Hati Sufie makin mencair apabila Rijal
senyum gembira. Keluarga mereka juga menguntum senyum. Adakah ini yang
dimaksudkan syurga? Jika ya Sufie mahu hanyut selamanya.
Kedua-dua mempelai sedang makan beradap, ditemani Datin Abda, Pak
Awi dan mek.
Sudah suapan kedua, namun Rijal
masih tidak mengizinkan Sufie menjamah sendiri. Terus disuap lagi sebaik dia
habis mengunyah. Wajah dia merona merah bila renungan manja Rijal memaku mata,
kemudian ia larikan wajah dengan pantas. Tetamu bersorak-sorai, memberi galakan
kepada Rijal. Makin digiat, makin galak Rijal. Mek, Datin Abda dan Pak Awi dari
tadi asyik mengirai tawa. Tidak pernah Sufie melihat kedua orang tuanya
segembira itu, seperti bebanan besar yang ditanggung selama ini baru sahaja
dialih.
Ternyata Rijal bijak membaca emosi,
sambil menyuap puding dia bersuara.
“Bertuah! Saya sungguh bertuah. Awak umpama Casablanca putih
yang mekar di lembah sunyi. Bunga yang tak mungkin akan saya temui lagi, yang
serupa, yang unik dan secantik ini. Casablanca yang terpelihara kesuciannya. Saya
bangga bergelar suami awak, Khairunnisa Sufie. Sanggupkah awak temankan saya
sepanjang hayat ini? Atau mungkin saya perlu minta kebenaran awak. Bolehkah
awak izinkan saya menemani awak untuk hayat ini?”Sebaris senyum terukir dengan deretan gigi bak kemilau
mutiara putih seakan-akan menzahir keiklasan Rijal. Ada lembut dalam sinar
matanya, membuat Sufie terpana dan terpesona.
“Ya Allah betulkah aku gadis bertuah ini? Sungguh, aku
benar-benar mahu mempercayai kata-kata khalifahku ini. Aku mahu terbuai
seketika, Ya Allah,” Getus hati kecilnya.
Entah kenapa, hatinya begitu
tersentuh, bergenang air mata Sufie. Cuba ditahan, namun hati seorang gadis
mencair bak salju yang bertukar musim. Tidak disangka dia berkesempatan
mendengar ucapan itu daripada mulut seorang lelaki. Mek menangis tersedu. Sufie
terkejut, tidak disangka ibunya akan menangis. Sudah hilangkah kekebalan hati,
sehinggakan dia menangis tersedu-sedu? Ternyata bebanan yang menghalang mek
tersenyum selama ini adalah jodohnya, dan jodoh itu sudahpun bersambut. Sufie
senyum bersama air mata yang tumpah. Hadirin yang melihat bungkam, tetapi tidak
lama, kerana sebaik tersedar daripada kaget, berebut-rebut pula mereka merakam
gambar Sufie yang sedang menangis. Seolah-olah dia adalah bintang filem.
“Insay- Allah saya sudi menemani awak dunia dan akhirat.”Sufie menjawab perlahan.
Rijal ramas jemari Sufie, matanya
turut bergenang. Terketar dia meminta kepastian, “Sungguh! Sungguh awak sanggup temani saya dunia akhirat.”
“Ya… Insay-Allah saya sudi,”mendalam suara Sufie. Diseka air mata. Dia cuba bertenang.
Namun hatinya berombak girang, sukar sekali untuk tenang bertamu.
*****
Malam baru menyapa, Pak Awi sudah
tertidur di atas kerusi malas. Lelaki tua, bertubuh kurus itu berdengkur
perlahan. Dia baru sahaja kebah daripada demam, dan benar-benar keletihan
akibat kenduri kahwin Sufie.
Kamarul dan pemuda lain sedang
mengemas kanopi, meja dan kerusi. Sememangnya dia seorang yang ringan tulang
kalau boleh semua benda mahu dikerjakan. Angin mula menampar-nampar.
Bintang-bintang tidak kelihatan, ternyata sudah diselimuti langit. Tanda-tanda
hujan akan turun. Kamarul dan pemuda-pemuda kampung mempercepatkan kerja.
Di sudut telaga Afiena sedang menyental periuk belanga bersama Sufie.
Agak lama Afiena menjerit geram kepada Jemi dan Akim yang sedang bermain air,
namun dibalas gelak ketawa kedua-dua beradik itu. Sesekali mereka menyingsing
lengan baju yang melurut jatuh, adakala tudung kepala dikilas ke bahu. Suasana
sunyi pecah sebaik Afiena membuka bicara.
“Kak long dah dekat pukul dua belas ni. Tak teringin bermadu
kasih?”Afiena mengusik.
“Issh! Tak sukalah bergurau macam tu.” Sufie jadi malu.
“Tinggalkan saja. Fiena boleh habiskan. Pergilah nanti
merajuk pula kekanda kak long.”
“Nak dirajukkan apa pulak? Insay-Allah dia faham. Kerja
tengah banyak. Takkanlah kak long nak biarkan Fiena seorang diri.”
“Malam pertama orang sibuk nak bermanja dengan suami. Kak
long sibuk nak bermanja dengan Fiena. Terbalik dah ni.” Afiena mengiat.
“Apa yang terbaliknya. Tak kanlah kak long nak biar adik
kesayangan sental periuk belanga sorang diri. Kejam pula. Fiena pun tentu dah
penat.”
“Mahu tak penat! Ni semua sebab ikutkan Datin Abda.
Anak-beranak, sama saja. Wel-wel.”
Meninggi nada Afiena.
“Tak manislah cakap orang wel-wel.” Sufie membantah, namun masih senyum.
“Mulut Fiena saja yang jahat kak long. Tapi hati baik.” Fiena merajuk.
“Fiena, kak long peliklah.” Sufie berwajah hairan.
“Pelik apanya kak long. Macam misteri bunyinya.” Afiena teruja.
“Nak dengar tak?”
“Nak! Ceritalah cepat.”
“Macam ni. Beberapa hari lepas kak long bancuh air kopi.
Tapi bila tuang air susu yang keluar.”
Sufie diam seketika. “Betul! Rasa
sebijik macam susu. Bila kak long godek-godek, tengok hampas. Memang sah hampas kopi. Air pun warna hitam.”
Bersungguh Sufie bercerita.
“Ah! Tak logik lah kak long. Kalau cerita kat orang lain
pun, confirm tak ada yang percaya.”
“Kak long minta maaf. Tadi tu tipu aje. Lebih kurang tipu
sunat kot.”
“Eh! ada pulak tipu sunat.. Kenapa kak long tipu. Fiena
pantang kalau kena tipu, mahu menyirap darah.”Afiena menyingsing lengan baju.
“Tadi tu, perumpamaan saja. Kak long nak tahu pendapat
Fiena.”
“Ada-ada lah kak long ni. Ceritalah apa yang sebenarnya.”
“Macam ni Fiena. Hati manusia, kita boleh ibaratkan macam
susu, kopi dan sebiji teko.”
“Hah sudah! Start dah madah berhelah.” Afiena ketawa kecil. “Cepatlah,
Fiena suka dengar nasihat kak long.”
“Bila yang dibancuh tu air kopi, maka yang diminun juga air
kopi, tak mungkin air susu. Jika kopi yang dibancuh, maka kopilah yang
akan keluar dari muncung teko. Bukan susu. Samalah macam hati. Jadi mustahil
Fiena kata hati baik, kalau yang keluar dari mulut adalah kata-kata yang
menyakitkan orang lain.”
“Sindir Fiena ke? Tak suka macam tu.” Fiena pura-pura merajuk.
“Kak long sayang Fiena. Tak cakap pun Fiena boleh tahu.
Boleh kak long umpamakan macam, orang yang kita sayang, basah kerana hujan.
Mestilah kita payungkan dia. Itulah tanda sayang.”
“Baiklah bos”
Afiena tabik hormat kepada Sufie, lalu
ketawa lagi. Sufie senyum.
Di dalam bilik Rijal senyum puas,
manakan tidak cita-citanya selama ini sudah tercapai. Tidak pernah dia
menyangka dan bermimpi, seperti bulan jatuh ke riba, seperti orang mengantuk
disorongkan bantal. Dia benar-benar gembira kerana sudah mengotakan janji
seperti diminta mamanya, Datin Abda. Dia telah berjaya membuatkan Sufie
tersenyum sepanjang hari, berjaya membuatkan gadis itu mengalirkan air mata
kegembiraan dan berjaya menunaikan hasrat gadis itu untuk bergelar isteri. Dia
merasa seperti hero yang telah menyelamatkan mangsa dari jurang paling dalam.
Dia tersengih sendirian.
Datin Abda muncul tanpa disedari
lalu ditepuk lembut belakang Rijal.
“Tak malu, biarkan isteri menyental periuk, kuali. Suami di
bilik macam anak dara.”
“Mama gembira. Rijal dah tunaikan hasrat mama berkahwin
dengan Sufie?” Rijal bertanya melulu tanpa
dipedulikan usikan mamanya.
“Syukur, Alhamdullilah. Gembira tak terkata.”
“Sayang, adik tidak ikut sama. Tentu dia gembira dapat berkenalan
dengan Sufie,”duga Rijal.
“Tak payah sebut. Sudah berbuih diajak. Kerja dia juga
nombor satu. Memang jenis keras hati. Siapalah yang nak bersuamikan dia nanti
agaknya.”
“Dah pergi tolong isteri kamu di
bawah, dia tengah sental periuk. Kasihan mama tengok.”
“I need a break. Mama gantikan Rijal, boleh.”
“Kita pulak! Belum apa-apa dan nak dibuli si Sufie. Mama tak
suka perangai tu. Dah pergi turun sekarang. I need to leave now, esok
ada board meeting.”
Datin Abda menarik malas tangan
Rijal, bila anak kesayangannya itu tetap tidak berganjak, Rijal akur dan bangun.
Setibanya berhampiran jendela diperhatikan Sufie dan Afiena yang sedang
membasuh. Ya, wajah gadis albino itu sedang bercerita tentang kegembiraan dan
tentang harapannya. Rijal senyum lagi, dia sudah merancang satu lagi kejutan
untuk Sufie.
Afiena melihat kelibat Rijal di
sebalik jubah malam yang mendakap, Cepat-cepat Rijal meletakkan jari pada
bibir, tanda isyarat diam. Afiena
teruskan menyental periuk. Jemi dan Akim masih ralit meniup buih sabun
dengan menggunakan kemuncup yang dibentuk bulat. Tanpa salam dan isyarat,
pantas Rijal mencium pipi Sufie.
Merah padam wajah Sufie. Masih
terasa kehangatan ciuman Rijal, seolah kehangatan itu sedang menjalar ke
seluruh saraf, hati dan akal. Dia benar-benar mahu menangis, seolah-olah
kegadisannya sudah diragut dan maruahnya sudah tercemar, namun bila akalnya
yang waras kembali berfikir, perasaan berdosa itu bertukar gembira kerana dia
sudah mendapat cinta yang halal. Sungguhpun begitu dia menjadi malu apabila
dilihat Afiena.
Tanpa disuruh, Rijal duduk bersebelahan,
mencapai periuk yang sedang disental lalu disentalnya.
“Wah! Kak long dapat ciuman cinta. Muka jadi merah, semerah
bunga ros,” nada dangkal kedengaran.
“Jangan usik isteri abang long.” Rijal bercanda.
“First time menyental periuk? Tersangatlah kekok.
Boleh ke, orang bandar buat kerja kampung?”sindir
Afiena. Entah mengapa sukar untuk dia menyukai Rijal. Bukan tidak pernah
dipaksa, malah sudah acap kali dipaksa, namun tetap hatinya membantah.
Dirasakan lelaki itu tidak ikhlas mencintai kakaknya. Ada sesuatu yang
disembunyikan.
“Tak penting bagaimana bermula, yang penting bagaimana
berakhir. Mencuba itu lebih baik daripada tak buat apa-apa.” Sufie bergurau, cuba menjernihkan suasana. Wajah Afiena
yang tegang sudah cukup menyatakan yang dia tidak senang dengan kehadiran
Rijal. Kadang-kala dirasakan yang Afiena tidak merestui perkahwinan mereka.
“Jemi! Akim! Sudah, mari naik. Salin pakaian.” Wajah Afiena berang kerana teguran Sufie. Dirasakan yang
kehadiran Rijal, telah merampas kasih sayang Sufie.
Afiena memimpin kedua-dua anaknya
serentak, namun Jemi meronta minta dilepas. Baginya malam masih muda dan
permainan buih sabun itu masih belum berakhir. Manakala Akim menurut sahaja,
dia sudah mengantuk. Tanpa sepatah kata Afiena meninggalkan pengantin baru itu.
Sufie masih memerhatikan Afiena,
sehingga tidak disedari Rijal sedang menatapnya.
“Awak bahagia?”
Soalan itu memancing emosi Sufie.
Dia berpaling, namun tidak memandang tepat ke wajah Rijal kerana malu jika nistagmus
matanya disedari. Nistagmus menyebabkan matanya bergerak-gerak dengan
tidak sengaja. Dia seboleh-bolehnya cuba menyembunyikan perkara itu daripada
Rijal, namun hatinya menyoal pantas ‘Sampai bilakah kau mampu sembunyikan
perkara ini?’ Dia bungkam seketika.
“Abang redha kahwin dengan saya.”
“Ya! Malah saya gembira jika awak gembira. Sudah tercapailah
cita-cita mama dan saya.”
Sufie mengucapkan syukur, jika
diikutkan hati mahu sahaja dia sujud syukur ketika itu juga, namun kehadiran
Rijal menyebabkan dia kaku.
Rintik-rintik hujan mulai turun,
mulanya setitik, dua, kemudian lebat mengejut. Rijal mencapai tudung periuk dan
memayungi Sufie. Mereka berlari menuju ke arah beranda. Agak sukar untuk Sufie
berlari akibat nistagmusnya. Mungkin naluri suami memahami, dirangkul
bahu Sufie dan berlari beriringan. Mek yang sedang memerhati senyum dan
bersyukur kerana Sufie sudah berteman. Sampai sahaja di kaki tangga, mek
bersuara.
“Bertuah betul si budak Fiena ni. Ada ke patut dibiar
pengantin baru menyental periuk.”
Mek berpura-pura geram. Sebenarnya sudah menjadi tradisi di kampung bilamana
pasangan pengantin baru dikehendaki menyental periuk belanga, katanya agar
kemesraan bertambah.
“Tak mengapa. Sekurang-kurangnya kami makin rapat.” Rijal menjeling manja kepada Sufie, menyebabkan dia
tertunduk malu. Ibunya berdehem kecil.
“Kamu berdua dah penat. Bawak-bawaklah berehat. Esok dah nak
balik ke kl. Sufie pun akan mula mengajar minggu depan.”
“Ada apa-apa lagi yang nak Sufie tolong.” Sufie berdalih, cuba mengelak ke bilik bersama Rijal.
Ibunya senyum panjang dan Sufie
faham, lalu dia melangkah diikuti Rijal. Hatinya berdebar kencang, langkahnya
longlai seakan tidak terjejak lantai. Hatinya semakin meroyan. Apakah yang akan
berlaku? apakah yang seharusnya berlaku? Benarkah dia akan menjadi wanita malam
ini?
Ketika pelbagai persoalan itu
bersilih ganti, tahu-tahu sahaja mereka berdua sudah berada di dalam bilik.
Lampu suram atas meja, mencemaskan Sufie. Manakan tidak, bilik itu hanya
disimbah cahaya kecil. Bunyi pintu ditutup rapat oleh Rijal semakin
mencemaskan. Di hadapannya kini terbentang sebidang tilam empuk yang bakal
dikongsi bersama Rijal. Dia kini berdua-duaan. Kecut semakin mengecutkan
hatinya, inilah kali pertama dia berdua-duan dengan seorang lelaki.
Sejurus kemudian, lengan sasa Rijal
menyilang pada pinggangnya. Jari-jemari lelaki itu menyulam dan bertaut. Dia
dipeluk dari belakang. Ketenangan menjentik hatinya, seolah-olah dipeluk
malaikat yang mampu membekukan segala debaran yang dirasanya sebentar tadi.
Rijal berbisik kecil. Bisikan yang
melumpuhkan ia dengan tiba-tiba. Bisikan yang membentuk kaca-kaca halus bukti
dia gembira. “Saya nak ucapkan sesuatu.
Hadiah malam perkahwinan kita. Harap awak suka.”
Namun bisikan itu bertukar
kemudiannya. Bisikan yang telah menukar pelukan malaikat itu kepada pelukan
Syaitan. Pelukan yang telah membakar segala harapan yang disemai sebulan lalu.
“Saya ceraikan awak dengan talak satu.”
Pantas Rijal melarikan tangannya
yang sudah berjanji akan melindungi Sufie. Dia kemudian bergerak ke katil,
mencapai bagasi dan mula berkemas.
“Kenapa?”
Hanya itu yang mampu diucap Sufie, itupun dengan nada tertahan-tahan kerana
sebak. Dia kaku, dirasakan seolah-olah telah dibiarkan sendirian di padang
pasir. ‘Oh Tuhan, kau sedang menilai kesabaranku.’
Hatinya pula berkata.
Tangan yang sedang menyumbat baju
terhenti, Rijal berpaling bersahaja dan tanpa riak bersalah dia berkata.“Mama yang paksa kahwin. Bukan kemahuan
saya. Saya terpaksa kahwin dengan awak.”
“Kenapa abang sanggup?”
aju Sufie dengan mata berkaca, tetapi bila difikirkan Afiena, ditahan air mata.
Dia mahu setabah Afiena dan mek.
“Tak tahan dengan bebelan mama. Naik pekak telinga saya.
Awak apa tahu.” Rijal berwajah selamba.
“Tentu ada sebab lain? Tak mungkin hanya sebab tu.” Sufie menduga.
“Tak perlu tahu. Awak tak mungkin faham.”
“Tolong! Sekurangnya saya tahu kenapa.”
“Betul awak nak tahu? Jangan menyesal pula nanti. Takut
bernanah telinga nanti.”
“Insya- Allah, saya tak menyesal.” Debaran makin kencang. Sebak makin membatu, namun
ketenangan wajahnya menutupi semua itu.
“Sebab saham! Mama dah janji kalau saya kahwin dengan awak,
dia akan serahkan dua puluh persen saham syarikat kepada saya. Satu perniagaan
yang sangat menguntungkan.” Rijal
senyum sinis.
Seperti tersedar daripada mimpi,
Sufie mula menyedari isi sebenar Rijal, namun itu semua sudah terlambat.
“Sebab itukah perkahwinan kita dicepatkan?”
“Ya lah! Emas depan mata tak harus dibiarkan lama-lama.
Kalaulah mama berubah fikiran, tentu rugi. Emas tak datang bergolek.”
“Abang khianati janji mama.”
“Saya janji akan kahwini awak dan buatkan awak senyum. Itu
janji saya pada mama. Bukan ke, impian awak nak bergelar pengantin dan isteri
dah tercapai.”
“Tak adakah rasa cinta, untuk saya. Walau setitik?” Sufie menduga.
“Awak rasa? “
Rijal menyoal kembali. “Anak Dato’
seperti saya beristerikan albino. Awak gila ke? Sepatutnya awak kena pandai
berfikir, bukannya tertipu dengan mimpi yang tak pernah wujud. Ini dunia
realiti, bukan fantasi.”
“Abang dah berjanji nak temankan saya sepanjang hayat ini.
Abang masih ingat bukan,”tenang
Sufie melantun kata walau hatinya hancur, malah senyum kecil menghiasi setiap
butir katanya.
Rijal memerhati Sufie dari bawah ke
atas dan ke bawah semula, menyebabkan Sufie merasa semakin terhina, seolah-olah
dirinya sedang ditelanjangi dan maruahnya sedang dirobek-robek rakus oleh
Rijal. Ah! Lelaki itu benar-benar telah menelanjangi maruahnya dengan mata
syaitan yang menghina.
“Awak rasa-rasalah, ada ke, cinta untuk awak? Wujud ke,
cinta sejati untuk awak?” Rijal
menyoal. Sufie kelu. “ Biar saya tolong
jawab. Tidak akan pernah wujud cinta untuk albino.”Renungan tajam itu
bagai jarum yang dibenam ke hati. Lelaki itu ternyata kejam.
“Saya juga berhak untuk dicintai. Saya tak pernah memilih,
hanya mahukan cinta ikhlas.”
Sufie makin sebak, namun masih dipertahankan ketenangan dan kelembutan
bicara dalam payah.
“Dalam dunia ni, ada duit, ada pangkat, ada rupa, adalah
cinta. Saya ada semua itu dan awak tidak ada walau satu pun. Jadi macam mana
awak nak dapat cinta sejati. Give and take,itu hukum dunia. Orang tak
buat kerja free.” Rijal
mencebik hina.
“Kalau semua itu hilang, masih adakah cinta sejati untuk
abang? Kalaulah cinta diukur dengan semua tu, tentulah cinta itu lebih layak
disebut cinta jual beli.”
“Kenapa awak ni? Ising? Terimalah kenyataan saya tak sudi.
Mustahil lah, saya akan jatuh cinta kat awak.” Rijal mula meninggikan suara.
“Hati manusia milik ALLAH. Bila-bila masa boleh berubah.
Hari ini benci, esok lusa cinta.”Sufie
cuba memujuk, bukan kerana tidak dapat menerima kenyataan, tetapi tidak sanggup
melukakan hati mek yang begitu berharap. Tergambar tangisan pilu mek jika
perkara itu terbongkar. Pastilah ibunya akan dihina seisi kampung.
“Tengok pun dah loya, inikan pula nak bercinta. Bersama
apatah lagi. Saya boleh cari cinta dengan duit.”
“Kalau abang bercinta seratus tahun sekalipun, jika ALLAH pusingkan
hati, sekelip mata, cinta boleh jadi benci. Bukan tak pernah dengar dan lihat
perkara macam tu.” Sufie bernada lembut, cuba
memancing.
“Kasihan awak, dipermaikan TUHAN. Sembahyang tak
habis-habis, tapi malang memanjang.”
“Itulah sebenarnya kasih sayang ALLAH. Ibarat ayah yang
merotan anak yang disayangi demi kebaikan anak itu sendiri. Seperti ibu yang
menggambil pisau di tangan anaknya, walaupun anaknya menjerit mahukan pisau
itu. Mungkin ini yang terbaik untuk saya.”
“Awak sebenarnya hidup dalam mimpi! Sedarlah TUHAN bencikan
awak. Tengoklah awak kena albino. Sebab awak, seisi keluarga awak malu.”
“Saya ini gadis biasa, yang amalnya tidak seberapa. Jika
penyakit ini dapat mendekatkan saya padaNya, saya terima.”
“Kasih sayangNya maha luas, abang yang sedang bersangka
buruk denganNya, masih tidak ditarik nafas. Masih diberi rezeki. Saya redha
jika perceraian ini pilihan abang, Cuma tolonglah berhenti mempersoalkan ALLAH.
SayangNya tidak bertepi. Sayangilah DIA selagi sempat.”
“Memandai pulak awak ni. Kalah ustazah. Nasib baik saya
ceraikan awal-awal. Kalau tak silap-silap pakai kopiah lah saya jawabnya.”Rijal mencerlangkan mata kerana geram.
Lelaki itu tidak mampu dipujuknya.
Melihatkan mata Rijal yang membutang dengan kerutan menyinga pada wajah menyebabkan
Sufie menukar soalan. Baginya, tiada guna dia cuba memujuk jika orang sudah
tidak sudi.
“Bila abang nak bertolak.”
“Sekarang. Boleh tak kalau awak senyap. Serabut… Serabut,
faham tak makna serabut.” Rijal
membentak geram.
“Tolong kasihankan mek! Dia benar-benar berharap pada
perkahwinan ni. Berlakonlah hingga kita tinggalkan kampung esok. Kasihankan dia
yang dah tua. Saya tak kisah dimalukan, tapi maruah mek dan ayah saya kenalah
dijaga. Esok tinggalkan saya di bus station dekat pekan. Saya janji, tak
kacau hidup awak lepas ni.”
Walaupun dia telah meracik-racik
jiwa Sufie, namun hatinya masih tersisa belas kasihan. Rijal bersetuju dengan
permintaan Sufie, namun dia juga mahu agar perkara itu dirahsiakan daripada
pengetahuan mamanya iaitu Datin Abda sehingga selesai penyerahan saham itu
kepadanya.
“Awak tidur atas katil. Tanda saya minta maaf.” Rijal bersuara tegas.
“Kita bukan lagi suami dan isteri. Abang tidur sahaja atas
katil. Esok nak berangkat jauh, perlu rehat lebih. Ini rumah saya,
pandai-pandailah saya tidur.”Sufie
berkata lembut.
Rijal terkasima sebentar, tidak
disangka dan diduga yang Sufie masih mampu tenang walaupun telah dicerai dan
dihina. Malah setiap katanya penuh kelembutan tanpa riak kesedihan. Perasaan
bersalah menjentik tangkai hati, namun tidak diendahkan kerana matlamatnya
adalah jauh lebih penting. Dia memerhatikan Sufie melangkah keluar. Lamunannya
terhenti sebaik pintu bilik tertutup.
“Alhamdullilah.”
Sufie memanjat kesyukuran kerana rumahnya lengang seperti dilanggar garuda.
Jika tidak tentulah wajah dukanya itu mampu dihidu. Mungkin kerana kesemuanya
telah kepenatan setelah seharian bertungkus-lumus. Sufie menitiskan air mata,
ternyata ujian itu amat berat, seperti nyawanya sedang disentap-sentap.
“Ya ALLAH. Kasih sungguh Kau padaku. Hari ini Engkau
curahkan ujian tanda cintaMu padaku. Tapi cinta ini terlalu besar, sehingga air
mataku jatuh laju. Aku mohon pertolonganMu, agar setiasa bersangka baik
denganMu dan hamba-hambaMu.”
Sufie melangkah longlai ke bilik
air. Sebaik pili dipulas air meluncur laju, selaju air matanya. Hujan yang
turun lebat, melumpuhkan bunyi tangisannya.
Dia masuk ke bilik tetamu dan
memutuskan untuk bermalam, bermunajad dan megadu untung nasibnya kepada ALLAH.
Usai solat Tahajud dan berdoa. Dia kembali berkata, meluah duka kepada TUHAN.
“Ya ALLAH. Ini malam pertama pengantinku. Malam aku
sepatutnya dipeluk dalam dakap cinta suami. Tapi malam ini, masih sama seperti
malam-malam sebelumnya. Aku masih dijemput untuk dakapan cintaMu, dan
sesungguhnya tiada cinta yang terindah, melainkan cinta-Mu.”
“Ya ALLAH Jika ini pilihan cintaMu, aku redha. Namun aku
masih seperti bayi kecil yang bertatih, sering jatuh dan tersungkur. Pimpinlah
aku bangun. Pimpinlah aku melangkah. Jangan sampai aku sia-siakan cintaMu. Aku
tidak mahu pulang melihat kemurkaanMu, setelah aku kenal kasih sayangMu.”
“Berilah rasa penyerahan yang benar padaku. Rasa penyerahan
yang dirasai para kekasihMu. Rasa yang membuatkan Kau bangga untuk menyatakan
akulah di antara kekasihMu.”
Sufie larut dalam munajad.
Ketenangan hadir, sedikit demi sedikit membelai kalbu.
Kemudian tidak henti-henti bibirnya
menyebut doa memohon keampunan daripada ALLAH S.W.T.
“Rabbana zhalamna anfusana wa in lam taghfir lana wa
tarhamna lanakunanna minal khasiriin.”
Air matanya kembali mengalir deras, seolah kasih sayang TUHAN sedang
mendakapnya.