Wajah Sufie umpama mentari pagi
semenjak ditunangkan dengan Rijal. Kelopak hatinya benar-benar telah kembang
mekar, malah harum mewangi. Tiada lagi hari-hari yang membosankan. Ah! Ternyata
dunia masih ada keindahan. Tangan didepa seketika sambil mata terpejam rapat,
dia menghidu kesegaran rumput-rumput hijau yang ditebarkan angin.
Afiena muncul tanpa disangka,
mendukung Jemi, diikuti Akim anak sulungnya yang berumur sepuluh tahun. Dia
merapati lalu mencuit lembut bahu Sufie. Dia benar-benar gembira atas
kegembiraan Sufie. Dahinya berombak bila gusar hati menjengah. Dilepaskan
tangan Akim lalu dia duduk bersebelahan kakaknya.
“Jangan terlampau berharap pada bulan, takut kesiangan
nanti,” sindir Afiena lembut.
Sufie masih senyum, amat sukar untuk disembunyikan
senyuman itu. Terasa dunia kembali berputar dan dirinya dilihat sebagai
manusia. Dia berpaling seketika sebelum kembali merapatkan mata menghirup udara
segar. Afiena menggagah Jemi yang kemudiannya menderai tawa. Sufie kembali
menoleh.
“Aik… senyum pun salah ke Cik Fiena,” leretan senyuman makin panjang.
“Tak salah senyum. Cuma berpada-padalah kalau nak senyum
pun. Ni dari pagi, dibawa pula ke petang. Asyik senyum tak sudah-sudah.
Takut-takut orang cop mohorkan dahi, kata kak long wel-wel.” Afiena ketawa keras lalu dijungkit rusuk Sufie.
Sufie masih ingat, sewaktu zaman
persekolahan, dia dipulau, dihina kerana kekurangan. Malah ada yang sanggup
menolak dan menendang kerana jijik. Mujurlah Afiena ada, dialah yang selalu membela.
Afiena digeruni kerana dia seorang pelajar yang cerdik, pengawas yang tegas dan
wajahnya juga menjadi kegilaan pelajar lelaki. Mereka berdua ibarat kata
berlawanan. Kelebihan Afiena adalah kekurangannya.
Ingatan itu dicantas. Tidak mahu lagi
dia mengintai sejarah yang memeritkan. Ditoleh Afiene yang sedang mencium Jemi.
“Berapa hari cuti? Bila nak balik KL?” aju Sufie ramah.
“Lusa!”
“Bila kak long mula mengajar di SDH? Tinggal dengan siapa?” soal Afiena pula. Ada cuak dalam pertanyaan itu.
“Insya-ALLAH, lepas kahwin dan Insya-ALLAH tinggal dengan
suami sendirilah.” Sufie ketawa pendek.
Sufie diam. Dihela nafas laju dengan
bahu terangkat. Renungannya jauh kerana
memikirkan sesuatu. Benar dia teramat gembira, namun ada sesuatu yang menyengat
kegembiraan itu. Dan bisa sengatan itu melumpuhkan kegembiraannya, malah
menebar kembali luka lama.
“Betul ke apa yang kak long buat ni? Lima puluh lima puluh
rasanya.” tenang nada Sufie. Menyentak Afiena.
“Pasal pertunangan ni ke?”
aju Afiena lagi.
“Ya lah… kak long takut Rijal tersalah pilih. Bila dah
kahwin nak undur semula dah tak boleh. Duit pun dah keluar beribu-ribu.” Sufie memaku wajah Afiena. Namun senyum lembut tetap
menghiasi wajah.
Terangkat kening Afiena berfikir. Kalaulah
tidak kerana kasihankan Sufie, sudah tentu pertunangan itu mahu dibantah. Dia
tahu dan dia benar-benar pasti ada sesuatu yang cacat pasal pertunangan itu.
Tapi lidahnya seakan kelu setiap kali melihat pancaran kegembiraan di wajah
keluarganya. Dia benar-benar berharap keadaan bakal berubah selepas perkahwinan
Sufie nanti.
“Arrr…”Afiena
mahu bersuara, Akim memotong. “Betul ke,
mak long bukan anak Tok Awi dengan mek?”
“Akim! Kenapa biadap sangat soalan?” soal Afiena. Nadanya dalam dengan mata membutang. Akim bisu.
“Kenapa pula? Siapa yang cakap?” tanya Sufie tenang. Dia mengisyaratkan Afiena agar diam.
“Pak Samad kat rumah belakang cakap. Orang Cuma cakap apa
yang Pak Samad kata.” Akim mengerut muka, suaranya
perlahan. Takut.
“Kenapa Pak Samad kata macam tu?” omel Afiena geram.
“Pak Samad kata, mak long lain dari yang lain. Putih macam
hantu.” Akim tekup mulut, bila dirasakan
salah kata.
Sufie terkedu, kulitnya merona
merah. Sungguhpun begitu air mukanya tetap tenang. Dia istigfar seketika sebelum
bersuara.
“Akim pernah lihat atau baca peristiwa di Sabra dan
Shatila?”
“Dekat Palestin tu kan mak long?” aju Akim teruja. Kemarahan Afiena tidak diendahkan lagi.
“Yalah, pasal pembunuhan ngeri itulah.”
“Kenapa tanya, mak long kan tahu pasal tu,”
“Ngeri tak? Apa perasaan Akim masa lihat dan baca peristiwa
tu? Apa yang Akim tahu? Mak long nak dengar sikit. Ceritalah… mak long nak
dengar.” Sufie mempamirkan riak teruja. Atau
lebih tepat sengaja dipamirkan riak itu.
“Kesian tau mak long… Masa tu ada seorang perempuan kena pukul dekat kepala dengan senjata. Dada
dia hancur, perut dia pula kena belah. Dia separuh bogel. Anak dia yang tengah
menangis pun kena tembak, bersepai otak
dia. Dua-dua mati. Tak mahulah Akim ingat, sedih ada, takut ada, geram pun ada.
Akim tak sukalah.” Akim ngeri, ditarik jubah Sufie
lalu digigit bila terasa ngilu.
“Akim tahu, tak, pasal surah al-Baqarah ayat 191.”Sufie diam sejurus itu, dia menantikan jawapan daripada
Akim.
“Tak… Manalah Akim tahu. Kenapa? Ayat tu pasal apa?”
“Nak tahu kena duduk atas riba mak long.” Sebaik Akim duduk di
riba dia menyambung kata, “ALLAH
berfirman dalam ayat tu.”
"Dan
fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhannya." (Surah
Al-Baqarah: 191)
“Kenapa tiba-tiba mak long cerita pasal fitnah. Tukar topik,
ya?”omel Akim tidak berpuas hati.
Afiena menjawab kasar bila marahnya
memuncak. “ Tak faham lagi ke? Sebab Pak
Samad tu fitnah mak long kamu. Buat cerita tipu… kalaulah pembunuhan kat
Palestin kamu kata teruk, Fitnah tu lagi berganda teruk. Tahu.”
Wajah berang Afiena ditenung penuh
simpati, dia faham yang adiknya berkelakuan begitu kerana dia dihina.
“Sebenarnya, Mak long ada albino, genetik mak long lain dari
orang biasa.”Sufie melekapkan telapak tangan pada
pipi Akim kemudian dilagakan hidung mereka. Sejurus itu dia ketawa.
“Kenapa kak long cakap macam tu? Fiena tak suka. Kak long
tetap kakak Fiena.Jangan sebab orang hina, kak long pun hina diri sendiri.” Afiena geram dengan apa yang diucap dan dilakukan Sufie,
baginya itu hanyalah lakonan untuk menutup malu.
Dia geram bila Sufie dihina. Sejak
sekolah lagi, dia amat pantang jika mendengar ada yang menghina atau membuli
Sufie. Akan dicari sampai dapat orang itu. Kalau setakat bertumbuk dan perang
mulut dia sudah lali. Kena pula dia johan peringkat negeri acara teakwando.
“Akim cepat cium tangan mak long. Minta maaf. Kalau tak
berbirat belakang ibu rotan.”
Afiena mengarah kasar, disentap tangan Akim, wajahnya menyinga. Akim mula
berubah. Mahu menangis.
Tangan Afiena ditepis lembut sebelum
dirangkul Akim. Dicium berkali-kali, malah digosok belakang Akim. Takut Akim kebah.
Usai perlakuan itu Sufie bersuara
dengan senyum meleret, riak wajah menyatakan dia redha. “Biarkanlah
Fiena. Biar dia tahu, nanti taklah dia terkejut bila jumpa orang macam kak long.
Lagi pun budak-budak, apalah yang dia tahu. Hal kecil aje.”
Mulut Afiena muncung, ternyata dia
tidak bersetuju dengan pandangan Sufie. Malah kata-kata kakaknya dibalas
kembali, “Senang-senang kak long biar
orang pijak kepala. Ni baru anak buah sendiri belum lagi orang luar. Fiena tak
kira, nak atau tak Akim kena mintak maaf.”
Bebelan Afiena tidak diendah, kini
dia kembali memandang Akim. “Mak long
sihatlah sayang, Cuma genetik saja yang
lain. Pigmen kurang, sebab tu warna putih susu.” Sufie usap lembut
ubun-ubun Akim kemudian dicium.
“Tapi peliklah kenapa mata mak long tak putih. Mata mak long
warna biru?” soal Akim masih tidak berpuas hati.
“Kerana albino juga sayang.” Dipicit-picit pipi Akim sebaik tawa terhenti. Baginya cara
Akim bertanya menggeletek hati. Berlainan pula dengan Afiena yang semakin
membuak amarah.
Hujan yang sebentar tadi diam kini
kembali lebat. Angin sekali lagi melibas sehinggakan tikar-tikar mengkuang mek
pada sudut dinding tertolak kedudukannya. Dari laman kelihatan Kamarul berlari gopoh
malah hentakan kasut yang dipakai juga kedengaran bila terbenam ke lumpur. “Dussh,”dicampaknya batang keladi ke kaki tangga
sebaik dia tiba. Afiena bangun menuju ke bilik, menggambil tuala sebaik melihat
gigilan Kamarul.
“I-itu batang keladi yang kak long minta saya cabut tadi.
Hati-hati miang masih ada.” Kamarul
menjuih bibir ke arah batang keladi. “Bersungguh
kak long nak batang keladi, nak masak apa?”
“ Hah... Jangan sesiapa tolong, hari ni kak long nak masak
asam pedas batang keladi kegemaran bakal suami dia.” Afiena sergah dari muka pintu bersama sehelai tuala di
tangan kanan.
“Patutlah tak sempat-sempat. Pandai ke anak Dato’ makan lauk
kampung?” soal Kamarul, mengusik Sufie.
“Jangan bersangka buruk. Kalau dia terima kak long bermakna
dia orang baik-baik. Betul tak. Kak long?”Afiena
mencantas.
“Kali pertama kak long masak sayur keladi. Apalah rasanya,
ya.” Sufie berwajah mengusik.
“Fiena dah google serch. Dah tampal pun resepi dekat
peti sejuk, tinggal kak long masak saja. Batang keladi kena siang dulu, buang
kulit luar. Kalau nak sedap, bakar belacan, tapi jangan sampai hangus.”
“Lagi satu! Hati-hati takut gatal keladi naik ke hati, sah-sah
kahwin lari nanti. Tak sempatlah nak merasa nasi minyak kak long.” Kamarul kenyit mata mengusik. Makin lebar Sufie tersenyum.
Sufie berjalan pantas ke dapur
setelah batang keladi yang dihulur Kamarul disambut, sampai sahaja terus dicapai
pisau di atas meja. Sengaja disiapkan
awal-awal sementara menunggu Kamarul pulang. Tanpa berlengah batang keladi
dilarik penuh tekun dan cermat, dia mahu hasilnya nanti mampu memuaskan lidah
yang mengunyah. Terbayang gambaran kelembutan dan keenakan batang keladi yang
berlinang dalam merah kuah asam pedas. Aduh! Kecur liurnya. Namun lain yang diharap lain pula
yang terjadi, Dia resah malah duduknya juga canggung. Kulitnya mula merona
merah, malah makin merah apabila digaru.
“Sudah… Kena miang keladi. Baru sebatang, dah merah macam ni.
Boleh tahan miang batang keladi ni!”
Bagi Sufie selagi mampu bertenang segala
kekusutan mampu diselesaikan. Dia bangun lalu mencapai botol minyak masak di
atas para, dengan cermat dan bismillah dia meratakan sapuan minyak keseluruh
tangan dan lengan. Dia senyum puas selepas itu. Bersyukur kerana sudi diuji
Allah.
Sehelai kertas pada pintu peti ais
terbuai dihembus angin, mujurlah ada magnet yang melekat. Sufie tahu itu adalah
resepi asam pedas batang keladi yang ditinggalkan Afiena. Dihampiri kertas
putih dan matanya semakin membulat, sebulat hatinya yang teruja. Jantung
berdetak detik minta dilajukan proses memasak dan itulah kali pertama dia
benar-benar gembira untuk memasak. Hatinya bertanya adakah Rijal akan menyukai
asam pedas batang keladi sentuhannya.
ASAM PEDAS KELADI
3 pokok batang keladi
2 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
1cm halia
1cm isi kunyit
2 sudu besar ikan bilis
3 sudu besar cili giling
11/2 sudu teh pes asam jawa
1 inci belacan
2 batang serai
3 tangkai daun kesum
3 cawan air
Sedikit minyak utk menumis
Gula dan Garam secukup rasa
Sufie melihat turutan bahan-bahan
itu, namun masih kekurangan sesuatu, digaru-garu kecil kepala. Cermin mata
fotokromiknya, turun naik memerhati. Tetap juga tidak dijumpai. Mungkin kerana
saiz tulisan yang telah dibesarkan oleh Afiena, menyebabkan ruang terhad. Maka
apa yang dicari tidak ditemui.
“Fiena tak ingat nak salin cara memasak. Tapi tak apa, aku
akan masak versi sendiri. Hidup kena berani. Insay Allah jadi.” Sufie menguntum senyuman.
Mungkin bagi segelintir orang memasak
asam pedas kerja enteng, tetapi tidak untuk Sufie. Pening kepala dibuatnya, bukan
kerana dia tidak pandai memasak tetapi kerana dia bukanlah jenis yang cerewet
makan. Baginya ikan goreng dan kicap sudah cukup. Ibunya juga tidak gemar dia
ke dapur, risau jika kulitnya akan kering akibat haba panas. Bila ibunya tiada
di rumah atau sibuk di halaman, peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya. Ketika
itulah dia diajar Afiena beberapa masakan ringkas.
Tanpa berlengah, semua bahan dikisar
lalu ditumis hingga terbit bau, bila sudah dimasukkan air, dimasukkan pula
batang keladi, lalu dibiarkan menggelegak di atas dapur. Dicapai asam jawa, lalu
diramas-ramas dengan sedikit air, kemudian dituang ke dalam periuk. Tidak lupa
daun kesum dan garam perasa. Kemudian ditutup periuk. Dia kembali duduk
sementara menunggu hasil. Tidak lama hanya seminit dua tutup periuk kembali
dibuka.Harum daun kesum mewangi menyucuk ke hidung sekaligus menyebabkan cermin
mata dipakai berkabus. Dia sengih kecil, dirasakan percubaan pertama membuah
hasil.
Ketika sedang ralit, mek menjengah
dari belakang dengan hidung terbuka luas, ada rasa bangga yang muncul. Tidak disangka
Sufie mewarisi bakat memasaknya.
“Ummm…Amboi… Amboi. Kalau macam nilah gayanya, esok kahwin
pun mek tak susah hati. Ni kalau Rijal tak menambah tiga pinggan nasi tak
tahulah. Punyalah sedap baunya. Tiba-tiba rasa lapar. Bila nak makan?”
“Alhamdullilah. Dengan izin Allah. Nanti Sufie siapkan meja,
sempatlah mek mandi. Baju mek pun dah kotor.”
“Tulah… Tengah-tengah menebas rumput kat kebun tadi hujan
turun lebat, tak sempat nak berteduh. Kamu siapkanlah apa yang patut, mek nak
mandi dulu.”
Tanpa menunggu Sufie membancuh teh
dan menyiapkan meja, tanpa disedari yang mek masih memerhati dengan senyum. Dia
puas, dirasakan anaknya itu sudah besar panjang, sudah mampu dilepas pergi.
“Mek mahukan sesuatu? Kalau ya, Sufie boleh bantu,”terhenti dia seketika. Sufie pelik melihat wajah mek yang
tidak putus senyum.
“Suka tengok kamu. Dah besar rupa-rupanya anak mek sorang
ni.”Mek berlalu sebaik habis berkata.
Kembang hati mek sukar diungkap.
Lima belas minit kemudian ruangan
dapur bertukar gamat. Saat dinanti sudah tiba. Saat yang paling ditunggu seisi
rumah. Saat di mana keharmonian akan bertambah erat bila rezeki dijamah bersama.
Pak Awi mengambil tempat paling
hujung bersebelahan isterinya, seperti mek dia juga teruja ditambah momokan mek
mengenai keenakan bau asam pedas batang
keladi Sufie. Sudu besi yang terbenam di dalam kuah asam pedas diangkat lalu
melaju masuk ke mulut. Mek berdehem kecil tanda tidak manis kelakuan suaminya.
Wajah Pak Awi kerut seribu menyebabkan mek tercengan, mungkin dia menyangka
suaminya berkecil hati.
“Tidak sebagus masakan mek. Tapi masih boleh dibaiki. Ayah
tak boleh makan sayur keladi, nanti hendak makan ubat. Mek pun tak boleh.” Pak Awi bernada kecewa, mungkin hanya dibuat-buat untuk
menjaga hati Sufie. Mek membisu dan dia pasti yang suaminya terusik hati dengan
tegurannya.
‘Dia ingat aku geli nak makan bekas mulut dia agaknya.
Kempunanlah nak merasa air tangan anak sendiri,’bungkam mek sendiri.
“Wow… Maknanya masih sedap lagi. Tak sabar Kamarul nak cuba
asam pedas keladi air tangan kak long. Nanti boleh tahu siapa lagi jaguh, Fiena
atau kak long.” Kamarul cuit manja Afiena di
sebelah. Afiena ketawa geli hati.
Tanpa dipelawa, pantas Kamarul
menyenduk kuah asam pedas keladi, digaul bersama nasi dan dimakan dengan lahap.
Baru beberapa suap, dia ketawa.
“Sedap… sedap…Ya Allah sedapnya, tak pernah Kamarul rasa
asam pedas sesedap ni. Mintak-mintaklah esok kak long masakan lagi.”Kamarul masih ketawa, ada sesuatu yang mencuit hatinya.
“Ikhlas, sedap?”
aju Afiena dengan mata dipincing.
“Ya... tak percaya, cuba rasa sesudu. Ke nak abang suapkan.” Kamarul kembali ketawa.
“Ada yang tak kena ni. Bukan baru sehari kita kahwin. Mesti
ada yang pelik sampai awak tak henti ketawa. Baik awak cakap. Kurang masin ke?” desak Afiena perlahan.
Tanpa segan dicubit Kamarul yang
masih ketawa lalu tercetus jeritan kecil. Jemi dan Akim ikut ketawa bila
melihat keharmonian kedua orang tua mereka. Namun begitu Sufie berdebar, ada
sesuatu yang tidak kena dengan asam pedas keladi. Namun wajah tenangnya sukar
digugat, dia senyum kecil sambil melontar kata.
“Kenapa Kamarul? Ada yang kurang ke? Cakap sajalah, kak long
tak marah.” Sufie berkata lembut.
Kening mek terangkat, hampir
bersambung bila kerut di dahi muncul. Dia juga hairan dengan kelakuan Kamarul,
malah dirasakan arahan suaminya sebentar tadi bukan kerana merajuk. Dikerling
Pak Awi dan disedari sudah acap kali suaminya meneguk air. Dia bingkas
mendorong badan lalu mencapai sudu, sungguhpun begitu niatnya untuk merasa
dilarang.
“Tak payah rasalah. Awak tu bukan boleh makan batang keladi.
Nanti datang pula angin satu badan.”
Pak Awi bernada dalam.
“Tak apa. Saya Cuma nak rasa kuah.”Mek bersuara.
“Kuah pun tak boleh. Dah, makan sajalah ikan goreng tu.” Pak Awi menghalang.
“Lain macam bunyinya. Ada yang tak kena ni.” Mek mencapai sesudu kuah, lalu dihirup.
Baru beberapa hirupan, mek menyoal
tegas.
“Siapa siang batang keladi? Siapa yang siang batang keladi?” nada tinggi bergema.
“Sufie kamu yang siang batang keladi?” soal mek garang. Dia berharap Sufie akan mengatakan tidak.
Ya, dia benar-benar berharap perkataan itu yang bakal keluar dari mulut
anaknya.
Belum sempat Afiena membela Sufie
sudahpun angguk kecil tanda ‘ya.’ Serentak itu luluh hati mek, ternyata apa
yang disangka meleset.
“Kamu rebus tidak batang keladi sebelum masak? Ada kamu
letak asam keping masa rebus batang keladi?”
soal mek dengan wajah merona merah.
Sufie pandang mek dengan tenang
malah senyum lembut masih gah terukir, kali ini digeleng-geleng kepala.
“Kalau tak pandai minta tolong, bukan berlagak pandai. Habis
gatal lubang tekak menelan. Esok kamu duduk di dapur, masak asam pedas keladi
sampai pandai. Selagi tak pandai jangan pergi ke mana-mana. Kamu Kamarul,
pagi-pagi esok pergi gali batang keladi seguni. Biar termuntah Sufie masak asam
pedas keladi.” Ibunya bersuara lantang.
“Sudahlah jangan ikutkan sangat marah awak. Saya kasihankan
perut awak yang tengah lapar. Awak pun patut kasihankan perut awak, malah perut
anak, menantu dan cucu kita. Rassul kalau tak suka sesuatu rezeki, baginda akan
diam.” Pak Awi bangun mengusap lembut bahu
mek. Seperti api disiram air, marah mek reda mengejut.
Sufie tidak berkecil hati dengan
sikap mek, kerana dia tahu wanita tua itu akan mudah marah jika terlalu
risaukan sesuatu, terutama dirinya. Mungkin caranya agak ganjil, namun dialah
ibu yang paling setia di sisi bila diperlukan. Dia sudah nekad mahu berusaha
esok pagi, memasak asam pedas keladi agar suaminya akan turut tersenyum dengan
masakannya.
*****
Pagi-pagi lagi Sufie sudah tercongok
di dapur berhadapan mek. Bukan sepatah dua, malah berjela-jela dia dileteri.
Namun dia tetap senyum.
“Batang keladi dah basuh?”
“Dah mek.”
“Rebus dengan asam keping. Biar hilang getah dengan gatal
batang keladi tu.”
“Jadi orang perempuan, serba serbi kena laju. Kalau tak
macam mana nak jaga rumah tangga. Kena pulak zaman sekarang, ramai sungguh
lelaki yang perangai macam budak-budak. Mana nak jaga anak, mana nak jaga suami
yang mengalahkan budak-budak. Kena gaya dia pulak yang tukang sepahkan rumah.”Mek makin kuat berleter. Sufie hanya mendengar.
“Lagi satu. Jadi perempuan kenalah pandai jaga diri, macam
pohon keladi.”
“Pohon keladi.”Sufie
senyum kecil.
“Yalah… tak pernah dengar ke?”
“Yang Sufie rajin dengar, miang-miang keladi adalah.” Sufie ketawa kecil.
“Biar mek terangkan.”
Mek menghela nafas selepas wajah Sufie ditatap. Sejurus itu dia turut senyum
apabila ketenangan wajah anaknya menjamah hati.
“Miang keladi tu tanda dia mempertahankan diri. Jadi
perempuan kena tahu menjaga maruah. Cuba tengok, batang keladi ni. Dah kena
cantas, kena siang, masih jugak melawan. Habis pijar tangan mek. Macam itulah
orang perempuan, sampai titis nyawa terakhir kena jaga maruah, kesucian diri
dan agama.” Bersungguh mek berkata. Siapa tidak
kenal mek, wanita yang paling bersemangat bila bercakap, silap hari bulan
disangka ahli politik.
“Tapi tak ke miang tu bunyinya macam orang gatal?” Sufie kurang berpuas hati.
“Tu orang kita yang momok-momokkan, tu pasal bila sebut
miang, ingat orang gatal. Tapi sebenarnya, samalah dengan duri semalu.”
“Yang kedua. Perasan tak bila hujan timpa daun keladi,
daunya tetap tak serap air. Jadi perempuan kena banyak sabar. Kena tahan
dugaan. Kalau lelaki orang selalu ukur dengan kekuatan, perempuan orang akan
ukur dengan kesabaran. Dan kesabaran itulah senjata paling hebat. Mek boleh
kata sabar itu macam kepala. Kalau hilang tangan atau kaki, kita masih boleh
hidup. Tapi kalau kepala melayang. Roh ikut melayanglah jawabnya.”
“Ketiga… Pokok keladi banyak ubinya. Ibarat diam-diam ubi
berisi. Macam tu juga orang perempuan, Kenalah semakin hari-semakin cerdik.
Jadi kena banyak belajar, terutama ilmu dunia akhirat. Bila dah berisi dan
berubi, dapatlah dimakan oleh anak-anak dan jiran tetangga. Macam isteri-isteri
Rasul. Lepas kahwin dengan Baginda, semakin cerdik dan berilmu.”
“Saya teringat perumpamaan yang Rasullulah ceritakan kat
Saidatina Fatimah.” Sufie berwajah teruja.
“Apa dia?”
tanya mek berminat.
“Kata Baginda, perempuan tu macam pokok semalu.”
“Teruskan mek tengah dengar.”
Sufie senyum seketika. Geli hati
melihat kesungguhan ibunya. Kesungguhan itu menyebabkan ikan bilis yang dibelah
dibiarkan.
“Baginda kata, perempuan haruslah ambil pengajaran daripada
pokok semalu dalam empat hal.”
“Hal pertama apa?”
soal mek. Semakin berminat.
“Pertama, pohon semalu akan kuncup bila disentuh. Bolehlah
diibaratkan yang perempuan perlu mempunyai perasaan malu. Tapi biarlah kena
pada tempatnya.”
“Yang nombor dua pula?”
soal mek pantas, bila Sufie diam.
“Kedua, semalu mempunyai duri yang tajam untuk pertahankan
diri. Oleh itu, orang perempuan perlu tahu pertahankan diri dan maruah sebagai
seorang wanita muslim.”
“Betullah macam mek
kata tadi. Lebih kurang macam miang keladi. Ok. Teruskan dengan yang ketiga?”
“Ketiga, semalu ada akar tunjang yang sangat kuat dan
mencengkam bumi. Bermakna wanita solehah hendaklah mempunyai keterikatan yang
sangat kuat dengan ALLAH RABBUL ALAMIN.”
“Betul… Betul, mek setuju sangat. Dan yang akhir sekali
apa?” tanya mek. Dia berkalih sedikit ke
hadapan.
“Jeng..jeng..”
Sufie berwajah cemas. Mahu menguji kesabaran ibunya.”
“Cepatlah..nanti nak masak pulak.”Mek bersuara dalam, agak geram.
“Kata kena jadi macam pokok keladi, kena banyak bersabar.
Tak baik langgar petua sendiri.”Sufie
mengusik manja.
“Cepatlah… Nanti mek kempunan nak dengar.” Mek ketawa mendadak.
“Baiklah mek.” Sufie senyum nipis. “ Akhir sekali, semalu
akan kuncup dengan sendiri apabila senja menjelang. Oleh itu, para wanita
sekalian, kembalilah ke rumahmu apabila waktu semakin senja. Ambillah
pengajaran dari semalu walau pun ia hanya sepohon tumbuhan yang kecil.” Sufie bernada seperti seorang ustazah yang menyampaikan
dakwah, bukan itu sahaja tangan juga digerak-gerak seperti pemidato sekaligus
mengirai tawa mek.
“Hebat sungguh ciptaan ALLAH. Mek kagum. Kamu pilih yang
mana? Keladi atau semalu?” soal mek
berseloroh.
“Dua-dualah mek. Semua ciptaan ALLAH, kalau diteliti, ada
pengajaran dari setiap kejadianNya.”
Mereka mengirai tawa lagi. Afiena turut senyum dari balik pintu, dia
lega Sufie tidak dimarahi.