Musim
kemarau menjengah lagi, debu-debu nipis menari di udara. Menyenakkan mata dan
hidung. Itu belum lagi yang
menempel di kulit dan pakaian. Baki-baki
air yang tersisa di permukaan tanah disejat tanpa tersisa. Kampung Lama dipeluk
kepanasan yang membahang.
Tambah buruk
apabila bekalan air juga terputus, mungkin kerana sumber air utamanya sudah
kering. Kampung di pendalaman yang mungkin sudah dilupakan oleh Kerajaan.
Sudah
berbulan, namun sebarang bantuan masih belum tiba. Bil telefon semakin bertambah,
bukan kerana bergayut dengan kekasih tetapi kerana berulang kali menelefon meminta
bantuan. Tetap hampa.
Sebuah rumah
di Kampung Lama sedang panas, sepanas bahang yang menjilat.
“Sudahlah
mak..itu semua sejarah. Orang tak hidup dengan sejarah.” Adib mencantas.
“Kalau tak
ada sejarah, kita tak akan maju. Kita akan terus ulang kesalahan yang lalu. Sebab
sejarahlah kau tahu siapa diri kau, kegemilangan agama dan bangsa kau.” Lembut
emaknya menjawab.
Dia, menjadi
sejuk kerana kelembutan suara emaknya itu.
“Itu sejarah
lain, ini sejarah perigi buta. Tak payahlah nak diingat pasal perigi buta tu.”
Adib membantah. Dileretkan senyuman mengusik.
“Perigi tu
tak buta! Cuma belibisnya yang runtuh. Mata air tertimbus. Itu saja.”
“Perigi tu
kering kontang. Lempar batu habis debu terbang melayang. Tak payahlah buat kerja sia-sia.
Malu kat orang.”
“Kalau kau
tak mahu biar mak yang mintak tolong orang kampung. Payah-payah biar mak
sendiri turun ke dasar.” Emaknya masih melipat kain, namun nadanya seakan
merajuk.
“Nanti nak
kena sewa pam air pula. Mahu beratus sekali sewa.”
“Susah-susah
kau gadai rantai emas emak.”
“Yelah… Yelah.” Adib bingkas bangun, sebaik kakinya melangkah
muka pintu, bahang panas semakin kuat
memeluk, namun tidak dipedulikan. Dihidupkan
motosikal dan berlalu pergi, sekali lagi debu-debu yang diam berterbangan.
*****
“Biar betul
kamu Dip… Perigi tu kering masa arwah ayah kau hidup lagi. Tak payah nak buat
kerja gila.” Osman ketawa geli hati, tangannya ligat mengatur buah-buah dam
aji. Kebiasaan pemuda-pemuda kampung di waktu senggang.
“Kau bukan
tak tahu, mak aku. Degil kalah budak kecil. Mahu berdarah telinga aku selagi
tak menurut.” Adib pula ikut ketawa. Geli hati bila teringatkan rajuk emaknya.
“Ala… Ikutkan
saja. Masa dia ada nielah nak ikut kata. Nanti bila dia padam, kata sapa lagi
kau mahu ikut?” Siva pula mencelah.
“Ikut-ikut
jugak. Tapi kalau sah-sah, benda tak betul, mengarut dan sia-sia. Tidak gila
namanya tu. Orang kata nak menurut biar pandai, nak mengikut biar cerdik.”
Osman membantah. Geli hatinya bertambah bila buah damnya memangkah buah Adib.
“Nak atau
tidak, kena buat juga. Kalau kerbau dipegang pada tali, manusia pada janjinya.”
Adib berseloroh.
“Kalau
begitu kita pakat-pakat kumpul geng. Esok pakat-pakat pergi gali perigi kat
rumah kamu.” Osman membentang cadangan.
“Aku
sokong.” Siva mencelah.
“Ok..Kalu
begitu kamu berdua kumpul orang. Aku nak ke rumah Kiong pinjam pam air.
“OK!”
Serentak Osman dan Siva menjawab.
Sekali lagi debu-debu berterbangan bila tayar motosikal Adib
meluncur laju, tambah berdebu bila motosikal Osman yang dibonceng Siva turut
meluncur.
*****
“Kiong..Esok
aku mahu pinjam pam air. Mak Aku sibuk nak gali semula perigi buta dekat
belakang rumah tu.” Adib berkata, tongkat motor itu dipancang cemat. Lalu dia
berlabuh di atas kerusi malas. Berayun-ayun kerusi itu terbuai, namun tetap
tidak mendinginkan. Ah..Musim panas ini betul-betul luar biasa berbanding tahun
sebelumnya.
“Boleh..Tapi
perigi rumah kamu tu, dalam. Aku tak tahu sampai atau tidak hos pam air tu.”
Kiong menjawab, dia berbaring pada bangku panjang sambil mengipas-ngipas
badannya dengan baju.
“Kita cuba
dulu, kalau tak cukup panjang, kita cari yang baru.”
“Kalau yang
baru kena ke Pekan. Paling cepat, sejam lebih baru sampai.” Kiong memusing
kepala, memandang Adip yang sedang
memejamkan mata. Mungkin dia sedang memikirkan sesuatu.
“Aku rasa
sampai hos tu ke dasar. Apa-apa pun kita cuba dulu esok. Jangan lupa pukul
empat petang esok Kiong.” Adib pantas bangun, menghidupkan semula motosikalnya.
“Cepatnya
nak balik. Rehat-rehat dulu. Banyak lagi aku hendak cerita.” Kiong bingkas bangun.
“Tak boleh
Kiong. Aku nak kena balik cantas, cabut dan bersihkan pokok-pokok dan semak-
samun dekat perigi tu.”
“Aku ikut.. Aku
bonceng motor kau Dib. Lepas siap kita terus ke sungai, silau-silau. Mana tahu
ada rezeki.”
“Ok.” Adib senyum .
*****
Mereka
berdua, kemudian terus menuju ke rumah Adib. Agak terkejut Kiong bila melihat
keadaan perigi itu. Semak samun dilihat agak
merimbun dan beberapa dahan pokok menutupi permukaan atasnya.
“Sesuai
benar buat lokasi cerita hantu. Berapa abad kau tak menebas Dib.” Kiong
menyindir.
“Mujur musim
kemarau, kalau musim hujan. Silap-silap kau pun sesat. Belum lagi pacat dan
ular sawa.”
“ULAR SAWA!”
Kiong melompat merapati Adib.
“Aku gurau
saja. Tak payahlah cemas sangat.” Mendadak Adib ketawa.
“Kau kenakan
aku, ya.” Kiong meninggikan suara.
“Dah…Dah…Mula kerja.”
*****
“Wah! Terang
benderang kawasan nie. Dulu aku ingat
nie kawasan perhilitan, Tak sangka ada perigi buta kat sini.” Siva mengusik.
“Aku dengan
Kiong yang kerjakan petang kelmarin.” Adib menjawab, dia, Siva dan beberapa
orang lelaki sedang menurunkan pam air dari lori milik Kiong.
Pak Usop
muncul dengan wajah bengis. Bukan kerana marah, tetapi wajahnya sudah
semulajadi begitu. Dia merupakan kepala bagi kerja-kerja menggali perigi buta
hari ini, dan sudah tentulah kedatangannya ditunggu-tunggu.
Mereka
kemudia mengelilingi perigi itu. Pak Usob sudah bersetuju yang kerja-kerja menggali
semula dasar itu akan dilakukan secara bergilir-gilir.
“Pergi ambil
tali, lilin dan bekas kecil.” Pak Usop mengarah.
“LILIN..Nak
jampi serapah jugak ke Pak Usop. Syirik tu.” Adib bersoal, namun kemudian akur
bila melihat wajah tegang Pak Usop.
Dia menghilang.
Tidak lama kemudian dia muncul dengan barang yang diminta Pak Usop.
Lilin itu
dinyalakan dan diletakkan di dalam bekas kecil, tali pula digunakan untuk
mengikat bekas. Kemudian diturunkan perlahan-lahan ke dasar perigi. Adib
berwajah curiga, dia risau jika perkara itu melibatkan jampi serapah. Kiong
berwajah pelik, mencari kemungkinan Pak Usop bertindak begitu, manakala Siva
memerhati penuh minat.
Agak lama
diturunkan, kelibat cahaya itu hilang, atau lebih tepat apinya sudah padam. Pak
Usop senyum geram dan mendengus, isyarat masalah sudah timbul.
“Bawa air
tua tiga baldi ke mari.” Pak Usop mengarah marah.
“Mana nak
cari air, sekarang musim kemarau. Siva mencelah.”
“Sungai pun
kering.” Kiong pula menyampuk, namun suaranya lirih tidak didengari.
Pak Usop
senyap seketika, cuba mencerna sesuatu. Dia kemudian bersuara kasar.
“Mintak dari
setiap rumah di kampung kita, tiga gayung setiap rumah. Kata kalau kita berjaya
gali perigi buta nie. Mereka boleh ambil air percuma.”
“Kalau tak
berjaya? Kalau perigi nie memang buta?” Adib gusar.
“Kamu
tanggunglah anak beranak. Dah pergi sekarang. Kalau lambat aku balik.” Pak Usop
ketawa sinis, menambah debar Adib.
Suasana
kampung itu gamat bila Siva, Kiong dan Adib menjerit seperti penjual surat
khabar lama. Tidak cukup dengan itu mereka pergi dari pintu ke pintu meminta
air segayung, dua.
Ada yang
memberi, tidak kurang yang menolak. Musim kemarau ini bukan sahaja telah mengeringkan air, malah turut mengeringkan
semangat kejiranan. Sikap aku-aku pula yang subur, masing-masing sibuk menjaga
kepentingan sendiri.
Namum
pekerjaan yang mulia tetap akan membuahkan hasil. Sepuluh baldi air berjaya
dikumpulkan oleh mereka, itu belum termasuk yang berjaya dikumpulkan rakan
mereka yang lain.
Bungkam Adib
dan yang lain bila melihat, air yang dicari susah payah itu, disimbah ke
dinding perigi buta di sebelah dalam. Pak Usop hanya senyum sinis, kemudian
kembali mengarah.
“Kenapa
terjegat. Ikut apa aku lakukan.”
Mungkin
kerana menghormati, atau mungkin kerana takut. Mereka menurut kehendak Pak
Usop.
Setelah
berpuas hati, sekali lagi Pak Usop menyalakan lilin dan menurunkannya. Kali ini
lilin itu tidak padam, dan ketika dinaikkan ia masih menyala. Pak Usop senyum
nipis.
“Kenapa
lilin tak padam Pak Usop?” Siva bertanya, nampaknya dia menyedari sesuatu.
“Sebelum
turun aku nak pastikan kandungan oksigen kat bawah dahulu. Tadi api padam
oksigen kurang. Bila ada oksigen barulah api boleh nyala.”
“Wah! Pandai
Pak Usop, macam cikgu sains.” Adib memuji, kagum.
“Dah, kau
orang ingat aku tak sekolah, aku bodohlah.” Pak Usop senyum bangga. Hidungnya
ikut kembang kempis.
Pak Usop
ambil tali dan diikat pada Adib, itu petanda bahawa dia akan menjadi orang
pertama turun ke dasar perigi buta.
Perlahan-lahan
dia diturunkan. Semakin dalam, semakin dingin pula dirasakan. Tiba-tiba Adib
menjerit. Riuh rendah orang di atas kerana jeritannya itu. Mereka khuatir jika
sesuatu telah menimpa.
“Kenapa!”
Pak Usop melaung keras.
“Lipan…Serangga.
Banyak pulak.” Adib melaung kembali. Bergema suara itu, melancar ke atas.
“Biasalah
tempat lembab, banyaklah peminatnya.” Pak Usop melaung, namun nadanya seakan
menahan tawa, mungkin geli hati. Kemudian suara ketawa meriah kedengaran
mengitari sekeliling telaga itu.
“Sah..Tengah
gelakkan aku.” Adib kembali menuruni dasar telaga itu.
Semakin ke bawah, terasa pula lumut-lumut lembut yang
memenuhi dinding-dinding perigi itu, keadaan menjadi agak licin. Dia semakin
berhati-hati, tidak mahu sebarang kecelakaan menimpa.
Akhirnya dia
sampai ke dasar. Dia mula menyodok tanah dan memasukkan ke dalam baldi,
kemudian diikat tali itu. Dihenjut- henjut kecil tali itu. Tidak lama, tali itu
kemudian ditarik ke atas dan begitulah seterusnya.
Sudah sejam
dia mengali, namun masih tiada tanda-tanda mata air akan muncul. Dia
menghenjut-henjut tali, kali ini dia pula yang naik.
“Memang sah
tiada mata air. Membazir.”
“Dah ketepi.
Biar aku yang turun pula.” Pak Usop pantas mengikat tali pada badannya.
Kelentang-kelentung,
bunyi tanah keras, mungkin juga batu-batu kasar. Rata-rata yang berada di situ
sudah berputus asa.
“Arrrg…” Suara keras Pak Usop mendengking laju.
Bunyinya seakan kecemasan. Sejurus itu, tali disentap kuat, dan semakin laju
dihenjut. Sebahagian pemuda sudah gusar, seperti ada kecelakaan yang berlaku.
Riuh-rendah jadinya. Tanpa disuruh Osman menghidupkan motosikal, niat mahu ke
Klinik Desa, menemui Doktor Borhan. Dia khuatir jika sesuatu telah terjadi
kepada PakUsop.
Tali itu
ditarik naik ke atas, sepantas mungkin. Makin bertambah keringat yang keluar. Masing-masing berwajah ketat. Mak Munah iaitu
emak Adib, berlari turun dari rumah bila terdengar suara-suara cemas. Dia ikut
cemas, bimbang jika sesuatu menimpa anaknya.
“Ya..Allah.
Selamatlah semuanya. Biar perigi itu tetap buta, asal tak sesiapa yang celaka.”
Badannya yang rendang dan bulat berisi, menjadikan larinya seperti itik pulang
petang.
Terpancul
wajah Pak Usop dari muka perigi buta, Namun wajahnya berbunga suka, bukannya
berbuah duka. Serta-merta reda segala keluh kesah yang menginap di hati mereka
yang ada.
“MATA Air…MATA
AIR..MATA AIR.. Kampung kita tak akan dahaga lagi. Semua boleh pakat-pakat
ambil air. Perigi nie bermata, bukannya buta.” Pantas Pak Usop melangkah.
Pantas dia menuju pada pam air. Yang lain membontotinya. Mereka semua gembira.
Mak Munah
sampai termengah-mengah, wajahnya pucat seperti mayat. Keringatnya sama banyak
dengan mereka yang di situ. Dia bertanya cemas.
“Apa yang
berlaku..Mana Adib?” Cemas Mak Minah mengalahkan isteri yang kehilangan suami.
Mungkin kerana geli hati, yang lain ketawa serentak. Adib muncul dari celah Ravi dan
Kiong, senyum lalu berkata.
“Mak perigi
nie memang tak buta. Perigi nie dah celik semula.”
Mak Munah
pun senyum.