Home Cerpen Keluarga Padir
Padir
Sufi Abqari
28/4/2013 00:18:28
2,400
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

PADIR (CERITA 3)

Induk betina, ayam kapan berbulu putih dengan rintik-rintik hitam sedang berketak memanggil anak-anaknya. Perut cicak daun itu terburai oleh tikaman cakar induk betina itu. Melimpah ruah segala isi perutnya keluar. Anak-anak ayam itu gelojoh berebutkan bangkai cicak daun. Isi perutnya dipatuk-patuk kemudian mencicit anak ayam itu melarikan diri, bila anak ayam yang lain cuba merampas isi perut itu daripada paruhnya. Aku senyum melihat gelagat anak-anak ayam itu. Aku teringatkan ketika Aminah kecil begitulah dia, ke hulu dan ke hilir berlari penuh riang, tanpa sedih, tanpa pedih, hidupnya penuh tawa suka.

Batukku semakin menjadi-jadi, Aku ludah kahak melalui rekahan pada lantai papan. Aku berkira-kira mahu ke rumah Tipah Janda dan Seman esok kerana sudah tidak betah melihat Suri. Si Munir dan Si Usop sering membuli Suri. Sering benar Suri pulang dengan luka dan lebam. Pagi dia keluar elok, pulang petang sudah penuh lebam dan luka. Azan magrib berkumandang. Sengal-sengal badanku masih belum kebah, aku mengeliat menghilang lenguh, kaki aku unjurkan ke depan lalu aku putar-putarkan tapak kakiku, sedikit selesa kini. Aku kemudiannya turun dari beranda menuju ke reban ayam di belakang rumah. Ayam-ayam sudah masuk ke dalam reban. Pintu reban ayam aku sendal dengan batang cangkul kemudian aku menggambil basikal menuju ke surau.

Malam ini Ustaz Razin dari Kampung Telaga Papan datang menyampaikan ceramah bertajuk hikmah musibah. Katanya musibah itu pahit di dunia tetapi manis di akhirat. Pendek kata, musibah bukanlah perkara buruk kerana Allah s.w.t mempunyai maksud-maksud baik di sebalik ujian itu. Orang yang faham tentunya mengatakan bahawa merekalah yang terpilih untuk ditinggikan darjat di sisi Allah dan terpilih untuk mendapat pahala yang besar berganda. Selepas insyak aku terus pulang. Ajakkan Usop Keli untuk minum di kedai kopi Mak Su Aji aku tolak.

Malam ini isteriku tidur awal. Aku menjenguk suri di biliknya. Dia juga sedang tidur. Aminah masih mengikat akhbar-akhbar lama untuk di hantar ke kilang keropok Haji Amir. Peluang baik bagiku untuk memujuk Aminah. Aku mahu Aminah terus tinggal Di Kampung Jeti Dua. Aminah budak bijak, cukup bijak sehingga melayakkan dia memperolehi ijazah dari universiti di utara tanah air. Tetapi hatinya masih belum tenteram. Aku bimbang jika kehidupannya di luar semakin tertekan. Aku menghampiri Aminah bertanyakan keputusannya. Dia tetap dengan keputusannya. Memang degil itulah yang mampu aku katakan. Perbualan aku dan Aminah terganggu apabila Mamat singgah. Tidak lama, hanya berbasi-basi sebelum Mamat meneruskan pekerjaannya. Aku kembali bertanya kepada Aminah. Hatinya mula meradang, ada riak marah bersama jawapannya. Aku faham keadaanya. Aminah masuk ke dalam rumah apabila Suri merengek-rengek memanggilnya. Bagaimanakah apabila Aminah sudah pergi? Aku risau jikalau penyakit Suri semakin teruk. Rapat sungguh dia dengan Aminah. Aku tidak hairan mengapa Suri begitu sayang kepada Aminah.

Aminah seorang kakak yang penyantun, lemah lembut malah seorang kakak yang begitu mengambil berat perihal adiknya. Tidur malam Aminah dodoikan dengan kisah Rasullulah dan para sahabat. Aku mahu mandikan Suri, berkeliling rumah aku harus mengejarnya. Hanya Aminah sahaja yang dia mahu.

Aminah juga anak yang baik. Semenjak dari kecil dia patuh kepada aku dan Mek. Tidak pernah dia meninggikan suara kepada kami berdua. Tetapi semenjak kejadian suami dan anaknya yang berusia dua bulan mati lemas, dia sudah tidak seriang dahulu. Suami dan anaknya meninggal terperangkap di dalam kereta semasa kereta mereka naiki terbabas masuk ke dalam sungai. Tekanan air dari luar menyebabkan cermin kereta tidak dapat dipecahkan, akhirnya mereka meninggal kelemasan apabila air memenuhi kereta. Masih Aku ingat tarikh keramat itu. Pada hari itu Usop Keli baru pulang dari bandar. Dia memang sering ke bandar menghantar ikan-ikan keli ke restoran-restoran di bandar.

Tergopoh-gapah Usop Keli berlari mendapatkan aku. Aku terpinga-pinga. Aminah yang sedang mencubit geram pipi Suri juga turut diam. Mek, isteriku berhenti menyapu daun-daun kering.

“Kenapa…Sop?”

“Mirul..Mirul..” Usop Keli hilang punca.

Aku lihat Aminah menggigil, wajahnya bertukar pucat. Dia memegang tiang kayu. Suri hanya memerhati. Mek berlari ke arah beranda. Aku masih cuba bertenang,

“Mirul dengan Ayim..mereka sudah pergi.”

“Aku ingatkan apalah yang kamu gopoh-gapahkan tadi…Sudah..mereka ke bandar membeli barang. Esok mahu diadakan kenduri tahlil arwahnya Pak Long Suri dan Minah.” Mek menjawab. Wajahnya yang cemas kembali lega.

“Kamu ini Sop takutkan aku sajalah. Macam hendak luruh jantung aku tengok kamu berlari tadi.” Aminah pula menambah.

Tetapi aku dapat rasakan kelainan. Naluri aku kuat mengatakan ianya sesuatu yang tidak baik. Aku hanya diam, menunggu Usop Keli bercerita.

“Aku tidak tahu bagaimana hendak mulakan..Tapi aku harus katakan juga..Harap semuanya sabar.. Allah sudah menjemput suami dan anak kamu Minah.” Usop Keli melabuhkan pandanggannya kepada Aminah.

Hatiku sebak. Mek melangkah laju pada anak tangga kemudian memeluk erat-erat Aminah lalu berkata.

“Ikhlaskan…Minah..Ikhlaskan..Kamu mungkin hilang segalanya, tapi kamu masih ada Allah. Jangan fikir bukan-bukan. Yakinlah dengan kasih sayang Allah. Ikhlaskan..Minah. Jangan kamu tertipu dengan bisikan syaitan.” Mek masih memeluk Aminah.

Aku kalih padanganku daripada Usop Keli kepada Mek. Ah! Wanita ini keras betul hatinya, tidak setitik pun air matanya jatuh. Kalaulah Mek ibu tiri Aminah sudah pasti aku mengatakan kasihnya kepada Aminah tidak mendalam. Tidak setulus kasih seorang ibu kepada anaknya. Mek masih memeluk erat Aminah. Masih berusaha memujuknya dengan bersungguh.

Pada saat itu Aminah tidak sekalipun mengerlipkan matanya, hanya air matanya menghambur laju. Dia beristighfar laju-laju. Semakin lama semakin kuat. Aku tahu Aminah cuba mencari kekuatan.

Bunyi kelapa tua jatuh mengejutkan aku, ada air jernih mengalir daripada mataku. Aku membuka mata dan cepat-cepat menyapu air mata, risau kalau dilihat oleh sesiapa. Angin masih berhembus, nyaman, tetapi aku lebih suka hembusan angin pada waktu siang. Aku bingkas bangun. Perutku belum terisi. Mataku laju menangkap jarum jam di dinding.

“Allahhuakhbar..Sudah pukul sebelas, patutlah lapar.”

Ayam jantan belaanku berkokok menandakan subuh hampir tiba. Embun pagi yang turun menjadikan suasan terasa sejuk, makin sejuk apabila angin bertiup masuk menerusi lubang layar. Aku sudah bersiap untuk ke surau. Basikal tua dengan lampu besar berwarna hitam aku sorong dari bawah rumah dan kayuh dengan cermat. Lampunya sudah rosak jadi aku gunakan lampu suluh bagi menerangi jalan yang aku lalui. Aku sayang basikal tua ini. Basikal inilah aku gunakan untuk menghantar Aminah ke sekolah. Pagi-pagi hari sudah aku hantar Aminah ke sekolah. Budak-budak lain kebanyakkannya hanya berjalan kaki. Sayangnya aku kepada Aminah membuakkan semangatku untuk menghantarnya ke sekolah. Azan subuh berkumandang, aku lajukan kayuhan. Aku sudah merancang selepas kelas tajwid pagi ini mahu terus ke rumah Tipah Janda dan Seman. Aku mahu berbincang tentang Si Munir dan Si Usop. Aku berharap Seman dan Tipah Janda boleh menasihatkan anak mereka.

Usai solat berjemaah aku lihat Seman sedang bersandar pada pagar beranda surau. Aku hampiri Seman. Aku memberi salam. Aku senyum lebar-lebar. Aku tanyakan tentang rumah barunya. Riuh Seman bercerita tentang harga rumahnya. Tentang kenapakah dia memilih warna biru untuk dinding rumahnya dan bagaimanakah marahnya Siah, isterinya yang berkeras mahukan dinding bercat warna hijau. Aku hanya merasa suasana sebelum menyatakan hasratku. Angin Seman sudah kuhidu. Aku akhirnya menyatakan perkara sebenar. Seman sedikit terkejut. Dia berkali-kali meminta maaf kepadaku. Seman berjanji perkara itu tidak akan berulang lagi. Lega rasanya. Selepas itu aku mahu ke rumah Tipah Janda pula.

Tipah Janda, wanita cantik Kampung Jeti Dua. Masa mudanya dialah gadis yang menjadi dambaan pemuda kampung. Tetapi sayang akhlaknya tidak secantik rupanya. Tipah Janda kecewa apabila aku menolak cintanya dan memilih Mek sebagai suri hidupku. Memang benar Mek tidak secantik Tipah Janda, tetapi ada sesuatu yang mengikat aku kepada Mek. Riuh sekampung apabila aku ingin berkahwin dengan Mek. Bagai si tampan dengan si jelik bagi penduduk kampung ketika itu. Tipah Jandalah yang paling membara, dicanangnya bahawa Mek tidak sedar diri, mahukan suami tampan sedangkan rupa tiada. Tapi pesan ibuku menjadi ubat buat hatiku. Semasa aku sedang termenung berlunjur kaki di tangga kayu. Kelembutan seorang ibu datang mengusap tangkai hatiku.

“Kamu masih ingat ayat cinta di dalam novel Hamka?” Ibuku menyambung, sedang tangannya membelai rambutku.

“Cinta itu hadiah daripada Allah kepada hambaNya. Tiada istilah kaya atau miskin, mulia atau hina, cantik atau jelik, cacat atau sempurna, raja atau hamba, Kerana sememangnya hadiah daripada Allah itu, adil sifatnya. Cuma manusia sendiri yang suka mendarjatkan dan menetapkan cinta itu harus kepada siapa. Allah sudah mengariskan cinta dengan caraNya, jadi kenapa kamu perlu resah pada peraturan cinta manusia.”

Kenangan itu kemudiannya lenyap.

Dari jauh sudah tersergam sebuah rumah papan yang dikelilingi pohon nangka madu. Tipah Janda sedang menyidai kain pada rentangan dawai-dawai besi yang diikat diantara pokok nangka madu dan pokok pauh epal. Munir lintang pukang melarikan diri apabila melihat aku. Tipah Janda tersenyum memandang aku.

“Assalamualaikum Bang Padir. Mimpi apa datang rumah saya pagi hari.?” Tipah menyapa. Dia kelihatan gembira dengan kedatangan aku. Masih membarakah kasihnya padaku. Aku beristighfar, tidak sepatutnya aku bersangka buruk kepadanya. Aku turun daripada basikal. Tipah Janda masih tersenyum.

“Waalaikummussalam. Aku kemari ada hajat.Aku tidak lama, tidak manis dilihat orang.” Aku menyusun ayat, tidak elok rasanya jika terlalu berterus terang.

“Apa yang ditakutkan kita bukannya buat apa-apa.” Tipah Janda memancing.

“Begini Tipah..Kalau boleh kamu nasihatilah Si Munir itu. Selalu benar dia dengan Si Usop membuli Suri. Kasihan Suri. Dia tiada upaya macam budak berdua itu.”

“Baiklah Bang Padir. Saya minta maaf. Tunggulah dulu, saya buatkan kopi. Goreng pisang pun masih ada.”

“Terima kasih sajalah Tipah. Aku mahu cepat.” Aku kembali mengayuh basikal.

Baru beberapa kayuhan Aku dengar Si Munir menjerit kesakitan dan suara Tipah Janda mengamuk. Aku kembali berpatah.

Tipah Janda sedang memukul Si Munir dengan getah paip. Si Munir meronta-ronta, namun tidak sedikit pun Tipah Janda menaruh belas. Kalau diikutkan hati mahu sahaja aku biarkan. Tetapi sebagai manusia itu bukanlah pilihan yang tepat. Aku dihadiahkan akal oleh Allah untuk membuat kebaikan.

Aku tiada pilihan, setelah disuruh berhenti Tipah Janda masih tidak menghiraukan kata-kataku. Lantas aku capai kain batik di jemuran, aku balut tanganku dan terus pegang Tipah Janda, supaya dia dapat bertenang, namun lain pula jadinya.

Tipah Janda semakin mengamuk. Dia menghamunku.

“Jijik sangat ke kita. Sampai kena balut-balut tangan?” Matanya diluaskan, seluas mungkin.

Si Munir tidak tunggu diam, kesempatan yang ada digunakan untuk dia melarikan diri, mungkin dia lari ke rumah ayahnya. Aku tidak menjawab soalan Tipah Janda. Aku meluru ke arah basikalku dan menyorong basikal tua itu sejauh mungkin sebelum mengayuh meninggalkan Tipah Janda yang sedang menyinga.

Tenang rasanya dadaku. Setenang angin yang sedang berpuput. Semoga selepas ini Suri boleh hidup dengan lebih tenang. Sampai sahaja di rumah aku dapati pintu pagar terbuka, mungkin Suri sudah keluar merayau dan terlupa menutup kembali pintu pagar. Salamku tidak bersambut. Dua tiga kali aku mengulangi salam tetapi masih tiada sesiapa yang menyahut. Aku turun dari tangga menuju ke bahagian dapur. Jendela dapur terbuka tetapi masih tidak kelihatan kelibat Aminah. Aku memanggil-manggil Aminah, tetap tiada sahutan. Aku menjadi hairan, bagaimanakah Aminah boleh meninggalkan rumah begitu sahaja. Setahu Aku Aminah begitu menitik beratkan soal keselamatan. Aku sedikit cemas. Aku gagahi tenaga tua. Aku panjat jendela dapur. Berketak-ketuk dua ekor ayam melarikan diri. Tudung saji diasak oleh ayam-ayam itu, berderai jatuh pinggan berisi jejemput ikan bilis dari bawah tudung saji. Aku halau dua ekor ayam itu sehingga keluar melalui jendela. Aku langkahi tangga menuju ruang tengah, masih sunyi. Aku bertambah pelik.

“Ke mana Minah pergi. Apakah yang berlaku?”

Bunyi pintu hadapan diketuk kuat menyebabkan aku berjalan pantas membuka. Pintu aku buka selebar-lebarnya. Usop Keli dan Haji Ku sedang mengusung Suri, Pak Abas kemudiannya turun dari van. Aku tidak dapat gambarkan perasaan aku sekarang. Raut wajahku tenang, siapa yang tahu tangisan di dalam. Hati aku menangis setiap kali melihat Suri sawan. Kalaulah penyakitnya boleh dipindah-pindah, aku rela menanggung sakit Suri. Kalaulah derita Aminah boleh aku ambil, sudah lama aku tarah semuanya. Biar aku derita, jangan mereka berdua. Aku pernah memberitahu Mek perasaan itu. Mek kemudiannya menasihati aku.

“Jangan suka berkalau…Perkataan itu hanya menambah luka dihati, menyebab redha berganti sesal. Allah sudah mengukur setiap ujian yang diberi. Jangan tertipu dengan bisikan syaitan.” Lembut suara Mek menasihati aku ketika itu. Mek isteri kesayanganku, wajahnya tidak seberapa, tetapi hatinya tiada tandingan. Susah senang, pahit manis tidak pernah aku dengar dia mengeluh. Tidak pernah dia meninggikan suaranya padaku. Benar-benar wanita yang redha

Berkahwin dengan Mek umpama mempunyai permata berlian. Dialah sebaik-baik perhiasan dunia bagiku. Semenjak aku berkahwin dengan Mek sikap baranku sudah hilang malah agamaku sudah semakin bagus sehinggakan Aminah dan Suri tidak percaya bila diberitahu aku sebenarnya baran semasa muda.

Aku menyelak langsir bilik Suri. Kipas aku pasang. Jendela aku biarkan terbuka agar senang angin laut masuk. Suri sudah terbaring di atas katil. Haji Ku ke bilik air membasuh tangannya yang terkena kencing Suri. Bedebuk bunyi basikal jatuh. Aminah masuk, matanya merah dengan air mata mengalir. Aku bertambah sebak tetapi aku lelaki dan merupakan ketua keluarga. Pantang anak lelaki menangis seperti perempuan. Aku masih bersahaja. Aku menyuruh Aminah ke dapur membancuh teh untuk tetamu yang datang. Aminah tidak endahkan arahanku. Dia meluru memeluk Suri. Aku biarkan. Aku menjemput Haji Ku, Usop Keli dan Pak Abas duduk di ruang tamu. Seketika kemudian kedengaran air pancuran terjun laju. Mungkin Aminah sedang mandi, tentu kencing Suri melekat pada bajunya. Kemudian bunyi itu hilang. Aminah belum juga muncul dengan air teh yang aku pesan. Aku bingkas bangun menuju ke dapur bagi menyediakan minuman. Baru sahaja aku susun cawan-cawan di atas dulang Aminah sudah berada di sebelahku. Aku sendiri tidak menyedari bilakah dia datang.

“Ayah biar saya buatkan air. Saya solat zohor tadi..” Aminah menerangkan perkara sebenar. Aku hanya senyum. Aku kembali ke ruang tamu.

Selesai tetamu pulang, Ketika aku dan Mek sedang berbual, atau lebih tepat aku sedang menyatakan kegusaran hatiku kepada Mek, Aminah datang, sambil tersenyum, sudah lama rasanya dia tidak tersenyum begitu. Tapi senyumannya masih kelat seperti kopi tidak cukup gula. Dia meminta sesuatu, sesuatu yang amat pantang dalam hidupku. Kegagalan mengawal emosi menyebabkan aku meninggikan suara dan Aminah menyinga, hanya Mek masih tenang.

“Aku benci doktor! Aku benci hospital!” Jeritan batinku bergema. Mahu saja aku menjerit kepada Aminah betapa aku amat membenci mereka, tapi semua itu seperti tulang yang tersekat di kerongkongku.

Kisah itu terlalu pahit untuk diingat apatah lagi untuk diceritakan kembali.

Aku tidak marahkan Aminah, jauh sekali membencinya. Aku juga sayang akan Suri. Jika ada ubat terbaik aku akan daki, walau ke Gunung Tahan untuk mendapatkannya, tapi bukannya di hospital, tempat di mana ibuku dibunuh.

“Ibuku dibunuh, doktor .” Aku bungkang.

Luka lama berdarah kembali. Ibuku mati di tangan doktor hingusan bermatakan kepingan kertas bernilai yang mereka panggil kunci syurga dunia.

Aku takut jika Suri juga menerima nasib seperti ibuku. Nasib yang tidak mungkin dapat diubah kembali, masa yang tidak mungkin dapat diputar semula. Aku benar-benar takut sehinggakan aku menjadi gementar yang menyebabkan aku menjadi marah. Mungkin dengan menunjukkan kemarahan itu dapat aku selindungi ketakutan yang selama ini aku benam sedalam-dalamnya di dasar hatiku. Namun sejak minggu lepas Aminah seakan-akan cuba menggali kembali ingatan itu. Ketakutan yang cuba aku padam, sedikit demi sedikit kembali timbul.

Kadang-kala aku berfikir, adakah patut aku memberitahu segalanya kepada Mek, Suri dan Aminah? Itu semua adalah mustahil. Mana mungkin lelaki menunjukkan kelemahannya. Pantang pahlawan samudera menunjukkan kelemahannya.

Wajah ibuku muncul kembali, alis hitam pekat dengan wajah garang wanita arab menjadikan ibuku cukup cantik. Satu-satunya wanita arab yang berkahwin dengan orang melayu di Kampung Jeti Dua. Rindu itu kembali mengetuk hatiku. Wajah Aminah persis ibuku, malah perwatakan mereka juga serupa, namun kini Aminah sudah agak berubah.

Aku soroti langkah Aminah. Aku memandang Mek. Seakan faham, Mek bangun menuruti langkah Aminah.

“Oh..anak-anakku jika kau tahu betapa aku menyayangi kamu melebihi nyawaku sendiri, namun kelelakianku ini tidak mudah untuk aku tundukkan. Aku ingin sekali mengatakan aku benar-benar tidak bermaksud menyakitimu.”

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.