“Ini dunia, bukannya syurga di mana segala kemahuanmu akan
dituruti dan dipenuhi tanpa batasan.”
“Ini dunia, tempat di mana kau akan dicantas dan terus
dicantas sehingga tidak lagi mampu berdiri. Tetapi teruslah berdiri dan melangkah
kerana kasih sayang ALLAH sentiasa bersamamu. Dia sedang memerhatikan ketabahan
hambaNya. Tak malukah kau mengalah di depan TUHANmu sendiri? TUHAN yang telah
menyukat kemampuanmu untuk sesuatu dugaan.”
Masih tergiang-ngiang bisikan itu,
di telinga Sufie. Bisikan daripada seorang teman lama, yang dia sendiri tidak
tahu di manakah? Bagaimanakah? Dan siapakah? Orangnya. Dia masih ingat yang
temannya itu ada tanda pada lengan dan itu sahajalah yang mampu diingati,
kerana yang lain kelihatan kabur, seolah berkabus. Dia sendiri tidak tahu
mengapa kenangan itu begitu sulit untuk dicerna.
Dia duduk memeluk kedua lutut.
Telekung solat masih belum ditanggalkan, kerana tertidur. Gusar hati masih
belum sepenuhnya surut. Wajahnya sudah keruh seperti muara sungai yang
berkeladak. Belum dikira mata yang bengkak, melingkar hitam macam beruang
panda. Dia berfikir bagaimanakah cara untuk meninggalkan bilik itu tanpa
berwajah duka. Hari sudah siang, hendak atau tidak, terpaksa juga dia keluar
menunjukkan wajah.
“Muka cermin hati. Macam mana nak menipu, kalau hati
bergelora macam laut musim tengkujuh. Aku tak boleh mengalah. Mana boleh aku
tunjuk muka sedih depan Rijal. Nanti dia ingat aku tergila-gilakan dia.”Sufie renung lantai.
Tiba-tiba pintu bilik dikuak
seseorang. Sufie membesarkan mata dan mengukir senyuman palsu. Dia benar-benar
berharap lakonannya bakal berhasil. Terpancul Rijal dengan senyum meleret,
bahagia sekali lelaki itu. Mek yang berdiri di sampingnya turut senyum.
“Awak! Puas saya cari, dekat sini rupanya. Wo ai ni. (saya cintakan awak)” Rijal bernada manja. Dia kemudian berpaling dan berkata
kepada mek.
“Untung sungguh saya, dapat wanita solehah sebagai teman
hidup. Pandai mek dan ayah didik anak. Kalau kat KL jangan haraplah nak jumpa
gadis macam ni.”
Mendadak mek ketawa, menyebabkan
Sufie sakit hati kerana ibunya sedang dipermain-mainkan Rijal. Giginya berlaga geram. Teringin dia
memberitahu hal sebenar, namun risau jika ibunya kembali berduka.
“Berani kau main-mainkan mek. Ya ALLAH dia sedang permainkan
ibuku.”Sufie menjeling geram. Rijal angkat
kening tanda tidak bersalah.
Sebaik mek berhenti ketawa, dia
merenung Sufie hairan. “Kenapa mata tu
sembab, kamu menangis Sufie?”Mek berpaling kepada Rijal penuh sangsi.
“Eh! Kenapa mek tenung Rijal macam ni… Rijal tak buat apa-apa.”
Rijal angkat bahu. Mek berpaling
pula kepada Sufie.
“Sufie Solat Sunat sampai ke pagi. Syukur akhirnya
berjodoh,”senyum tenang Sufie melegakan mek
yang sedang mengurut dada.
“Betul kana pa Rijal kata. Mek dengan ayah memang pandai
didik anak.”Rijal kenyit mata.
“Ada-ada saja menantu mek ni. Dah mari kita ke beranda makan
ubi kayu sambil tengok hujan.”
Mek mula melangkah. Rijal berjalan pantas mendapatkan Sufie. Dipegang tangan
Sufie, namun ditepis laju.
“Jangan sentuh saya! Berlakon pun ada hadnya.” Sufie separuh berbisik.
“Awak sedih kena cerai ke? Sekurang-kurangnya, awak
beruntung, merasa jugak dipegang lelaki, taklah kempunan sampai mati. Saya ni
dah dikira bermurah hati nak pegang tangan awak. Dekat luar saya beratur anak
dara nak suruh saya pimpin.”
Rijal mengusik, namun nadanya juga separuh berbisik.
“Kita bukan lagi suami, isteri ; HARAM.” Sufie menjerlangkan mata, menyebabkan Rijal ketawa besar.
“Marah! Perkara biasa saja. Tak luak pun kulit awak.” Rijal mempamirkan muka mengada-ngada.
“Biasa bagi awak, luar biasa untuk saya. Memang kulit saya
tak luak, tapi dosa saya bertambah.”
Sufie bernada tegas, namun tetap lembut bagi Rijal.
“Ala…Kampung sungguh awak ni. Tak payahlah nak tunjuk baik. Zaman
moden kenalah moden sikit. Orang kata ikut peredaran masa.”
“Orang kata atau nafsu yang kata. Jangan buat main soal
agama. Saya tak suka.”
Sufie melangkah keluar, diikuti
Rijal. Bila Sufie leka, diangkat kedua-dua belah jari dan diletakkan
berhampiran kepala Sufie, seolah-olah tanduk syaitan sudah tumbuh. Kemudian dia
ketawa geli hati. Sufie berpaling dan dia tersengih.
“Kah… kah… Lawak… lawak.”
“Apa yang lawak?”
“Awaklah.”
“Apa saya dah buat?”
tanya Sufie.
“Tak buat apa-apa.”
Rijal tersengih lalu ketawa lagi.
Malas melayan, Sufie kembali berjalan.
Wap berkepul daripada ubi kayu rebus
menjulang naik, lantas mengundang rasa lapar Sufie dan Rijal. Hujan masih
lebat, kaki tangga sudah digenangi air. Rijal teruja kerana belum pernah dia
merasai suasana begitu. Hidupnya di kota mewah, Villa keluarga megah di atas
bukit. Musim hujan atau tidak, semua sama. Rumahnya tetap selesa biar hujan
atau pun panas kerana ada pemanas dan pendingin udara, suhu rumah boleh
diselaraskan dengan mudah. Malah untuk ke mana-mana juga senang, hanya perlu
memandu kereta mewahnya. Jika keletihan, driver keluarga sudah tersedia.
Rasa lapar Rijal hilang entah ke
mana bila melihat air menghanyutkan
selipar mahalnya. Dia yang mulanya hanya
mahu menyelamatkan selipar akhirnya bermain air di kaki tangga dengan gembira,
seolah-olah dia lupa Sufie sedang berduka. Seolah-olah dia lupa, dia telah
mengkhianati hati seorang gadis. Afiena memandang meluat. Baginya kelakuan
Rijal itu, tiada beza dengan kelakuan anak-anaknya bila bertemu air. Kamarul
pula sedang sibuk membaca akhbar.
“Nak main. Nak main. Pak long Akim nak main,”jerit Akim sambil terlompat-lompat.
Rijal menggamit tangan, memanggil
Jemi dan Hakim.
“Yeh… Yeh. Boleh main air.”Serentak itu kedua beradik berlari. Maka makin gamatlah
suasana. Sesekali percikan air mengenai Kamarul yang sedang ralit membaca
sekaligus mengggangu tumpuan.
“Aik…aik… karang papa terjun main air sekali. Papa pun tak
mandi lagi ni.” Seperti biasa Kamarul buat lawak.
“Dah kenapa dengan suami kak long tu? Buang tabiat?”omel Afiena.
“Biarlah Fiena. Sekali-sekala buang tabiat apa salahnya.
Kelakar kan?” aju Sufie. Nadanya ceria yang
sengaja dibuat-buat.
Sekarang Rijal bertambah gila,
dicantas daun keladi gergasi, kemudian dia berlari-lari di perkarangan rumah.
Afiena mula menjerit nyaring bila anak-anaknya juga mula ikut serta. Pak Awi
yang melihat senyum lalu mula berkata ketika Rijal kembali ke kaki tangga.
“Selalunya, kalau kaki tangga ni tenggelam, bermakna
jambatan ke Kampung kita sudah ditenggelami air.”
“Tak mengapa ayah, saya bawa pacuan empat roda. Pasti lepas
seberangi jambatan. Lagipun tentu mama dah tak sabar nak jumpa Sufie.”Rijal berkata sambil mengharungi air di kaki tangga. Dia
mula menggigil kesejukan.
“Lori balak pun sangkut, ini kan pula pacuan empat roda. Air
sungai deras. Bila musim begini, banyak papan jambatan yang tanggal. Kalau
tergelincir macam mana?” Kamarul
bersuara, dilipatnya akhbar yang selesai dibaca. Dia kemudian senyum lalu
mengusik.
“Kena honeymoon di sini lagilah jawabnya. Tunggu lusa
baru air surut. Itupun kalau hujan berhenti esok.”
Sufie dan Rijal tersentak serentak.
Namun maksud sentakan mereka adalah berbeza. Bagi Sufie sentakan itu bermakna,
dia terpaksa menipu lagi. Dan bagi Rijal, sentakan itu bermakna semakin lamalah
dia perlu menunggu untuk mendapatkan ganjaran yang dijanjikan ibunya iaitu
Datin Abda. Kedua-duanya berwajah murung.
“Jangan sedih, nanti mek telefon ibu kamu. Dia tentu faham.”
Namun Sufie dan Rijal masih berwajah
suram, sesuram mendung yang menyelimuti langit ketika itu.
“Hari ini, Sufie akan masak asam pedas keladi. Air tangan
dia boleh tahan sedap. Kamu mesti cuba Rijal.” Mek mengerling kepada Sufie dan beralih pula kepada Rijal.
Wajah suram Rijal bertukar nakal,
entah kenapa dia begitu terhibur mengusik Sufie. Tetapi itu bukanlah bermakna
dia mencintainya.
“Hebat…Hebat...Tak sabar rasanya nak try, mesti
sedap, pasti hebat. Sudahlah pandai memasak, cantik pula tuannya.”
Sufie kembali geram. Mungkin bagi
keluarganya Rijal ikhlas berkata, namun yang sebenarnya kata-kata itu tidak
lebih daripada dusta. Sesekali Afiena memandang tajam kepadanya, seolah-olah
telah menghidu sesuatu. Cepat-cepat Sufie kembali senyum dan membutangkan mata.
Dia tiada pilihan, selain teruskan permainan itu. Di dalam hati dia bersuara. “Ya ALLAH ampuni aku, jika penipuan ini
menyebabkan Engkau murka, namun tiada niat lain, selain menjaga hati dan nama
baik kedua orang tuaku.”
Rijal masih menggigil di kaki
tangga. Dia sudah tidak mengharungi air lagi, begitu juga dengan anak-anak
Afiena. Mek jeling tajam pada Sufie, bingkas dia bangun masuk ke dalam dan
keluar sejurus itu. Sehelai tuala disuakan kepada Rijal.
“Abang kena mandi, nanti demam,” lembut Sufie bersuara, namun matanya lari sebaik bertembung
dengan mata Rijal.
“Terima kasih sayang sebab prihatin.” Rijal menjawab manja menyebabkan Sufie meluat tiba-tiba
dengan kepura-puraan itu, namun mek dan Pak Awi gembira bukan kepalang melihat
keharmonian mereka berdua.
“Mek, ayah. Sufie ke dapur dulu. Nak masak,”bingkas Sufie berpaling lalu menghayun langkah. Manakala
Rijal tersengih kerana dapat mengusik.
Rijal masih mampu tersenyum dan
ceria kerana baginya hal perceraian itu adalah perkara remeh, bagai gigitan
semut kecil yang tidak akan memudaratkan sesiapa. Malah di bandar pasangan
berkahwin pun sudah ramai yang berlaku curang. Dia senyum sinis memikirkan
betapa kolot pemikiran Sufie. Baginya cinta sejati tidak pernah wujud, hanya
cinta yang berlandaskan nafsu dan kepentingan sajalah yang benar. Akalnya
mencerna lagi, mana mungkin akan wujud
cinta tanpa syarat, itu semua pemikiran bodoh.
Ketika Sufie sedang ralit memasak,
Afiena muncul sendirian bersama beberapa ekor ikan air tawar. Wajahnya penuh
curiga, malah hatinya kuat mengatakan kakak kesayangannya itu sedang berduka.
“Tengok apa Fiena bawa! Keli bunga. Goreng berempah sedap ni.
Kena pula dengan asam pedas keladi kak long. Terangkat habis. Jangan lupa
sambal belacan.” Afiena menabur garam ke atas keli,
agar cepat mati.
“Ada terung dengan jantung pisang mek bawa balik semalam.
Celur cicah budu mesti sedap. Fiena celurkan. Ya,”pinta Sufie tanpa berpaling.
Terkial-kial dia membaca resepi pada
peti sejuk, masih ada sebahagian cara penyediaan yang tidak diingat. Afiena
mengeluh kecil bila rasa hatinya makin kuat menyatakan kakaknya berduka.
“Fiena mengeluh ke? Tak baik sayang,”lemparan senyuman Sufie menguntum senyum Afiena seketika.
“Ada sesuatu yang kak long mahu kongsi dengan Fiena?” Soalan yang ditanya menorah hati Sufie. Adakah patut dia
berterus terang atau berbohong? Kebetulan Rijal yang baru selesai mandi dan
mahu melewati bahagian dapur turut terdengar pertanyaan Afiena. Dia jadi risau.
Risau jika ibunya iaitu Datin Abda akan tahu dan tentulah saham yang dijanjikan
akan hilang begitu sahaja. Dia bersembunyi di balik pintu, cuba mencerna isi
perbualan dua beradik itu.
Jika diikutkan hati mahu sahaja dia
mencantas perbualan mereka, namun dia faham benar sikap Afiena yang tidak mudah
mengalah. Tentu kehadirannya akan menambah sengketa di antara mereka berdua.
Wanita garang itu saling tak tumpah seperti ibunya, manakala kakaknya mewarisi
pekerti ayahnya. Sentiasa tenang dan lembut tutur katanya.
“Kak long tak bahagia, betul ke tak?” desak Afiena.
Sufie membisu. Tidak tergamak untuk
menipu. Tetapi jika berterus terang, pastilah Rijal akan diserang oleh Afiena
dan segala yang cuba disembunyi akan terbongkar. Selepas itu pastilah maruah
keluarga mereka akan dihinjak-hinjak penduduk kampung. Semakin pantas tangan
Sufie mengodek asam pedas keladi, dia berharap soalan Afiena akan berakhir di
situ. Namun Afiena tetaplah Afiena, seorang wanita yang tidak mudah diendahkan
kemahuannya.
“Kak long, Fiena tanya ni. Kalau kak long keberatan, nanti
Fiena tanya abang long sendiri.”
“Apa dia Fiena. Nanti-nantilah kak long tengah masak.” Sufie bersuara lembut.
“Kita macam belangkas sejak kecil. Semua gerak-geri kak long
Fiena boleh baca. Apa abang long dah buat pada kak long?” Fiena terus mendesak, namun nada suaranya masih lembut.
Tidak pernah sekali pun dia meninggikan suara kepada Sufie.
“Buat apanya. Tak manis kak long cerita hal suami isteri
sebarangan. Maruah abang long kenalah dijaga.” Sufie berharap pembohongan itu akan berjaya, namun
sebaliknya.
“Lelaki tak guna tu sakitkan hati kak long, ya. Dasar lelaki
jahat.” Afiena masih tidak berpuas hati.
“Kak long bahagia. Tak perlulah Fiena risau. Kalaulah orang
dengar, nanti ingat kak long bergaduh pula.”
Terkedu Rijal di belakang pintu.
Tidak disangka mulut Afiena setajam belati yang menghiris. Saat itu dirasakan
dialah lelaki paling jahat. Bila dikenang apa yang telah berlaku ketika malam
pengantin itu, ternyata gelaran itu padan dengannya.
Sebenarnya sudah acap kali dia
digelar lelaki jahat, nakal, playboy dan gelaran lain yang tidak sedap
didengar. Namun dia tidak menjangka akan mendengar panggilan itu daripada mulut
bekas adik iparnya sendiri. Dia mengeluh sendirian.
“Jahat sangat ke aku, sampai semua orang kata benda serupa.” Rijal mendengus kasar.
“Afiena!”
Sufie mengalirkan air mata, namun masih tenang. Afiena terkedu. Mungkin kata-katanya
benar-benar melampau sehingg kakaknya menitiskan air mata. Rijal di belakang
pintu turut kelu. Perasaan bersalah bercampur, di antara kasihankan Sufie
dengan kemewahan yang dikejar. Sungguhpun begitu dikeraskan hati agar tidak
mengalah.
“Aku mengalah! Tak mungkin…Tak mungkin. Perempuan yang akan
layu di tangan aku, bukan aku.”
Rijal berbisik sendirian, menenangkan hati.
Sufie kembali bersuara, Rijal
kembali memasang telinga. Entah mengapa kata-kata Sufie kali ini menyadap hati,
melumpuhkan ego lelakinya. Ego yang selama ini dianggap raja. Hatinya menjadi
sayu serta-merta.
“Kak long yakin dia seorang lelaki yang baik. Fiena tengok
bukan, betapa gembira dia bermain air, bergelak ketawa dengan Jemi dan Akim.
Itu dah cukup bagi kak long untuk mengatakan dia lelaki yang baik. Kak long
yakin, dia mempunyai hati yang suci. Hati yang
akan dikongsi dengan seseorang yang dia cintai tanpa syarat.”
“Baik sampai sanggup lukakan hati kak long? Jangan cepat
menilai orang kak long, nanti menyesal. Silap-silap haribulan kena…” Kata-kata Afiena terhenti apabila Rijal melangkah masuk.
“Sayang, kenapa mata awak berair?” Rijal muncul mengejut, mematikan perbualan kedua beradik
itu. Dia menarik hujung tuala yang melingkar di leher dan cuba menghapuskan air
mata Sufie, namun Sufie berundur setapak ke belakang, membuatkan kening Afiena
terangkat curiga. Sufie yang menyedari renungan tajam Afiena cepat-cepat
berkata.
“Jangan! Badan saya melekit, nanti kotor pula. Pergilah
salin pakaian dulu. Nasi dah masak, tinggal nak hidang saja.” Pantas Sufie berpaling lalu menceduk asam pedas keladi.
“Awak, kenapa menangis? Saya ada lukakan hati awak ke?” Rijal serba-salah, macam mahu meluahkan permata dari mulut.
Terasa janggal. Dia pelik bagaimana ayat itu sukar untuk disebut sedangkan sebelum
ini ayat itu adalah mainan bibir.
“Awak suami yang baik. Lelaki yang berhati penyayang. Cukup
sempurna.” Sufie menjawab tenang. Sedaya upaya
disembunyikan rasa hati, tidak mahu dilihat lemah.
“Awaklah yang cukup
sempurna sebenarnya. Mungkin saya yang tak sempurna.” Ah! Kata-kata yang tidak dirancang itu meluncur laju. ‘Gila mana mungkin dia lebih sempurna dari
kau.’ Akalnya mencantas kata hati.
Rijal berlalu pergi. Rasa sesal
menusuk bagai jarum. “Macam manalah aku
boleh sebut ayat-ayat pelik tu.
Mesti dia ingat aku dah menyesal. Sorry. Kau ingat senang-senang aku nak tunduk
dekat orang macam kau.”
Afiena datang dari arah belakang
lalu dipeluk Sufie, sehingga terasa tulang-temulang kakaknya. Dia berkata.
“Jika ada perkara yang paling menyakitkan ialah ketika kak
long disakiti, dan jika ada perkara yang paling mengembirakan adalah ketika kak
long gembira. Maafkan kebiadapan Fiena tadi.”
“Tak apalah. kak long tahu Fiena risau. Tapi percayalah kak
long dah cukup dewasa untuk menjaga diri, Ini bukan lagi zaman sekolah. Fiena
tumpukan saja perhatian pada keluarga. Hal kak long, InsayALLAH, pandailah kak
long uruskan.” Sufie meramas-ramas lengan Afiena.
“Kak long maafkan Fiena tak.”
“Nak maaf kena ada syarat tau.” Sufie berseloroh sambil menyeka air mata terakhir.
“Kena syarat jugak ke? Kira pengeras lah ni ya.” Afiena melayan angin Sufie.
“Lebih kurang lah tu.”
“Apa syaratnya. Tuan puteri.”
“Tolong kak long hidang nasi. Lepas tu panggil semua makan.
Kak long nak ke surau, ada talaqqi.”
“Masih belum habis lagi.”
“Hari ni belajar qiraah sab’ah.”
“Tak makan sekali?”
“Tak, masih kenyang.”
Sufie tidak turut saat menjamu
selera, kerana dia masih kekeyangan. Itu apa yang dikata. Entah apa dimakannya
Afiena tidak tahu. Tetapi hatinya kuat mengatakan ia pasti berkaitan dengan
Rijal. Ditenung geram lelaki itu, mahu sahaja disepak-sepak muka lelaki yang
telah melukakan hati kakaknya. Bukanlah niatnya untuk menyibuk, namun dia cukup
kenal dengan sikap kakaknya yang tidak mudah berwajah muram, kecualilah jika
perkara itu betul-betul merungsingkan hati.
Rijal tidak menyedari yang Afiena
sedang merenung marah. Dia begitu bersungguh-sungguh menjamah nasi berlaukan
asam pedas keladi. Sudah acap kali dia makan asam pedas keladi, namun air
tangan Sufie amat berlainan. Sukar untuk dia nyatakan melalui kata-kata, apakah
kelainan itu. Namun hatinya sudah merakam setiap rasa itu. Mek senyum bangga
bila melihat kesungguhan Rijal menjamah. Pak Awi sudah dua kali menyenduk nasi
untuknya. Tetapi baginya, itu belum cukup untuk menandingi kegilaan meratah
asam pedas keladi itu.
“Pernah dengar petua orang dulu-dulu tak? Kamarul membuka cerita, namum masih tidak dipedulikan
Rijal. Dia begitu asyik dengan asam pedas keladi.
“Petua apa pulaknya? Ayah nak dengar juga.” Pak Awi mengusik mesra.
“Ikut kata mak saya. Sekali makan masakan orang yang ikhlas
mencintai kita, sampai mati tak lupa.”
“Maksud Kamu?”
Rijal berminat.
“Maksudnya ialah.”
Kamarul membuat gaya persis seorang pensyarah. “Andai kata, jika takdir Allah memisahkan Rijal dengan Sufie.”
“Cakap yang bukan-bukan. Hujan tengah lebat sekarang. Tahu
tidak, salah satu waktu paling mustajab untuk berdoa ketika hujan turun. Nanti
tak pasal-pasal masin mulut kamu, haru satu kampung.” Mek bersuara garang.
“Contoh sahaja mek. Janganlah marah.”Kamarul bernada memujuk dan ibu mertuanya kembali tenang.
“Sambungan cerita tadi! Bermakna jika terpisah sepuluh tahun
sekalipun, hanya dengan merasa masakan itu Rijal akan terbayang dan tahu itu
adalah masakan Sufie. Salah satu tanda Rijal telah jatuh cinta pada Sufie.
Sekian terima kasih.”
Rijal ketawa lucu. Baginya perkara
itu adalah mustahil. Manakan tidak,dia yang sering dikejar gadis-gadis jelita
akan memilih gadis albino untuk dicintai. Sesuatu yang gila untuk difikirkan,
malah mustahil sama sekali. Dia benar-benar pasti petua itu hanyalah rekaan
orang-orang tua, sekadar hiburan semata-mata.