Hujan lebat di tengah malam
membangunkan Rijal. Atap zink menjerit marah, dihinjak-hinjak hujan. Angin
berlari-lari masuk ikut lubang layar, bunyi deruan angin ibarat jeritan gadis
yang disiksa. Mengerikan.
Rijal tersedar. Dia memandang sekitar, sunyi
sepi dan gelap- gelita, hanya cahaya lampu dari beranda yang mencuri masuk
melalui rekahan papan. Itu pun berbalam-balam.
“Bila masa pulak aku tertidur ni?
Baguslah aku tidur di luar, dia sedap-sedap tidur atas tilam empuk. Tak boleh
jadi ni.” Rijal bangun, namun tidak terdaya. Dia mengerang kecil. Digagahi
beberapa kali, namun ternyata tubuhnya tetap membantah. Dia tersandar di dada
sofa. “Huh… Sanggup perempuan tu biarkan aku.”
Rijal terlanggar sesuatu ketika
berkalih. Diambil dan diperhati, sepasang stoking dan sehelai baju panas yang
berlipat cantik.
“Mesti dia yang letak,” teka Rijal.
Dia senyum gembira. Tidak lama. Cepat-cepat
senyuman itu dimatikan. “Kenapa nak senyum, memang patut dia sediakan semua ni.
Aku kan tetamu. So Encik Hati, duk diam-diam dan jangan fikir yang
bukan-bukan. Taraf kita terlajak tinggi untuk suka pada perkara sekecil ni.”
Hujan semakin lebat, semakin kuat
menghinjak-injak atap zink. Membingitkan telinga, mengundang kembali pening
kepala. “ Arhh. Makin sakit kepala aku. Rasa nak pecah.” Rasa kepalanya sedang
diketuk dengan tukul. Angin sejuk yang mengalir masuk tanpa henti, melalui
celahan papan mencium tubuh. Rijal menggigil ngilu.
Dia masih berbungkus kemas dengan
sehelai selimut. Gelas berhampirannya sudah kering.
“Sufie.” Nama itu terucap tanpa
dipaksa-paksa. Sekilas wajah lembut gadis albino itu muncul, wajah yang penuh
ketenangan dan kelembutan itu senyum kecil.
“Sayang… awak albino, orang kampung,
bakal guru dan tidak seangun wanita-wanita yang pernah saya kenal. Mungkin
sudah takdir kita berpisah. Taraf memisahkan kita.” Rijal bersuara lemah,
menyesali kekurangan Sufie.
“Sufie... Awak tak ubah macam gelas
kosong.” Rijal memusing-musing gelas kosong di tangan. “Gelas kosong tanpa isi,
samalah macam gelas yang retak. Tiada guna.” Rijal mendengus kasar, dilepaskan ketat hati.
Rijal berpaut pada sofa, menggagahi
badan. Dia bertekat mahu ke dapur, dahaganya perlu dilunasi.
Akan tetapi, angin sejuk makin kuat
memeluk bila selimut dilepaskan, dia kembali duduk. Matanya mula berpinar
dengan pening yang semakin memberat.
“Rasa macam orang terbuang. Tak ada
yang peduli. Dahlah rumah ni seram semacam. Silap-silap keluar lang….” Ayat
Rijal mati sejurus itu. Matanya terpaku.
Kelibat lembaga berpakaian putih berjalan.
Muncul dari arah dapur. Tercatuk Rijal.
Jantungnya kencang menendang dada. Dia cuak. Cepat-cepat dia baring. Kain
selimut ditarik hingga menutupi jasad. Ibarat macam mayat, Cuma yang membezakan
ialah, sepasang matanya mengintai liar, memerhati pergerakan lembaga itu.
Kelibat lembaga itu seperti pocong,
namun kainnya tidak membungkus badan, malah kembang dan longgar. Lembaga itu
kian menghampiri.
“Ah! Sudah. Masak aku kali ni.
Kenduri besarlah hantu tu. Inilah padahnya kalau mulut tak bertapis. Adoi… kenapalah
mulut aku tiada insuran.” Rijal Menggigil macam budak umur lima tahun.
Peluh menitis di wajah. Badannya
usah diceritakan lagi, pastilah basah lecun. Dia menyesal tidur di sofa. Dia
memerhati, ruang tamu itu lapang, hanya menempatkan sebuah sofa panjang yang sedang
dibaringinya. Suasana menyeramkan itu, boleh diibaratkan seperti bersemadi di
tanah perkuburan. Lembaga itu terus menghampiri, semakin hampir dan semakin
menyesakkan pernafasan Rijal. Mungkin dia amat-amat memerlukan CPR
(Cardiopulmonary Resuscitation) saat itu.
“Memang sah-sah aku mati lepas ni.
Kempunan aku nak merasa saham mama. Semua perempuan albino tu punya pasal.
Kalau aku tak ikut cakap dia, tentu aku dah ada kat kl sekarang.”
Dalam samar-samar, lembaga itu
jalannya tidak tentu arah, meraba-raba seperti orang buta tanpa tongkat.
Lembaga itu mendepakan sebelah tangan, melekapkan tapak tangan pada dinding dan
berjalan mengiring. Bila sampai bertentangan Rijal. Depaan tangannya
diturunkan. Berpusing dan berjalan menghampirinya. Rijal makin ketakutan.
Hampir terkencing dibuatnya.
“Apa nak jadi-jadilah. Aku tak boleh
mengalah. Aku lelaki.” Dia bingkas duduk dan melaungkan azan dengan kuat, namun
bertaburan entah mana ekor, entah mana pangkal. Tak perlu tanya kenapa, sebab
dia sendiri malu untuk menjawab. Lembaga itu terkejut lalu tersandung dan
jatuh. Berderai sesuatu pecah.
“Aduh!” Perkataan itu meluncur laju.
“Abang belum tidur? Tolong buka suis lampu dekat kepala sofa.” Suara tertahan
Sufie kedengaran.
Lemah Rijal memanjangkan tangan.
Dipetik suis berhampiran dan ruang tamu itu didakap cahaya lagi. Titis darah
menitik daripada tangan Sufie. Bingkas dia mendapatkan Sufie, namun niatnya itu
mati tiba-tiba. Tiada daya yang tersisa, hanya renungan kosong dihadiahkan.
“Awak ok? Buat apa dalam gelap?
Kenapa tak buka lampu?” Bertalu Rijal bertanya. Nafasnya tercungap-cungap.
Sufie tidak menghiraukan soalan
Rijal. Dia bingkas bangun, meluru ke dapur dengan cermat, namun masih sempat
dia senyum lembut. Seperti tadi jalannya masih tidak tentu hala. Rijal
memerhati wajah tanpa kaca mata itu. “Cantik.” Spontan mulutnya memuji.
“Sayang albino.” Spontan juga ayat
itu meluncur.
Sufie muncul lagi dengan tangan
berbalut. Dia memegang penyapu dan tempat sampah. Matanya bergerak ke kiri dan
ke kanan agak pantas. Oh! Patutlah dia jalan meraba-raba, rupa-rupanya,
nistagmus datang lagi. Dia mengutip dan menyapu sepihan kaca itu seberapa
pantas yang boleh, namun nistagmus menghalang kecekapannya. Dia meraba-raba
lagi. Rijal memerhati dengan sebal. Dia geram, seolah telah dipermainkan Sufie.
“Awak..” Pertanyaan Rijal mati,
Belum habis disoal, Sufie ke dapur lagi bersama sisa kaca yang dibersihkan.
Sejurus kemudian Sufie muncul lagi
dengan sebuah jag berisi air. Rijal memandang ke arah tempat yang telah
dibersihkan Sufie, ternyata ia dilinangi air. Dia faham, serta-merta sebalnya
sejuk.
“Kenapa tak buka lampu?”
“Nanti abang sedar. Tentu terganggu
tidur. Orang sakit perlu rehat lebih.” Sufie menghampiri, meletakkan jug
berhampiran Rijal.
“Air kosong. Buat minum. Nanti tak
payah susah-susah nak ke dapur.” Sufie bersuara getar.
Tersentak Rijal. Jantunnya berdengup
kencang. “Setelah apa yang aku lakukan. Dia masih melayan aku sebaik ini.
Betulkah aku lelaki tak guna? Ah! Bukan salah aku. Aku tak suruh pun dia
layan.”
Rijal menjeling jam di dinding lalu
bersuara. “Dah pukul tiga setengah! Lewat benar solat Insyak.”
Sufie tidak membalas, hanya senyum.
Kemudian mematikan suis lampu. Ruang tamu kembali gelap.
“Abang boleh tidur dalam bilik kalau
takut. Saya tidur kat bilik tetamu.” Sufie melayan Rijal seperti budak kecil.
“Ingat anak dara, nak takut-takut.
Saya lelaki, mana-mana boleh tidur.” Terselit keangkuhan dalam nada katanya.
“Saya tahu abang berani. Saya yang
salah cakap. Tapi muka abang pucat lesi. Tidur dalam bilik lebih baik, lebih
selesa.” Sufie bernada lembut.
Sufie meleretkan senyuman lalu
berlalu. Dia hilang sebaik melepasi dapur.
*****
Suara leteran Afiena seperti jam
loceng buat Rijal. Dia tersedar tanpa dikejut. Matanya menangkap cahaya yang
bertebaran masuk memenuhi ruang tamu. Hdungnya pula tajam menagkap bau sesuatu.
Mengejut seleranya bangkit. Dipusing kepala ke kiri, semangkuk sup ayam bersama
sebuku roti tersedia. Masih panas.
“Bangun pun. Kejut Subuh tak bangun-bangun.
Kejut makan, melaju.” Afiena bersuara lantang kepada Akim, namun sebetulnya
ditujukan kepada Rijal.
Rijal berwajah polos, pura-pura tak
mengerti. Tetapi hatinya menyumpah-nyumpah ketajaman mulut Afiena itu.
“Start dah radio buruk ni. Pagi-pagi
dah start membebel.” Lirih saja ucapan Rijal. Tidak didengari Afiena.
Sufie muncul sejurus itu, segelas sunquick
dibawa. Seperti biasa dia meleretkan senyuman. Tenang dan damai hati Rijal
memandang, malah sesiapa sahaja pasti sependapat. Kali pertama dia melihat
senyuman Sufie tidaklah seindah sekarang. Hatinya berdetik.
‘Sayang seribu kali sayang, awak tidak
setaraf saya. Kekurangan awak, kelemahan awak dan albino awak. Pemutus jodoh
kita.’
“Sunqiuck ni bagus. Banyak
vitamin C. InsyaALLAH, elok untuk selsema dan deman.” Disuakan gelas kepada
Rijal. Dia kemudia bingkas bangun dan berlalu.
“Awak nak ke mana. Tak makan sekali.”
“Tak. Saya dah sarapan lepas subuh
tadi.”
Jika diikutkan hati, mahu sahaja
diminta Sufie menemani, namun itu akan merendahkan maruah sendiri. Lagi pun dia
bukanlah suami kepada Sufie.
Menjelang tengah hari, demamnya agak
kebah. Dia lega malah seleranya juga agak baik berbanding hari sebelum. Hujan
masih lebat. Harap-harap hujan tidak akan bertambah lebat.
Sufie muncul bersama sebuah beg yang
agak besar lalu menghampiri Rijal. Bersimpuh dengan tertib dan berkata.
“Saya mahu ke KL. Tiket bas
sudah Kamarul belikan kelmarin.” Sufie berwajah polos. Rijal mencemik muka.
“Saya tumpang lori ikan sampai ke bus
station. Kalau sesiapa tanya kata awak dah izinkan. Saya dah tak sanggup
menipu lagi. Makin sendat rasa hati.” Sufie kemudian bangun dan berlalu. Rijal
bungkam. Tanpa dipaksa-paksa hatinya merasa kosong dan kehilangan. Rasa bagai
sesuatu yang berharga telah dicuri.
“Saya hantar awak.” Rijal bernada
laju, menyamai langkah Sufie.
“Terima kasih! Abang belum kebah.
Lagipun saya tak mahu terhutang budi. Jangan risau Afiena dan Kamarul akan
jagakan abang hingga sembuh.” Sempat Sufie meleretkan senyum sebelum berlalu.
“Nanti orang ingat kita bergaduh
pula. Saya hantar, lagipun bukan jauh sangat.” Rijal cuba bangun, namun
langkahnya masih lemah. Rasa seluruh uratnya disentak-sentak.
“Rehat dulu.” Sufie senyum tenang.
Meresahkan Rijal. “ Sama saja, abang atau sesiapa yang hantar. Tempatnya tetap
sama.” Sufie melangkah pergi.
Bukanlah dia tidak sanggup terhutang
budi. Tetapi rasa cinta dan sayang pada Rijal masih tebal, dia risau jika
berdekatan rasa itu akan semakin memahat hatinya. Adakah benar kata orang,
cinta pertama sukar dilupa? Yang pasti rasa cinta itu sukar ditepis, malah
semakin hebat menyerang hati. Sufie bermonolog sendiri. Air matanya menitis
setitis, hanya setitis. Meninggalkan Rijal ibarat meninggalkan hati sendiri.
Bunyi hentakan kaki menggegarkan
lantai rumah itu. Akim berlari sambil menjerit.
“Mak long… Mak long… Mek Yah, lori
ikan dah sampai. Dia tunggu kat bawah… Cepatlah sikit.”
Sekali lagi hentakan kaki itu
menggegarkan lantai bila Akim berlari kembali ke beranda.
Rijal memanjang-manjangkan leher,
mengintai dari balik jendela. Afiena yang kebetulan di situ menyindir.
“Inilah orang lelaki…Masa ada
dibuang-buang. Masa tiada dicari-cari. Nasi kalau dah jadi bubur, masak tujuh
keturunan pun tak akan jadi nasi semula.”
Terkejut Rijal, tidak disangka
diperhatikan. Dia kemudiannya menjadi malu. Digaru-garu kepala yang tidak
gatal, wajahnya berona merah. Sejurus itu kedengaran bunyi lori ikan
dihidupkan, pantas Afiena ke beranda. Sempat dijeling Rijal lalu berkata.
“Kalau rindu baik diluah sekarang,
jangan bertambah penyakit sebab merindu. Masih ada masa kalau nak peluk isteri
sendiri.”
Rijal masih bisu. Kalau diikutkan
rasa hati mahu saja diterkam dan dipeluk Sufie, merayu agar tidak pergi. Namun
itu bukanlah tujuan asalnya dan dia tidak mahu kalah kepada tuntutan hati. Dia
yakin yang hatinya sedang keliru terhadap rasa cinta itu sendiri. Mujurlah
akalnya masih waras dan mencantas bisikan hati.
“Jangan buat gila. Kau dengan dia
macam api dengan besi. Melebur kalau bersama. Tak mungkin bahagia.”
Hatinya luruh, bagai luruh daun-daun
di musim kering bila lori ikan itu mengaung meninggalkan rumah itu. Matanya
bergenang. Dia berlari ke beranda, namun sudah terlewat. Afiena senyum penuh
sindiran kepadanya, mek berwajah kosong, Jemi dan Akim masih melambai, Kamarul
berwajah sepi dan Pak Awi senyum nipis yang dipaksa.
“Nanti sembuh, kamu susuli Sufie.
Dia kena bertolak awal. Nak kena mendaftar di tempat baru. Mintak-mintak
selamat semua. Kamu jangan lupa makan ubat, biar cepat sembuh. Mek nak telefon
mama kamu, minta dia tengok-tengokan Sufie.” Mek berlalu, yang lain ikut sama
Cuma Rijal yang masih merenung jauh. Kesal dan ego, silih berganti cuba
memenangi hati.
Mek muncul lagi, tanpa disedari.
Senyum nakal mula melingkari bibir tuanya.
“Nah! Surat cinta isteri kamu. Mek
saja lambat beri, nak tengok reaksi kamu. Biasalah pengantin baru, nak lepas
sesaat rasa macam nak lepas setahun. Mek pun pernah muda.” Wanita tua itu
kemudian hilang lagi.
Surat itu digengam erat, bagai
menggengam emas. Hatinya bergoncang laju, minta dibaca, namun akalnya kembali
mencantas.
“Jangan dibuka, jangan dibaca.
Silap-silap saham ke mana. Albino tu yang kau dapat. Malu tujuh keturunan
nanti.” Surat itu dikoyak tiga dan dibuang melalui celahan lantai beranda.
Sekilas hatinya menyoal.
“Kalaulah ini surat terakhir dari
dia. Atau pertemuan terakhir kau dengan dia. Tak menyesal ke kau?”
Sesalan singgah mendadak, tapi
pantas diusir. Dia yakin apa yang dilakukan itu betul.
*****
Rijal berpura-pura tidur ketika Afiena
datang menghantar makanan. Sudah hampir Asar ketika itu.
“Bangun! Timemakan Tan Sri.”
Afiena menyindir.
Rijal berpura-pura mengeliat. Dia
bangun. Baru hendak disuap bubur, telinganya menagkap bunyi riuh di hadapan
rumah. Pintu hadapan diketuk bertalu-talu, makin lama, semakin kuat. Mengundang
denyutan di kepala. Mek berjalan pantas sambil mengelap tangan yang basah pada
kain batik yang dipakai.
Suara nyaring mek menjerit
kedengaran. Seisi rumah berlari, kemudian riuh rendah. Suara tangisan mek
menyusul. Makin gamat, makin menarik perhatian Rijal. Nama Sufie disebut-sebut
dan tangisan mek makin kuat. Belum pernah wanita itu begitu. Hatinya berdenting
kencang seperti kuda dipalu.
Bingkas dia bangun, menuju ke
beranda. Tidak terasa lagi sakit demam yang ditanggung.
“Kenapa? Apa yang berlaku?” Rijal
cemas. Dadanya ketat, kepalanya pening. Dia tahu sesuatu yang buruk telah
berlaku.
“Su… Sufie….” Mek cuba menahan
sendu, namun tidak mampu. Patah katanya mati di situ.
“Kenapa… Kenapa! Sufie.” Rijal
mendesak. Hatinya cemas bukan kepalang lagi.
“Hanyut… Sufie hanyut di sungai.”
Mek menangis.
“Hanyut! Macam mana?” aju Rijal
keras. Bagai tangkai jantung dicantas. Wajah pucatnya, semakin pucat.
“Lori ikan Mek Yah terbalik masa
lalu atas lubang kat jambatan. Lori dia tenggelam. Dua-dua mungkin mati lemas.”
“Dia belum mati.” Rijal menjerit,
Jangan sesiapa barani kata dia dah mati.” Semua diam serentak memandang hiba.
Kasihan melihat wajah pucat Rijal.
Rijal berjalan pantas ke ruang tamu,
dicapai kunci motosikal dan berlari turun. Kerana tergesa-gesa dia tergelincir
di kaki tangga. Pak Awi berlari, cuba memapah.
“Jangan tolong! Saya boleh bangun
sendiri.”
“Kamu demam. Biar ayah dengan yang
lain cari Sufie. Kamu duduk saja kat rumah.” Pak Awi memujuk.
“Suami yang patut cari isteri. Dia
tanggunjawab saya. Saya tahu, dia tengah tunggu saya. Saya mesti cepat, tentu
dia tengah kesejukan.” Rijal berpaut pada tiang tangga, menggagahi kudrat.
Terhincut-hincut dia mendapatkan motorsikal. Melaju dia meninggalkan halaman
rumah.
Hujan semakin lebat menangis,
seakan-akan berkongsi kedukaan hati. Langit pula dikelubungi jubah hitam
kesedihan. Pohon-pohon turut tunduk, meratapi nasibnya. Hujan lebat bagai jarum
tajam, menujah wajah. Membataskan penglihatan. Tetap juga dipecut motosikal.
Dia mahu cepat tiba. Mahu memeluk dan menyatakan yang dia mencintai Sufie. Mahu
dirujuk kembali sebagai isteri.
Motosikal yang dipandu laju, tergelincir
kerana tanah berselut. Mujurlah tiada kecelakaan menimpa, namun kakinya semakin
sakit. Merangkak-rangkak dia mendapatkan motosikal. Sudah beberapa kali
dihidupkan, namun masih juga tidak mahu hidup. Dilepas geram. Dia berlari
terhincut-hincut seperti bangau kepatahan kaki. Walau apa pun yang berlaku, dia
harus sampai di jambatan secepat mungkin.
“Sufie… Sufie… awak tak boleh mati.
Awak mesti hidup. Awak mesti teman saya untuk hayat ini. Saya janji tak sia-siakan
awak. Saya janji tak hina awak.” Rijal menjerit dalam hujan sambil menahan
sakit. Ngilu semakin mengigit hingga ke tulang. Dalam ketar dia terus juga
berlari terhincut-hincut. Sesekali dia berdengking bila kesakitan itu tidak
tertahan. “Arrg….” Nyaring dia berdengking.
Lima belas minitn terhincut-hincut,
akhirnya sedikit lega menyapa. Kelihatan berduyun-duyun orang memenuhi pingiran
sungai. Bot bomba kelihatan sedang meronda, beberapa anggota Unit Selam Bomba,
terjun menyelam. Dia melajukan pergerakan. Sebaik sampai kelihatan lori ikan
Mek Yah sedang dinaikkan. Cerita dari mulut ke mulut dengan pelbagai andaian
sedang mengitari kawasan itu. Rijal menghampiri salah seorang anggota bomba.
“ Is… Isteri saya… Isteri saya macam
mana?” Tercungap-cungap Rijal bertanya, lelahnya masih tebal di kerongkong.
“Tenang dan jangan kalut. Pergi ke Land
Rover PDRM dan periksa adakah itu mayat isteri awak.” Bomba itu menunding
jari pada Land Rover Defender di satu sudut.
Rijal berlari terhincut-hincut.
Kehadiran orang ramai, membataskan langkahnya. Dia terpaksa berasak-asak untuk
melepasi tetamu yang lebih sebagai pembahas tanpa undangan berbanding pembantu
yang cuba membantu.
“Isteri saya bagaimana?” Rijal
menyoal pantas, terketar-ketar kerana kesejukkan.
“Mayat isteri encik perlu dihantar
ke hospital untuk autopsi dahulu. Sebelum boleh dituntut. Itupun selepas saya
selesaikan testament”
“Saya mahu lihat mayat isteri saya.”
Tanpa izin, pantas dia menarik kain yang menyelimuti mayat dan buat pertama
kali, setelah sekian lama dia menyebut ‘ALLAHHUAKBAR’
Mayat seperti patung itu kaku,
kembung dan lebam-lebam kerana terlalu lama di dalam air. Rijal memerhati, loya
melular dikerongkong. Wajah mayat itu seakan-akan berubah ke wajah Sufie.
Pantas ditutup kembali mayat itu.
“Dia masih hidup. Aku tak percaya
dia dah mati. Dia mesti hidup. Kami akan hidup bahagia. Ada anak-anak.”
Sedaya-upaya dia melajukan langkah.
Dia berlari lagi ke gigi sungai,
menghampiri anggota bomba tadi.
“Tuan! Bagaimana keadaan isteri
saya. Mangsa yang masih belum ditemui tu?” Kerutan menikus menghiasi wajah
Rijal. Dia benar-benar berharap.
“Kami masih berusaha. Tapi usah
berharap. Kalau lemas di laut, mayat mudah timbul sebab air masin. Berbanding
dengan air tawar. Tambahan sekarang musim banjir semua sampah hanyut dibawa
arus. Saya khuatir jika mayat tersngkut di mana-mana atau dilarikan arus ke
laut.”
Perbualan mereka terhenti bila
anggota itu dipanggil. Dia senyum kelat sebelum meninggalkan Rijal.
Sekaki payung meneduhi tiba-tiba.
Kamarul menepuk-nepuk kecil, bersimpati atas nasibnya.
“Sabar Rijal. Setiap detik, saat dan
minit sudah dicatat. Kita bukan lawan-Nya.”
“Sufie masih hidup!” Rijal
meninggikan suara. Dia kembali berlari, berulang-alik dari hujung ke hujung
mencari tahu mengenai Sufie. Dia benar-benar menyesal sekarang, namun sudah
tiada guna.
Kamarul hanya memerhati. Dilihat
Rijal semakin lemah, wajahnya pucat, bibirnya kebiruan, malah gigilan badannya
semakin kuat. Kamarul sudah tidak betah lalu. Dia berjalan laju mendapatkan
Rijal.
“Kita balik dulu. Biar ayah, aku dan
orang kampung yang tunggu. Kamu balik dulu. Afiena ada tunggu dekat pokok
sana.” Kamarul menunding jari ke arah kedudukan Afiena.
“Dia isteri aku. Aku kena tunggu.
Tentu dia kesejukan bila dijumpai nanti.Hanya aku yang boleh peluk dia. Biar
dia hangat, biar dia tenang.” Rijal berdegil.
“Aku faham. Tapi kau sakit, kena
rehat. Tentu Sufie juga dah nasihatkan dalam surat yang dia tinggalkan kat
kau.” Kamarul memujuk.
“Surat… Surat….” Hampir gila Rijal
bila teringatkan surat yang telah dikoyak dan dibuang itu. Dia berlari
terhincut-hincut menuju ke arah Afiena. Dia mahu cepat pulang, mahu mencari
kembali surat itu sebelum surat itu juga dihanyutkan air seperti Sufie.