Sampai sahaja terus adik ke bilik dan baring, sendirian tanpa Aminah. Mek tidak tanya pula kenapa. Ditariknya
kain gebar, terus berkelubung. Mek senyum seorang diri, geli hati lihat
perangai adik.
Aminah belum pulang, bermakna Mek perlu mengambil alih tugasnya memasak. Biarpun begitu Mek tidak kisah. Sebenarnya Mek baru usai solat zohor, risau jika telat waktunya, tentulah tidak senang duduk. Sudah dari kecil Mek diajar solat tepat waktunya. Ayah dan ibu Mek tidak pernah marah, pukul jauh sekali. Tapi
butir kata mereka sentiasa meresap ke dalam jiwa anak-anaknya.
Mek buka peti ais, ambil selayang yang sudah disiang semalam,capai lengkuas, bendi empat atau lima batang tidak lupa lada burung
kampung. Kemudian hiris bawang merah dan putih. Kesemua bahan disatukan
ke dalam periuk , untuk sedapkan lagi singgang ikan selayang Mek masukkan asam
keping dengan garam dan aji. Ikan selayang Mek tidak lupa. Sungguh senang dan
mudah.
Nasi sudah ditanak sebelum solat. Jering dengan budu
masih ada jadi Mek cadang hidang ala kadar sahaja. Siap hidang Mek laung panggil adik, tapi adik tidak juga
menyahut. Mek laung lagi, kali ini agak kuat, tetap sama. Adik masih diam. Mek senyum lagi.
“Anak bertuah! Sepagi merayap, tidur sampai tak sedar Mek
panggil.” Mek menyusun langkah.
Mek selak langsir nipis bunga kemboja. Selalu sangat adik
tanya kenapa Mek beli langsir nipis bukan tebal. Selalunya Mek kata “Sebab
senang ibu nak tengok adik bila
teringat.” Tapi sebenarnya Mek risau jika langsir tebal, tentu susah Mek hendak mengawasi adik.
Ibu mana yang tidak tersentak bila
anak-anaknya sakit. Bila sebut sakit, tidak kira sakit zahir ataupun batin
keduanya menyentakkan hati Mek. Benar, malah betul Mek tenang bila musibah
melanda, tapi bila musibah kena kepada anak-anak, sedikit sebanyak Mek
terkesan.
Mek golek-golek lembut tubuh adik, Mek seru manja, namun
adik masih diam. Gebar yang menutupi mukanya Mek selak. Merah mukanya. Mek
jamah ubun-ubunnya ‘panas’ hati Mek sedikit terjentik, namun cepat-cepat Mek
istigfar. Mek jamah lagi kali ini bersungguh-sungguh, makin dijamah makin kuat
degupan jantung Mek.
Tiba-tiba adik menggelepar, buih putih keluar lagi, dan
seluarnya basah. Peluh di dahi adik makin banyak, sama banyak dengan peluh di dahi Mek. Cepat-cepat Mek ambil
kain dan masukkan dengan cermat ke dalam mulut adik, takut kalau kancing gigi
menyerang macam bulan lepas. Sekuat tenaga Mek pegang adik, Mek suruh adik bertenang,
tetapi makin kuat adik menggelepar. Kipas atas meja sudah tidak mampu
menyejukkan suasana panas ketika itu. Ini bukanlah kali pertama perkara
sebegini berlaku jadi Mek tidak cemas. Sambil memegang kuat adik, Mek istigfar
di dalam hati, moga-moga Allah memberi kekuatan kepada Mek.
Lama-lama adik
diam, tanda sawannya sudah surut. Terus sahaja Mek ke dapur dan cari asam jawa.
Kemudian asam jawa itu Mek ramas-ramas dengan air buat jemah badan adik yang panas.
Selepas itu Mek buka almari baju
dan belek-belek seketika, akhirnya Mek tarik baju t-shirt warna putih dengan
seluar warna biru dan terus menyalin pakaian adik. Mek kalih dia dengan kudrat
tua ke lantai, sebelum itu Mek alas lantai dengan tikar mengkuang. Bau hancing cadar menebar, lekas-lekas cadar
ditarik oleh Mek.
Tanpa perlu diarah cadar dan pakaian adik Mek bawa ke bilik
air dan rendam seketika kerana Mek mahu membersihkan tilam yang dibasahi air
kencing adik dahulu.
Mungkin selepas itu baru Mek akan membasuh cadar dan
pakaian adik. Mek lajukan kipas. Mek
tekan punat yang tertera angka tiga, kipas yang mulanya berputar lembut kini
melibas kuat angin yang melintasi kipas besinya. Wajah adik Mek perhatikan
lama-lama. Agak sayu hati seorang ibu, namun Mek percaya akan kasih sayang
Allah s.w.t. Mek senyum kembali. Mek turun dari birai katil terus Mek usap ubun-ubun dan akhirnya cium pipi adik. Ada titis
kasih mengalir dari alur mata Mek.
**************
Selepas asar Aminah sampai. Risau Mek surut kembali. Dari
bilik air Mek mendengar salam daripada Aminah. Dengan cermat Mek bilas tangan
dan mendapatkannya. Wajahnya senyum manis, walaupun manis, hati seorang ibu
sudah dapat merasa dalamnya gelora, sudah dapat menjangka tajamnya sembilu.
“Pergilah ke dapur. Jamah sukun goring dengan air teh.” Mek
kemudian menuruni tangga, diikuti Aminah.
“Ibu temankan Minah makan ya? Minah mahu berteman hari nie.”
Aminah meminta sopan.
Mek amati wajah Aminah. Ternyata kudratnya sedang dicuba
oleh penciptaNya. Mek berdoa agar dia tabah. Dengan senyuman Mek tarik kerusi lalu duduk bersebelahan Aminah. Tangannya
pantas menuang teh ke dalam dua cawan yang tersedia atas meja. Mek hanya
memerhati. Tidak bertanya atau mengarah kerana melihatkan wajahnya yang
berkecamuk. Aminah capai sekeping sukun. Dia mengunyah laju, kemudian mencapai
sekeping lagi.
“Singgang ikan masih ada! Ibu panaskan ya?” Mek berkata
lembut.
“Minah masih kenyang. Nanti
bila lapar Minah panaskan sendiri.”
Mek senyum macam selalu. Mek bangun kemudian ambil periuk
ikan singgang dan panaskan ia semula. Mungkin Aminah boleh memberi seribu satu alasan,
namun hati seorang ibu sukar untuk diperdaya, mungkin kerana kasih seorang ibu
menjadikan hati Mek begitu memahami.
“Ibu! Minah masih kenyang. Ibu pergilah berehat.Kalau ibu
hendak makan biar Minah yang panaskan singgang dan tanak nasi.” Bersungguh
Aminah berkata. Dia bingkas bangun dan cuba menggambil pisau yang dipegang Mek.
“Kamu duduk dulu. Ibu masih kuat, masih boleh melayan
anak-anak ibu. Lagipun bukan berat sangat, semua sudah dimasak. Tinggal nak
potong ulam jering nie saja.” Mek masih bertahan. Biarlah Aminah berehat
dahulu, lagipun Mek tahu dia anak yang rajin, tidak perlu disuruh-suruh.
“Biarlah Minah yang potongkan, bukannya susah pun. Ibu pergi
duduk dulu. Bila siap kita makan berdua.” Aminah masih berkeras dan Mek
mengalah.
Ulam jering Aminah belah dan susun atas pinggan lekuk. Singgang ikan selayang disenduk lalu di
masukkan ke dalam mangkuk dan nasi juga disaji. Mek makan lagi setelah makan
pada tengah hari tadi. Kalau diikutkan sememangnya perut sudah kenyang. Tapi
ini adalah buat menemani Aminah. Bukan tidak boleh dia makan sendirian, namun
hari ini hatinya minta dibelai dan Mek akur.
Adik memanggil Aminah, lemah suaranya membuatkan Aminah
terkejut. Adik masih memanggil Aminah. Rapat benar dia dengan Aminah. Kalau ada
sesuatu atau berkehendakkan sesuatu pasti Aminah yang dicarinya, bukan Mek atau
ayahnya.
“Ya! Kakak datang.” Aminah membalas, cepat-cepat tangannya
dibasuh.
“Kenapa dengan Suri?” Aminah bertanya.
Mek hanya senyum, tidak sanggup rasanya menambah ujian
dihatinya. Aminah yang sememangnya faham akan maksud senyuman Mek terus
melangkah tangga, menuju ke bilik adik.
Mek sambung makan dan berkira-kira mahu menjemur pakaian dan
cadar adik. Mek mahu jemur di lambung rumah sahaja memandangkan di alang lambung sudah direntang
dua dawai buat ampaian menjemur kain.
***************
Sedang Mek jemur kain Aminah muncul. Dia menarik bangku
menyiang ikan lalu duduk atasnya. Mek meneruskan kerja sedangkan hati Mek sudah
boleh menduga apakah yang ingin disampaikannya.
“Kena dibawa ke hospital Suri! tu” Aminah bersuara.
“Kita usulkan kepada ayah dulu.” Mek membalas.
“Pasti ditolak. Nyawa bukan boleh dibuat kira. Minah dah tak
sanggup. Makin lama makin susut keadaan Suri. Kita ke hospital ya ibu? esok
saya minta tolong Din Prebet Sapu hantarkan Suri ke hospital.” Minah bersungguh.
“Ayah tetap ketua keluarga. Tanyalah dulu dia sepatah,
jangan sampai dia terasa dipinggir keluarga sendiri.” Mek memberi nasihat.
“Ibu tak setuju dengan keputusan saya.”
“Selagi untuk kebaikan adik pasti ibu setuju.” Mek membalas.
“Petang nanti Minah tanya kepada ayah.” Aminah berkata.
“Lebih baik selepas insyak sebab ayah kamu pergi menjahit
pukat, takut keletihan tentu perbualan kurang menjadi. Sebelah malan udara dingin, kena pulak lepas
sembahyang. Moga-moga dipermudahkan Allah.” Mek memberi cadangan. Aminah akur.
Dia ke bilik Suri lagi. Sedang dia ralit memerhati Suri ayahnya pulang. Seperti
biasa Mek tunggu atas tangga. Dari jauh Abang Padir senyum kepada Mek. Wajah
tua itu masih menguntum senyuman yang menjadi kegilaan gadis-gadis Kampung Jeti Dua suatu masa dahulu. Gigi Abang Padir masih putih, masih tersusun kemas macam
dahulu. Mek balas senyumannya. Mungkin Mek sentiasa senyum, namun hati Mek
gugup memikirkan perbincangan yang akan berlaku pada malam ini di antara Abang
Padir dan Aminah.
*****************
Macam selalu bila kedengaran sayup-sayup azan magrib, Abang
Padir akan ke surau. Mek turuti langkahnya hingga ke anak tangga. Selepas itu
Mek pergi menghadap Ilahi . Begitu juga
dengan Aminah. Kami sembahyang berjemaah
di rumah seperti biasa.
Habis sembahyang Mek berzikir panjang macam selalu.
Aminah pula ke dapur memasak untuk ayahnya. Kebiasaannya Mek hanya menemani
Abang Padir dan anak-anak makan pada sebelah malam kerana sudah makan sebelum
magrib, itu sudah menjadi tabiat Mek sejak muda lagi.
Semakin beban terasa, semakin dalam seruan Mek menyebut nama
‘Allah’ semakin dihayati maksudnya dan terasa bebanan itu terbendung daripada
melimpahi hati. Mek bersyukur atas keizinanNya. Sedar-sedar insyak sudah
memerah magrib. Aminah sedikit cemas sudah berulang kali dia menjenguk adik,
namun Mek masih tenang. Memang benarlah jika kita menjaga Allah. Maka Allah
akan menjaga kita.
Selalunya pukul sepuluh malam barulah Abang Padir sampai,
kebiasaannya dia tidak terus pulang setelah selesai sembahyang insyak. Adakala
Abang Padir dan jemaah lain akan bertukar-tukar fikiran mengenai hal yang
berlaku di Kampung Jeti Dua ini. Aminah sedang duduk termenung di lambung
rumah. Mek hampirinya.
“Sementara nasi masih panas, pergilah jamah dulu. Nampak
gayanya ayah kamu pulang lewat hari ini. Mungkin dia akan terus ke bangsal, tempat
orang menjahit pukat, dengar cerita pukat carik teruk.” Mek bersimpuh
bersebelahan Aminah.
“Minah mahu tunggu ayah.Panas Suri masih tak kebah.” Aminah
memandang Mek, ternyata matanya bergenang air suci, rasa hati seorang kakak.
“Ibu tahu, malah faham perasaan Minah. Ibu pun rasa yang
sama. Pergilah kamu temankan adik, Insay-Allah bila ayah sampai ibu panggilkan.”
Mek memujuk.
Jika masih wujud anak yang taat dan patuh di muka bumi ini,
Aminah adalah di antaranya. Mek gembira walaupun tidak semewah orang lain dan
hanya kais pagi makan pagi, namun Mek benar-benar bersyukur mendapat anak
seperti Aminah dan adik. Tanpa banyak kerenah Aminah patuh kepada permintaan
Mek. Dia melangkah lembut tapi longlai, mungkin akalnya tidak seiring hatinya.
Kecamuk dirinya belum pulih. Mek berdoa kembali Kepada Allah agar Aminah tabah.
Tubuh tua Mek digolek-golek oleh seseorang. Buka sahaja mata
Abang Padir sudah mengcangkung bersebelahan Mek.
“Kenapa tidur dekat lambung. Nyamuk banyak, nanti sakit
awak. Sudah mari kita masuk ke dalam.” Abang Padir memegang tangan Mek untuk
membantu bangun.
“Saya tunggu abang. Tak tahu bila terlelap. Abang mahu
makan,nanti saya hidang. Minah pun belum makan lagi.” Mek bertanya.
“Saya letih, rasanya mahu tidur dulu. Besar sungguh cariknya
pukat tu. Tersangkut dekat mana pun tak tahu.”
“Kalau begitu biar saya sahaja yang temankan Minah makan.”
Mek menjawab.
“Suri tak makan sama?” Abang Padir bertanya.
“Adik demam! Tak lalu makan katanya.”
“Demam! Kenapa tak beritahu saya awal-awal, boleh saya
mintak air penawar daripada bomoh Sahak. Saya ke rumah bomoh Sahak dulu, awak
kuncikan pintu” Abang Padir sedikit terkejut. Kemudian cepat-cepat dia
menyorong basikal dan hilang dalam gelap malam.
Abang Padir suami yang cukup penyayang, namun hatinya keras.
Jika dia benar-benar terkesan dengan sesuatu, rajuknya akan berpanjangan. Sehingga kini tidak pernah dia
bercerita kenapakah dia tidak suka kepada doktor dan hospital. Bukan Mek tidak
pernah bertanya, malah sudah berkali-kali, tetapi dia tetap berahsia.
“Ibu ayah sudah pulang ke? Minah dengar macam suara ayah
tadi.” Aminah keluar dari bilik adik.
“Ayah kamu keluar semula. Mungkin lewat baru pulang. Mari
ibu temankan kamu makan.” Mek cuba memancing selera Aminah. Moga-moga dia tidak
akan bertanyakan ayahnya lagi.
“Tak apalah ibu. Minah mahu tidur dahulu. Rasanya ayah pun
penat, esok sahaja Minah berbincang dengannya.” Aminah terus berlalu ke
biliknya.
Hati Mek lega kerana berbincangan di antara dua beranak itu
tertangguh pada malam ini. Mek selak kunci pintu kemudian ke bilik ambil bantal
dan selimut. Mek sudah putuskan tidur di bilik adik malam ini. Hati Mek tidak
tenteram, rasa seperti sesuatu akan berlaku.
Air asam jawa Mek ramas-ramas, terasa biji-bijinya. Air
pekat likat warna koko tua itu, Mek buat sapu badan adik termasuk dahi,
ubun-ubun dan rambutnya. Panas badannya terasa semakin menaik. Adik menggigil
kecil. Lain benar keadaannya malam ini. Mek picit-picit kakinya menyebabkan
adik mengadu sakit.
“Akit! Akit..” Adik tersiak kecil.
“Dekat mana? Biar ibu gosok.” Tenang Mek memujuk.
“Suma (semua) akit. “ Adik merengek.
Mek turutkan sahaja kemahuan adik, Seluruh badannya, Mek jamah
lembut, sekadar memujuk adik. Mek sudah nekad. Kali ini Mek mahu bersuara. Mahu
merayu kepada Abng Padir. Bagaimana pun
caranya adik mesti di hantar ke hospital. Kata-kata Aminah memang benar, nyawa
tidak boleh dibuat main. Sepanjang malam
Mek tidak tidur kerana melayan kerenah adik. Tepat pukul dua pagi Abang Padir
pulang. Sebaik, salam pertama keluar daripada mulutnya, Mek bingkas bangun
sepantas kijang yang melompat. Sebaik
pintu dikuak, wajah keletihan Abang Padir muncul menjengah. Hati Mek berbelah
bagi di antara setia seorang isteri dan kasih seorang ibu.
“Suri sudah kebah atau belum?” Abang Padir bertanya sebaik
melihat Mek.
“Makin menjadi panasnya. Abang masuk dan tengok dahulu.”
Tanpa bertanguh, Abang Padir menuju ke bilik adik dan Mek
menuruti langkahnya. Badan adik dijamah-jamah dengan telapak tangannya. Wajah
Abang Padir sedikit berubah. Dia cuba
selindungi gelora hatinya, namun Mek dapat menduga. Mek hanya diam, menunggu
reaksi Abang Padir.
“Awak jemah Suri dengan air penawar nie.” Abang Padir
menghulur sebotol air putih kepada Mek. Walaupun berat hati, tetapi Mek
turutkan sahaja kehendaknya. Mungkin benar kata orang kasih ibu selalunya
mengatasi kasih seorang isteri kepada suaminya. Mek mula menyusun kata. Cuba
merasa-rasa dahulu perasaan Abang Padir dan selepas itu Mek akan usulkan
perkara berkenaan adik.
“Saya masih ingat dahulu, kalau malam rumah kita pasti
bising dengan suara adik.”
Abang Padir mengganguk, tanda setuju.
“Alangkah baik kalau suasana itu wujud lagi.” Mek masih
mengumpan.
“Saya pun berharap perkara yang sama.” Abang Padir sudah
termakan umpan, namun Mek masih tidak berani menyentak joran.
“Sudah berbulan adik berubat. Hasilnya tetap sama. Suka atau
tidak jika kita berubat cara lain?”
“Cara apa? Di mana? Dengan siapa?” Abang Padir berminat dan
Mek merasakan inilah masanya untuk berterus-terang.
“Hospital.” Mek menjawab tenang.
“Jangan sesekali awak berani bawa Suri ke neraka tu. Faham!”
Abang Padir marah. Pantas dia bangun meninggalkan Mek. Namun Mek sudah nekad.
**************
Sebaik sahaja Abang Padir turun ke laut. Mek terus ke rumah
Usop Keli. Rumahnya tidak jauh, hanya lima belas minit berjalan kaki. Sebaik
sampai tanpa mahu berbasi-basi, Mek nyatakan tujuan sebenar kedatangan. Mek
sudah merancang sebaik sahaja Aminah pergi kerja, adik akan Mek bawa ke
hospital dengan bantuan Usop Keli. Tiada siapa pun yang harus tahu, termasuklah
Aminah.
Mek keluar dan masuk ikut pintu bilik air yang terletak di
bahagian belakang, jadi Aminah tidak akan sedar.
Bunyi hon Usop Keli kedengaran, Mek lihat vannya masuk. Mek
yang sudah menanti di lambung rumah cepat-cepat mendukung Suri.
“Abang Padir sudah tahu Mek.” Usop Keli bertanya.
“Dia dan Aminah, malah sesiapa saja tak boleh tahu. Tolong
Mek ya? “ Mek merayu.
“Tapi kenapa?”
“Bukan Mek tak mahu ceritakan. Tapi ianya berkaitan maruah
keluarga. Mek harap Usop terima kata-kata Mek nie.” Mek membalas. Bukan tidak
mahu bercerita, namun untuk menipu, Mek tidak sanggup, dan jika memberitahu
kebenaran bererti Mek membuka aib Abang
Padir.
Sudan berkali-kali adik merengek. Air mata Mek hampir luruh.
Mek pujuk adik tetapi dia tetap merengek. Dari cermin van Usop Keli memerhati.
“Deman ke Mek?”
“Ya.”
“Usop! Mek nak mintak tolong sikit.” Mek bertanya agak
cemas.
“Apa benda Mek.” Usop Keli kelihatan tidak selesa dengan
pertanyaan Mek.
“Mek tak biasa ke
hospital. Nak tuju ke mana pun tak tahu. Cara bayaran ubat pun tak tahu. Usop
tolong Mek nanti.”
“Insay-Allah boleh.
Hampir dua jam perjalanan, barulah kami sampai ke Hospital
Besar Kuala Terengganu. Bagunannya sungguh tinggi di mata Mek. Banyak kelihatan
kereta, itu belum lagi manusia-manusia yang berada di situ. Sudah beberapa kali
Usop Keli berpusing mencari tempat letak kereta dan akhirnya, dia memutuskan
meletak van di luar pagar hospital sahaja. Hati Usop memang baik. Dia
menggambil alih mendukung adik. Kami terpaksa berjalan hampir lima belas minit
untuk sampai ke pintu utama hospital.
Usop tinggalkan Mek dan adik sebentar, katanya mahu mencari
tempat bertanya, namun hampir sejam tidak juga dia muncul. Mek resah bila adik
semakin kuat merengek. Mek masih mendukung adik, untuk kurangkan lenguh Mek
sandarkan badan pada dinding. Bukan tiada kerusi, tetapi ianya agak jauh dan
Mek risau jika Usop tercari-cari nanti.
“Assalamualaikum puan! Mahu saya bantu.” Tiba-tiba ada suara
yang menegur.
Mek berpaling dan menjawab salam. Seorang lelaki dengan
wajah seperti arab sedang berdiri bersebelahan Mek. Dia senyum kepada Mek. Dan
bertanya sekali lagi kepada Mek.
“Anak saya sakit. Jiran saya sedang mencari tempat bertanya.
Tapi sudah sejam, belum juga datang.” Sambil Mek lihat jam di dinding.
“Deman luar biasa nie. Kena cepat. Boleh rosak otak kalau
dibiarkan.” Lelaki itu merasa badan dan dahi adik.
“Saya tak tahu macam mana nak uruskan, ini kali pertama saya
ke hospital.” Mek berkata.
“Saya bantu puan ya? Saya doktor di sini, kebetulan hari ini
saya cuti.”
“Terima kasih doktor kerana tolong Mek.”
“Mek?” Doktor itu kehairanan.
“Belah pantai timur, Mek panggilan untuk orang perempuan.”
“ok!” Doktor itu
menjawab pendek.
Doktor itu meminta kebenaran untuk mendukung adik, Mek
hulurkan adik kepadanya. Mek berjalan
beiringan dengan doktor itu. Mula-mula Mek naik lif dan inilah kali pertama Mek
menggunakannya. Mek tidak selesa berada di dalam lift. Mek rasa terkurung,
macam berada di dalam kotak. Tidak lama, hanya beberapa saat pintu lift terbuka
dan suatu pemandangan lain pula muncul.
Kelihatan penghuni-penghuni katil yang kesemuanya berpakaian hijau dan yang
nyata hampir semua sebaya adik.
“Mek tunggu dahulu di bangku sana. Saya mahu bawa anak Mek
untuk pemeriksaan. Kalau suhunya di luar kawalan, kami akan lakukan CT skan.”
“CT skan itu apa?”
“computer tomografiatau tomografi komputer. Mek sabar ya?” Belum
sempat Mek menjawab doktor itu berlalu pergi.
Mundar mandir Mek berjalan, serba tidak kena dibuatnya. Mek
cuba bertenang. Mek mula berzikir dan akhirnya Mek larut dalam zikir.
“Mek!” Suara Usop Keli memanggil.
Mek toleh, kelihatan Usop Keli tercungap-cungap. Dia
melangkah panjang mendapatkan Mek. Kasihan tentu Usop Keli keletihan.
“Maaf Mek, saya sesat. Semua bangunan saya tengok sama saja.”
Usop Keli bernada letih.
“Jumpa pula kamu cari Mek.”
“Ada misi ( jururawat) beritahu. Katanya cuba cari di wad
pediatrik.”
“Apa bendanya pedialetrik tu Usop?” Mek sedikit bingung.
“Pediatrik la Mek, bukan pedialetrik. Wad untuk
kanak-kanak.” Usop menjawab sambil senyum nipis.
Mek menggucapkan syukur kerana dapat bertemu dengan Usop
Keli. Mek lalu menceritakan tentang kebaikan hati doktor itu dan ke mana adik
dibawanya. Sedang Mek dan Usop Keli bersembang, doktor itu muncul, tetapi Mek
hairan kerana adik tidak bersamanya.
“Mek, pihak kami telah jalankan CT skan kepada anak Mek.”
Doktor itu berhenti seketika, wajahnya kelihatan teragak-agak sebelum dia
menyambung semula.
“Berdasarkan CT yang kami lakukan, anak Mek menghidap barah
otak. Saya perlu tahan dia hari ini juga, untuk rawatan dan pemeriksaan yang lebih teliti.”
Mek istigfar, tiada yang mampu Mek ucap saat itu.Usop Keli
tunduk. Bila kekuatan kembali semula, sekali lagi Mek minta tolong kepada Usop
Keli. Kali ini agar dia pulang dan memberitahu perkara sebenar kepada Aminah dan
Abang Padir. Mek tidak pulang kerana mahu menjaga adik di hospital. Dalam hati
Mek berkata.
“Tinggi sungguh kasih sayangMu ya Allah. Aku terpilih di
antara yang terpilih. Dengan rahmatMu aku bermohon kesabaran.