Papan tanda kecil, tertera ‘Italia
Pasticceria Café’ semakin jelas tulisannya berbanding kelmarin. ‘Welcome’
Perkataan itu seakan-akan tersenyum dan mengalu-alukan kedatangan sesiapa
sahaja.
Dia benar-benar berdiri di hadapan
kafe itu, bahagian luar yang bernuansa Istana Alhambra yang cukup terkenal.
Istana yang pernah dianggap bangunan paling indah di dunia, terletak di atas
sebuah bukit Sierra Nevada. Bunyi air pancut dengan seni bina Granada juga
begitu memukau, menjadi halwa telinga dan mata. Jubin-jubin yang tersusun kemas
dengan warna tanah itu sedang memagari pancutan air. Kiambang dan kemunting
melata di permukaan air, menambah kecerdasan fikiran.
Sufie melangkah berhati-hati,
dirasakan daya penglihatannya semakin berkurangan semenjak akhir-akhir ini. Dia
sedang berlegar di anjung kafe yang masih mengekalkan ciri Andalusia, tetapi
didominasi elemen Melayu asli dengan penggunaan kayu cengal dan meranti.
Tentulah pelaburan yang besar diperlukan untuk menyediakan kafe sehebat ini.
Hanya sebentar berlegar, kemudian
dia melangkah masuk ke ruang utama kafe.
Lantai ruang utama kafe pastri itu
keseluruhannya dilapisi lantai kayu lamina, berwarna rosewood. Hampir
keseluruhan ruang utama kafe itu berwarna asli daripada kayu yang hanya disapu syelek
untuk membangkit warna dan menjaga ketahanannya. Pada dinding pula tergantung
pelbagai jenis gambar pastri yang amat mengecurkan liur. Di atas setiap meja
dihiasi sekuntum mawar merah segar yang dimasukkan ke dalam pasu kecil.
Mungkin sudah tiba masa untuk dia
menukar kaca mata baru. Langkah masih dihayun kecil dan berhati-hati.
Kedengaran suara-suara sumbang, dia tetap melangkah. Mungkin kerana sudah
terbiasa dengan situasi itu.
Rata-rata yang mengitari ruang utama
kafe adalah gadis-gadis cantik dan berpakaian agak seksi, malah staf jururawat
muda juga berada di situ. Ada sesuatu yang menyebabkan mereka berkerumun.
Bau garing dan wangi roti dan pastri
yang baru dibakar terbit, mengusik perut yang sedang lena. Sebuah rak kaca
bertutup, panjang dan melintang di hadapan kaunter menarik perhatian Sufie.
Dipenuhi kek-kek dan pastri yang begitu halus dengan seni hiasan. Pastilah
sesiapa sahaja akan terliur melihat, terutama campuran potongan strawberi,
kiwi, mangga dan limau gedang yang melingkari permukaan tat buah.
Suasana yang agak tenang, bertukar
tegang. Bukanlah kerana pergaduhan, tetapi sesuatu telah menarik perhatian
hampir kesemua gadis di situ. Bibir mereka berebut-rebut menghadiahkan senyuman
buat lelaki yang baru sahaja muncul dari dapur.
Sufie ikut senyum. Bukan kerana
terpikat, tetapi kerana dia kenal lelaki itu.
“Corrado. Ada madu rupa-rupanya.
Patutlah semua kupu-kupu berkerumun. “ Senyuman Sufie makin melebar. Tanpa
disedari senyuman itu sangat dinanti-nantikan oleh Corrado. Hampir semalaman
dia diburu senyuman berhantu itu.
“Sufie… Buongiorno!” ‘Selamat
pagi’ Corrado menjerit riang. Pantas gadis-gadis di situ berpaling ke arah
Sufie, kemudian kembali memandang Corrado.
Corrado melambai, kemudian melangkah
laju. Suasana yang sepi kembali tegang, wajah-wajah kehairanan begitu jelas
kelihatan. Mungkin tidak percaya yang mereka telah dikalahkan oleh seorang
gadis albino.
“Err… Siapa nama awak? Alamak! Saya
dah lupalah.” Sufie bertanya lembut.
Wajah Corrado mencemik, seribu
kahampaan berpilin dan bertindih. Mahu sahaja dia memekik mengatakan betapa
hampa hatinya bila Sufie tidak ingat namanya, sedang nama Sufie tidak sesaat
pun dilupakan.
“Corrado… Ya, Corrado. Saya ingat
nama tu, saja mengusik awak. Jangan marah, nanti kena jual.” Sufie senyum nipis
dan Corrado tersihir oleh senyuman itu.
“Seperti dijanjikan, saya datang
untuk temuduga. Bos awak ada?” Sufie memanjangkan leher mengintai-intai,
mencari-cari kelibat lelaki yang mungkin sedang memakai topi koki dan baju double
breasted, namun tidak kelihatan. Yang sedang kelihatan dengan nyata adalah
mata-mata yang sinis menjeling ke wajahnya. Dia menjadi malu sejurus itu. Rijal
melihat pipi Sufie yang merona merah. Dia faham, kerana dia juga melihat
jelingan-jelingan menghina itu.
“Kita ke anjung. Kamu akan
ditemuduga sekarang. Dekat luar udara segar, nanti awak dapat berfikir dengan
lebih bagus.” Lelaki bermata hijau laut itu, lalu melangkah diikuti Sufie.
Tambah geram gadis-gadis yang memandang. Mereka juga berharap yang mereka
adalah Sufie.
Bila menghampiri meja berhampiran air
pancut, Corrado menarik kerusi lalu mempersilakan Sufie duduk, namun ditolak
dengan satu senyuman manis. Corrado terpana seketika.Ya, dia benar-benar telah
jatuh cinta dengan senyuman itu.
Mata-mata menjeling dari ruang
utama, seakan-akan mahu terkeluar. Manakan tidak, ada di antara mereka sudah
mengunjungi saban hari ke kafe itu semata-mata mahu dipersilakan duduk oleh
Corrado. Namun lelaki berambut coklat dan berkumis nipis itu tidak pernah
seghairah pagi ini.
“Bos awak mana? Saya tak nampak dari
tadi, Kalau diterima boleh saya mula kerja hari ni?” Sufie separuh berbisik.
“Kenapa nak kerja hari ni?” soal
Corrado. Dia juga berbisik, sengaja mengusik Sufie.
“Awak tahu bukan. Saya baru kena rompak.
Jika saya kerja hari ni, dapatlah saya guna duit upah untuk beli makanan.”
“Oh! Hampir saya lupa. Maaf. Tunggu.
Saya panggilkan bos?” Corrado berlalu laju.
Beberapa orang gadis berwajah masam
melintas, mereka memendam dendam kepada Sufie.
Angin menyapa lembut. Sufie
senyum lagi sehingga tidak disedari Corrado muncul. Dia menatang dulang berisi
sepotong Lemon Cheese cake, dua cawan kopi dan sebungkus biskut yang
amat dikenalinya.
"Saya lah jurutera kafe
ini. Saya tahu awak mesti terpegun dengan konsep yang saya cuba tonjolkan. Tak
perlu jawab sebab gerak-geri awak dah menjawab semua soalan itu.” Corrado
pantas meletakkan piring berisi potongan kek keju lemon di hadapan Sufie.
Pantas dan cermat dia melakukan kerjanya.
“Italian bocconotti cookies!
Wah langkah kanan saya hari ni. Memang semua yang dipanggil temuduga akan
dilayan begini, atau hari ini hari istimewa saya?” Senang hati Sufie bila
melihat Italian bocconotti cookies.
“Mesti awak belum makan. Kejam pulak
kalau ditemuduga dengan perut kosong. Lapisan layer kek agak masam, saya beri
awak cuba kek keju lemon yang saya cipta.”
“Wah! Tentu kek ni popular.”
“Tapi malang, seribu kali malang. Baru
semalam kek ini saya cipta. Awak orang pertama yang rasa, tahu tak? Saya nak
minta pendapat awak.”
“Boleh... Saya akan bagi komen
terbaik yang saya mampu beri. Biar saya rasa dulu.”
Selepas memuji Zat ALLAH, kek keju lemon
itu disuapi ke mulut. Dia berwajah mencuka, kemudian mencemik dan akhirnya
senyum. Diulang-ulang perkara yang sama tiga kali.
“Masam... Dan masam.”
Corrado tidak menyangka Sufie tidak
menyukai rasa kek lemon itu. Dia benar-benar berharap dapat mendengar sekali
lagi pujian daripadanya.
“Saya ingat awak suka. Tekaan saya
meleset nampaknya. Aduh! terpaksalah saya ubah semula resepi asal."
“Sabar! Saya belum habis cakap lagi.
Yang tadi hanya intro.” Sufie memalingkan wajahnya bila ditenung hebat oleh
Corrado. Tidak pernah seorang lelaki merenung dia sebegitu, malahan dia sendiri
tidak selesa ditenung begitu.
“Ya, saya masih bersabar.
Teruskanlah komen.” Corrado mendekatkan wajahnya ke hadapan. Makin teganglah
suasana di ruang utama kafe.
“Jangan tenung saya begitu, saya
segan.” Polos Sufie berkata.
“Maaf. Saya jadi teruja itu sahaja.”
“Tak apa.” Sufie kembali memalingkan
wajah, namun tidak dipandang tepat wajah Corrado. Hanya sisi pipinya yang
dipandang.
“Memang kek awak masam, tetapi masam
yang memaniskan hati. Sebab sesiapa yang beli kek keju lemon ni, pasti akan
beli lagi. Rasa masam kek awak dapat seimbangkan rasa manis dan lemak
keju . Hanya orang bijak dapat mencipta sesuatu yang bijak. Mungkin awak salah
seorang darinya.”
“sinceramente. Non mi aspettolod?
Awak ikhlas. Saya tak harap pujian kosong?” Corrado bertanya mengharapkan
kepastian. Matanya terbuka luas, seluas senyuman yang melingkari bibir
merahnya.
“Setakat ini, itulah yang saya rasa.
Mungkin untuk jawapan yang lebih tepat, kena tanya bos awak.” Sufie menjawab
tenang.
“Hoorey… Hoorey... Horey!” Corrado
meloncat-loncat riang. Apron ditanggal dan dipusing-pusing seperti gaya koboi
memusing tali. Dia benar-benar gembira.
Seisi kedai terhenti seketika. Ada
yang menyangka Corrado sudah gila, ada yang geli hati, ada yang bersyukur dan
ada yang menjeling benci.
Bagi yang beranggapan dia gila
kerana mereka tahu yang Corrado jenis pendiam dan hanya berbicara jika perlu.
Bagi yang geli hati kerana mereka boleh melihat sisi sebenar Corrado yang
ceria, begitu juga yang bersyukur kerana Corrado akhirnya mampu senyum ikhlas
tanpa dipaksa. Bagi yang menjeling benci, sudah tentulah kerana dengki akan
Sufie yang dilihat sebagai pesaing hebat. Hati mereka jika dapat dilihat, sudah
tentu sedang mendidih dan melepaskan wap kebencian.
“Sudahlah Corrado. Pelanggan sedang
perhati kita.”
“Biar mereka perhati. Apa yang
penting saya sangat gembira. Rasa nak peluk awak.” Corrado mendekati, cuba
memeluk.
“Jangan! Saya bagi amaran, jangan
sesekali awak berani peluk saya.” Sufie bingkas bangun, berundur dan mengitari
meja makan.
“Saya tak boleh tahan perasaan
gembira ini. Oh! Sufie kalaulah saya dapat cari satu perkataan yang dapat
mengambarkan perasaan saya. Tapi saya tidak menjumpai satu pun perkataan yang
dapat menandingi perasaan ini. Jangan lari! Saya tak kira, apa pun yang berlaku
saya tetap akan peluk awak.” Corrado senyum nakal, mengangkat kening dan semakin
merapati Sufie.
“Jangan saya kata. Saya orang Islam.
Tak halal jasad saya untuk awak.” Sufie masih berundur.
Gadis-gadis yang tadinya memerhati
dari jauh datang mendekati, memerhati dari dekat. Wajah mereka seperti udang
dibakar. Cemburu yang sudah meluap-luap, menanti masa untuk meletus. Pesakit
dan sesiapa sahaja yang lalu di situ turut berhenti melihat kejadian itu.
Mereka bingun adakah itu hanya gurauan sepasang kekasih atau persembahan untuk
menarik pelanggan ke Italia Pasticceria Cafe? Tanpa disedari seorang
lelaki memerhati dengan geram. Wajahnya menyinga marah. Kaca matanya dibetulkan
beberapa kali, dia mendengus kecil lalu berlalu pergi.
“Jadi halal untuk siapa? Bagi tahu
saya, lelaki mana yang boleh peluk awak?” Corrado semakin menghampiri Sufie.
Mungkin angin gembiranya sudah bertukar gila. Sudah dia putuskan, mahu atau
tidak Sufie harus dipeluk. Tanda terima kasih atas kegembiraan yang sedang
dirasai sekarang.
“Suami! Hanya suami saya yang layak.
Lelaki yang halal saya nikahi.” Sufie bernada tegas. Dia masih mengitari meja,
wajahnya cemas, sedikit pucat. Tidak disangka perkara itu akan berlaku. Paling
memalukan bila ramai yang memerhati. Oh, alangkah malunya.
Hendak diletakkan ke arah mana
mukanya itu? Kiri dan kanan, depan dan belakang sudah dikitari orang.
Corrado berhenti mengejar. Ditenung
hebat wajah Sufie. Ah, sekali lagi lelaki itu merenungnya begitu. Dia menjadi
resah, namun hanya sedikit resah.
“Saya mahu jadi lelaki halal yang
awak maksudkan. Jadilah isteri saya!” Corrado bersuara lantang, menunding jari
telunjuk ke arah Sufie. Seisi kedai sepi.
Malah yang paling sepi dan terkejut, tentulah gadis-gadis yang saban hari berusaha mengorat Corrado. Masing-masing terlopong dan ternganga. Ada yang menampar pipi sendiri. Tentulah mereka naik pelik bin ajaib bila gadis albino dapat menandingi kejelitaan dan kemugilan tubuh mereka.
Wajah sufie kelat. Dia bungkam, mahu
ditampal dengan apakah perasaan malunya itu? Di manakah mahu disorokkan
wajahnya itu? Oh, tiada satu tempat yang mampu menyorokkan perasaan malunya
ketika itu. Pastilah orang-orang yang sedang melihat akan menjaja pula kisah
itu. Mulut manusia tidak dapat ditutup.
“Tolong jangan bergurau yang
bukan-bukan. Malu saya! Sanggup awak
layan saya macam ni.” Sufie bertegas. Corrado diam, bukan kerana takut akan
ketegasan Sufie. Tapi kasihan melihat wajah malunya. Kulit putih gadis itu
merah padam, senyuman indahnya turut padam berganti kelat. Dan itulah
sebenarnya yang menakutkan Corrado, bila bibir Sufie tidak lagi menguntum
senyum.
“Sudah... Sudah... Semua boleh
bersurai dan menjamu selera seperti biasa. Tadi hanya temuduga untuk melihat
reaksi pekerja baru kafe ini. Kami memerlukan krew yang bermoral tinggi dan
mampu bersabar dengan kerenah pelanggan yang miang.” Suara lantangnya dilantun,
bergema kedengaran.
“Kamu lulus temuduga ini. Boleh
bermula esok pagi. Jangan lupa biskut untuk dibawa pulang.”
“Terima kasih. Jadi ini kafe awak?”
Sufie lega. Ternyata apa yang ditakutinya hanyalah satu temuduga yang sudah
dirancang.
“Bukan, saya pekerja biasa
saja. Kebetulan bos cuti, jadi saya kena kendalikan temuduga awak.” Kening
diangkat. Corrado senyum bangga.
“Boleh saya mula kerja sekarang.
Saya memang betul-betul nak kerja hari ni.” Sufie merayu.
“Mustahil. Undang-undang kafe kena
ikut. Tak dibenarkan pelatih bekerja pada hari pertama temuduga.”
“Tapi saya sanggup kerja sekarang
juga. Mungkin undang-undang tu boleh diketepikan seketika.”
“Saya juga harap perkara yang sama,
memandangkan kami memang kekurangan krew.” Corrado senyum nipis.
“Bermakna saya boleh mula kerja
sekarang.” Sufie teruja. “ Ada juga rezeki aku. Alhamdullilah, hari ini dapat
aku beli makanan.” Sufie berkata kecil dan pastinya tiada yang mendengar apa
yang dikatakan.
“Tapi sayang. Undang-undang tak
boleh dibuat main. Undang-undang dicipta untuk dipatuhi, bukan dilanggar. Maaf
saya tak bolah bertolak ansur.” Corrado berwajah kecewa, begitu juga Sufie.
“Rozita!” Corrado memanggil salah
seorang krewnya. Seorang gadis, lebih muda daripada Sufie berlari bersama
sebuah beg plastik.
“Sebagai krew baru, saya mahu kamu
menjiwai semangat kafe ini. Cara terbaik untuk menjiwai adalah melalui makanan.
Dalam beg plastik ini ada chicken parmigiana, fettuccine alfredo, lasagna
dan pasta primavea. Kamu balik dan makan. Makanan tu cukup untuk kamu
hingga ke malam. Esok pagi-pagi, saya nak tahu pendapat kamu pasal makanan tu
semua.” Corrado melangkah meninggalkan Sufie.
“Saya masak khas untuk kamu, moga sesuai
dengan selera kamu. ” Corrado berkata-kata sendirian.
*****
Hujan lebat membawa bersama angin
segar, namun masih belum mampu melegakan pernafasan Pak Awi sekeluarga. Dalam
kesesakan nafas, mereka masih mengharapkan yang jenazah Sufie akan ditemui.
Jika tidak, Solat Jenazah Ghaib akan dilakukan.
“Apa pun keputusan, mek harap mayat
kak long kamu ditemui. Mek risau kalau kena hanyut ke laut.”
“Insya ALLAH mayat kak long dapat
dicari. Kita doa, mintak-mintak bomba jumpa mayat kak long.” Kamarul bersuara
lembut. Dia masih memerhati usaha mencari itu.
“Macam mana jika jenazah itu kena
baham buaya. Dekat hulu sungai, dengar cerita dah beberapa kali orang lihat buaya
timbul.” Mek bernada resah. Sukar sekali untuk dia memujuk hatinya.
“Issh… Baik awak berdoa, dari duk
melayan perasaan awak yang tak menentu. Makin sakit jiwa awak nanti.” Pak Awi
mencantas andaian mek.
“Saya dah cuba. Tapi awak kenalah
faham perasaan saya. Sufie anak saya.” Mek membela diri.
“Ya, saya faham. Sufie anak saya
juga. Kita merancang, ALLAH juga merancang dan keputusan bukan milik kita.
Kenalah redha.” Lembut kata-kata Pak Awi. Mek dirangkul dan wanita tua itu
dipeluk erat. Air mata mek kembali mengalir.
“Saya takut. Saya tak sanggup.
Seribu macam rasa berbolak-balik dalam hati. Betul ke Sufie dah pergi, saya
macam tak percaya. Rasanya baru semalam dia cium tangan saya.” Mek berkata
teresak-esak.
“Kita serah semua pada ALLAH.” Pak
Awi menggosok-gosok belakang mek.
Afiena berlari mendapatkan mek dan
Pak Awi. Tercungap-cungap bila dia sampai. Cemas tergambar di wajah, namun
sedikit senyuman menghiasi bibirnya.
“P… Polis dah jumpa phone kak
long dekat muara sungai. Tersangkut dekat ranting-ranting hanyut,” mengah dia
berkata.
“Alhamdullilah. Mayat kak long kamu
dah jumpa.” Mek bertanya pantas.
“Belum.”
“Suruh bomba-bomba tu selam semula,
mesti mayat ada dekat-dekat situ saja.” Mek kembali bersuara, semangatnya pulih
serta merta. Tidak menunggu lama, dia berjalan laju ke arah bot penyelamat yang
baru tiba di gigi air.
“Ada jumpa mayat anak saya tuan.”
Mek berkata laju, air mata masih berjuraian jatuh.
“Maaf mak cik. Tak jumpa. Dah puas
kami selam.” Seorang anggota bomba menjawab lemah.
“Ada! Selam lagi dekat kawasan
telefon dia tadi. Saya tahu mayat dia ada kat situ.” Mek masih tidak berpuas
hati.
“Arus deras. Mungkin mayat anak mak
cik dah kena hanyut ke laut.”
“Mustahil!”
“Mak cik kalau mayat anak makcik
tersangkut kat situ, mesti mayat dia dah timbul atau berbau. Saya cadangkan mak
cik uruskan solat jenazah. Tak baik ditangguh-tangguh soal agama.” Anggota
bomba itu melompat dari kepala bot penyelamat, merapati lalu menepuk-nepuk bahu
mek. Mek kembali diam.