Pagi-pagi
lagi Sufie sudah bergegas mahu ke hospital. Mangkuk tingkat besi berbunga cempaka kuning dijinjing
kemas. Mangkuk bertingkat tiga itu terisi bubur nasi. Langkahnya dilajukan,
namun matanya seakan tidak mengizinkan. Sejak kebelakangan ini penglihatanya kembali
berbalam-balam, tampak pecah. Tetapi itu bukanlah alasan untuk dia meraih
simpati. Sudah sifatnya tidak suka menyusahkan.
Sufie
tersenyum ayu. “Harap-harap selera Tariq terbuka dengan bubur nasi ni?” wajahnya bertukar kelat. Kini satu kebimbangan mula menusuk akal. “Makan ke
dia bubur nasi? Insya-ALLAH.” Dia kembali senyum.
Hujan rintik
turun kembali. Sufie melangkah laju, namun seperti tadi langkahnya masih
terbatas. Baru beberapa langkah hujan mulai lebat, menyimbah bumi, sekaligus
meratah setiap inci jasad.
“SubhanALLAH!
Hujan rahmat sudah turun,” terlarik senyuman tanpa paksa.
Mungkin
kerana embun masih tersisa, maka jilatan hujan semakin membekukan langkah.
Sufie menggigil. Ya, dia menggigil kerana suhu yang tidak dapat diterima
tubuhnya. Sesekali sentakan tangan menyebabkan
mangkuk tingkat berayun ke hadapan. Cepat-cepat ditahan, risau jika bubur
tumpah.
Bila
melintasi jejantas, dia berteduh di situ, menanti hujan reda.
“Mujur ALLAH
gerakkan hati aku nak tinggalkan buku di hospital, rupa-rupanya hujan nak turun
lebat pagi ni.” Sekali lagi Sufie meleretkan senyuman. Bibirnya bergerak-gerak
seiring badan. Dia benar-benar kesejukan.
Sudah
setengah jam, namun hujan masih mengila, malah tempias juga galak meludah.
Bibir Sufie pucat malah mukanya juga ikut pucat. Gigilan badannya makin hebat.
“Pin… pin…”
sebuah kereta berhenti betul-betul di hadapan Sufie. Tingkap kaca diturunkan.
Wajah dari dalam berkerut resah. Dia melaung
pantas. “ Masuk! Nanti demam.”
Sufie
menyisir wajah lelaki bermata hijau laut itu. Ada keiklasan yang terbit, namun
berdua dengan bukan muhrim amat ditakuti.
“Se…
selamattt pagii Coorrado…”
terputus-putus sapaan Sufie.
Seketika
mata Corrado terpaku kepada susuk Sufie
yang terbekas akibat kebasahan, Bila disedari kelakuan itu kurang sopan
cepat-cepat dilarikan pandangan. Sekali lagi matanya terpaku bila melihat
kepucatan wajah Sufie.
“Cepat naik…
saya hantarkan kamu ke hospital,” bersungguh Corrado mengajak.
Sufie serba
salah. Keiklasan Corrado sukar ditolak, malah tidak sanggup ditolak, tetapi dia
malu jika dilihat TUHAN sewaktu mereka berdua. Dia pegun seketika.
“Lekaslah
naik, tempias kuat tu. Nanti tak pasal-pasal awak demam.” Corrado berganjak dan
menarik selak pintu. Pintu yang ditolak laju terkuak.
Sufie senyum
dalam payah. “Tak apalah Corrado… saya nak tunggu hujan berhenti. Awak pergilah
dulu. Kelas saya bermula pukul sepuluh pagi. Masih awal,” dalih Sufie. Hatinya
sebal terpaksa menolak keiklasan Corrado.
“Cepatlah
naik! Free…tak terhutang budi dan
tak tergadai body.Saya tak akan buat perkara yang bukan-bukan,”
pujuk Corrado bersungguh. Nadanya romantis seperti selalu.
Sufie
senyum, namun senyuman dengan tubuh yang masih menggigil tidak mampu menenagkan
perasaan Corrado, malah senyuman itu hanya menambah siksa di hati.
“Cepatlah
naik! Saya tak boleh parkir lama-lama di sini. Kalau bertembung dengan polis
tentu kena saman. Awak tak kasihankan saya ke?” sengaja disayukan nada suara.
Moga-moga Sufie akan mengalah.
“Maafkan
saya Corrado. Saya betul-betul mahu tunggu hujan berhenti. Lagi pun baju saya
basah lencun, tak selesa duduk dalam kereta dengan air
cond.” Sufie berharap helahnya akan berhasil.
Ternyata
hati yang diserang cinta tidak akan betah bila melihat bunga yang dipuja kebasahan.
Corrado keluar bersama sekaki payung. Kaki seluarnya basah ketika mengharung
air.
“Cepatlah
masuk nanti awak demam.”
“Maaf saya
tak biasa, lagipun kalau saya berjalan dalam lima belas minit lagi sampailah.”
Sufie berwajah kelat.
“Tak sudi?”
sayu wajah Corrado memancing hatinya.
“Saya tak
selesa satu kereta dengan bukan muhrim.
Maafkan saya ya.” Sufie menghayun langkah tanpa sempat Corrado membalas.
Corrado
memerhati, matanya pincing tiba-tiba kerana terkesan sesuatu. Diamati lagi
adakah dia tersalah lihat. Namun makin diperhati, makin dia yakin yang
telahannya itu benar. Kelihatan langkah Sufie agak tersasar sekejap ke kiri,
sekejap ke kanan. Adakala laju dan adakala perlahan. Makin sakit hati Corrado
diserang resah.
Satu
dengusan kecil kedengaran. Dia kesal dengan kedegilan Sufie. Namun kemudian dia
senyum bangga.
“Sungguh
suci kamu Sufie. Benar-benar bidadari dari syurga. Mana mungkin aku lepaskan
gadis sebaik kamu.” Corrado berlari mendapatkan Sufie. Apabila semakin
menghampiri derap langkahnya diatur sesenyap mungkin.
Sufie
mendongak bila dirasakan bebayang memayunginya. Hujan juga sudah tidak menujah
lagi. Dia melihat lingkaran bunga pada kembangan payung yang memayungi.
Kemudian dia menoleh ke sebelah. Tiada sesiapa. Badanya masih menggeletar,
mencuit ketenangan Corrado.
“Izinkan
saya memayungi awak sampai ke hospital?” pinta Corrado lembut.
Sufie tidak membalas. Langkahnya makin tersasar
bila nistagmus menyerang lagi. Adakala sukar untuk Corrado menahan diri
daripada memegang Sufie bila dirasakan
langkah gadis itu tersasar, namun seperti diduga sentuhan ikhlas itu ditepis.
Tindakan itu makin mendebarkan bila jantung menendang dada. Makin subur
perasaan kagum dan cinta itu.
‘Ah! Memang
benar-benar gadis yang tahu menjaga kehormatan. TUHAN aku sangat-sangat ingin
menjadikan dia isteriku,’ desir hati Corrado yang paling dalam.
“Kenapa bawa
bekal hari ni? Kalau awak mahu boleh ambil makanan di kafe, jadi tak perlulah
bawa bekal.” Corrado merenung mangkuk tingkat yang kemas dalam dakapan Sufie.
“Saya
bawakan untuk Tariq,” pendek dibalas
Sufie.
Bak
halilintar yang menjilat bumi, hati Corrado hancur mendengar ungkapan itu.
Sudah beralihkah kasih Sufie kepada Tariq?. Corrado tertunduk lesu. Tiada
perkataan yang terungkap saat itu. Suasana kembali sepi, mujurlah bunyi hon dan
ngaungan kenderaan melalikan suasana. Sedar-sedar mereka sudah sampai ke
hospital.
Corrado
senyum biarpun itu hanyalah senyuman
palsu. Melihat Sufie ditelan lif ibarat kegembiraan yang dikumpul selama ini
turut ditelan pergi.
“Ah… Tariq sudah bertunang… aku yakin Sufie sekadar mengambil
berat,” pujukan hati tidak mampu melegakan rasa cinta yang membara.
***
“Bangun!!!”
Daniel menjerit bila mendapati Tariq tidur bersebelahan.
Tiada reaksi
yang diberikan atau lebih tepat Tariq tidur mati. Semakin dikejut, semakin
kejap rangkulannya. Daniel kaku seketika. Dia cuba mengigati kali terakhir dia
dirangkul sebegitu. Dan ternyata ingatan indah itu tidak pernah wujud. Barulah
dia menyedari yang selama ini dia kesepian. Air mata yang cuba ditahan tumpah,
esakan kecil bersambung ke raungan hiba. Tersedu-sedu dia mengenangkan mama dan
papanya.
Tariq
bingkas bangun bila tangisan Daniel menghambur laju menerjah gegendang telinga.
Dia yang masih mamai, memisat-misat mata seketika. Direnung Daniel bila
warasnya pulih.
“Kenapa
menangis? Pagi-pagi ni orang ceria bukanya meraung,” sindir Tariq bersulam
resah.
“Pak ngahlah
punya pasal… Dani kejut suruh bangun tak mahu bangun. Dani tak suka pengacau,”
deras dan nyaring luahan Daniel. Memendam rasa.
“Bila pulak
pak ngah kacau. Tumpang tidur pun tak boleh ke?”
“TAK BOLEH!
Dani tak suka sebab pak ngah busuk. Air liur basi pak ngah meleleh,” bidas
Daniel. Menyirap darah Tariq.
“Woiii,
budak. Kau tu yang mengigau tengah-tengah malam. Macam orang hilang akal. Harap
pak ngah kesian aje. Kalau tak silap-silap…”
Pintu
terbuka. Sufie melangkah masuk. Tariq dan Daniel terkejut melihat Sufie yang
kebasahan. Tanpa mempedulikan pandangan Tariq dan Daniel, Sufie berlabuh
punggung dengan cermat di atas sofa. Badannya masih menggigil. Malah makin kuat
bila angin luar menerjah masuk sekaligus memeluknya.
“Awak pergi
taman air ke Sufie,” ketawa Tariq meledak.
Daniel
mencemik, matanya memaku Tariq. “Inilah masalah orang terpelajar. Makin bijak,
makin terserlah kebodohan mereka.”
Giliran
Tariq pula mencemik. Dia membalas. “Inilah masalah orang tak terpelajar. Makin
belajar, makin terserlah kebodohan mereka.”
Kedua-dua
saling memandang, ada geram yang terluah melalui bola mata. Sufie masih diam.
“Kenapa kau
ni macam orang tua hah? Tak padan dengan
budak. Agak-agaknya lah, kau ni roh orang tua yang terperangkap dalam jasad
budak tak.” Tariq gigit jari. Kepalanya mendongak memandang syiling.
“Dan mungkin
pak ngah ni sebenarnay roh budak kecil yang terperangkap dalam jasad orang
tua,” bidas Daniel.
“Memang
patutlah papa kau tinggalkan kau,” lancar sekali ayat itu meluncur. Daniel
kelu, wajahnya tertunduk. Tariq turut kelu bila dirasakan mulutnya lancang.
Sufie hanya memerhati.
“Bagus
rawatan dekat hospital ni, kalau tidak tentu awak tak sesegar pagi ni,” lantun
Sufie.
Tariq pegun
seketika. “Alamak dia sindir aku. Matilah kalau dia tahu aku menipu,” gumam
hatinya.
“Assalamualaikum
Daniel. Bila masuk?” sapa Sufie.
Daniel masih
menunduk, tidak dipedulikan pertanyaan itu.
“Tahu tak,
cikgu gembira dapat bertemu Daniel. Lepas ni bolehlah kita berlajar sama-sama
macam dulu.” Sufie memujuk. Dia melangkah merapati lalu berteleku di birai
katil.
“Pergi…
pergi… Dani tak perlukan sesiapa,” usir Daniel dengan wajah menunduk. Tariq
membisu, mungkin merasa bersalah dengan
apa yang telah diucapkan tadi.
Walaupun
masih kedinginan, namun ketenangan dan kematangan jelas tergambar di wajah
Sufie.
“Cikgu boleh
pergi, asal saja Daniel setuju dengan syarat cikgu.”
“Apa
syaratnya…” walaupun lemah nada suaranya, namun persetujuan Sufie
mengembirakan.
“Kena makan
bubur yang cikgu bawa. Maaflah kalau kurang sesuai. Bubur dah sejuk.” Sufie
bingkas bangun mengambil magkuk tingkat di kaki sofa. Langkahnya lebih bagus
kerana kesejukan semakin menyusut. Bila mangkuk tingkat dibuka, bau harum kanji
membuak. Ada hirisan daun pasli dan taburan kuning telur masin yang dibentuk
bola bersaiz kuaci. Menyentap selera Tariq yang lena.
“Kau memang
baik Sufie. Wah… bestnya dapat makan bubur yang kau masak. Tak sangka kau pandai
masak. Aku ingat kau pandai masak telur rebus dengan mee segera aje.”
“Aku tak
pandai masak, semuanya sebab ilmu yang dipinjamkan ALLAH. Makanlah Tariq rezeki
yang ada ni,” pelawa Sufie.
“Kau tak
pelawa pun aku makan juga. Bukan kau tak kenal aku bab makan free memang aku
suka,” makin meledak ketawa Tariq.
“Kenapa kau
tak pernah cerita siapa kau sebenarnya. Kalau tak sebab kemalangan tu, sampai
bila-bila pun aku tak tahu kau anak orang kaya.” Sufie tidak memandang Tariq,
dia sedang menyenduk bubur ke dalam salah satu mangkuk tingkat yang kosong.
“Ada beza ke
sebelum dan selepsa kau tahu siapa aku?” nada tegas mendadak menikam cuping
Sufie.
Sufie
berkalih, memandang. “Bunga raya dan mawar tetap tak sama walau kedua-duanya
bunga dan cantik. Kau lebih pandai dalam hal ni Tariq,” lembut seperti selalu
jawapan Sufie.
“Yang kaya
orang tua aku. Bukan aku. Hidup seperti ini lebih bermakna. Hidup yang tidak
dipandang sesiapa, cukuplah orang
memandang aku kerana siapa aku dan bukan kerana siapa keluarga dan
keturunanku,” nada lemah terluah.
“Kaya pada
harta, pangkat dan nama, belum tentu kaya pada hati. Hati yang paling menderita
ialah hati yang terkurung dalam sangkar emas. Dapat dilihat, cantik dilihat
tapi tak mampu dipegang dan disentuh. Kasihan kan hidup macam tu.” Tariq merenung
Daniel. Sufie faham maksud renungan itu.
“Emmm…
harumnya bau bubur ni. Walaupun mulut Daniel tak mahu kunyah bubur semurah ni,
tapi cikgu rasa perut Daniel memang terliur.”
Daniel masih
menundukkan kepala. Terasa amat berat untuk didongak kepalanya bagai sebiji
batu dihempap ke leher.
Sufie
menyuakan sesudu bubur kepada Daniel. “ Kasihan perut tu. Tak baik kalau seksa
perut sendiri. Kata nak suruh cikgu cepat pergi. Kalau tak makan makin lamalah
cikgu kat sini.”
Daniel
terpujuk dengan kata-kata itu. Dia mendongak kepala laju lalu memerhati bubur
nasi yang disediakan Sufie.
“Bubur nasi
aje,” menjuih bibir dia. “Saya tak makan masakan orang miskin,” angkuh terbit
bersama lirikan mata yang tajam.
Tariq
memincing sebelah mata, terjungkit keningnya. “Amboi… amboi… budak ni. Orang
dah bagi tu makan saja lah. Budak ni bukannya apa Sufie. Makin hari, makin naik
lemak dia.”
“Sufie
ketawa melihat reaksi Tariq. “Kau ni pun satu, dengan budak pun nak buat kira.”
“Dia ni
bukan budak, tapi orang tua. Kau tengok cara dia bercakap, tu belum lagi dia
mengarah. Sebijik macam orang tua semput,” tingkah Tariq geram.
Sufie tenung
Tariq seketika sebelum pandangan itu berlabuh pada Daniel. “Cikgu suapkan ya…”
lembut nada Sufie. Matanya tersenyum selari dengan gurisan bibirnya.
Daniel
terkebil-kebil tidak percaya. Tariq terkejut melihat anggukan setuju Daniel.
Suapan
pertama disambut Daniel dengan perasaan malu-malu dan teragak-agak. Berat
mulutnya untuk terbuka, malah dirasakan seakan seluruh tenaga diperlukan untuk
dia membuka mulut. Malah perasaan malu makin ketara bila wajahnya direnung
Sufie.
“Daniel
makan lebih sikit ya. Biar cepat besar.”
Sufie meletakkan hidung Daniel di antara dua jarinya, lalu dikepit
lembut, membuah senyuman kanak-kanak itu. Tariq turut senyum, atau lebih tepat
dia terkesan dengan kejadian itu. Dirasakan itulah pemandangan terindah pernah
disaksikan.
“Makin naik
lemak orang tua ni nanti. Kau manjakanlah dia banyak- banyak,” usik Tariq.
Daniel tidak
mengendahkan usikan itu, seleranya mekar bagai dibaja-baja. Dan itulah bubur
terenak pernah dijamah, mengalahkan hidangan hotel lima bintang. Sufie jadi
terhibur melihat kesungguhan Daniel.
“Macam tulah
makan… baru cepat besar.”
“Tak sedap
pun bubur ni. Biasa-biasa saja. Tak masin tak tawar,” rungut Daniel. Sufie
ketawa lucu. Hatinya terusik dengan rungutan Daniel. Manakala Tariq geram.
“Kau ni tak
pandai bersyukur. Melantak sampai kering bubur tu, baru nak kata tak sedap.
Biadap betul mulut,” hambur Tariq geram. Sufie hanya senyum melihat pergaduhan
yang dirasakan adalah kemesraan yang cuba disembunyikan.
“Daniel nak
tahu salah satu akhlak Rassul kita ialah bila baginda tak suka sesuatu makanan
baginda akan tinggalkan tanpa mengutuk,” lembut Sufie menyiram nasihat.
Kemudian
sekali lagi hidung Daniel dikepit lembut. Dia ketawa lucu melihat lirikan mata
tajam kanak-kanak itu. “Baginda tak pernah kutuk dan hina rezeki daripada
ALLAH. Apa kata mulai saat ni, Daniel
pun ikut cara baginda.”
“Kau cakap
dengan dia samalah macam kau curah air atas minyak. Tetap tak akan bercampur.
Budak tu kepala dia saja dah sama keras dengan tembok batu,” sindir Tariq
tajam.
“Kenapa pak
ngah suka sakitkan hati Dani. Benci sangat ke kat Dani?” aju Daniel. Tersentap
Tariq dengan soalan itu. Melihat mata berkaca Daniel seperti melihat masa silam
kanak-kanak itu.
“Aduh… terlepas
cakap lagi,” dengus Tariq kecil. Sufie menyedari gelodak emosi Tariq, namun
sengaja berpura-pura tidak menyedari.
“Kau tak
mahu makan Tariq? Aku masak khas untuk kau. Jamahlah sikit, buat alas perut.”
“Tak ada
seleralah aku nak telan. Kau tak payah susah-susah, sekejap lagi sampailah
sarapan,” acuh saja dijawab. Sebenarnya dia rungsing memikirkan kesedihan
Daniel. Namun rungsing bertukar geram apabila Daniel kembali bersuara.
“Orang mari
jauh-jauh bawa makanan, bukan nak hargai. Sampai hati pula tolak mentah-mentah.
Kalau tak mahu pun tolaklah elok-elok.”
“Memang
mulut orang tua kau ni. Tak padan dengan umur.” Tarik capai bantal lalu
dibaling tepat ke wajah Daniel.
“Tariq!!!”
jerit Sufie nyaring.
Terpaku
Tariq dengan jeritan itu. Lebih terpaku bila melihat Daniel rebah macam mayat. Berkali-kali tubuh kecil itu digoncang lembut
oleh Sufie, namun masih kaku.
“Kau tunggu
Daniel. Aku nak panggilkan doktor.” Sufie kalut dan itulah kali pertama Tariq
melihat ketenangan melayang daripada Sufie.
“Tak payah!
Aku yang pergi panggil. Kau jagakan Daniel,” arah Tariq tegas.
“Tapi kau
masih sakit…” cantas Sufie. Kerutan tergaris di dahi tanda dia was-was.
“Dia anak
saudara aku. Sampai mati dia akan tetap jadi anak saudara aku. Sudah tugas aku lindungi
dia.” Tariq melangkah laju. Sufie senyum, ada sesuatu yang baru disedari.
Sufie usap ubun-ubun
Daniel dengan lembut. Dicium dahi kanak-kanak itu beberapa kali kemudian dia
berkalih punggung dan melabuh di birai katil.
“Tak letih
ke? Sudah-sudahlah berlakon Daniel. Pak ngah kamu dah pergi.” Sufie memandang
sepi ke muka pintu.
Perlahan-lahan
Daniel bangkit lalu mengesot merapati. Dia menjatuhkan kaki di birai katil
kemudian menghayun-hayun kaki.
“Macam mana
cikgu tahu Dani pura-pura pengsan?”
“Dengan izin
ALLAH… perangai Daniel ni sama macam
cikgu Tariq.”
“Mana ada
sama… “ bentak Daniel. Makin laju kakinya dihayun.
“Samalah…
pandai berlakon.”
“Bila masa
Daniel berlakon. Orang tua suka sangat buat kesimpulan yang bukan-bukan,
macamlah tahu semua benda.” Daniel tidak mahu mengalah.
“Daniel
pura-pura pengsan dan Cikgu Tariq pura-pura bencikan Daniel… Hah, kan sama tu.”
Sufie mengenyit mata.
“Mana ada
dia sayang. Dari dulu lagi dia bencikan Dani.”
“Daniel
dengar sendirikan apa yang Cikgu Tariq cakap tadi. Walaupun dia macam budak-budak
tapi sebenarnya dia matang dan penyayang, Cuma dia jenis yang tak pandai meluahkan
rasa. Daniel sebenarnya masih beruntung diberikan pak cik sebaik Cikgu Tariq
dan Doc
Zikrey.” Sufie merangkul Daniel,
didakap erat. Daniel merelakan tanpa membantah.
“Tapi,
Daniel mahu papa dengan mama,” rajuk Daniel.
“Kadang-kadang
apa yang kita perlukan bukanlah apa yang kita inginkan, tetapi adalah rasa
syukur yang menukarkan musibah dan anugerah kepada nikmat.”
Makin erat
dipeluk, makin sebak Daniel. “Agaknya macam nilah rasanya dipeluk mama.”
Sufie tenang
dan membiarkan Daniel membisik rasa, lagu pilu hatinya bermadah pujangga.
Tariq muncul termegah-megah, diekori
Zikrey.Demi melihat Daniel,
Tariq melarik senyum mengucap syukur, mengundang ketenangan buat Zikrey. Kini
dia benar-benar pasti yang Tariq tidak pernah membenci anak buahnya itu.