BAB2
I
Datin Melly merenung jasad Adura, tidak
berganjak walau seinci. Hanya sesekali digigit bibir tipisnya. Dia kini di
bilik menantunya, tersandar lesu di atas kerusi goyang. Dirinya sedang
terbuai-buai dengan fikiran yang melayang entah ke mana. Bila dirasakan
fikirannya semakin mengarut, maka dipaksa akalnya untuk fokus kembali. Namun tidak lama,
fikirannya kembali menerawang.
“Cisss...” sumpah Datin
Melly sendirian.
Tatkala itu jemarinya
kemas mencengkam kerusi goyang. Dia menyesali kerana telah memarahi Ramona dan
bertindak kasar semalam.
“Memalukan! Wanita
seanggun dan sesempurna aku bertindak melulu. Tak boleh dimaafkan... Aku
sepatutnya lebih tenang dan sempurna di mata semua orang,” rungut Datin Melly.
Tubuh kecil Adura yang
masih berkeringat ditatap kembali setelah pandangannya dikalih pada sejadah
yang tersidai di lengan kerusi. Ternyata pendingin hawa tak mampu mengeringkan
keringat menantunya itu. Dari pandangan Datin Melly, Adura sedang mengalami
mimpi yang menakutkan. Sungguhpun begitu Datin Melly menyangkal itu semua.
Baginya keringat itu disebabkan cadar tebal yang menyelimuti Adura. Malah bila
dikerling pendingin hawa suhunya adalah 26 darjah.
“Patutlah...”
Sebaik itu dilihat jam
tangan yang melilit pergelangan tangannya.
“Masih tak sedar lagi...
Dah tengah hari pun... Huhhhh. Kau pasti pandang aku sebelah mata lepas ni. Mak
mertua yang pemarah, bukan penyabar dan ceria macam yang kau harapkan.”
Matahari memancar masuk
menerusi celahan langsir yang terkuak. Cahayanya berbalam-balam, terhalang oleh
langsir tebal. Datin Melly berkira-kira mahu bangun meninggalkan Adura. Dia
tidak tahan apabila sesekali teriakan nyaring Ramona dari tingkat bawah menyapa
telinganya. Perasaan hairan sudah beberapa kali mengasak hati. Dia hairan
bagaimana Ramona mampu menjerit sekuat itu. Yalah, hingga ke tingkat dua suara
menantunya itu mampu melayang.
“Ishh...” dengus Datin
Melly. Dipejam mata rapat-rapat, cuba mengumpul kesabaran yang kian menghilang.
Namun langkah Datin
Melly terbantut. Kedengaran tangga dipijak. Ada seseorang sedang mendaki
tangga. Tidak lama kemudian wajah Haikal tersembul sebaik tombol pintu dipulas.
Wajah getir Haikal membuatkan Datin Melly tersentak seketika. Dia paling tidak
tahan melihat wajah muram anaknya. Seolah, seluruh kebahagiannya diragut pergi.
“Sebab engkau anak aku
susah,” guman Datin Melly sendirian. Entah mengapa dia jadi benci melihat Adura.
Namun, wajah amarah itu
dibiarkan terpadam bila teringatkan yang dia harus sentiasa tenang. Baginya
wanita yang tenang itu adalah sangat cantik dan anggun. Datin Melly mahu bangun.
Tetapi kakinya kebas kerana bersandar agak lama dalam satu posisi. Kakinya
diunjur beberapa kali bagi melalikan rasa kebas. Kemudian dia bangun.
“Masih belum bangun.
Letih sangat agaknya, tu...” Datin Melly tepuk lembut bahu Haikal. Kemudian dia
kembali berkata.
“Haikal jaga Dura.
Mama nak ke bawah tengok Mona.” Datin
Melly berlalu sejurus itu.
Haikal tercegat
seketika, merayapi seluruh tubuh Adura. Sebaik nafas tertahan dilepaskan terus dirapati isterinya. Diramas dan dicium ubun-ubun isterinya berulang
kali. Perbuatan itu terhenti bila dia sedari sesuatu sedang memandangnya dari
penjuru dinding. Dia terkejut, kelibat seorang wanita dalam busana seorang puteri
sedang memerhati.
“Ah! Mustahillah.”
Haikal tenyeh mata berkali-kali. Dia yakin dia salah lihat disebabkan bilik
tidurnya suram dan gelap.
Kali ini ditenung
bersungguh-sungguh ke penjuru dinding. Dia sengih sendirian, memikirkan
kebodohan sendiri. Ya! Dia pasti perkara itu berlaku kerana salah pandang.
Buktinya yang dipandang hanyalah sepasang baju kurung Adura yang tergantung di
dinding.
“Mama ni, sayang sangat
dekat Dura...” Haikal sengih lagi. Kali ini meleret-leret. Dia beranggapan
ibunya sengaja melabuhkan kembali langsir agar Adura dapat tidur dengan lena.
Yalah! Tidur dalam gelap lebih nyaman dan lena. Sungguhpun begitu tidak bagi
Datin Melly. Niatnya hanya satu, agar wajah mencukanya tidak terlihat jelas.
Sungguhpun dia berusaha untuk tenang, namun dia pasti wajah masamnya akan tetap
terkesan oleh sesiapa yang masuk ke bilik itu. Jadi cara terbaik adalah dengan
memastikan bilik suram. Bermakna dia mempunyai kesempatan untuk bersedia
sebelum kelemahannya tersingkap.
“Nenda... Nenda... Dura
tak mahu pergi.” Adura meracau. Haikal resah. Tangan Adura yang diramas-ramas tadi
kini menggengam erat tangannya. NafasAdura berombak-ombak malah badannya sedikit
terjungkit naik, sekaligus menakutkan Haikal. Seolah-olah isterinya sedang
ketakutan dalam dakapan syaitan.
“Sayang...sayang...sayangggg...”
Haikal seru nama isterinya berkali-kali. Tangannya menampar lembut pipi Adura, juga berulang
kali. Dengan harapan Adura akan terjaga.
“Ne...N...Nen...Da...
D-Dura...Tak...M-Ma...Hu....”Tersekat-sekat suara Adura.
Makin resah Haikal. Makin terasa
hibanya.Lelaki manalah yang tahan melihat derita isteri sendiri. Dia nekad
berlari ke bawah menelefon kembali ambulan. Namun genggaman kuat Adura
membuatkan dia membatalkan niat. Sukar untuk dia lepaskan genggaman tangan
isterinya. Sebenarnya dia sempat menelefon ambulan sebelum naik menjenguk Adura.
“Dura sayang. Bangun... Jangan buat abang
risau. Abang percayakan sayang. Jangan takut. Abang tahu Ramona sengaja nak
kenakan sayang,” rayu haikal.
Kini jeritan Ramona
pula meresahkan Haikal. Jeritan melengking iparnya itu bertingkah dengan
kelakuan Adura. Walau tampak berbeza, namun Haikal pasti kedua-duanya sedang
mengalami situasi yang sama. TERSIKSA.
“Apa yang dah terjadi?”
Tanya Haikal sendirian. Dia cuba berfikir secara waras, adapun nafas keras Adura dan teriakan nyaring Ramona
membuat dia tidak keruan.
Dalam resah, kedengaran
siren ambulan. Hati Haikal lega. Dia pasti ambulan ke mari untuk menggambil
Ramona dan Adura. Nafas Haikal
tertahan-tahan bilamana perlu mengumpil jari-jemari Adura satu-persatu.
Dirasakan genggaman Adura sepadu akar-akar pokok yang menyelinap dicelahan
batu. Dia nekat mahu turun ke bawah dan
mendapatkan petugas yang datang. Mahu dibawa ketingkat atas dahulu memeriksa isterinya sebelum
Ramona. Baginya Adura lebih berharga. Malah lebih berharga berbanding nyawa
sendiri.
II
Sebaik tiba di kaki
tangga, Haikal lihat dua orang petugas dalam seragam putih sedang pegun
menghadap Ramona. Ramona hanya bisu, tidak bergerak. Nanah dan darah masih
memenuhi lidahnya. Berjejeran air bisa menuruni lidah berkudis itu. Bau hamis
darah dan nanah memenuhi ruang tamu. Bau yang sangat pekat. Pada sofa dan
lantai kelihatan tompokan darah dan titisan nanah yang mampu memutuskan selera
makan sesiapa sahaja. Di antara mereka berdiri seorang lelaki yang mulutnya
terkumat-kamit. Haikal penasaran. Lelaki tua itu berbaju kuning dengan selempang merah yang melintang di
dada.
Baru beberapa tapak
melangkah, Haikal ternganga. Suara berat lelaki itu membuatkan roma halusnya
meremang. Bahkan bahasa yang diungkap lelaki tua itu juga tidak dia fahami.
Bila suara lelaki itu
mengendur Haikal rapati bibik.
“Kenalan bibik?” Tanya
Haikal.
“Bukanlah! Katanya, dia sudah bermimpi petaka ini
beberapa hari sudah. Makanya dia langsung kemari,” bisik bibik.
“Bibik buat lawak, ek?
Mana ada orang boleh tahu apa yang bakal terjadi. Semua ni mengarut,” cantas
Haikal.
“Yah! udah kalau ngak
percaya. Tapi jangan bilang sebarangan. Itu pasti dukun sakti,bisa tahu yang
terhijab. Isi hati nak Haikal juga bisa dia tebak.” Bibik berkata tanpa
berpaling kepada Haikal. Wanita itu seperti takjub dengan dukun berkumis tipis
dengan janggut separa dada itu.
“Mana mama?” Aju Haikal
bila kelibat Datin Melly tidak kelihatan.
“Mandi” jawab bibik.
“Baru mandi! Matahari
dah tegak atas kepala.” Rungut Haikal. Sebenarnya dia berharap yang mamanya ada
ketika itu. Dan dia percaya mamanya akan menghalau lelaki yang muncul tanpa
diundang itu.
“Baju datin terpalit nanah dan darah Puan Mona,” terang Bibik
dengan mata tak lepas dari dukun. Ada kekaguman yang semakin marak dalam bebola
matanya.
“Ni sorang lagi...”
rungut Haikal sendirian.
Dia berkata kembali
dalam nada menyakat bibik.
“Bik...Bik... tenung
apa tu. Hati-hati, pak dukun tahu isi hati bibik. Nanti tak pasal-pasal bibik
bersuamikan dukun.”
“Ada-ada saja anak
Haikal ini. Bibik hanya kagum. Ngak ada selainya.”
Derap langkah dari
belakang menghentikan usikan Haikal. Tanpa berpaling dia sudah tahu siapakah
orangnya. Pastilah mamanya yang sedang melangkah anggun. Derap langkahnya
sentiasa sekata, tidak lambat mahupun laju.
“Siapa lelaki pelik tu?
Mama tak suka Haikal atau sesiapa jemput orang sebarangan ke dalam,” luah Datin
Melly.
“Pakwe bibik,” usik
Haikal. Hambar, tidak seceria biasa. Dia masih memikirkan Adura.
“Bukan! Tahu-tahu dia
sudah ke mari. Katanya dia tahu tempat ini melalui mimpi,” bela bibik.
“Dah, yang petugas
ambulan duk berdiri macam patung kenapa pula?” aju Datin Melly lagi.
“Entahlah mama.”
Datin Melly merapati petugas dan berkata
sesuatu. Nadanya mendalam, namun terkesan kesantunan yang tinggi.
Tergagap-gagap kedua-dua petugas itu. Mereka menafikan datang bersama dukun
itu. Menurut mereka sewaktu tiba dan ketika dibuka pintu belakang ambulan, si
dukun sudah berada di dalam.
Makin dalam suara Datin
Melly. Dia tak mampu menerima alasan sebodoh itu. Baginya mereka bertiga adalah
penipu. Mustahillah kalau lelaki yang digelar dukun itu boleh masuk ke dalam
ambulan dengan sendiri atau mencuri masuk tanpa disedari.
“Wanita ini terkena
tulah. Kalau dibiarkan bakal jadi tumbal hidup.”
“Maaf! Saya tak
berminat dengan hal-hal mistik...Jangan kata kamu bertiga sedang shooting
drama seram,” bidas Datin Melly dalam nada melawak. Sukar untuk dia
mengawal emosi dalam waktu sebegitu, buktinya dahinya melarik kedut.
“Ada waris puteri ulek
dalam rumah ini. Jasadnya ditempa dari dua alam. Aku mahukan dia sebagai
penawar.” Si dukun berpaling. Wajahnya tegang.
“Saya berhak telefon
polis. Dan dakwa awak menceroboh...” ugut Datin Melly.
“Hanya darah waris
puteri ulek boleh selamatkan wanita ini.” Si dukun bersuara keras. Matanya
membutang. Dia marah bila diugut. Bagaimanapun si dukun kembali bersuara usai
merenung Datin Melly.
“Orang panggil aku, Tok
Ayah. Asal aku dari Pantai Timur. Aku datang menurut firasat mimpi. Ada
keturunan puteri yang mendiam dalam rumah ini. Harus dinyah atau sumpahan bakal
menyusul.”
Haikal ketawa sinis.
Terus –terang dia ralat melihat gelagat Tok Ayah.
“Jangan biadap orang
muda. Aku dapat lihat kegelapan mengekorimu. Kau akan dimamah bencana. Hidupmu
akan porak-peranda,” Tok Ayah bersuara lantang. Giginya diketap-ketap.
Berdesing telinga Datin
Melly mendengarkan kata-kata Tok Ayah. Kulit mulusnya mula merona merah dengan
mata mencerlang.
“Kau jangan nak ugut
anak aku... Pantang kalau anak-anak aku diapa-apakan.”
“Ini adalah
kenyataan... Aku dapat rasa wanita laut itu ada di atas,” balas Tok Ayah,
berang.
“Mana! Tunjuk dekat
aku,” sergah Datin Melly. Sejurus itu dipicit-picit kepala yang tak pening. Dia
kesal kerana menuruti amarah sendiri. Dia kembali mengigatkan diri supaya
sentiasa bertingkah sempurna.
“Ma, jangan hiraukan
lelaki ni. Kita bukan kenal siapa dia.” Haikal bersuara.
Datin Melly mendengus.
Geramnya sukar dibendung. Sungguhpun begitu dia sedikit takut. Entah mengapa
dia gerun melihat Tok Ayah. Bukan dia saja malah kedua-dua petugas itu pun naik
gerun. Kalau tak, mana mungkin mereka kaku sejak tadi.
Namun menzahirkan
perasaan takut adalah ketidaksempurnaan buat Datin Melly. Bibirnya kembali
bergerak.
“Saya izinkan Tok Ayah
geledah rumah saya. Tapi... kalau tak jumpa wanita laut tu...Faham-faham
ajelah. Sila masuk ke lokap dengan tenang,” sindir Datin Melly.
“Macam tu aje!!” luah
Haikal. Berkerut dahinya.
“Mama tahu apa yang
mama buat.”
Tok Ayah mengarahkan
kedua-dua petugas membawa Ramona ke hospital. Melihatkan Ramona yang semakin
lemah Datin Melly hanya berdiam tanda setuju dengan tindakan Tok Ayah, walaupun
hatinya sebal dengan tindakan yang dirasakan melebihi tuan rumah.
“Aku tak mampu hapuskan
tulah yang melekat pada budak tu. Hanya darah keturunan puteri ulek yang mampu
batalkan tulah.”
Satu persatu wajah
ditatap oleh Tok Ayah sebelum dia kembali berkata.
“Tapi jangan risau, aku
dah sekat daripada tulah tu merebak,” luah Tok Ayah.
Tok Ayah renung tajam ke dalam bebola mata
Haikal. Dia tahu Haikal mahu menghalaunya secara kasar. Dan renungan tajamnya
membawa isyarat kepada Haikal yang isi hatinya sudah diketahui. Membuatkan
Haikal telan liur. Rasa gugup merayapi ke segenap urat sarafnya. Bagi Haikal renungan
Tok Ayah sayu tetapi meradang, bagai tersimpan kekejaman yang tak terluah.
“Aku bukan lelaki tua
yang suka menipu,” kata Tok Ayah kepada Haikal.
Lelaki tua itu mengalihkan
pandangan. Dia memerhati tangga ke tingkat atas, lalu mengatur langkah dengan
cermat. Lagaknya umpama seorang pahlawan yang sedang dihendap musuh terhebat.
Satu-persatu anak tangga dipijak. Datin Melly dan Haikal mengekor dari
belakang, meninggalakan petugas yang mula membaringkan Ramona di atas pengusung.
Bibik pula sudah merangka akan menyusul
Tok Ayah sebaik ambulan pergi.
III
Dahi Haikal berkerut
bilamana Tok Ayah menyeringai di hadapan pintu bilik tidurnya. Malah makin
terkumat-kamit mulut lelaki tua itu dengan mata terpejam. Beberapa kali bahu
lelaki tua itu terhenjut-henjut. Sukar ditebak apa yang sedang dibaca Tok Ayah.
Namun gerakannya yang seperti pesilat memualakn Haikal. Walaupun begitu
kelincahan kudrat tua Tok Ayah mengagumkan Datin Melly dan Haikal.
“Gila!” sumpah Haikal.
Cuba menepis rasa kagum yang bersarang.
Dari balik poket baju,
Tok Ayah keluarkan kantung kain berwarna hitam. Bertih beras dari dalam kantung
dilempar ke muka pintu. Kemudian tombol
pintu dipulas dan bertih beras dilempar ke dalam bilik. Haikal mahu membantah.
Namun dihalang Datin Melly. Ibunya hanya sengih kecil melihat kelakuan Tok
Ayah. Dia pasti yang lelaki tua itu hanyalah penipu murahan. Dan sengihannya
makin lebar bila membayangkan muka cemberut Tok Ayah di dalam lokap.
“Taktik murahan. Kau
ingat senang-senang nak bodohkan aku.”
Haikal terkebil-kebil
melihat selimut yang terlipat kemas di penjuru katil. Cadar dan bantal juga sudah
dikemaskan. Adura sudah tiada. Sungguhpun
begitu dia lega sebaik mendengar bunyi air pancuran dari bilik air. Dia tahu
isterinya sedang mandi.
“Tok! Tak manis duduk
dalam ni...Isteri saya tengah mandi.” Haikal bernada riang. Dia benar-benar
riang kerana Adura sudah sedar dan mampu ke bilik air. Itu bermakna isterinya
sudah sihat.
Kata-kata Haikal tidak
dilayan. Kepala Tok Ayah terteleng-teleng, cuba mengesan sesuatu. Seketika
hidungnya kembang-kempis menghidu udara. Dapat dia bau kemasinan angin laut. Kemudian
dia pejam mata. Mulutnya masih terkumat-kamit. Lebih lantang dari sebelumnya,
hinggakan Haikal dan Datin Melly dapat mendengar walaupun tak faham apa yang
dikata. Ternyata mentera yang dibaca dalam dialek pantai timur.
“Ishhh...Sengal orang
tua ni. Tak faham bahasa bandar agaknya. TOK!” ucap Haikal geram. Dapat dia
bayang wajah terkejut beruk Adura bila keluar dari bilik air. Silap hari bulan
isterinya hanya berbalut sehelai tuala.
Hampir-hampir lengan
lelaki tua itu disentap Haikal. Namun sempat ditempis Datin Melly. Wanita itu
mahu turutkan rentak Tok Ayah sebelum lelaki itu disumbat ke dalam lokap.
IV
Sementara itu di dalam
bilik air Adura masih melanggut di birai tub mandi, berfikir mengenai mimpinya
ketika tidak sedarkan diri. Sengaja dibiarkan air pancuran mengalir agar Haikal
menyangka dia sedang mandi.
Dalam mimpinya tadi, dia
berada di celahan juram laut yang sangat dalam dan gelap. Hampir kesemua terlihat
hitam kerana tiada cahaya. Dalam dia bersusah payah bernafas muncul kelibat
tujuh puteri ulek dari balik karang-karang besar. Dia tahu itu adalah mereka kerana perhiasan yang dipakai mereka bergemercing. Mereka berenang ke arahnya. Dalam
kekalutan dia berusaha meloloskan diri sebaik dikepung ketujuh-tujuh puteri
ulek.
“Belum masanya kamu ke
mari. Pulanglah ke darat,” arah puteri sulung. Suaranya tenang, namun terpalit
gusar. Adura tidak tahu mengapa. Cuma yang pasti, buih-buih kecil mula timbul dari
dasar laut yang paling gelap dan dalam. Sedikit demi sedikit buih-buih itu
bertukar kasar dan besar. Bayang-bayang
yang lebih gelap muncul bersama bebola cahaya. Bayang –bayang yang menyerupai
seekor lembaga meluru ke arah mereka.
Sedikit demi sedikit
Adura dapat menduga lembaga itu adalah seekor dragonfish. Dragonfish yang hanya sebesar bangsal kecil dengan
sesungut bercahaya. Kuakan sirip si ikan membuatkan air bergelora, sekaligus
membanting ketujuh-tujuh puteri. Jeritan melengking mereka melantun-lantun pada
dinding juram yang sunyi lagi sepi. Adura pula meliang-liuk bak lalang. Dia
berusaha menyeimbangkan badan. Belum sempat kedudukan badannya seimbang si ikan sudah menyambar baju Adura dan menghilang. Ketika dilarikan Adura
tercungap-cungap, malah tertelan air masin dengan banyak. Tetapi dia tetap
hidup. Mungkin darah laut yang mengalir membuatkan dia selamat. Dia dibawa ke
sebuah gua. Kelihatan lampu-lampu kecil menyala di hujung dagu ikan-ikan
dragon fish yang bersaiz lebih kecil.
Ikan jenis ini biasa hidup di kedalaman
hingga dua kilometer di bawah permukaan laut. Ikan ini mempunyai kemampuan
menghasilkan cahaya sendiri di “belalai” yang terdapat di dagunya. Kemampuan
ini disebut bioluminescent dan biasa dimiliki oleh hewan-hewan yang hidup di
tempat yang minim cahaya. Belalai tersebut akan memancarkan cahaya untuk
memancing ikan mangsanya.
“Bersatulah denganku dan kau akan kuasai segalanya. Di
darat akan menurut dan di laut akan patuh,”
Mata Adura melingas. Suara sayu itu kedengaran dingin,
sedingin air yang sedang mengasak dirinya. Dan suara itu bertali arus dari
semua penjuru, membuatkan dia ketakutan. Si ikan besar sudah melarikan diri
sebaik dia ditinggalkan di sisi sebuah batu.
“Siapa! Siapa! Aku di mana,” teriak Adura.
“Aku nendamu, puteri lapan. Semangatku tertahan di sini.
Hanya cucunda yang mampu leraikan belenggu nenda,” ucap suara yang mengaku
sebagai puteri lapan.
“Kalau betul kau moyang aku. Hantarkan aku pulang.” Adura
meraba-raba cuba bergerak ke arah suara yang didengar.
“Bersatulah dengan nenda dan cucunda akan pulang. Atau
menolak. Dan selamanya cucunda di sini.”
Ketika itulah dia mula merasakan kesakitan yang menyulap
urat sarafnya. Rasa seolah-olah dirinya dipanggang di atas bara. Air laut
disekitarnya mula memanas dan meruap, berikutnya mendidih. Ketika itu dia merayu-rayu kepada nendanya
puteri lapan. Dia menjerit-jerit mengatakan tidak mahu. Namun hanya bunyi
gemercing dengan haruman cempaka yang dapat didengar dan dihidu. Lama-lama
meronta dia tersedar secara mengejut. Bagaikan ada suatu kuasa yang memintas
mimpinya dan memaksa dia terjaga.
“DUM! DUM! DUM!” ketukan dari balik pintu membuatkan
Adura tersentak. Suara garau yang bukan milik Haikal itu membuatkan dia
ketakutan.
“Keluar kau puteri ulek. Aku datang menuntut darahmu,”
jerit Tok Ayah dari luar.
Adura telan air liur. Mendengarkan perkataan ‘darah’
membuatkan perutnya kecut. Wajahnya makin pucat. Dia serba-salah. Mungkinkah
itu ayah Ramona yang sedang mengamuk? Atau bomoh yang dipanggil oleh Dato’ Adam dan
Datin Melly? Kalau ya, pastilah mereka percaya dengan cerita yang telah
direka-reka Ramona.
“Dush...” bunyi tumbukan padu kedengaran. Serentak itu
jeritan Datin Melly pecah. Yang pasti maki hamun sedang meluncur laju
daripada mulut Haikal. Suaminya sedang bergasak dengan seseorang. Diikuti suara Dato’ Adam. Mertuanya sedang menenagkan anak lelakinya.
‘Gluppp...’ Adura telan liur, berkira-kira mahu keluar
atau tetap bertahan di dalam bilik air. Dan di luar tiada tanda-tanda
perdamaian akan berlaku.
Bersambung...