Saya tidak berani lagi
merayau-rayau pada waktu malam. Malah untuk ke kedai terdekat pun sudah meremangkan
bulu tengkuk. Perasaan yang juga dirasai penduduk
kawasan perumahan ini. Perkara itu berlaku semenjak beberapa bulan yang lalu,
semenjak rumah agam di hujung kawasan perumahan itu diduduki semula.
Hampir berpuluh-puluh ustaz
dijemput untuk menawar kawasan kejiranan ini, namun selang beberapa hari
kelibat hantu itu muncul kembali. Kawasan yang dahulunya aman dan meriah kini
tidak ubah seperti pekan koboi bila malam menyerkupkan jubahnya, malah jemaah
surau yang menghadiri solat magrib dan insyak juga berkurangan, Nampak sangat
jemaah lebih takutkan hantu berbanding Allah SWT.
Para suri rumah akan keluh- kesah
jika anak-anak mereka masih belum pulang menjelang petang tidak kurang juga
anak-anak yang dikurung. Lebih hebat
para wartawan berpusu-pusu berkampung berhampiran taman permainan yang
dikatakan berhantu itu, namun, hantu yang ditunggu tidak muncul-muncul
menyebabkan mereka hanya bertahan selama tiga hari sahaja di situ. Cerita itu
senyap tanpa noktah akhirnya.
Malam itu, ketika hujan
renyai-renyai, bulan mengambang penuh dan suasana yang kebiasaannya sunyi pecah
kerana jeritan garau seorang wanita. Saya dan orang-orang yang sedang bersantai
di ‘Salt Water Café’ menjerlangkan mata masing-masing. Pelbagai andaian yang
muncul. Adakah itu jeritan meminta tolong? Adakah jeritan itu dari hantu putih
yang sedang merayau-rayau di taman? Adakah hantu putih itu mahukan korban?
‘Salt Water Café’ semakin gamat dengan
pelbagai andaian dan prasangka. Lebih hebat, ada yang begitu yakin perkara yang
berlaku disebabkan oleh keluarga di hujung kawasan perumahan itu.
Memandangkan kawasan perumahan itu
agak mewah sudah semestinyalah kawasannya agak merimbun dengan kehijauan
pohon-pohon hutan yang sengaja tidak ditebang agar udara dan persekitarannya
lebih segar. Jika dahulu penduduk
kawasan perumahan itu bangga kerana
mampu memiliki rumah di kawasan yang menghijau itu, namun kini jika ditanya
rata-rata mahu hutan-hutan yang mengitari kawasan perumahan itu ditebang. Biar
terang-benderang.
Seorang wanita tua menghampiri,
badannya terbongkok-bongkok. Pada tangannya ada sebatang tongkat. Dia masih
menjerit ketika tiba di anjung ‘Salt Water Café’ Saya kasihan melihatnya,
mungkin hantu putih itu benar-benar telah menakutkan dia. Saya merenung Doktor Adi
dengan wajah muram, lalu berkata.
“Bukan saja sakit fizikalnya,
hatinya juga tentu sakit. Kasihan wanita tua itu terpaksa berlari dan dalam
masa yang sama ketakutan yang amat sangat. Tidak henti-henti dia menggigil
ketakutan.
Doktor Adi mengamati wanita tua
itu, kemudian dia senyum sebelum bangun menghampiri wanita itu. Ketika Doktor
Adi memimpin wanita tua itu ke meja kami, seluruh mata memerhatikannya seperti
seekor helang yang ingin menyambar mangsa.
Sebaik wanita itu duduk
bersebelahan saya, Doktor Adi memesan secawan teh panas untuknya. Wanita itu
masih menggigil ketakutan. Saya semakin bersimpati. Sejurus itu Doktor Adi
ketawa, mungkin dia telah memerhati telatah saya agak lama sebelum dia ketawa.
“Dia memang ketakutan kerana
terserempak dengan hantu tadi.” Hampir sebahagian pelanggan ‘Salt Water Café’
ternganga bila Doktor Adi menyebut hantu putih, malah ada yang cepat-cepat
beredar meninggalkan kafe, namun masih ada yang sibuk menjadi wartawan tidak
bertauliah dan pelbagai soalan diajukan kepada wanita tua itu. Seperti artis
terkenal wanita tua itu rancak bercerita, namun dia tetap menggigil,
menghairankan saya.
“Datin Anum itu patients saya. Dia memang ketakutan,
tapi itu bukanlah sebab utama dia menggigil.”
Saya semakin pelik. Saya rasakan
malam itu penuh persoalan dan misteri. Saya kemudiannya bertanya kembali kepada
Doktor Adi. Dia ketawa kecil sebelum menjawab, sedang tangannya mengitari
permukaan cawan ‘espresso’
“Datin Anum menghidap variasi myasthenia, penyakit yang menyebabkan
otot-otot tubuhnya sukar untuk dikawal. Suaranya juga garau kerana tidak dapat
mengendalikan otot dalam kotak suaranya. Bila bergerak, ototnya akan kembang
kuncup secara rawak, menyebabkan dia kelihatan seperti menggigil.”
Saya anguk kecil, tanda faham. Seakan
terkejut, saya menyoal pula soalan yang paling penting. “Kenapa dia menjerit?
Betulkah dia terserempak dengan hantu putih? Kenapa dia berlari sendirian di
malam hari?
Doktor Adi tenang menjawab. “Datin
Anum ke pasar raya dengan pemandu peribadinya. Sampai sahaja di kawasan
permainan itu, kereta mereka kehabisan minyak. Ketika pemandunya sedang
memeriksa tangki minyak, mereka disapa oleh hantu putih. Pemandu peribadinya
melarikan diri begitu juga dengannya. Kerana usianya dia ditinggalkan pemandu peribadinya dan dia sudah
berkira-kira mahu memecat pemandu peribadinya esok.”
“Saya kena pulang dahulu. Mahu
hantarkan Datin Anum. Kamu pulang dengan siapa?”
Saya memandang basikal yang
tersandar pada tiang kafe, kemudian menjawab.
“Saya pulang sendiri dengan
basikal.”
“Hati-hati bila melintasi taman
permainan itu nanti.” Doktor Adi senyum kemudian kembali berkata. “Saya kurang
percaya pasal hantu, tapi kalau pasal jin saya percaya, sebab sudah termaktub
dalam Al-Quran.” Dia kemudiannya meninggalkan saya terkontang-kanting
memikirkan keadaan saya malam itu.
Saya tinggalkan meja bulat itu,
tanpa membayar kerana bil sudah dijelaskan oleh Doktor Adi. Saya berlari anak
dan bila sampai pada basikal, terus saya capai dan memecut seperti pelumba
pecut yang sedang mengejar mata.
Jarum jam tangan saya menunjukkan
tepat pukul 12 malam. Peluh keletihan dan ketakutan bercampur menjadikan saya
bermandi peluh. Menghampiri kawasan permainan, basikal dikayuh agak berat
kerana kawasan itu berbukit. Hampir lima minit saya ketakutan, seakan pundi
kencing saya menjerit minta dilepaskan. Bunyi burung hantu
kedegaran menyihir suasana supaya semakin menakutkan.
Bila sampai sahaja di kawasan
permainan itu, samar-samar kelihatan kereta BMW Datin Anum yang tersadai di
lereng bukit. Bunyi riuh-rendah kedengaran, diikuti suluhan lampu suluh,
beberapa motorsikal yang mengekori dan sekumpulan lelaki yang melaungkan “Allahhuakbar…Allahhuakbar!”
Sedikt lega namun kembali cemas
bila kumpulan itu menuju laju ke arah saya dan menjerit “Hantu..hantu..Bunuh
dia!” Ketakutan menyebabkan saya mengayuh laju, membelok dan menuju ke arah bukit. Bila hampir pada
sebatang pokok, saya menyorong basikal dan bersembunyi. Saya kembali berfikir.
“Kenapa mereka mengejar saya.
Adakah saya telah menyebabkan mereka salah faham?”
Sedang saya memikirkan persoalan
itu, terasa jari-jari sejuk menjamah bahu saya, kaget dan kelu saya. Sejurus
itu kedengaran suara separuh berbisik yang menyebabkan saya terjongkok ke
hadapan.
“Tolong aku! Tolong hantar aku
pulang. Mereka mengejar aku. Kalau kamu tidak tolong mungkin aku dibunuh
mereka.”
“Han..” Belum sempat menjerit,
tangan sejuk itu telah menutup mulut saya. Dengan keberanian yang tersisa, saya
menoleh ke belakang dan sisa kekuatan itu surut tiba-tiba.
Hantu putih itu merenung saya
dengan pandangan sayu yang menakutkan. Gaun kembang putihnya kelihatan sepadan
dengan rambut putihnya. Hantu itu sedang
memegang seekor patung beruang hitam. Saya hanya memerhati, hendak membaca surah tetapi
lidah telah bertukar kelu, mungkin nyawa saya bakal berakhir malam ini. Ketika
inilah saya teringatkan solat yang masih belum diganti dan benarlah janji Allah
bahawa maut itu tidak akan lewat, atau cepat walau sesaat.
Hantu putih itu mencangkung di
hadapan saya kemudian kembali merayu. “Tolong aku! Hantarkan aku pulang jika tidak
mereka akan bunuh aku.” Entah bagaimana keberanian saya kembali dan terus
bertanya. “Siapa tuan kamu? Di mana
rumah kamu?
Hantu itu menjawab pantas. “ Aku
tinggal di rumah agam hujung perumahan ini bersama keluarga.” Dia diam, kemudian
kembali berkata. “Aku janji tidak akan kembali lagi ke taman permainan ini.”
Tanpa disedari atau mungkin kerana
terlalu takut saya bersetuju untuk menghantarnya pulang. Namun di dalam hati,
saya begitu menyesal kerana telah bersepakat dengan jin dan tentunya perbuatan
ini akan dimurkai Allah. ‘HATI SAYA BERDETAK LAJU’
Beberapa kali saya cuba bangun dan
akhirnya berjaya, namun kaki saya masih menggigil.
Hantu putih itu membonceng basikal saya. Beberapa orang penunggang motosikal hampir kemalangan akibat terkejut
bila menyedari ada hantu sedang membonceng basikal saya.
Sampai di hujung jalan, saya
membelok ke kanan. Hantu putih itu kemudian bersuara, nada suaranya dalam dan
suram. “Kamu salah jalan. Rumah aku di depan, berhampiran pohon beringin itu.”
Tangannya di angkat dan di arahkan pada pohon beringin. Saya bersuara laju. Risau,
jika hantu putih itu marah. “ Tadi kita sudah terserempak dengan beberapa
orang, saya risau jika mereka sudah menunggu kamu berhampiran pokok beringin
tua itu. Kita guna jalan belakang, lebih selamat.”
Bau tengit mula keluar dari celah
ketiak saya dan itu tandanya baju saya sudah bash kuyup bermandi peluh dan
embun pagi. Jalan belakang lebih sunyi dan tebal hutannya. Tidak lama dalam dua
minit kami sampai di rumah agam itu. Rumah itu sangat tua dan pasti menakutkan
sesiapa sahaja yang melihat, ditambah dengan bulan mengambang dan bunyi pungguk
yang kedengaran.
“Mari masuk. Saya kenalkan kamu
dengan keluarga saya.”
Saya kelu. Namun menurut sahaja,
mungkin kerana suasana yang begitu menyeramkan dan risau jika hantu putih itu
benar-benar marah.
Pintu belakang itu tidak berkunci
dan sebaik pintu itu dibuka, kelihatan seorang perempuan berjalan ke hulu
hilir, seakan mencari sesuatu. Bila sahaja melihat kami wanita itu berlari,
tanpa bertanya satu penampar singgah di pipi saya. Wanita itu kemudian
menjerit, membingitkan telinga saya.
“Berani kamu curi-curi bawa Ayu
keluar. Sudah berapa lama kamu buat kerja ini?” Kini aku tahu hantu belaan itu
bernama Ayu. Bila sedikit reda hantu putih itu bersuara.
“Dia selamatkan saya! Jangan
marahkan dia. Jika tidak kerana dia, mungkin saya sudah tidak bernyawa.” Hantu
putih itu terus memeluk wanita itu. Pandangan tajam dengan mata yang mencerlang
wanita itu redup kini, malah intonasi
suaranya juga berubah lembut.
“Maafkan Mak cik! Mari masuk makan
bersama, nanti kamu berdua boleh ceritakan apa yang telah berlaku.”
Di dalam rumah wanita itu
ketawa nyaring, malah semakin menyeramkan bila bunyi suaranya bergema
memenuhi ruang tamu yang luas. “Jadi Ayu hampir dibunuh kerana disangka hantu
putih. Wanita itu kembali ketawa nyaring, sedangkan Ayu kelihatan sedih.
Menyedari perubahan Ayu wanita itu diam. Agak lama dia kembali berkata.
“Ayu ialah anak saudara mak cik.
Ibu dan bapanya sudah setahun meninggal dunia.Supaya dia tidak bersedih mak cik
putuskan membeli dan berpindah ke rumah ini. Sebenarnya Ayu menghidap penyakit
albino. Kamu lihat daripada hujung rambut hingga ke kaki semuanya putih. Rambut,
kulit, bulu mata malah semuanya boleh dikatakan putih.” Ayu bangun kemudian ke
dapur.
“Penyakitnya menyebabkan dia tidak
boleh terkena cahaya matahari, risau jika terkena kanser kulit. Mungkin kerana
itu dia hanya keluar pada waktu malam.”
Wanita itu memandang ke arah dapur,
bagi memastikan sesuatu. Bila sudah yakin, dia kembali berkata. “Jadikan Ayu
kawan kamu. Berkawanlah dengan dia. Sejak kecil dia dipulaukan, tiada kawan,
tiada yang sudi berkawan. Dia gadis yang cantik, malah hati dia juga cantik, Cuma
dia agak rendah diri. Kehidupan lalu memaksa dia bersendirian.”
Saya kaget, perkara yang berlaku
benar-benar di luar jangkaan. Sejurus kemudian Ayu keluar, kulit putih wajahnya
merah padam. Dia menatang dulang berisi tiga gelas air minuman dan sepinggan
biskut. Setelah meletakkan pinggan itu, dia bingkas bangun dan berlalu. Wanita
itu masih memerhatikan Saya dengan pandangan penuh harapan.
“Esok malam saya temankan kamu ke
taman permainan. Kamu mahu atau tidak?” Saya bertanya gugup. Ayu berhenti
melangkah.
“Jangan risau, saya bawa kakak saya
sekali. Kemudian kita ke kafe paling hebat di kawasan perumahan ini ‘Salt Water
Café’ Nanti saya perkenalkan kamu dengan semua kawan saya. Mereka baik dan yang
paling penting tidak pernah memandang rendah pada orang lain. Nanti di sana
kita boleh terangkan kejadian yang sebenar agar kawasan perumahan ini kembali
aman.” Ayu kemudian menoleh. Air matanya mengalir, namun bibirnya mengukir
senyum dan aku faham isi hatinya ketika itu.