Malam itu Tariq resah. Hangat selimut yang menyelimutinya
masih terasa. Dia termenung di sisi tingkap, mendongak kepala. “ Tak ada bintang
malam ni. Lepas ni mesti hujan.” Matanya dikerling ke arah katil. Gumpalan
selimut ditenung.
“Rasa bersalah lah pulak. Tak sepatutnya aku tipu Sufie.
Kasihan… tentu dia tengah risau.” Tariq melangkah ke katil lalu berlabuh di
birai. Selimut itu diambil dan dipeluk. Rasa hangat kembali menjalar, mula-mula
sedikit, namun semakin lama semakin merebak keseluruh nadi dan sarafnya.
“Duhh…” dia merebahkan badan.
Pintu bilik dikuak, wajah Zikrey mencelah. Dia kemudian
membuka pintu seluas mungkin. “Assalamualaikum Tariq. Masih mengelamun,” pintu
ditutup lembut sebaik kakinya melangkah.
“Huhh… “ keluh Tariq.
“Mengeluh nampak. Sesal sebab tipu Sufie ke?” panah Zikrey.
Dia turut melabuhkan punggung ke birai katil.
“Mungkin betul… mungkin juga salah…. Aku pun pening dengan
rasa hati aku sekarang.” Tariq pandang Zikrey dengan rasa resah.
Zikrey tersentak kecil, dahinya berkerut. “Rasa hati! Jangan
kata kau dah jatuh cinta kat Sufie.”
Tariq ketawa mendadak, ditepuk peha Zikrey. “Ke situ pulak
adik aku seorang ni. Tak mungkinlah. Aku belum buta lagilah.”
“Serupa dengan Abang Rijal lah kau ni,” tambah Zikrey.
Kali ini Tariq pula yang tersentak. Dia sebenarnya tidak
suka disamakan dengan Rijal. Walaupun Rijal merupakan anak tiri papanya, namun
ternyata Rijal lebih disayangi berbanding dia.
“Apa yang serupanya?” bentak Tariq.
“Abang Rijal dulu pun macam kau, kutuk isteri sendiri. Macam-macam
dia kata. Alih-alih bila isteri dia meninggal dia jatuh sakit.”
“Kalau isteri dia cantik tentulah dia tak hina. Isteri dia
dah meninggal kan. Mesti sekarang dah jadi
hantu yang paling hodoh,” ketawa Tariq
bergema.
“Mana kau tahu isteri dia hodoh, gambar dia pun kau tak
pernah tengok. Lagi satu, masa mereka kahwin mana ada kau datang. Nak tunjuk
bencilah konon,” bidas Zikrey.
“Aku tak benci,Cuma aku tak suka.”
“Samalah tu abang ngah yang bijaksana oii…” Zikrey ketawa.
Tariq bangun. Dadanya kembali sesak. Entah mengapa, penipuan
kali ini sangat berat baginya. Bukanlah dia tidak pernah menipu, malah sudah
menjadi kewajipan untuk dia menipu setiap hari. Mungkin dengan menipu dia dapat
melindungi rasa hatinya, sekaligus
melindungi perasaan orang lain. Ah! Kali ini benar-benar berbeza. Bayangan
Sufie muncul terus- menerus menghalang akalnya berehat.
Zikrey senyum kecil.
Baginya Tariq pada malam ini amat berbeza dari malam-malam sebelumnya. Walau
berlagak tenang, namun resah di wajah Tariq terlukis jelas. Sedang ralit Zikrey
memerhati, telefonnya menjerit. Tersentak lamunan mereka berdua.
“Assalamualaikum… siapa bercakap?” aju Zikrey sopan.
“Zikrey! Ini bibik! Lekas pulang… Da- Daniel sakit lagi…
bibik susah hati.” Bibik menjerit dicorong ganggang telefon.
“Bik… bik tenang ya. Bik telefon Doktor Halim, rumah dia pun
selang tiga buah dari rumah kita. Saya menyusul sekarang.” Zikrey memberi
arahan. Dia bangun tergopoh-gapah.
“Budak tu sakit lagi ke?” tanya Tariq.
“Aku kena balik sekarang. Daniel sakit lagi,” kalut Zikrey.
“Nanti ok lah budak tu, yang kau kalut ni kenapa?”
“Aku kalut sebab dia anak
saudara aku,” bidas Zikrey. Tariq tersentak. “ Lagi satu, kanser dia dah
melepasi tahap satu. Kalau kau teruskan juga sikap kebudak-budakan kau ni, aku
risau kau tak sempat mengenali anak saudara sendiri.” Zikrey hayun langkah
meninggalkan Tariq yang pegun.
***
Sufie bersandar pada palang balkoni, langit tanpa bintang
direnung sepi. “Bulan tak keluar malam ni… bintang pun tak muncul-muncul.
Insya-ALLAH hujan akan turun.”
Sufie renung lagi langit malam, pandangannya di tala ke arah
Hospital Selayang. “Ya ALLAH moga- moga Tariq redha dengan hadiah-MU. “ Hati
Sufie dijentik risau dan kesal. Risau bila memikirkan keadaan Tariq, dan kesal
kerana tak berupaya membantu sahabatnya itu.
“Siapalah gadis tu? Di mana aku nak mula? Macam mana aku nak
cari?” tanya Sufie sendirian.
“Kak Sufie tak mahu masuk ke? Berembun tak bagus tahu tak.
Orang kata kalau sejuk-sejuk sangat kulit cepat kecut, cepat berkedut.
Nanti tak ada yang nak kahwin dengan Kak
Sufie.” Salmi muncul di sisi, dirangkul lengan Sufie kemudian dilentokkan
kepala ke bahu.
“Tak tidur lagi Sal?”
“Belum, masih awal. Kak Sufie fikirkan sesuatu ke?”
“Ya… tapi hal remeh saja.”
“Pasal apa? Sal nak dengar.” Salmi mengoyang-goyang lengan
Sufie.
“Pasal kerja… tak ada apa yang nak dikongsikan pun,” cantas
Sufie.
“Kak Sufie, bila nak jumpa kekasih Sal. Bukan dulu Kak Sufie
kata nak jumpa dia.”
“ Insya-Allah bila lapang. Buat masa sekarang Kak Sufie
sibuk Sal,” dicubit pipi Salmi. Gadis itu tersenyum.
“Sal tanya sikit boleh? “ kepalanya masih terlentok pada
bahu Sufie.
“Ok… tanyalah. Tapi Kak Sufie tak janji akan jawab. Tengok
atas keselesaan Kak Sufie.,” diusap-usap kepala Salmi. Gadis itu makin manja.
“Kak Sufie pernah bercinta?” gugup Salmi bertanya.
Sufie senyum. Wajah Rijal muncul namun dicantas gambaran
itu.
“Atau pernah mencintai ?” kepala Salmi berkalih ke hadapan.
Dia sebal dengan kebisuan Sufie.
“Tak pun… pernah tak dicintai sesiapa?” aju Salmi.
Digoyang-goyang lengan Sufie menyebabkan Sufie tersentak.
“Mencintai pernah… tapi dicintai belum,” tenang ayat itu
meluncur, namun segaris hampa terukir di bibir menoreh hati Salmi. Dia jadi
serba-salah.
“Maaf…” polos diungkap kemaafan. Lengan Sufie kembali
dirangkul, malah lebih erat lagi. Dia harap rangkulan itu dapat melunakkan hati
Sufie.
Tini muncul tanpa disedari. “Cantik kan, pemandangan malam
ni?”
“Apa yang cantiknya Kak Tini?”
“Lampu-lampu dan bangunan pencakar langit itu lah. Macam
bintang jatuh ke bumi, bergemelapan di sana sini.” Tini masih menunduk
memerhati kerlipan neon, sedangkan Sufie masih mendongak menyilau susuk bintang
dan bulan.
“Tapi tak setanding bintang dan bulan di langit. Nampaknya malam ini berkemungkinan hujan akan
turun. Insya-ALLAH.”
Tini menyampuk. “Yalah… tak ada bintang pun malam ni.”
Salmi senyum tiba-tiba. “Wah! Hujan nak turun…
mintak-mintaklah lebat, biar makin sejuk, makin lenalah tidur jawabnya.”
“Tidur-tidur juga, jangan
terbabas sampai ke tengah hari sudah,” usik Tini. Mereka kemudian mengirai
ketawa.
***
Ambulance meluncur laju merempuh kegelapan malam, bunyi
siren bertebaran. Mata-mata kutu rayau dan kutu embun memerhati, terpana mereka
seketika. Jasad kecil Daniel berombak lemah. Nampaknya sakitnya kembali
menyerang, setelah tanda-tanda kesembuhan muncul.
“Assalamualaikum mama…” tenang nada Zikrey.
“Ada apa Zik? Rindukan mama ke?”
“Bawa pulang abang long…. Daniel mungkin kena tahan di
Hospital. Suhu badannya naik mendadak.”
“Mama fikirkan semula hal itu,” gusar menjengah. Datin Abda
risau memikirkan keadaan Rijal dan Daniel.
“Buat keputusan yang tepat dan benar ya mama. Zik percayakan
mama, jangan hampakan Zik kali ini.” Zikrey sebal. Dimatikan telefon sejurus
itu, bila Daniel mengerang kecil.
Sementara itu di wad VIp, Tariq masih kelu, serba tidak kena
duduknya. Sekejap dia berkalih ke kiri, sekejap berkalih ke kanan, sekejap ke
hadapan dan akhirnya dia berundur ke belakang. Lalu dia bersandar pada kepala
katil. Wajah Sufie dan Daniel muncul beriringan. Kedua-duanya memberi makna
kepada dia.
Tipulah kalau dia tidak menyayangi Daniel. Namun ego menjadi
dinding pemisah di antara mereka. Hatinya berombak pilu setiap kali anak
buahnya itu menjalani rawatan. Malah sudah acap kali dia melihat proses kimoterapi
yang dijalankan. Amat menyakitkan. Tubuh lemah Daniel yang tegar menahan
tusukan jarum dengan proses yang panjang. Ditambah kerutan azab pada wajahnya
menyebabkan mata Tariq bergenang. Menjadi cikgu di SDH (Sekolah Dalam Hospital) merupakan cara
terbaik untuk dia mengurangkan rasa bersalah.
SUFIE… satu rasa yang sukar untuk mengungkap mengenai gadis
ini. Kalau dia diberi sebuah kamus dan diminta memilih satu perkataan untuk
menggambarkan gadis itu. Pastilah perkataan itu tetap tidak dijumpai. Gadis itu
benar-benar dekat dengannya. Namun itu bukanlah bermakna dia mencintainya.
Tariq senyum seketika. Dia rasa bodoh kerana sanggup
mengupah Sani melanggarnya, lagi gila
dia terpaksa mengemam darah tiruan, hanya kerana mahu memenangi hati Sufie
kembali. Terus terang tidurnya tidak lena sejak Sufie dingin kerana dia mahu
meninggalkan Miera.
“Sufie… Sufie… kau buat aku jadi gila. Kenapalah aku sanggup buat kerja bodoh
ni kerana seorang kawan?”
Tariq kembali mengimbau kali pertama dia bertemu Sufie.
Gadis itu berwajah tenang, namun sering ditemui
mengalirkan air mata bila bersendirian. Mulanya dia beranggapan kerana
rindukan keluarga, namun perkara itu dirasakan pelik, tapi itu hanyalah firasat
hatinya.
Lamunan Tariq mati bila tombol pintu dipulas. Seorang
jururawat muncul, senyumannya meleret seperti biasa.
“Tak tidur lagi Cikgu Tariq?” aju jururawat laju, sebaik
wajah Tariq dipandang.
Tariq menggeliat kecil, menguap sekali dua. “Baru bangun.
Ingat nak minum air.”
“Macam dah sihat saja Cikgu Tariq ni… Tadi dah macam
nyawa-nyawa ikan saya tengok. Ada apa-apa ke ni?” usik Jururawat. Tangannya
pantas mengemas katil bersebelahan Tariq.
Tariq terkedu. “Mampus kalau dia tahu aku tipu.”
Jururawat itu tidak perasan Tariq merenungnya. Dia sedang
berkemas. Dari geraknya yang tangkas dia sedang terkejar-kejar, mungkin kerana
masih banyak kerja yang perlu dilakukan.
“Itulah kuasa ALLAH… Cik percaya tak dengan kekuasaan ALLAh,”
tokok Tariq. Wajahnya sengaja dilayukan dengan mata menguyu dan kata-kata yang
lemah.
“Percaya…” masih terpalit senyuman di wajah keletihan
jururawat beralis tebal itu.
“Puhhh… lega. Kena lebih berhati-hati lepas ni.”
Bila katil siap dikemas, jururawat itu mula melangkah, namun
sempat Tariq bertanya.
“Ada pesakit baru ke? Siapa? Orang mana? Tua atau muda?”
“Pesakit lama. Anak buah Cikgu dan masih muda… Cikgu tentu
tahu jawapannya kan.” Jururawat itu kenyit mata lantas berlalu.
“Alamak si budak Daniel tu duduk sebilik dengan aku ke?
Masak aku kalau dia tahu aku menipu. Budak tu kalau tahu, kalah siren polis.”
Tariq mendengus geram. Dia kembali berbaring, makin sukar
dilelapkan mata, semuanya kerana berita yang Daniel bakal sebilik denganya.
“Apa aku nak buat kalau sebilik dengan budak tu, Aku bukan
ada modal nak berborak dengan dia. Kena pulak mulut dia yang macam orang tua
tu. Mati kutu aku, silap-silap kena sawan aku.” Tariq berkalih badan. Dia
mengiring melihat cadar, bantal dan
selimut yang kemas terletak.
Bunyi suara di luar pintu memaksa Tariq memejamkan mata.
Sebaik pintu dikuak kelibat Zikrey dan petugas
meluru masuk. Tubuh lemah Daniel diiring masuk. Sukar untuk
diterjemahkan perasaan dia ketika itu. Peluh mula melurahi dada, dan dia yakin
yang dahinya turut merintik peluh. Dadanya menjadi ketat, seketat kerongkong
yang menghela nafas. “Huhhh… selamatkan dia ALLAH,” tidak disangka ayat itu
meluncur laju.
Zikrey tidak
mengendahkan Tariq walaupun dia sedar yang abangnya itu berpura-pura tidur.
Dijeling tubuh itu sekilas sebelum beralih kepada Daniel. Suhu badan dicatat,
suhu badan Daniel meningkat tinggi. Ia merupakan tanda meningkatnya nilai
sasaran termoregulator (pengawalan suhu) badan. Sebenarnya ia adalah salah satu
cara badan melawan penyakit.
“Ya ALLAH moga suhu badan Dani kebah.” Diusap dan diramas
ringan rambut yang mulai gugur itu. Rambutnya sudah tumbuh, ketika disahkan
sihat, namun kembali gugur ketika melakukan rawatan kimoterapi.
“Nampaknya patient semakin
stabil. Kamu semua boleh beredar sekarang.” Zikrey bernada tenang.
“Patient did not present beneficiaries. one to watch?” aju Doktor Mazni. Ternyata
sifat keibuannya membenih simpati, direnung wajah Daniel, secalit resah
terpamir.
“Jangan
risau. Saya akan uruskan hal itu. Lagipun ini anak saudara saya.” Zikrey menhenyek
punggung di dada sofa. Doktor Mazni senyum.
“Semua
boleh bersurai sekarang. Siapa yang on call boleh teruskan kerja lain. Patient ni dah stabil.”
Suasana
kembali lengang bila bilik ditinggalkan Doktor Mazni dan petugas lain. Lama
Zikrey memerhati Daniel. Simpati makin menebal bila ditenung kanak-kanak itu.
Usianya masih muda, namun sudah kehilangan mamanya. Papanya pula sudah ke luar
negara, kalau ada pun tidak diendahkan Daniel.
“Ya
ALLAh bahagiakan Dani. Jiwanya sudah cukup terbeban dengan penyakit tu. Biarlah
dia merasai manisnya nikmat hidup walau sehari.”
Zikrey
tanggalkan kot doktornya lalu berlalu.
Niatnya mahu Solat Sunat Hajat. Mahu pohon rahmat dan belas ALLAH. Sebelum
berlalu sempat direnung Tariq, kemudian pandangan itu berkalih kepada Daniel.
Nafasnya yang tersekat dihembus serentak, sehinggakan didengari oleh Tariq.
Sebaik
lampu dimatikan, Zikrey melangkah pergi.
Bilik itu masih cerah kerana sebuah lampu sengaja dihidupkan.
Tariq
lega. Dia bernafas sepuas-puasnya. Dia pegun lagi. Kali ini Daniel mencoret sayu, menjentik
hatinya. Sendu suara kanak-kanak itu menyeru.
“M-mama…
mama… mama…” nadanya terhenti seketika.
“M-mama…
mama… mama…” tersedu-sedu nadanya. Lirih namun masih mampu didengari.
“Mama…
maafkan Dani. Papa maafkan Dani. Pak Ngah… maafkan Dani,” tersentak Tariq. Terangkat
keningnya, tidak disangka Daniel masih mampu memanggilnya Pak Ngah setelah apa
yang terjadi di antara mereka.
“Pak
Su, maafkan Dani…. Tolong!!! Tolong!!! Jangan tinggalkan Dani,” makin sayu
ratapan Daniel, makin menyayukan hati Tariq.
Tariq
bangun melangkah merapati birai katil, disuak dahi Daniel berkali-kali kemudian
bahu kanak-kanak itu ditepuk lembut. Buat pertama kali dia berkelakuan seperti
seorang lelaki matang. Dia lalu merendahkan badan, dipeluk badan yang bermandi
peluh itu. Degupan jantung Daniel didengari jelas, makin kuat pelukannya,
hingga terasa tulang-temulang Daniel.
“Syyy…
pak ngah ada kat sini. Tak ada siapa-siapa yang nak tinggalkan Dani. Semua
orang sayangkan Dani,” pujuk Tariq sayu.
“M-mama…
mama… mama… Dani rindu. Pulanglah mama….” Makin perlahan racau Daniel. Akhirnya
dia diam. Tariq sedikit lega. Dia masih memeluk
Daniel, kalau boleh tidak mahu dilepaskan pelukan itu.
“Kasihan
Dani… dia tersiksa dengan kasih sayang yang tak pernah wujud. Adakah aku
terlalu kejam dekat dia selama ini.” Tariq bergenang air mata, namun menangis
bukanlah sifatnya. Genangan air mata hilang bila Tariq hanyut dalam mimpi.
Sementara
itu Zikrey berjalan pantas, tidak
disedari hampir sejam dia bermunajad dan itu bermakna hampir sejam jugalah dia
telah meninggalkan Daniel. Sungguhpun begitu masih sempat dia singgah membeli minuman melalaui kios minuman di sudut
bangunan. Dia membeli dua tin kopi, niatnya agar matanya bertahan hingga ke pagi,
bimbang jika sesuatu terjadi kepada Daniel jika tertidur.
Makin
laju dia melangkah, makin berdebar jantungnya. Sapaan dan teguran rakan setugas
dibalas seringkas mungkin. Dia mahu cepat berada di sisi Daniel.
Tombol
pintu dipulas laju, nafasnya tercungap-cungap kerana keletihan menuruni tangga
akibat lif yang bermasalah.
“Alhamdullilah…”
terpancul kesyukurannya bila melihat Daniel dalam dakapan Tariq.
“Betul
telahan aku selama ini. Kau cuba sembunyikan
kasih sayang yang mendalam kerana ego. Tapi bila saatnya tiba, kasih
sayang itu akan terluah juga. Nampaknya aku kena pergi dulu, tentu kau malu
kalau ego kau tercalar.” Zikrey senyum. Perlahan dia melangkah keluar. Hatinya
berbunga malam itu, dijeling sekilas
Tariq dan Daniel. Dia sudah putuskan mahu ke surau beribadat dan menyatakan
kesyukuran kepada ALLAH.