Hampir naik
kematu tapak kaki Miera melangkah,
tetapi masih tidak ditemui bilik yang menempatkan Tariq. Maka terpaksalah dia
bertanya kepada beberapa orang sebelum dia
menemui bilik dituju. Langkahnya
terhenti ketika terdengar suara lembut seseorang. Cepat-cepat dia bersandar
pada dinding dan memasang telinga.
“Cisss…
betina gatal tu datang menempel,” luah Miera marah.
Kedengaran halus ketapan gigi yang berlaga.
Ketawa yang pecah berderai menambah bara di hati. Miera
menarik-narik blaus yang tersarung pada badannya yang tinggi lampai persis
model itu. Telinganya masih terlekap menanti berita yang mungkin akan
melunakkan resah hati. Dia sengih tiba-tiba, apa yang diharap muncul juga.
“OH!...
ada orang cari si bidadari penderma hati rupa-rupanya. Patutlah kau tolak aku
mentah-mentah. Jangan risau kau akan dapat apa yang kau idamkan Tariq.” Miera melangkah megah,
otaknya ligat merencana sesuatu. Hatinya sembuh dengan sendirinya.
Sementara itu Tariq dan Daniel masih bertekak
sekaligus mencuit lucu Sufie dan Zikrey.
“Tariq
kalau kau terus macam ni, silap-silap bidadari hati kau lari. Mana tahu si
bidadari terkejut tengok
sikap kau yang macam budak-budak.” usik Sufie.
“Manalah
dia mampu lari bila berhadapan dengan lelaki sekacak aku.”
Tariq bercekak pinggang sambil melempar renungan tepat ke wajah Sufie.
“Sombongnyaaa…”
ejek Daniel sambil menjelirkan lidah. Tariq jadi geram lagi.
“Tolong
sikit ya. Itu bukan sombong tapi kenyataan.” Tariq meluku
kepala Daniel dengan lembut. Kanak-kanak itu mengaduh sakit sambil mengusap-usap
kepala. Sekali lagi tawa terlerai.
Daniel berpaling menatap Sufi. Matanya mengecil
dengan dahi sedikit berkerut. Patah kata yang lancar meluncur tiba-tiba.
“Betul
ke… cikgu kerja dekat kedai pastri?” aju Daniel tiba-tiba.
“Ya…
kenapa?”
“Seronok
tak?”
“Seronok…
ramai kawan. Yang paling best pastri-pastri dia cantik. Kalau makan mesti nak
tambah.” Sufie menunduk kehadapan
lalu jejari runcing miliknya mengusap rambut Daniel. Kali ini Daniel merelakan perlakuan
itu, tanpa bantahan.
“Daniel
dah semakin hensem,” puji Sufie.
Daniel tersipu-sipu, gelagatnya yang serba tidak kena itu sekali
lagi mengundang tawa.
***
Corrado masih membelek-belek buku yang dipegang. Buku
itu sudah separuh dibaca, malah membaca buku itu seumpama bersama Sufie. Cuma
sejak tadi hatinya tidak keruan. Seakan-akan lompang hatinya tidak diturap
dengan baik. Mengundang rekahan kecewa yang lain.
Corrado masih merenung tulisan yang timbul di
permukaan kulit buku itu.
“Chi I cuori lui,” (Siapakah aku di hati dia)
tukas Corrado lemah.
Rozita
yang setia memerhati, tidak mampu lagi berdiam diri. Dengan satu dengusan nafas
dia menghayun langkah. Tidak dilupa dua mug kopi panas. Sungguhpun hatinya
gentar namun bibirnya tetap melarik senyum, tetapi senyuman itu tidak senada
dengan mata. Nampak canggung. Entah
kenapa, dia sendiri pelik dengan perasaannya kebelakangan ini. Sebaik
terpandang Corrado dia akan lemah tiba-tiba, malah pantang baginya bila Corrado
disapa atau menyapa gadis lain. Malah dengan wanita tua sekalipun.
“Errr... pagi.” Rozita kaku berdiri di hadapan Corrado. Dirasakan dua
biji mug itu beratnya seakan seguni beras. Tenaganya susut mendadak.
Corrado
mendongak langit, memerhati matahari yang sedang terik memancar. Dia kemudiannya
membalas senyuman gugup Rozita. “Ya...
selamat pagi... oh, atau mungkin selamat tengah pagi. Tentu kamu setuju dengan apa yang saya kata. Ya... tak?” usik
Corrado.
Berkerut
dahi Rozita, makin bergetar lututnya. Tidak disangka dia akan selemah itu. “K-kenapa selamat tengah pagi pula?”
Corrado
senyum lembut lalu menunding jari ke langit. “Sebab kacukan pagi dan tengah hari. Jadi terpaksalah kita gelar selamat tengah pagi,” ketawa Corrado
bergema. Deretan gigi putih lelaki bermata hijau laut itu benar-benar
memegunkan Rozita. “PRANG...”
Kedua-dua mug terlucut daripada pegangan tangan. Jari-jemarinya dirasakan amat
lemah, tidak bertenaga langsung. Rozita
ternganga, manakala Corrado mengelak pantas. Mujurlah sempat dielak jika tidak
sudah tentu kopi panas sudah melecurkan wajahnya.
“Aduh... kenapa sampai terlepas? Muka pun pucat, kalau
tak sihat ambil saja cuti.” Corrado tenung Rozita, menyebabkan gadis itu bertambah
pucat. Tanpa kata dia berlari meninggalkan Corrado yang terpana malah terkebil-kebil
dengan sikapnya itu.
“Ada
yang tak kena dengan budak seorang ni.” Corrado bercekak pinggang sambil mengeleng-geleng
kepala. Kemudian senyum nipis. Mungkinkah dia sudah menyedari isi hati gadis
itu?
***
Robert
menghayun langkah, sesekali dia mempamirkan senyuman tenang penuh wibawa bila
bertegur sapa dengan staf yang berselisihan. Namun semakin menghampiri bilik
Rijal semakin menghilang senyuman itu. Langkahnya juga dihayun perlahan. Ada
sesuatu yang sukar untuk dia luahkan, malah membayangkan wajah Rijal juga sudah
tidak sanggup.
“Huhhh...” degusan nafas dilepas , berharap yang Rijal akan
bertenang dengan berita yang bakal dikhabarkan.
Pintu
diketuk cermat dan bila sahutan keizinan kedengaran lantas tombol pintu dipulas
lembut, malah lebih lembut berbanding hari-hari biasa.
Wajah
suram itu melarik senyum. Dengan langkah megah yang menyembunyikan sekeping
hati yang gusar. Dia menarik kerusi sebaik berhadapan dengan Rijal. Beberapa kali
dia mendengus sekaligus mematikan ketekunan Rijal.
“Unusualfor you today,”
teka Rijal. Sekilas dia mendongak kepala sedangkan penanya masih laju berlari
di helaian kertas.
“When magpie idle, it’s strange,”
tambah Rijal. Pen dilepas sejurus itu,
ditaut jari-jemarinya sambil bersandar
malas. Kini dia benar-benar bersedia mendengar luahan rakan baiknya itu.
“Tell
me
now…”
pinta Rijal dengan nada malas.
Sampul surat berwarna putih
disuakan kepada Rijal. Teragak-agak disuakan. Dia kembali diam. Rijal sedikit
teruja dengan tindakan Robert. Seingat dia kawannya itu bukanlah jenis yang
mudah digugah keberanian dan kewibawaannya, malah ketika syarikat mengalami
krisis kewangan dialah satu-satunya yang paling tenang.
“Kamu
pucat Robert. Sudah macam orang terlihat hantu,”
giat Rijal. Dia tersengih sambil matanya meramas wajah dihadapan itu, cuba
memerah rasa yang diselindungkan.
“Saya
bagus…” Robert balas setenang
mungkin.
Mungkin Bahasa Melayu Robert tidak
selancar mana, namun itu tidak bermakna dia tidak memahami butir kata yang
dibualkan kerana dia dapat memahami setiap patah dengan baik.
Rijal sengih kecil. Helaian laporan
ditarik keluar dari sampul dan diamati. Kerutan di dahi menandakan ketenangan
hatinya terusik. Robert sekali lagi mengeluh.
Pandangan Rijal berbaur sangsi.
Ditatapi lagi untuk kali kedua, malah masih diragui, mungkin matanya tersalah tafsir.
Sungguhpun begitu hasilnyanya tetap sama. Dahi yang berkerut mula merintik
peluh, kecamuk menikam dada, tidak dia sangka.
“Mama
tipu aku.” Rijal memicit-micit
kepala yang tidak pening.
“Usia
dakwat itu masih baru, tidak sampai setahun pun. Kau sendiri lihat keputusan
ujian yang tertulis di atas kertas itu!”
“Kenapa
mama tipu aku?” Tanya Rijal. Penerangan Robert tidak diendah.
“Aku bukanlah yang paling layak untuk menjawab
soalan kau itu. Kau tentu tahu siapa yang lebih layak.”
Robert bangun berlalu. Ada simpati yang singgah di hati bila melihat wajah
Rijal.
Rijal berpusing –pusing di atas kerusi yang
diduduki, pandangannya menebar melatari syiling pejabat yang berwarna biru
laut. Sesekali matanya terpejam rapat. Dia seolah-olah cuba mencari kedamaian
di dalam kejapan mata dan kedamaian itu menyusup sedikit demi sedikit yang akhirnya
menjemput mimpi bermain. Dalam mimpinya gadis berpakaian putih itu menjelma lagi, wajahnya
terlindung diserkupi kelam bilik. Hanya lampu meja yang menyala dengan gah.
“M-
mimpi lagi. Boleh naik gila kalau hari-hari mimpi yang serupa,”
dengus Rijal lemah. “Aku mesti pulang ke
Malaysia. Nampak sangat mama cuba sembunyikan sesuatu.” Tekad Rijal.
Kalender di penjuru meja dicapai
lalu matanya menatapi satu demi satu nombor yang ada dan akhirnya dia senyum. “Hujung bulan ni. Boleh tahan. Aku dah
nekad mesti pulang juga akhir bulan ni.”
Pintu bilik dikuak lagi. Kali ini
Datin Abda pula yang muncul dengan langkah tergesa-gesa. “Dani masuk hospital lagi. Mama kena pulang Malaysia. Rijal tolong
uruskan perniagaan di sini.”
“Terima
kasih mama kerana begitu prihatin. Saya sudah putuskan yang saya akan pulang ke
Malaysia. Tiba-tiba makin kuat pula rasa
rindu dekat Dani. Tak tertahan-tahan lagi rasanya.” Rijal sengih.
Wajah Datin Abda berkerut kecil,
sungguhpun begitu resah hati dapat ditutupi dengan senyuman kecil.
“Biar
mama sajalah yang balik. Selain rindukan Dani mama pun rindukan papa. Jadi
rasanya kita sudah dapat kata putus… mama yang akan pulang.” Tokok Datin Abda
sedikit memujuk.
“Apa
susah. Mama tempahlah dua tiket. Kuranglah letih bila ada yang menemani
sepanjang penerbangan,” giat Rijal nakal.
Makin berkerut wajah Datin Abda
sekaligus meyakinkan Rijal yang mamanya memang tidak mahu dia pulang ke
Malaysia.
‘Menarik.’
Getus hati Rijal. ‘Ada perkara menarik
yang sedang disembunyikan.’
“Kenapa
tiba-tiba diam?” aju Datin Abda. Dan
persoalan itu terjawab oleh seulas senyuman kecil yang sukar dimergertikan.
“Isssh…
senyum pulak. Malaslah mama nak melayan kamu ni.”
Datin Abda bangun dengan serabut yang semakin menjalar.
“Nak
ke mana pula mama? Duduklah dulu… temankan Rijal.”
“Apa
yang nak ditemankannya! Mama nak cepat ni.”
“Ada
sesuatu yang Rijal nak mama ceritakan.”
Rijal tenung lembut wajah mamanya.
“Nanti-nantilah.”
“Duduklah
dulu mama.”
Rijal bangun melangkah menghampiri
Datin Abda. Tangan mamanya itu dicapai lalu diusap mesra, kemudian dipimpin ke
sofa berhampiran.
“Mama
nak minum? Rijal boleh bancuhkan!”
“Baiknyalah
anak mama ni. Ada apa sebenarnya ni. Tak payahlah bodek-bodek mama. Terus
terang saja,” pangkah Datin Abda.
“Ok…
Rijal nak tahu berkenaan arwah isteri Rijal.”
“Aikkk…
dah buang tabiat ke apa?”
sindir Datin Abda.
“Ceritalah
apa saja pasal arwah isteri Rijal. Hendak sangat Rijal dengar. Mungkin ada yang
sudah dilupakan… Ceritalah mama.”
Terpana seketika Datin Abda,
dirasakan masa terhenti. Dia cuak dengan permintaan itu. Permintaan yang
dirasakan ada agenda yang tersembunyi.
“Hai,
pelik semacam saja kamu ni. Ada apa-apa ke?”
“Kena
ada apa-apa ke, baru boleh dengar cerita pasal isteri sendiri,”giat
Rijal.
“Tak
pernah-pernah tanya, tiba-tiba tanya… Apa yang kamu nak tahu. Cepatlah Tanya!”
“Perempuan
dengan lampu meja yang Rijal tanyakan minggu lepas.”
‘Dush’ Jantung Datin Abda seakan
disentap. Pertanyaan itu adalah jerat yang mungkin akan memakan dirinya
sendiri. Salah gaya menjawab mungkin akan memagut kebahagian Rijal. Wajah
terkejut Datin Abda segera ditangkap Rijal, sekaligus menzahirkan kebimbanggannya.
“Mama
terkejut. Atau mungkin teruja,”
sengih Rijal. “Rijal pun teruja juga ni…”
“Perempuan
tu arwah isteri kamu… Aikk… isteri sendiri pun dah tak ingat. Berat benar
penyakit pelupa kamu tu. Sudahlah, mama sibuk, malas nak melayan karut-marut
kamu tu.”
Rijal cuba menahan, namun kali ini
Datin Abda berkeras mahu pergi. Datin Abda melangkah dengan perasaan sebal. Dia
sebal kerana masih tersisa ingatan Rijal berkenaan Sufie.
“Aku
mesti halang Rijal daripada pulang ke Malaysia. Aku akan buat apa saja asal
anak aku sembuh.”