jawab mek acuh sahaja. Malas dilayan.
“Boleh caya ke? Macam tipu aje. Ceritalah sikit. Aku janji
tak kepoh kat orang lain.” Melah
merapati mek.
“Cerita apanya Melah. Macam itulah ceritanya,” bidas mek.
“Aku bukan apa mek. Kita kan sekampung, jadi tugas aku
jugalah nak ambil berat hal jiran sekampung. Nanti tak pasal-pasal orang cop
beruk di hutan. Tak mahu campur orang ramai. Nak sembunyi semua benda. Ala-ala
artis lah pula.” Makin tajam Melah menyindir.
Mudin yang mendengar, naik meluat
melihatkan perangai Melah. Bila sebut Melah, satu kampung sudah tahu, dialah
pakar laga-melaga, itu belum lagi dengki-mendengki.
“Kak Melah ada dengar cerita paling hangat sekarang? Hangat
tersangat hangat. Boleh meleleh taik telinga mendengar.” Mudin bercanda ceria.
“Ada lagi cerita lebih hangat? Setahu aku yang paling hangat
pasal mek guna-gunakan Datin tua tu supaya berkenan dekat anak dia,”jeling Melah setelah jari lentiknya mencuit bahu mek.
Mek tenung geram. Melah yang
menyedari cepat-cepat berkata.
“Bukan saya kata, Tipah yang kata. Tapi kalau difikir, tak
logik ada orang nak beristerikan Sufie. Tahu-tahulah dia tu albi…” Makin tajam Melah menyerang.
Muka mek merah padam. Malu, geram
dan marah semua bercampur. Dia tahu khabar angin itu sudah bertiup di setiap
inci kampung, namun dia masih pekakkan telinga demi Sufie. Melah puas hati
apabila mek membisu, suasana sepi bertukar gamat apabila Melah mula bersuara.
“Pasal berita yang kau kata tadi. Apa beritanya Mudin? Buat
Kak Melah suspen sajalah. Ada ke berita hangat yang Kak Melah terlepas.
Rasa macam tak percayalah, tak logik langsung.” Melah teruja.
“Tok Imam Kasim pesan! Jauhilah rasa dengki, sebab dengki
itu menghapuskan kebaikan seperti api membakar kayu api.” Mudin mengajuk cakap Tok Kasim.
“Tak hangat langsung. Kau sengaja nak sindir aku. Kalau
setakat ayat tu Kak Melah tahu dah. Tak payah kau nak sekolahkan aku.” Melah bernada tinggi. Ayam di atas meja ditunjai-tunjai
dengan jari.
“Kalau nak rasa lagi hangat, tunggulah bila Kak Melah kena
bakar dalam api neraka. Saya nak meniaga, kalau nak iri hati, nak laga-lagakan
orang, cari tempat lain. Nampak tanda halal tu. Jadi hanya yang halal saja
dibenarkan.” Mudin melawak , Melah berang dan
berlalu. Sebelum berlalu sempat dia mengugut Mudin.
"Siap kau Mudin. Nanti tahulah kau siapa Melah. Jangan
kau ingat aku perempuan, aku takut dengan kau. Porahhh."
Mek bungkam. Tanpa kata. Seolah dia
dilahirkan bisu. Dicubanya berkali-kali untuk bersuara, namum masih gagal.
Bukanlah kerana sumpahan Melah tapi kerana hatinya berkecamuk bila Sufie
dihina. Bukan tidak pernah hatinya menyoal adakah benar tindakan yang dipilih,
namun cepat-cepat dipadam persoalan itu. Baginya kebahagiaan Sufie jauh lebih
penting berbanding caci nista orang kampung.