
Setiap hari kisah silih
berganti. Suka, duka berputar bagai roda. Akhirnya ia menjadi kenangan. Malah
kalau kena gaya boleh jadi lagenda.
Tengah hari ini matahari
masih diselubungi langit hitam. Hujan
sudah berlarutan hampir seminggu. Jalan-jalan raya dipenuhi kenderaan yang
bergerak bagai semut, lambat. Malah kedai-kedai hampir ditutup awal. Angin
menggila datang tak dijangka.
Di sebuah taman
perumahan, di rumah paling hujung. Biah sedang berteleku di atas lantai dengan
sekotak mancis yang baru dibeli pagi tadi.
“1,2,3,4…..25…” Biah
ralit mengira.
Anaknya, Mazuin muncul
dari arah dapur. Dia bersimpuh bersebelahan Biah.
“Sudah-sudahlah tu mak.
Mana ada benda-benda tu semua.”
“Ish! Budak ni. Jangan
kacau mak. Pergi main dekat lain.”
“Mak masih percaya
cakap-cakap jiran dekat sini. Pasal gadis mancis tu?” aju Mazuin. Keningnya
terjungkit. Dia masih menantikan jawapan Biah.
“Kita ni baru pindah.
Apa orang kata kita buat sajalah.”
“Nak mengikut pun,
biarlah bertempat.”
Tiba-tiba Biah menjerit
kecil dengan wajah pucat. Tangannya menggeletar. Diperhatikan anak mancis terakhir.
Dia mula bersuara.
“Ganjil… Mancis dalam
kotak ni terlebih satu,” kata Biah gugup.
“Tak ada apa-apalah.
Gadis mancis tu tak pernah wujud.”
Tangan Mazuin ditepis.
Biah tak benarkan anaknya menyentuh kotak mancis itu. Mazuin masih pelik
melihat wajah pucat ibunya. Hanya kerana kisah karut taman perumahan itu. Kisah
kematian seorang gadis yang dipaksa menjual mancis oleh ibu tirinya. Mati di
sebuah lorong kedai akibat kesejukan musim hujan. Dikisahkan gadis itu tidak dibenarkan masuk ke
rumah selagi jualannya belum habis.
Kata jiran-jiran yang
mengaku sebagai orang lama di situ. Waktu gadis itu mati, tubuhnya dirasuk jin
dan hilang tanpa jejak. Hanya muncul bila bekalan elektrik putus atau kesemua
lampu dipadam. Konon-kononnya setiap rumah harus membiarkan satu lampu
terpasang. Kegelapan adalah jemputan buat gadis mancis. Tapi tak perlu risau.
Paling teruk hanya wajah pucat hodoh dengan tubuh basah kuyupnya saja yang
kelihatan. Keesokan harinya tuan rumah boleh lihat lantai mereka basah. Namun ada pantang yang harus
dipatuhi. JANGAN sesekali gunakan anak mancis ganjil. Mazuin mengeluh sejurus
itu. Cerita yang tak dapat dicerna akal seorang siswazah sepertinya.
“Kau pergi campak
mancis ni,” arah Biah. Lamunan Mazuin dicantas.
“Kita tak beli mancis
dengan air liur mak. Sayang kalau buang.” Mazuin membantah.
“Kalaulah nyawa boleh
beli dekat pasar, memang aku tak buang dah.”
“Kalau benda tu wujud
pun, apa yang dia boleh buat.”
“Kau jangan lancang
sangat Ma. Bertapis sikit. Buatnya dia tengah dengar.”
“Kenapa? Dia nak bunuh
kita. Hah… bunuhlah kalau berani.”
“Kau tak mahu, biar mak
yang buang.”
Biah mula bangun, tetapi
langkahnya terhenti. Mazuin menghalang.
“Biar Ma yang buang.
Nanti tak pasal-pasal mak demam kena hujan.”
Sebaik mancis di tangan
Biah diambil, Mazuin mula melangkah. Sempat di gores sebatang anak mancis. Dia
gembira melihat wajah pucat ibunya bertambah pucat. Sekurang-kurangnya dia
dapat menyakat ibunya. Angin kuat menderu masuk ketika pintu dikuak. Pastilah
malam ini ribut akan melanda. Mazuin hampir tergelincir ketika melepasi tiang
garaj. Mujur tangannya cepat berpaut pada tiang.
Mata Mazuin melilau
sejurus itu. Nafas keras kedengaran berbolak-balik dalam udara sejuk. Nafas
yang sedang menggigil. Seketika itu bau tipis belerang terbakar melular
memasuki lubang hidungnya.
“Bau apalah yang pelik
ni. Ah! Tak kisahlah.”
Mazuin terkejut.
Rasanya jantung dia boleh tercabut. Seorang budak perempuan dengan rambut
perang paras pinggang sedang mengerekot bersebelahan keretanya. Gadis itu
kesejukan. Sebuah bakul terisi dengan berkotak-kotak mancis ada
bersebelahannya.
“Adik ok?” aju Mazuin.
Gadis itu masih
menggigil kesejukan.
“Adik ok?” tanya Mazuin
lagi. Dia mula melangkah merapati. Matanya dibesarkan. Kawasan bersebelahan
kereta gelap kerana agak tersorok. Lebih gelap akibat langit hitam. Hujan pula makin
lebat.
Gadis itu mengesot
makin ke dalam, menghampiri dinding paling hujung.
“Jangan takut dik. Mari
sini,” pujuk Mazuin, tidak berhasil. Budak perempuan itu masih mengesot.
Nafasnya mulai lemah. Kemudian ketawa. Mulanya perlahan sebelum bertukar
nyaring.
Dari belakang bahu
Mazuin ditarik. Bila berpaling, ibunya cepat-cepat menarik lengannya sekaligus memaksa
dia ikut berlari ke dalam rumah. Dan pintu dihempas kuat sejurus itu.
“Apa ni mak. Nak
tercabut tangan Ma mak tarik.”
Mazuin mula melangkah
mahu membuka pintu.
“JANGAN!” jerit ibunya.
“Kenapa?”
“Tak ada apa-apa… Cuma…
Mak takut Ma demam.”
11
MALAM
“Ingat Ma, apa pesan
mak tadi. Jangan kau sahut atau tegur apa yang kau dengar, rasa atau lihat,”
pesan Biah.
“Tak habis-habis lagi
ke, mak ni.”
“Janji dengan mak!”
“Baiklah mak. Ma nak
naik tidur dulu.”
Sebaik berbaring di
atas kati, tangan Mazuin menekan-nekan punat telefon. Dia teruja menceritakan
kepelikan ibunya kepada Maria. Maria ketawa terbahak-bahak. Dia tidak percaya ibu
Mazuin sekolot itu. Perbualan mereka terhenti bila Mazuin tidak lagi membalas
masej Maria. Dia sudah tertidur.
“Meowwwww….”
Mazuin tersentak
mendadak dari tidur. Dia resah mendengarkan suara Tabby. Mungkin si kucing
parsi manja itu sedang bergaduh.
“Meowww…meowww…”
Suara Tabby makin
menyayat hati Mazuin. Kucing itu adalah keluarganya. Dia hairan kenapa ibunya
melepaskan Tabby malam ini. Difikir-fikir ibunya memang tidak sukakan Tabby.
Kata ibunya Tabby membuatkan rumah mereka berbau busuk. Tambahan pula bulu
Tabby melekat hampir ke segenap perabut.
“Mak ni, sanggup dia
biarkan Tabby di luar. Si Tabby tu sudahlah manja. Nampak gaya aku kena keluar
ambik Tabby.”
Bau nipis belerang
meyerbu masuk ke hidung sebaik pintu bilik dibuka. Kedengaran juga suara budak
perempuan sedang membilang sesuatu. Diikuti jeritan Tabby. Mazuin pasti
kucingnya sedang mengerang kesakitan.
Mazuin petik lampu,
namun tidak menyala. Dia hairan. Mustahil bekalan elektrik terputus. Kali ini
semua suiz dipetik. Ternyata bekalan elektrik benar-benar terputus.
“Menyesal tak bawa
telefon tadi. Ah! Tak apa.”
Dalam gelap Mazuin
meraba-raba. Mencari sesuatu. Akhirnya dia senyum bila terpegang sekotak mancis
yang tidak sempat dibuangnya petang tadi. Lebih tepat, mancis itu sempat
dimasukkan ke dalam poket seluarnya. Seterusnya dicari lilin. Tetapi gagal
dijumpai. Jadi dia putuskan akan menyalakan anak mancis secara bergantian
apabila padam. Tiba-tiba dia teringatkan pesanan ibunya.
“Mengarutlah. Mana ada
gadis mancis.”
Sebaik anak mancis pertama
dinyalakan ketawa pecah dari halaman rumah. Mazuin yakin itu suara budak
perempuan yang tumpang berteduh bersebelahan keretanya petang tadi.
“Tak balik-balik lagi
budak ni. Jangan-jangan dia yang kacau kucing aku. Mesti baru pindah dekat
kawasan ni. Tak boleh jadi, silap haribulan mati Tabby. Anak sapalah yang jahat
sangat tu.”
Daun pintu ditolak
perlahan. Mazuin takut kalau-kalau angin kuat memadamkan anak mancis yang sedang
dinyalakan. Jadi dia melingkung anak mancis dengan tapak tangan. Mujur malam
ini bulan terang. Kelibat budak perempuan dalam simbahan cahaya sangat cantik
pada matanya. Tambah cantik bila rambutnya memantulkan kilauan cahaya. Tapi
Mazuin tahan nafas tiba-tiba.
Tabby masih
terjerit-jerit. Mazuin melangkah perlahan-lahan. Dia pasti Budak perempuan itu
sedang melakukan sesuatu kepada Tabby. Bau belerang dan hangit bercampur. Ada sesuatu sedang dibakar. Mazuin hampir
menjerit bila melihat budak perempuan itu sedang membakar bulu Tabby dengan
anak mancis. Satu persatu anak mancis dibakar dan disua pada bulu Tabby. Mazuin
pegun. Kakinya ketar. Tidak tahu mengapa. Sukar digambarkan samada dia marah, geram atau
ketakutan. Dia hanya mampu melihat tanpa bersuara.Seolah-olah dia telah diarah untuk menyaksikan kekejaman budak perempuan
itu.
Akhirnya Mazuin
tersentak bila jeritan Tabby makin nyaring. Dia mula bersuara dalam payah.
“Hey… Kau buat apa tu.
Lepaskan kucing aku. Pergi balik.”
“Haha…Kelakarlah, cara
kucing ni ketawa. Lepas ni giliran akak dengan perempuan dalam rumah tu pulak
ketawa.”
“Siapa suruh merayap
rumah orang malam-malam buta ni. Pergi balik.”
Kanak-kanak perempuan
itu mula mendongak, memandang Mazuin. Hampir pitam dia bila melihat bola mata
kanak-kanak itu berapi-api. Dia cuba menjerit. Namun kanak-kanak itu terapung
lalu meletakkan jari pada bibirnya.
“Ssss… Bila mancis
digores, yang ganjil adalah aku.”