Sufie
bingkas bangun. Ditoleh jam, “Dah pukul dua pagi.” Bajunya basah kerana peluh.
Sudah beberapa hari Rijal menjadi cerita dalam
mimpi, sejak dia mendengar sajak yang ditulisnya itu ke udara. Mimpi itu
melingkarkan resah, di dalam mimpi Rijal menyeru namanya dengan cukup romantis,
mengungkap kalimah agung betapa dia mencintai dan merindui. Mimpi indah
terseram untuknya.
"ASTAGFIRULLAAH,”
diraup wajah. Telapak tangannya basah. “Hari-hari mimpi serupa.”
Sufie
melangkah ke luar. Hajatnya mahu ke dapur, mahu minum. Sebaik melangkah
kelihatan Tini sedang bersandar. Mungkin baru pulang.
“Awal balik
hari ni?” aju Sufie.
Soalan itu
disambut senyuman kelat. “Kena pecat…”
Niat Sufie
mahu minum terbantut. Langkah dihayun mendapatkan Tini. Dia duduk bersebelahan
gadis itu.
“Kenapa? Nak
luahkan sesuatu. Aku sudi mendengar.”
Sufie ramas jemari Tini.
“Aku tolak
keluar dengan client. Bos marah,
lepas tu pecat aku. Aku dah tak ada kerja. Dah tak ada sumber pendapatan,” luah
Tini.
“Aku masih
ada. Apa yang aku makan kau makanlah. Sehingga kau dapat kerja baru, aku bayar
sewa rumah untuk kau.” Sufie usap tangan Tini.
“Ah! Kau
kenal aku kan. Aku bukan jenis yang suka makan bertanggung. Aku ada kudrat,
pandailah aku cari makan,” sanggah Tini.
“Kau nak aku
tolong carikan kerja tak?” tanya Sufie.
“Boleh juga…
kerja apapun tak apa, janji halal dan boleh tanggung aku sampai aku dapat kerja
baru.” Tini ceria.
Sufie renung
wajah Tini. Matanya pincing. Dia sebenarnya serba-salah untuk bertanya. Digigit
kecil hujung bibir. Namun kelakuan itu dihidu. Tini membiarkan sahaja. Bukan
dia malas bertanya. Tetapi dia lebih suka kalau tuan empunya diri yang
memutuskan rasa hati. Terkulat-kulat Sufie, dan akhirnya dia putuskan juga.
“Aku nak tanya
boleh?” perlahan nadanya.
“Tanyalah…
jangan kau tanya yang pelik-pelik sudah. Tak kuasa aku nak menjawab.” Tini
terdorong ke depan.
“Hari tu ada
kiriman sajak dari US yang ke udara bukan?”
tanya Sufie ragu.
“Oh! Lelaki
dari negara Uncle Sam tu ke?” balas Tini.
“Kau masih
ingat?”
“Memanglah
ingat, sebab dia seorang saja dari sana. Tapi sajak tu tak menarik pun. Sajak
biasa-biasa.” Tini berkata polos. Dia seorang yang suka berterus-terang.
“Adoi… kang dah kena komen. Siapalah yang
berani-berani hantar sajak aku tu?” gumam Sufie halus.
“Apa yang
kau nak tahu? Cepatlah tanya, aku nak masuk tidur pula ni.” Tini menepuk peha
Sufie.
“Siapa nama
pengirim tu? Apa yang kau tahu pasal dia? Aju Sufie berlapik, risau niatnya
terbongkar.
Tini cuak,
matanya mengecil. Diamati Sufie agak lama.
“Kenapa
tiba-tiba kau nak tahu? Ada yang patut aku tahu ke?” terjungkit kening Tini.
Nadanya mendesak.
“Cuma nak
tahu. Tak salah kan?” tenang wajah Sufie.
“Nak tahu
atau nak ambil tahu? Ceritalah biar aku tahu,” tokok Tini.
Mungkin
kerana ralit mereka tidak sedari yang Salmi sedang mengintai dari balik
langsir. Terjingkit-jingkit dia menapak. Jeritan nyaring bergema bila dia
sampai. Apa lagi, terkejut Sufie dan Tini.
“Kalau nak
bergurau pun agak-agaklah Sal oii…” tawa Tini pecah. Sufie urut-urut dadanya.
“Belum tidur
lagi Sal. Dah lewat ni, esok ada kelas.”
“Belum mahu
lelap. Tengah tunggu siaran Kak Tini, tapi tulah tak juga ke udara. Alih-alih
ada kat ruang tamu,” usik Salmi. Dipeluk lengan Tini dengan geram.
“Tak
habis-habis dengan manja dia, naik rimas Kak Tini tahu,” cemik Tini.
“Biarlah
Tini, masa ada lah nak bermanja. Nanti bila masing-masing dah bawa diri, susah
pula nak jumpa.”
Sufie
senyum. Memang dia jenis yang mudah tersenyum. Lagipun senyum itukan sedekah.
Perkara paling mudah yang dapat dilakukan bagi memperoleh pahala. Sedar tak
sedar sudah hampir ke pukul empat pagi mereka bercerita. Malah mereka rasakan
keakraban makin menyulam ketika itu. Salmi menguap beberapa kali, begitu juga
dengan Tini.
“Aku nak
masuk tidur dulu. Kalau layan kau dua orang ni, sampai ke pagilah jawabnya,”
langkah diatur. Tini berlalu dikuti Salmi.
Sempat Salmi
berpaling. “Kak Sufie nak solat sunat dulu ke? Kalau tak Sal nak padam lampu
bilik air.”
“Tak apalah,
Kak Sufie tolong padamkan.” Sufie bangun mengorak langkah.
Langkahnya
mati. Terlucut semangatnya tiba-tiba. Wajah Rijal menerpa lagi, menendang dada
dengan lebih hebat. Entah kenapa ingatan mengenai Rijal makin menggila sejak
akhir-akhir ini. Adakala dia tewas. Air mata bukti ketewasannya. Wajah itu
sekan berhantu, sentiasa menyengat ingatan yang cuba dipadam. Menyengat hati
yang cuba diubati. Dia kembali terduduk.
“Ya ALLAH
kenapa dengan hatiku? Makin aku cuba untuk sabar makin sakit kurasa. Adakah ini
satu petanda? Kalau ya, untuk apa dan kenapa?” soalan itu hanyut tanpa jawapan.
Sufie malu
bila menyedari titis air mata jatuh. Jarinya yang putih mulus, lembut menyeka
mata. Kalau diikutkan mahu sahaja dia meraung. Resah bertamu bila teringat hari
ditinggalkan Rijal. Hari dimana Rijal demam. Sungguhpun begitu, yang pergi tetap tak
kembali. Kini baru dia sedari, rindu adalah racun paling berbis.
Radio
disebelah diputar. Air matanya masih menitis. Wajah Rijal hilang sebaik
penceramah bersuara.
“Diriwayatkan daripada
Rasullulah A.S. Beliau bersabda
Sesungguhnya besarnya pahala diukur dengan besarnya ujian,
dan apabila ALLAH suka kepada kaum itu, maka mereka diuji. Jika mereka redha,
maka ALLAH redha dan jika dia marah, ALLAH pun marah kepadanya.” (Riwayat
al-Tirmizi no.2396)
“Alhamdullilah…” Sufie
menguntum senyum. Petikan ceramah itu, ibarat hadiah daripada ALLAH. Ibarat ALLAh menyampaikan pesan kepada
resah hatinya. Dia bingkas bangun setelah mematikan radio, meluru dia ke bilik air. Niatnya hanya satu.
Sama seperti malam-malam sebelumnya. Berjumpa dan mengadu nasib kepada TUHAN.
***
Khairul
tersentak daripada lamunan bila Robert mengajukan soalan. Dia yang
terpinga-pinga angguk, tanda setuju. Tapi apa yang dipersetujui pun dia tak
tahu. Sehari dua ini dia bermimpikan seorang gadis berdiri di sebuah bilik yang
malap. Kalau tak silap hanya lampu meja yang menyala ketika itu. Susuk tubuh
gadis itu tinggi lampai, wajahnya terlindung dalam kelam.
“Siapa dia
agaknya? Kenapa dah beberapa hari aku mimpikan dia?”
Usai
mesyuarat, semua staf berlalu, yang tinggal hanya Robert yang masih pelik
melihat lamunan Khairul.
“Someone who is caring always belong
to someone who is caring,”agah Robert.
“Even you don’t know who she is?” duga Khairul. Dia berpusing-pusing
di atas kerusi. Robert ketawa melihat gelagat yang dirasakan kebudak-budakan.
“Yeh… even you don’t know who she is.
Or maybe you forget him,” tukas Robert. Bila fail terakhir siap dikemas, dia berlalu.
“Siapa yang
dah aku lupakan.” Khairul menggali ingatan, cuba mencari sesiapa yang penting,
yang pernah dilupakan.
“Melisa,
Jodi, Karla, Mariah, atau…. Arggg… aku dah tak ingat lagi. Siapalah agaknya
gadis tu?” ibarat peluru berpandu, soalan itu meluncur laju.
Dari kerusi
dia dapat melihat pemandangan Manhattan yang terbentang luas. Hutan batu yang megah dengan kepesatan itu
telah memagut kehormatan rakyatnya. Maruah diperdagankan, tepuk dada tanya
harga. Begitu rendah nilai maruah di mata mereka.
Dia melangkah ke dinding kaca. Diseluk poket kot
berjenamanya. Kertas remuk itu kembali dibuka dan dibaca macam hari-hari
sebelumnya. Tatkala sedang ralit, tiba-tiba dipegang dada, diurut-urut. Rasa
sakit menyentak. Bukan sakit yang biasa,
tapi sakit yang pelik. Dan dia pasti
sakit itu kerana pedih bila sajak itu dibaca. Makin dibaca, makin sakit
dadanya. Nafasnya terputus-putus, kepalanya pusing dan badannya menggeletar.
Namun masih juga dibaca. Pinar matanya makin berganda, memaksa dia berpaut pada
meja. “Buk….” Dia rebah.
***
Datin Abda
berteleku di birai katil selepas menjemah kepala Khairul dengan tuala. Sebal
hatinya terbit bila terpandang kertas dalam gengaman anaknya. Sudah dicuba
untuk menarik kertas itu, tapi kejap tangan Khairul menghalang.
“Tak
habis-habis dengan Sufie… orang dah meninggal, apa yang kau cari lagi Rijal!”
bentak Datin Abda sendirian.
Diusap-usap
kepala Rijal. Diperhati wajah anaknya itu, dan sebal makin menyebalkan hatinya.
Beliau beranggapan Rijal sudah tahu perkara sebenar.
“Sia-sia
usaha aku. Akhirnya ingatan kau terhadap Sufie dah kembali,” keluh Datin Abda.
Malam makin
larut ketika Rijal merengek kecil. Dia mengigau tentang gadis dan sebuah bilik
suram. Dia meracau-racau, cakapnya macam buih di laut. Tidak difahami. Datin
Abda memisat-misat mata, sempat dia menguap sekali dua. Bila kesedarannya
pulih, dia menjamah dahi Rijal.
“Demam,”
ditarik telapak tangannya. “Makin naik suhu badan dia…” pantas didail nombor.
Beliau sudah putuskan mahu menghantar Rijal ke hospital. Bila panggilan berjawab dan urusan sudah
selesai, beliau kembali mendail nombor seseorang.
“Siapa pula
yang telefon ni,” tergopoh-gapah mek berjalan. Masih sempat disangul rambutnya.
“Mek ni aku.
Abda,” suara cemas menerpa dari corong telefon.
“Ada apa?”
geram mek terbit bila teringatkan Rijal.
“Rijal…
Rijal demam lagi,” adu Datin Abda. Dijeling Rijal dengan pandangan sayu.
“Demam biasa
saja tu, esok lusa baiklah dia,” tokok mek.
“Dia meracau
macam dulu. Aku rasa dia teringatkan Sufie. Aku takut demam dia tak mahu kebah.
Apa aku nak buat…” kata-kata itu mati seketika sebelum bersambung. “Kalaulah
Sufie masih ada…”
Datin Abda
tersentak bila suara tinggi mek memotong. “Jangan kau sebut nama orang yang dah
meninggal. Percuma saja kalau kau sebut pun… yang meninggal tetap akan pergi,”
dalih mek.
Hatinya
pedih bila menipu Datin Abda. Namun membiarkan Sufie bersama Rijal, ibarat
memberi korban kepada Harimau. Anaknya sudah cukup tersiksa dengan sikap Rijal,
bodohlah dia kalau terjerat kali kedua.
“Maaf mek.
Aku tahu kata-kata aku tadi agak melampau. Aku bukan apa, Cuma tak tergamak
lihat penderitaan Rijal,” pujuk Datin Abda. Sesekali diusap ubun-ubun Rijal.
Mek
mendengus kasar, hatinya berpilin. ‘Jadi kau ingat aku tergamak nak lepaskan
anak aku dekat buaya macam Si Rijal tu. Mati hidup semula aku tak akan terima
dia sebagai menantu,’ getus hatinya.
“Mek! Kau
dengar tak apa yang aku cakap. Aku minta maaf sebab sentuh pasal arwah Sufie,”
“Aku dengar.
Tak payah nak minta maaf. Kau jagalah Rijal baik-baik. Aku kena letak telefon
sekarang. Assalamualikum,” ditekan butang hijau. Datin Abda terkilan, tidak
disangka sikap mek berubah. Tidak seramah dahulu.
“Awak menipu
lagi?” aju Pak Awi keras. Dia memang pantang jika ada yang menipu.
Mata mek
membutang, tidak disangka suaminya curi dengar. Dia bisu.
“Awak tipu
Abda ya? Sanggup awak bohongi sahabat sendiri?” tinggi nada Pak Awi.
“Ya… saya
sanggup demi Sufie. Budak Rijal tu tak layak untuk anak kita,” tingkah mek
geram. Rambutnya dilurut-lurut.
“Tapi awak
tipu Abda.” Pak Awi menjengilkan mata. Mek gugup lantas ditundukkan kepala.
“Bila saya
benci seseorang, maka saya benci seluruh keturunan dia. Termasuk Abda,” getar
nada mek. Air matanya menitis bila teringatkan Datin Abda, sahabat tercinta.
“Awak sedar
tak apa yang awak kata sekarang ni? Awak
bertuhankan ALLAH atau nafsu serakah awak tu. Ingat sikit yang musibah itu
satu, tapi akan menjadi dua bila awak sesali. Pertama musibah itu sendiri dan
yang kedua hilangnya pahala atas musibah itu. Padahal awak pun tahu pahala tu
lebih besar daripada musibah yang awak tanggung.”
“Saya tak
peduli dan tak mahu tahu. Siapa yang ainaya anak saya, dialah seteru.” Mek
berkeras.
“Saya bagi
awak masa untuk berfikir dan selesaikan masalah ini. Satu pesan saya. Jangan
sampai saya masuk campur. Awak tahu saya tak suka ada penipu dalam rumah ini,”
ancam Pak Awi keras. Dia batuk, mek meluru laju. Bila sebut pasal keluarga,
hati mek cair macam air batu kerana baginya keluarga adalah intan permata yang
berharga.
“Saya urut
dada awak ya…” cemas nada mek.
“Tak
payahlah. Awak bukan sayangkan saya pun. Agaknya kalau saya tak ada awak lagi
bahagia,” luah Pak Awi.
Air mata mek
menitis. “Awaklah syurga saya. Kenapa nak cakap yang bukan-bukan? Marah sungguh
awak pada saya.”
“Suami mana
tak marah bila isteri sendiri tak menurut kata. Bukan saya minta gadai batu
permata. Saya nakkan awak beri kemaafan pada Rijal dan Abda. Jangan diturut
kata hati, nanti mati dalam sengsara.”
“Yalah… saya
turutkan kemahuan awak.” Mek mengalah, dipapah suaminya.
“Jangan
turut kemahuan saya. Turutilah kemahuan ALLAH,” sindir Pak Awi.
Mek diam.
Kebenaran kata-kata suaminya tidak tersangkal.
“Saya ikut nasihat awak, tapi saya perlu sedikit masa. Sekurang-kurangnya
biarlah saya bertenang dulu,” pinta mek. Pak Awi senyum lega.
***
“Rijal…
bangun nak.” Datin Abda goncang lembut badan Rijal. Sedikit demi sedikit Rijal
membuka mata, itu pun dalam payah. Terasa berat kelopak matanya. Namun demi ibu
tersayang digagahi juga.
Tatkala
wajah suram ibunya jelas kelihatan, dia bersuara lemah. “Bukan ke tadi Rijal
masih di pejabat?”
Datin Abda
kuncup dahi anaknya. “Kau demam… mama minta Robert hantarkan kau ke rumah,” ada
getar dalam suara Datin Abda. Dijeling kertas dalam gengaman Rijal.
“Mama tahu
siapa penulis sajak ni?” aju Rijal bila dia perasan jelingan Datin Abda.
“Mama rasa
kamu lebih tahu siapa penyajak tu,” lemah suaranya.
“Rijal tak
tahu. Dan perkara tu merungsingkan hati Rijal. Kalau mama tahu tolonglah ceritakan,”
rayu Rijal lemah. Dia berwajah terdesak.
“Betul kamu
tak ingat siapa penulis sajak tu?” harapan berbunga di hati Datin Abda. Dia
merasakan perkara itu masih boleh disembunyikan.
“Kalau tahu
Rijal tak tanya.”
“Kenapa kamu
beria-ia nak tahu?” aju Datin Abda sangsi.
“Entahlah….
Cuma hati ni rasa perit. Rasa sakit bila Rijal baca sajak ini. Seolah-olah
sajak ni berkait dengan Rijal,” dalam suranya. Ditenung Datin Abda lama,
berharap ibunya akan berkata jujur.
“Lagi apa
yang menarik pasal sajak tu, sampai kamu demam dibuatnya,” aju Datin Abda
tenang.
“Rijal asyik
mimpikan seorang gadis di dalam bilik suram berteman lampu meja. Gadis tu
berdiri kaku. Tapi muka dia tak nampak
sebab bilik suram,” dengus Rijal kesal. Datin Abda senyum,
menyembunyikan perasaan terkejutnya. Bagaimana tidak terkejut jika gadis yang
dimaksudkan Rijal adalah Sufie.
Datin Abda
ketawa besar, atau lebih tepat ketawa palsu. “Sajak tu mama yang tulis… Dulu
teringin sangat nak jadi penulis, alih-alih jadi usahawan. Kita kan anak-beranak
tentulah kamu memahami rasa hati mama. Sajak tu mama tulis masa putus cinta
waktu sekolah dulu.”
Tidak
berkelip mata Rijal, rupa-rupanya sajak yang menghantui hidupnya adalah karya
mamanya sendiri. Terasa bodoh bila difikirkan yang dia demam dan rungsing hanya
kerana sajak mamanya.
“Habis tu
siapa pula gadis dalam mimpi Rijal tu?” aju Rijal, cuba merungkai mimpi.
“Eh… tanya
mama pula. Manalah mama tahu, kamu kan ramai kekasih. Jangan-jangan arwah
isteri kamu tak. Mungkin dia marah sebab kamu lama tak balik jenguk anak
sendiri,” sindir Datin Abda.
“Mungkin
juga. Rijal dah buat keputusan nak balik Malaysia minggu depan,” sengih Rijal.
Tidak disangka hatinya lembut hanya kerana arwah isterinya hadir dalam mimpi.
Datin Abda
tersentak. Membenarkan Rijal balik ke Malaysia bermakna membenarkan memori
lukanya terungkai kembali. Dia termenung lagi menggali akal. Walau apa yang
terjadi, Rijal tidak harus Menjejak kaki ke Malaysia selagi memorinya berkaitan
Sufie belum benar-benar padam.