Dipisat-pisat mata. Kabur menerjah penglihatan.
Bibirnya terasa kering. Malah pening kepala pun masih belum pulih. Bila diamati
kedengaran nada suara nyaring wanita.
Derap tapak melangkah laju, mematikan suara wanita itu.
Sufie cuba mengigati, seakan-akan dikenali pemilik
suara itu. Tepat sangkaannya, sebaik pintu dikuak terpancul Afiena dengan
senyuman mulus. Namun wajahnya merona merah, menampakkan jendela hati yang cuba
ditutup.
“Fiena
marah kat siapa tadi? Kalau tak salah memang Fiena depan pintu tu kan?”aju
Sufie sambil digagahi badannya. Cuba bersandar.
Afiena
melangkah. Dia melangkah setenang mungkin, malah berlagak seperti biasa. Matanya mengerling pada bantal, dan sepantas itu tangannya
mendorong tubuh Sufie agar tegak, itu pun setelah bantal dibetulkan kedudukan. Sufie sedikit selesa apabila
tubuhnya dapat bersandar.
Kain selimut yang terjuntai di birai katil turut
dicapai dan lilipat kemas. Wajah tekunnya sekali lagi diperhatikan Sufie. Kini
dia serba-salah.
“Marahkan
siapa?”terluah juga pertanyaan itu.
Sufie tenung wajah Afiena lagi, kali ini lebih
bersungguh. Sungguhpun begitu adiknya masih membisu. Bahkan makin pantas dia
berkemas.
“Afiena…”
Sufie
menarik tangan Afiena. Menahan dia dari terus bergerak. Lantas diulas lembut
jemari adiknya. Seketika kemudian tubuh langsing itu didakap erat. Tanpa
ditahan, dan buat kali pertama air mata Afiena gugur. Perkara yang paling
memalukan dalam hidupnya. Tetapi dia juga manusia biasa yang punyai perasaan.
Tambahan bila dingin tubuh kakak kesayangannya itu bersatu dengan tubuh
hangatnya. Dingin tubuh Sufie seolah-olah dia baru disirami hujan.
“Kenapa
ni? Susah hati Kak Long kalau Fiena terus-terusan membisu.”
Jari-jemari Sufie mengusap lembut belakang Afiena. Seperti
biasa dia tetap tenang. Sungguhpun begitu gelodak jiwa hanya Allah yang tahu.
Setelah sekian lama dia melihat wanita tegas di dalam diri Afiena, dan hari ini
dia terpaksa melihat air mata adiknya. Dia penasaran. Bila dirasakan ketenangan
menjelma, dia lepaskan pelukan Afiena.
Kini wajah manis itu direnung lagi.
“Kenapa?”
“A-ada
orang gila…”Dalih Afiena dalam sendu.
Sufie senyum. Bukan dia tidak tahu yang Afiena
berdalih. Walaupun begitu diiyakan sahaja. Mungkin Afiena ada alasan
tersendiri.
“Macam
mana Fiena tahu kak long masuk wad?”
“Rozita
call…”
“Demam
biasa saja. Insay-ALLAH tak apa-apa.”
“Nak
Fiena telefon mek dengan ayah?”
“Tak
payahlah. Kak long dah besar. Dah pandai jaga diri.”
“Kenapa
yang sampai boleh masuk hospital ni?”
“Kan
dah kata. Demam.”
“Tapi
doc kata sebab letih. Lagipun badan kak long sejuk sangat. Macam air batu.”
“Mungkin
sebab ramai orang di kafe. Letih.”
“Atau
sebab lain.”
Dengusan menghambur laju. Bukanlah dia mengeluh
kerana merasakan betapa tidak adilnya TUHAN atau kecewa dengan ujian yang
menerkam bak harimau, tetapi dirasakan nafasnya tersekat seketika. Dia tidak
pasti adakah sindiran itu hanya tekaan Afiena atau adiknya itu sudah mengetahui
sesuatu.
“Kenapa
mengeluh?”pertanyaan itu dilempar geram. Dan hati
Afiena geram dengan sikap Sufie yang sukar difahami. Kadangkala dia terfikir
kenapakah hati kakaknya itu begitu lembut. Dan dia merasakan kelembutan itu
adalah kelemahan utama seorang wanita. Padahal dia masih ingat pesan Sufie
bahawa tiada apa yang lebih indah melainkan jika sesuatu itu dihiasi dengan
kelembutan. Malah mati-mati Sufie mempertahankan yang keras tidak bererti kuat
dan lembut tidak bererti lemah. Umpama batu keras yang dititisi air dingin.
Akhirnya batu itu turut terlekuk oleh kelembutan titisan air.
“Bukan…
Nafas tak sampai. Mungkin sebab dingin.”Sufie membalas.
“Dingin
hati?”
Sekali lagi pertanyaan itu menyentak ketenangan
Sufie. Dia berdeham kecil. Bahkan Afiena cukup jelas dengan maksud perbuatan
kakaknya itu. Ya… selalunya itulah yang
sering dilakukan bila dirasakan Afiena terlajak kata.
Afiena bangun tanpa menoleh wajah Sufie. Geramnya
masih membara. Masih hangat. Dia
melangkah ke arah pintu. Niatnya cuma satu, mahu tunjuk rajuk dan amarahnya
biar padan muka Sufie.
“Ya
ALLAH kenapalah baik sangat kakak aku ni. Sampai aku sendiri dah naik geram.
Padan muka dia baik hati sangat.”
Hatinya cukup sebal pagi itu. Dihentak keras
kasutnya. Dia nekad tidak akan
mempedulikan Sufie lagi. Tapi bak kata pepatah, air dicincang tak akan putus. Belum
sempat tombol pintu dipulas dia kembali melangkah merapati Sufie. Satu kucupan
dilayangkan ke pipi putih Sufie. Agak lama bibirnya menempel di pipi pucat itu.
Sufie pegun tanpa kata. Seusai kuncupan dilepaskan, dia meninggalkan bilik
itu tanpa sepatah kata. Sufie hanya memerhati, kemudian tersenyum.
“Tak
ubah macam mek. Selalu nak mengamuk bila risau. Ya ALLAH tenangkanlah hati
adikku.”
“Ya
Allah. Ujian semalam adalah hadiah terindah untukku. Tanda cintaMu. Sejujurnya
aku tidak kuat untuk ujian itu. Tapi jika Kau masih mahu mencubaku, aku mohon
perlindungan dan kekuatan agar aku tidak menyasar… Amin. Moga Kau makbulkan
doaku.”
Angin dingin berhembus
masuk, lantas menyisir rambutnya. Begitu juga suam mentari. Dia menuruni katil
mendekati balkoni tepi. Matanya merayapi manusia-manusia yang bertebaran
menjalankan aktiviti masing-masing. Rata-ratanya adalah gadis dan wanita yang
berseragam putih. Dari aras dia berdiri dapat dilihat kepulan asap kecil keluar
dari cerombong asap ‘Italia Pasticceria Café’. Sufie menarik sedalam-dalam nafas, seolah-olah
kesegaran roti dan pizza yang dibakar mampu dihidu dari jauh. Wajah Rozita dan Corrado bersilih ganti
menari di benaknya. Namun wajah itu terhapus dengan kemunculan wajah Rijal dan
lelaki yang ditemuinya semalam. Dia beristigfar sejurus itu. Berharap hatinya
cukup gah selepas ini.
***
Langit pagi yang membiru dirasakan tidak cukup
cantik di matanya. Hatinya cukup sebal dengan insiden sebentar tadi. Seorang
gadis mengamuk kepadanya. Gadis yang tidak diketahui asal-usul itu muncul entah
dari mana. Mungkinkah gadis itu adalah
ahli keluarga kepada gadis albino yang didukung semalam?
Belum sempat diterang kedudukan sebenar dia sudah
dihalau. “ Puithhh…” Rijal meludah
geram.
Sekejap dia berkalih ke kiri dan sekejap ke kanan.
Kalau diikutkan hati mahu sahaja dibalas perbuatan itu, sungguhpun begitu bukan
tarafnya untuk berdebat dengan gadis gila.
“Pelik
sungguh dunia ni… Ada jugak perempuan segila tu. Tak tahu hujung pangkal,
alih-alih serang aku. Nasib kaulah perempuan. Kalau lelaki aku belasah aje
tadi. ARRGG.”
Rijal menjerit, melempiaskan amarah yang membukit.
“Assalamualaikum.
Geram nampak.” Zikrey tepuk bahu Rijal. Renungan
tajamnya berubah lembut ketika mengesan kelat wajah abangnya.
“Maunya
abang tak geram. Entah perempuan gila mana tah tadi. Tak pasal-pasal halau
abang.”
“Halau,
kenapa pula?”tanya Zikrey dengan kerut didahi. Dia
merubah kedudukan. Minatnya bercambah dengan permasalahan abangnya.
“Manalah
abang tahu! Dia halau masa abang nak pergi melawat kawan dekat wad wanita. Ah…
Biarlah. Tak payah dibahas lagi.”
“Aikk…
Sejak bila abang ada special girl?”
“Baru
jumpa semalam. Entah apa kena dengan perempuan tu pun tak tahu. Firstly bila dia tengok abang, macam nampak hantu.
Butang mata dia, macam tak percaya yang abang ni manusia.”
Zikrey ketawa mendadak. Hatinya tercuit mendengarkan
luahan Rijal. Pertama kali abangnya dihalau wanita, nampak sangatlah yang
minyak uratnya sudah menyusut.
“Yang
kau gelak sakan ni kenapa? Kelakar? Berani kau ketawakan abang ya…”Rijal
menyambar lengan Zikrey lalu dipulas pantas.
“Arrrg…”
Jerit
Zikrey kuat. Mengundang perhatian dari
orang sekeliling.
“Abang
baru pulas sikit, kau dah terjerit-jerit. Nah extra,”makin
kuat dipulas. Kini Rijal pula yang ketawa.
“Lepaslah.
Nanti tak pasal-pasal orang ingat kita bergaduh. Aduhh…”
“Yelah…
Gurau sikit pun tak boleh, macam tak biasa,”tokok Rijal
setelah tangan Zikrey dilepaskan.
Zikrey bangun seketika, melurutkan lengannya. Bila
dirasakan sudah lega daripada kesakitan, dia kembali duduk. Rijal sengih kecil
melihat kelakuan adiknya itu.
“Manjanya
si doktor sorang ni. Baru pulas sikit dah macam nak patah tangan gayanya.”Rijal
kembali mengirai tawa. Hatinya sedikit lega setelah mengusik Zikrey.
“Sikit!
Ni bukan dah nak patah, dah nak tercabut.”
“Ok.
Abang minta maaf. Saja nak lepas geram dekat perempuan gila tu.”Rijal
sengih lagi. Tangannya disatukan lantas diletakkan ke hidung. Tanda meminta
maaf.
“Perempuan
mana pulak?”aju Zikrey dengan kerut seribu.
“Nak
cakap pun tak kena, sebab tak pernah jumpa. Tapi, pendek kata memang perempuan
tu gila… Ising. Abang dah tolong adik dia pun dah kira bagus.”
“Abang
tolong adik dia! Pelik bunyinya… Aikk… Ada apa-apa ke ni?”
“Adik
dia pengsan masa dekat hotel semalam. Abang kau nilah yang dukung adik dia
bagai nak rak. Siap berlari berkejar dalam hujan nak bawak dia ke hospital.”
“Berlari
dalam hujan?”
“Berlari
ke keretalah. Takkanlah abang nak angkat, lepas tu berlari ke hospital pula.
Adik dia tu berat mengalahkan anak kuda tahu. Uhhh… Silap gaya angkat boleh
putus nafas,”
luah Rijal setelah dia ketawa kuat. Dia benar-benar geli hati.
“Mesti
cantik adik perempuan tu. Kalau tak, abang tak angkat punyalah kan?”
“Cantik
kau kata. Adoi kalau dah seberat anak kuda, muka dia mestilah macam mak kuda.”Rijal
ketawa lagi.
“Nanti
lepas lunch saya ke wad wanita, tolong tengok adik perempuan tu. Siapalah tahu
abang berjodoh dengan kakak dia.”
Perbualan mereka tamat. Zikrey berlalu pergi kerana
dia sudah berjanji mahu ke dewan bedah, bertemu Doktor Murni. Dia senyum bila
teringat Doktor Murni yang sedikit kasar. Bukan calang-calang yang mahu
berkerja dengan gadis sekasar itu.
Bahu kiri Zikrey ditepuk kuat, menyebabkan dia berdengking, maklumlah sebentar tadi lengan
kirinya telah dipulas.
“Rileks
Doc. Aku tepuk baru sikit, kau dah menjerit macam serigala tengok bulan
la pulak.”
Zikrey hanya bisu. Malas hendak melayan. Dia
mengatur langkah lebih perlahan memandangkan Murni sudah ada di sebelahnya.
Sedang mereka berjalan sekali lagi Murni menarik kasar lengan kirinya, mengarah
agar dia membelok, dan sekali lagi Zikrey berdengking.
“Kasarlah
kau ni Murni. Kau nak cabut tangan aku ke?”aju Zikrey
dengan suara mendalam, menahan marah.
“Sorry
Doc. Aku lapar. Kita sarapan kat‘Italia Pasticceria Café’ dulu.”
Zikrey berwajah selamba tanpa respon dia terus
melangkah. Namun langkahnya cepat-cepat dihalang Doktor Murni dengan lengan
yang didepakan.
“Aku
belanja… Please!”
Zikrey melihat jam tangannya. Masih sempat kalau
mereka sekadar bersarapan roti, kek atau secawan kopi. Dia senyum kelat kepada
Murni. Kemudian pandangannya ditala pada kafé. Bau roti segar yang dibawa angin
mengundang laparnya. Kali ini senyuman kelatnya berubah menjadi manis.
Sekaligus menyebabkan Murni melompat.
“Yes!!!
Berjaya.”
“Apa
yang kau terlompat-lompat ni?”
“Berjaya
makan pagi dengan kaulah. Siapa tak kenal Doc Zikrey, manusia yang mahukan
kesempurnaan dalam semua benda. Emmm…”Murni meletakkan jari di bibir seketika. “Mungkin sebab tu kot, kau tak ada awek
sampai sekarang. Tapi jangan risau aku ada. Bila-bila masa aku boleh jadi awek
kau. Amacam setuju.”Murni kenyit
mata sebaik habis berkata. Zikrey hanya memandang kosong.
“Aku
nak cari yang solehah. Yang lembut macam perempuan. Yang lepas dibuat isteri
dan ibu untuk anak-anak aku.”
“Akulah
calon tu. Aku anak tok imam. Aku lembut apa… Kasar sikit aje.”
“Sikit
ke banyak?”
“Aku
dah kata sikit. Kau jangan lebih-lebih. Dah jom makan. Nanti tak pasal-pasal
aku telan kau.” Murni melajukan langkah. Baginya
panggilan roti-roti lebih menarik minat berbanding dengan ketampanan Zikrey.
Sebenarnya dia memang suka mengusik Zikrey. Mungkin kerana sikap Zikrey yang
tenang dan tidak mudah melatah, jauh sekali meninggikan suara. Jauh di sudut
hati dia berharap pasangannya kelak setenang Zikrey.
Sebaik melepasi anjung café, mata Murni semakin
bersinar. “Banyaknya pastri dengan roti
pagi ni.”
“Peh…
Penuh orang kat ruang tengah ni. Sempat tak kita beli roti.”
“Jangan
risau. Yang datang ni bukannya apa. Nak ngorat Corrado.”
“Kira
kau ni datang nak mengorat juga ke?”
“Taklah…
Aku kan dah ada kau. Tak bestlah curang-curang Doc.”
Belum sempat Zikrey membalas Murni sudah hilang di
celah gadis-gadis. Mujurlah suaranya cukup kuat untuk didengari. Kini Zikrey
pula terpaksa berasak-asak dan sebaik melepasi para gadis kelihatan Murni
sedang leka memilih pastri dan roti. Kalau dihitung sudah lebih enam jenis yang
dipilih, semuanya bersaiz sederhana besar. Akhir sekali dia memesan dua cawan mocca panas.
Ketika berpusing dia menggoyang-goyang plastik
dipegang sebaik matanya jatuh pada wajah Zikrey.
“Ada
kenduri ke.… Tak baik membazir. Itukan amalan syaitan,”tegur
Zikrey.
“Tak
baik berburuk sangka ustaz. Nanti tak pasal-pasal pahala kena curi. Dah jom
ikut aku.”
“Tak
makan di sini saja. Masih banyak tempat kosong.”
“Ada
tempat lagi menarik… Jom.”
Ketika mereka melepasi anjung, seseorang menjeritkan
nama Zikrey. Sebaik berpaling kelihatan Rozita berjalan laju dengan wajah
resah. Gadis montel itu kelihatan tidak cukup tidur, buktinya matanya kelihatam
lebam. Murni mencuit Zikrey kemudian dia ketawa mengusik.
“Awek
datang tu doc… Tak sangka pandai jugak kucing makan ikan.”
Mangkuk tingkat disuakan kepada Zikrey sebaik mereka
berhadapan. “Doc tolong beri pada Kak
Sufie.”
Zikrey menyambut tanpa bertanya kerana itu bukanlah
perkara aneh memandangkan Sufie bekerja di situ dan Rozita adalah kawan
karibnya.
“Sufie…
oooo… Jadi itulah kekasih doc ya?”usik Murni.
“Bukan!
Doktor Murni jangan salah faham. Sebenarnya Kak Sufie mengajar di SDH. Semalam
dia dimasukkan ke dalam wad. Doktor kata sebab terlalu letih." pintas Rozita.
“Ya
saya tahu ada pesakit yang dimasukkan semalam kerana keletihan. Tak sangka pulak itu Sufie. Menurut saya dia stabil.”
“Peh…
skemanya.”Murni menyiku Zikrey, kemudian ketawa.
Walaupun begitu tiada sebarang reaksi daripada Zikrey.
“Mungkin
petang saya akan melawat. Pagi tak sempat. Sibuk.”
“Tak
perlu rasanya. Sepatutnya dia sudah boleh keluar sebelum tengah hari.”
“Tak
apalah kalau begitu. Oh ya… Sampaikan ucapan terima kasih kepada abang doc ya.”
Terbutang mata Zikrey sebaik Rozita menutur kata.
Sesuatu yang cuba dielakkannya selama ini sudahpun berlaku. Namun dia sendiri
tidak pasti adakah apa yang cuba diselindungi itu benar-benar sudah terjadi.
“Kenapa?
Bila kamu berjumpa dengan abang saya?”
Murni berkerut dahi. Dapat dihidu perubahan Zikrey.
Malah dia juga ikut cuak, tidak disangka lelaki setenang Zikrey boleh tergugat
hanya kerana seorang gadis ingin menitipkan ucapan terima kasih kepada
abangnya. Adakah sebenarnya Zikrey mencintai gadis yang sedang bediri di hadapannya?
Dan mungkinkah kerana itu Zikrey tidak pernah mengunjungi ‘Italia PasticceriaCafé’ ? Adakah selama ini dia
malu bila terpaksa berhadapan dengan gadis bernama Rozita? Murni memerhati
Rozita dan dia mengakui yang Rozita comel dengan tubuh gempalnya itu.
Malah sifat Rozita yang sedikit manja itu menguatkan
lagi tanggapan Murni yang Rozita memenuhi sebahagian cirri gadis pilihan
Zikrey. Memenuhi sebahagian personifikasi
sudah
cukup bagus, maklumlah mana hendak dicari yang betul-betul sempurna. Mana ada
manusia yang sempurna. Sebaik tangkulannya berpadu, sekali lagi dia menyiku
Zikrey.
Zikrey masih tidak menghiraukan sikuan itu. Jawapan
daripada Rozita masih ditagih. Terjungkit kening Murni bila sikuannya tidak
dihiraukan Zikrey. Arggg!!! Zikrey berdengkin lagi apabila Murni menarik lengan
kirinya. Murni pula senyum sumbing, malah sengaja ditarik Zikrey sedikit ke
tepi. Dia mengarahkan Zikrey menunduk memandangkan dia rendah.
“Pssst…
Kau minat kat budak montel tu ke? Asal tak cakap awal-awak, boleh aku tolong
ayat.”
“Tak
adalah. Jangan cakap yang pelik-pelik, nanti jadi fitnah,”lembut
dibalas Zikrey.
“Cakap
ajelah. Aku kan awek kau jugak. Aku ok aje kalau bermadu.”Murni
ketawa. Dia gembira dapat mengusik Zikrey.
“Kau
tarik aku hanya sebab nak cakap benda-benda ni. Kau tu doktor biar nampak bijak
sikit. Ini tidak, macam kanak-kanak ribena.”
“Kau
sebut ribena. Baru aku ingat nak tapau ribena suam. Aku masuk dulu kau
sambunglah borak. Chow.”
“Eh…
Nak buat apa lagi ribena, kan dah beli mocca tadi.”
“Adalah…”
Murni
melangkah meninggalkan Rozita dan Zikrey, itu pun setelah dia mengenyit mata.
Rozita menghayun langkah menghampiri Zikrey setelah
dia yakin yang doktor muda itu sudah menyelesaikan perbincangannya bersama Doktor Murni.
“Jangan
lupa ya doc. Pesan pada Kak Sufie , macam mana sekalipun kena jamah makanan tu.
Corrado yang masak.”Rozita bersuara mendatar, ada kecewa
yang menjelma.
“Sebelum
awak pergi saya nak tanya. Tadi awak kata abang saya yang tolong Sufie. Betul
ke? Bukan ke semalam Corrado yang hantarkan Sufie ke hospital?”
“Kami
bertiga yang hantar Kak Sufie ke hospital. Tapi yang betul-betul membantu Encik
Rijal. Kalau doc tengok dia semalam masa dukung Kak Sufie, dah macam orang
hilang anak.”
Zikrey merenung tajam Rozita, berharap yang gadis
itu hanya bercanda. Makin ditenung makin menunduk wajah Rozita. Bahkan gadis
itu sedikit resah. Berdirinya sudah seperti terpijak semalu.
“Maaf…
Kalau awak kurang senang dengan renungan saya. Cuma saya kurang faham bila awak
kata abang saya macam orang hilang anak.”
“M-maksud
saya… Dalam hujan lebat semalam dia berlari ke parkir kereta. Bayangkan dia
berlari sambil dukung Kak Sufie. Macam…
Macam…” Rozita kembali menunduk.
“Macam
apa? Apa yang dia lakukan dekat Sufie?”desak Zikrey. Hatinya
kini berdebar kencang. Matanya kembali membutang. Tanpa sedar digoncang bahu Rozita. Dia benar-benar sudah
tidak sedar dengan apa yang dilakukan. Murni yang baru sampai, melopong tidak
percaya.
“Macam
dah lama kenal… Saya teka saja. Doc janganlah marah. Saya hanya teka.”Rozita
mengecilkan badan. Terasa sengal badannya digoncang kuat oleh Zikrey.
Murni yang terlopong kembali tersedar, bahkan dia berlari
mendapatkan Zikrey. Tanpa salam, sekali
lagi bahu kiri Zikrey dikarate sekaligus menyebabkan cengkaman lelaki
itu terlepas.
“Aduh!!
Sakit.”Zikrey mengosok bahunya.
“Baru
sedar rupanya. Goncang anak orang, macam goncang anak patung. Susah… Susah
kalau orang dah angau ni,”tingkah Murni selepas tersengih.
“Mana
ada aku bercinta dengan dia. Kau dah salah faham ni.”
“Yek…
Boleh caya ke… Oklah aku percaya. Dah kita blah. Nanti nak masuk dewan bedah
pula.”Murni mula melangkah.
“Maaf…
Saya tak sedar tadi.” Zikrey pula menghayun langkah setelah
dicapai mangkuk tingkat yang diamanahkan kepadanya.
“Aku
mesti buat sesuatu. Atau lebih banyak
jiwa yang bakal terkorban.”