Italian bocconotti cookies itu dibaling ke dinding, jatuh berderai di lantai. Corrado
hanya memandang, hatinya ikut berderai.
“spazzatura..spazzatura.”
(Sampah..sampah) Arturo meninggikan suara. Wajahnya merona merah, menahan
marah. Dia berlalu pergi.
Corrado mencapai bungkusun lebihan Italian
bocconotti cookies, juga berlalu pergi. Mata- mata yang memerhati mencemuh
kecil, namun masih ada mata-mata yang meluahkan simpati. Sungguhpun sedih dia
masih senyum nipis, cuba berlagak seperti biasa.
Corrado menghayun langkah ke taman
hospital, mencari ketenangan. Bukan sekali dua, namun sudah acap kali dia
dimarahi lelaki Itali dengan tubuh dempak dan bermisai lentik itu. Arturo
adalah ketua chef di kafe ‘Italia Pasticceria’ juga merangkap ayahnya.
“Uomo scontroso.” ‘Lelaki
pemarah’ Corrado merengus marah. Dikeluarkan satu Italian bocconotti cookies
dan diamati. Manisan itu sepatutnya seakan kek, namun diubah suai menjadi
biskut. Dan itu telah membakar kemarahan ayahnya.
Seorang yang sukakan kelainan,
itulah gambaran Corrado. Seorang anak muda yang begitu teruja dengan
pembaharuan, begitu suka berexperimentasi. Namun berlainan dengan ayahnya yang
begitu kuat darah Italinya. Warisan adalah warisan dan tidak perlu diubah,
kerana ia sudah cukup sempurna.
Italian bocconotti cookies digigit, rapuh diluar, lembut di dalam. Rasa masam yang
terbit daripada jem resbbery melunakkan lagi kunyahan. Bila tektur dan rasa
yang pelbagai itu bercampur dia berkata tanpa paksa.
“Delizioso...Delizioso.”
‘Sedap...sedap’. Mata Corrado tertutup rapat, nikmat makin berganda ketika
mendengar bunyi rangup biskut itu. Senyuman yang terukir mati tiba-tiba.
Kata-kata itu ibarat sampah bila dia
teringatkan peristiwa tengah hari tadi. Hampir separuh pekerja kafe tidak
menyukai rasa baru Italian bocconotti cookies yang diciptanya itu. Ah… sebenarnya
kesemua mereka tidak menyukai rasa baru itu. Hanya berpura-pura menyukai,
mugkin risau jika dia terasa hati.
Kafe Italian Pasticceria
mempunyai empat cawangan dan yang terbaru di taman Hospital Selayang.
Semenjak perceraian ibu bapanya, dia
hidup penuh ketegasan. Ayahnya berubah menjadi tegas, malah wajahnya juga tidak
lagi senyum. Dia benar-benar merindui sebuah senyuman. Senyuman yang hangat dan
penuh keiklasan. Wajah lembut ibunya muncul, namun hanya senyuman sahaja yang
diingati kerana ibunya berpisah semenjak dia berumur lima tahun.
Demi melupakan kenangan pahit itu,
ayahnya membawa dia berpindah ke Malaysia. Negara yang tidak pernah dia
impikan.
Kesibukkan mengikut ayahnya
menguruskan kafe, menyebabkan dia kesunyian. Mungkin ayahnya cuba membuktikan
pada kenangan lama yang dia juga mampu berjaya. Ayahnya begitu tegas mendidik
dan melatihnya. Setiap bahan dan sukatan haruslah tepat dan hasilnya haruslah
sempurna, jika tidak maki hamun adalah hadiah terindah yang akan membengkakkan
telinga.
“Putt.” Corrado meludah Italian
bocconoti cookies yang dikunyah. Geram dengan apa yang telah berlaku. Beg
kertas berisi lebihan biskut itu turut dilempar. Dia memicing mata memerhati.
Biarlah bungkusan itu dirobek-robek kucing-kucing kurap, dipatuk-patuk burung
pipit dan dipijak sesiapa sahaja yang lalu, kerana ia adalah sampah yang tidak
dihargai.
Pesakit dan pelawat yang melalui
taman itu mengelak untuk memijak beg kertas berisi Italian bocconotti
cookies itu.Sudah dua puluh minit, namun masih tiada yang sudi memijaknya.
Dari jauh muncul seorang gadis pelik, berbaju kurung longgar dan bertudung
labuh. Cermin mata hitamnya agak besar seperti pelakon zaman 80-an. Jalannya
teratur dan lambat. Mungkin tidak disedari, dia kemudian tersepak beg kertas
itu. Bertaburan Italian bocconoti cookies bergolek keluar.
“Subhanallah.” Gadis pelik itu terkejut
kecil. Dia menunduk lalu mengutip biskut-biskut itu.
“Cantiknya! Nampak macam sedap. Tak.
Bukan macam sedap, tapi memang sedap.” Gadis itu senyum tanpa malu. Senyuman
yang tidak disembunyikan itu menceriakan hati Corrado. Dia memerhati penuh
minat.
Gadis itu memerhati biskut itu
dengan senyuman yang paling manis pernah dilihat Corrado. Gadis itu memerhati sekeliling, mencari sesuatu. Mencari
tuan punya biskut-biskut itu agaknya.
Entah kenapa, tanpa dipaksa hatinya
menjadi ringan. Corrado menghayun langkah merapati gadis itu.
“Cari sesuatu cik?”
“Tekejut saya. Awak cakap melayu.”
Gadis itu bertanya cuak.
“Ya! Hairan.”
Gadis itu senyum nipis, semakin
menipiskan kemarahan Corrado.
“Saya cari tuan biskut-biskut ini.
Nampak sangat sedap. Sayang kalau dibazirkan. Mungkin tuannya berada
berdekatan.” Gadis itu masih memerhati sekeliling, sehingga tidak disedari
Corrado memerhati wajahnya. Gadis itu menyedari juga perbuatan Corrado dan
berkata.
“Di barat perbuatan merenung terlalu
lama, dianggap biadap. Mungkin saya pelik, tapi cara awak memalukan saya.”
Gadis itu berkata lembut, gelisah wajahnya memadamkan senyum manisnya. Corrado
resah.
“Bukan menghina. Tapi suka dengan
senyuman awak yang manis.”
“Maaf saya perlu ke sebelah sana,
mungkin tuannya berada di situ.” Gadis itu mula menghayun langkah, namun mati
langkahnya bila Corrado kembali bersuara.
“Saya yang punya. Biskut itu tak
sedap langsung. SAMPAH!” Corrado berkata tegas.
“SAMPAH!” Gadis itu terkejut.
Matanya membutang.
“Ya..SAMPAH. Rasa yang meloyakan.”
Corrado menjuih bibir.
“Boleh saya rasa satu. Jika perlu
saya bayar. Tapi bukan hari ini.” Gadis itu bersuara, ternyata dia tidak
berpuas hati dengan pendapat Corrado, biskut itu sungguh cantik dan rasanya
pastilah sedap.
“Kesemuanya! semua milik awak. Awak
boleh buat apa saja dengan biskut itu.”
Gadis itu berjalan meninggalkan
Corrado, lalu berlabuh pada sebuah bangku di kawasan yang dipenuhi kanak-kanak
yang sedang bermain. Corrado menghampiri dan duduk bersebelahan, mugkin kerana
terlalu rapat gadis itu menjarak dengan meletakkan beg kertas di tengah.
Serta-merta Corrado tahu gadis itu tidak selesa. Dia turut menjauh.
Mungkin kerana sudah mendapat izin,
rakus gadis itu mencapai biskut. Dia menyebut sesuatu lalu mungunyah lahap.
Mengerut-ngerut wajah dan senyum. Diambil lagi dan dikunyah. Corrado memerhati.
Sudah lima Italian bocconotti cookies dikunyah dengan senyuman ceria,
penuh nikmat. Corrado terhibur melihat keletah gadis itu. Perasaan yang sukar
dia nyatakan.
“Sedap.” Corrado bertanya separuh
berbisik.
Gadis itu tersentak. Tersedak dan
terbatuk-batuk. Dia seakan terlupa Corrado di sebelah. Dia begitu asyik mengunyah
biskut itu dan ralit dengan keletah kanak-kanak yang sedang bermain.
“Ya… Saya bagi lima bintang. Saya
suka semua mengenai biskut ini. Kali pertama saya makan biskut ni. Namanya pun
saya tak tahu.” Gadis itu menjawab tanpa menoleh Corrado. Mungkin kerana malu.
“Italian bocconotti cookies.
Tapi rasanya sudah tidak asli. Tidak seperti asal.” Corrado menjawab lemah.
Wajahnya memandang ke hadapan, memerhati kanak-kanak yang sedang berkejaran.
“Bagi saya, itu tak penting pun.
Selagi makanan ni mampu mengembirakan seseorang itu sudah cukup. Kita tidak
mungkin mampu menggembirakan hati sepuluh orang. Tapi jika hati salah seorang
gembira, itu sudah memadai. Kita bukan TUHAN, kita hanyalah manusia biasa yang
akan terus-menerus belajar dari kesilapan.” Gadis itu kemudian bangun dan
merapati beberapa kanak-kanak di situ.
Kedengaran gadis itu berkata
lantang, tapi masih lembut dan lunak suaranya.
“Adik-adik!” Gadis itu berkalih bila
matahari tepat memancar pada wajahnya. Ternyata sinaran mentari itu membuatkan
dia tidak selesa. Kemudian dia kembali berkata. “Siapa suka makan biskut?”
Kanak-kanak di situ ternganga macam
orang bodoh. Mungkin mereka berfikir, betulkah ada orang yang nak beri biskut
percuma. Kalau ya, kenapa? Untuk apa?.
“Mari… Mari. Jangan takut. Tengok
apa yang kakak pegang ni. Wah… Wah… bau dia harum.” Gadis itu berpura-pura
mencium Italian bocconotti cookies. “ Mari beratur.” Senyuman gadis itu
semakin manis, semakin meresahkan Corrado. Entah kenapa dia begitu resah
melihat senyuman gadis itu.
“Parah..Kenapa hati aku
dup..dap..dup..dap. Masak kalau macam ni.” Corrado mengusap-usap dada. Matanya
tak lekang merenung gadis itu.
“Yeh… Biskut percuma.” Seorang
kanak-kanak menjerit riang, diikuti jeritan lain yang berturut. Mereka berlari
mengelilingi gadis itu.
Kanak-kanak itu disuakan dengan Italian
bocconotti cookies. Gadis itu berkata sesuatu lalu menunding jari pada
Corrado. Kerana riuh- rendah yang berlaku, dia tidak dapat mendengar apa yang
dikatakan gadis itu. Seorang demi seorang daripada kanak-kanak itu berlari
merapati Corrado dan berkata.
“Sedap biskut abang beri. Terima
kasih. Esok abang buat lagi.” Kemudian kanak-kanak itu berlari semula bermain.
Sekelip mata biskut itu licin.
Corrado senyum meleret. Hatinya
sedang berbunga. Jika hatinya boleh diibaratkan seperti ladang bunga, pastilah
ladang itu sudah meriah dengan bunga-bunga yang kembang penuh.
Gadis itu melangkah sopan, merapati
dan duduk kembali, namun semakin menjauh.
“Betul kan apa yang saya kata.”
Gadis itu senyum memandang kanak-kanak yang bermain.
“Kata apa?” Corrado bertanya
gembira.
“Yang biskut awak sedap. Awak patut
gembira, sebab hari ini dah berjaya menceriakan budak-budak tu. Tengok betapa
berselera dan riang mereka makan biskut awak. Cuba awak tengok yang dua orang
tu, sampai berebut.” Gadis itu ketawa tipis, hampir tidak didengari.
“Budak-budak, bukan tahu apa pun.
Semua dibedal.” Corrado kembali bernada layu, ternyata hampa masih menyelimuti
hatinya.
“Tapi saya bukan budak-budak.
Pendapat saya masih belum cukup untuk awak ke?”
Corrado senyum puas. Seperti
benar-benar telah tersedar daripada lena.
“Terima kasih. Boleh saya lakukan
sesuatu untuk membalas budi awak.” Corrado masih senyum.
“Tak perlulah. Saya tak tolong awak
pun. Lagi, awak belum kenal saya. Entah-entah saya orang jahat. Siapa tahu.”
Gadis itu mengelak.
“Awak dah menyelamatkan seluruh hari
saya, dan awak kata tak tolong apa-apa.” Corrado teruja, menyatakan rasa hati.
“Tak mengapa. Kecil saja pertolongan
tu.” Gadis itu bangun.
“Nanti dulu. Saya orang baik-baik.
Tengok muka saya. Nampak macam orang jahat ke?” Corrado pantas bangun menghalang,
Gadis itu serba salah.
“Tak perlu balas. Saya seganlah awak
buat macam ni. Tak manis orang tengok.” Gadis itu masih berdalih. Ternyata
gadis itu tidak senang dengan sikap berani Corrado. Malah dia juga masih tidak
mempercayai Corrado.
“Saya akan ikut ke mana saja awak
pergi, selagi tak dapat balas budi awak.” Corrado berkeras.
“Jangan memaksa pada benda yang tak
perlu dipaksa. InsyaALLAH saya ikhlas. Tak harap balasan.” Gadis itu cuba
melepasi Corrado, namun tetap juga dihalangi.
“Saya betul-betul mahu balas jasa
awak. Jangan tolak. Kalau tak saya pegang tangan awak. Saya rasa awak bukan
gadis yang suka dipegang tanpa sebab.” Corrado masih memaksa.
Gadis itu berkerut seribu. Hatinya
diterjah masalah baru. Akhirnya dia beralah, berharap selepas ini Corrado yang
disangka mempunyai masalah mental itu akan berputus asa.
“Saya baru tiba semalam. Nasib
kurang baik saya dirompak. Mujurlah ada pemandu teksi yang sudi hantarkan saya
tanpa kenakan bayaran.” Kata-kata gadis itu terhenti.
“Jadi?” Corrado kembali teruja.
Gadis itu menelan air liur, penuh debaran. Dia sangsi jika apa yang diputuskan
akan mengundang lebih banyak masalah.
“Saya baru bertugas, selepas tiga
bulan baru akan terima gaji. Kamu tahu dimana-mana kerja part time.
Kalau boleh biarlah gajinya dibayar hari, untuk menampung makan minum saya
selama tiga bulan.”
“Italian Pasticceria.”
Corrado menjawab pantas.
“Di mana? Kerja apa?” Gadis berkaca
mata hitam itu bertanya.
“pasticcere.” Corrado menjawab penuh
semangat.
“Maksud kamu?”
“Pembuat pastri. Sama macam saya.
Jangan risau saya akan ajar.”
“Nampaknya saya tiada pilihan. Di
mana kafenya?”
“Di situ.” Corrado menunding jari ke
suatu arah. Sebuah kafe kecil dengan papan tanda mini yang tertulis ‘Italian
Pasticceria cafe’ tersergam indah. Reka bentuknya bercirikan Andalusia
dengan garapan ciri Melayu. Berkonsep terbuka, membenarkan angin bebas keluar
masuk, bebas menyapa para pelanggan. Dinding kafe itu dilatari oleh pasu-pasu
bunga yang dimatikan pada dinding, penuh warna-warni. Kelibat pelanggan yang
bertali arus menandakan ia sebuah kafe yang digemari.
“Wah! Teruja saya. InsayALLAH esok
saya akan ke sana.”
“Ok… Sebelum saya terlupa, nama
kamu?” Corrado bertanya gopoh.
“Khairunnisa Sufie! Panggil saja
Sufie.”
“Keluarga kamu sudah tahu berkenaan
nasib kamu yang kena rompak.”
“Belum. Phone saya tertinggal
dalam lori ikan yang saya tumpang. Satu sen tak berbaki masa di rompak.” Sufie
menjawab dalam.
“Pakai telefon saya.” Corrodo menghulurkan
telefonnya. Dia senyum bila membayangkan wajah tersenyum Sufie dan ucapan
terima kasih daripadanya. Tapi lain pulak yang jadi.
“Tak perlu. Terima kasih sudi
membantu. Esok bila saya dapat gaji pertama, saya akan telefon keluarga.” Sufie
menolak lembut telefon itu. Sebenarnya dia tidak gemar meminjam telefon orang,
apatah lagi jika orang lelaki.
“Peliklah awak ni. Tak macam gadis
lain.”
“Ya, saya albino. Awak bukan orang
pertama kata macam tu.” Sufie berkata lembut, wajahnya tenang seperti tiada
apa-apa yang melukakan.
“Bukan pelik yang itu. Tapi pelik
sebab tak mudah nak ditolong. Kalau gadis-gadis lain, macam-macam yang nak
dikikis. Naik pening kepala.”
“Jadi buaya tembaga lah, ya!
Hati-hati jangan suka bermain hati, nanti hati sendiri yang merana.” Sufie
menyiram nasihat.
“Bukan buaya tembaga. Saya tak layan
pun. Mereka yang datang nak bermanja. Minta yang bukan-bukan, ofer yang
pelik-pelik.” Corrado ketawa berdekah. Wajahnya merona merah kerana malu.
Mungkin dia teringatkan perkara-perkara lalu.
Sufie diam seketika, begitu juga
Corrado. Dia ingin sekali mendengar celoteh Sufie, namun tidak sampai hati
melihat ketenangan pada wajah gadis itu.
“Saya harap, bos awak sudi bayar gaji
hari. Bolehlah saya sara hidup untuk tiga bulan ni.” Berat nada Sufie.
“Sudah tentu.” Corrado menjawab
laju, ada riak yakin bersama jawapannya.
Suasana sunyi kembali, mereka berdua
sedang memerhati gelagat kanak-kanak yang sedang bermain. Sufie kembali senyum.
Resahnya melayang entah ke mana. Dia kembali teringatkan kata-kata Abu
Al-Itahiyyah.
Betapa sering hidupmu terancam,
Namun ALLAH sentiasa menjaga,
Dan memberi yang terbaik untukmu,
Masih saja engkau
Membenci segala keputusanNya.
“Kenapa kamu senyum. Ada yang
melucukan?” Corrado bertanya dengan senyuman yang tidak dapat dipadam lagi.
Hari yang paling ceria dan bermakna untuknya. Hari di mana hasil masakannya
begitu dihargai.
“Cuma teringatkan kisah saya.”
“Maksud kamu?”
“Saya risau di mana harus tidur?
Bagaimana hendak ke sini? Apa yang akan saya makan selama tiga bulan? Saya
begitu risau sehinggakan lupa yang TUHAN itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang.”
“TUHAN?” Corrado terpana mendengar
ayat itu.